Saturday, September 20, 2008

Luahan hati - KURMA OH KURMA...




* Kira-kira dua tahun lepas, dalam bulan Ramadhan, saya telah menulis coretan berikut. Elok rasanya saya letakkan di sini untuk mereka yang belum menatapnya lagi.

KURMA OH KURMA

Kurma oh kurma
Setibanya bulan puasa yang indah lagi mulia, aku ingin berbicara…..

Kurma oh kurma (tamar oh tamar)
Alangkah indahnya nasibmu wahai kurma
Engkaulah sunnah yang jarang dilupa
bahkan diamalkan oleh semua
tak kira muda ataupun tua.

Kurma oh kurma
Di kala orang meninggalkan kewajipan dan fardhu
Engkau diidam bagaikan ratu
Engkau dicari dan diburu
Biarlah mahal, asalkan tamar itu jadi milikku!

Kurma oh kurma
Dirimu kegemaran Nabi
Pakar sains juga membawa bukti
Dengan menikmati dirimu, sisa toksik badan tiada lagi
Adakah mereka menyangka, kurma juga penghapus toksik (dosa) di dalam
hati?

Kurma oh kurma
Umat zaman ini (di negara ini) amat mengenalimu
Rutob, tamar, balah dan apa lagi, aku pun tak tahu
Tentang dirimu mereka benar-benar berilmu
Mereka mengambil berat tentang sifat-sifatmu
Tetapi adakah mereka juga begitu tentang agama mereka dan juga
Rasulmu?

Aduh, sedapnya merasai kemanisan tamar
Apatah lagi setelah sehari suntuk berlapar
Alangkah baiknya kalau kemanisan iman juga ada di pasar

Kurma oh kurma (berapa banyak kurma daa?)
Ramai yang membelimu di mana-mana
Sunnah Nabi, kata mereka
Tetapi… mereka tinggalkan (sebahagian) ajarannya
Atau ….cukuplah kurma sebagai sunnah yang kami suka?

Adakah ihya' Ramadhan hanya dengan kurma?
Memanglah, tak siapa yang marah tak siapa yang hina
Engkau makan, aku pun tumpang sama


Selamat berbuka puasa. Ingatlah, sunnah Nabi bukan sekadar berbuka
dengan kurma. Pelajarilah sunnah, amalkanlah ia dan sebarkanlah ia
untuk semua!

Tuesday, September 16, 2008

Puasa Tak Boleh Ketawa Banyak Sangat?


Dalam Ramadhan, masyarakat kita mempunyai banyak sangkaan dan kebanyakannya melibatkan pantang larang atau perkara yang mengurangkan pahala puasa.

Apa yang pasti, kata-kata dosa akan menyebabkan kurangnya pahala puasa. Begitu juga perbuatan dosa sudah pasti menjejaskan kualiti puasa.

Tapi terkadang kedengaran dari mulut orang-orang yang saya temui pelbagai pantang larang yang saya kurang pasti dari mana datangnya. Contohnya:

- Semasa berpuasa, tak boleh berbicara tentang juadah berbuka.

- Semasa berpuasa, tak boleh gelak ketawa berlebihan.

- Semasa berpuasa, tak boleh mandi banyak-banyak.

- Semasa berpuasa, tak boleh kumur banyak-banyak.

dan sebagainya...

Sedangkan ini semua bukanlah 'tidak dibolehkan' dengan maksud 'haram'. Ia mungkin boleh dikategorikan dalam perkara yang 'tidak digalakkan' atau 'tidak elok dilakukan'. Namun tak mungkin perkara ini termasuk dalam kategori dosa yang menghilangkan pahala puasa atau membatalkan puasa. Panjang ceritanya tapi inilah yang perlu diketahui oleh kita semua.

Maka janganlah kita terlalu berkeras dalam perkara-perkara yang sebegini. Nanti salah faham pula kita terhadap 'perkara yang membatalkan puasa/pahala puasa'.

Selamat berpuasa...

Wednesday, September 10, 2008

Puasa Dapat...Tapi Kualitinya?

Kualiti puasa ialah nilai puasa tersebut di sisi Allah SWT...atau dengan kata lain, sejauh mana puasa itu diterima oleh Allah SWT. Atau dengan ungkapan lain, adakah pahala puasa kita banyak, berkurang, atau tiada?

Ramai orang menjaga puasa dari terbatal - jangan makan dan minum, jangan masukkan sesuatu ke dalam rongga hidung atau telinga, berhati-hati ketika niat pada waktu sahur dan sebagainya - ini semua amat baik dan amat penting.

Tapi...

Terkadang tumpuan terlalu lebih kepada perkara 'zahir' atau 'luaran' menyebabkan sebahagian kita tak begitu memberi perhatian kepada 'kualiti' puasa. Menipu, mengumpat, mengeji, membuat perkara tidak baik, mengambil hak orang lain, mendedahkan aurat, membazir, tidak solat, pergaulan bebas, mengabaikan hak keluarga dan rumah tangga, menyakiti hati ibu bapa...dan banyak lagi perkara yang dilarang (sama ada pada Ramadhan atau bulan-bulan lain) dilakukan - ini pasti memberi kesan kepada kualiti puasa. Maka berhati-hati...

takut nanti puasa saya dan anda hanya memperolehi 'lapar dan dahaga' sahaja!

PERINGATAN UNTUK MEREKA YANG BERKENAAN...TERMASUK DIRI PENULIS

Saturday, September 06, 2008

Semangat Membeli...atau Membazir?



Semalam, pada satu lokasi yang menjual kuih-muih dan juadah berbuka, saya berkata pada isteri..'dah..dah, lama sangat kat sini, nanti membazir'.

Mungkin ada yang menyangka saya tak nak isteri saya membazir kan? Sebenarnya saya cakap macam tu merujuk kepada diri saya. Makin lama saya duduk kat satu tempat (terutamanya kat tempat-tempat menjual juadah berbuka), makin banyak saya beli. Bila dah banyak beli..kena la habiskan nanti. Adoi..itu yang kenyang sangat tu.

Isteri pun dah faham perangai ni. Sebab tu lebih baik dia yang pergi beli.

Begitulah sifat sebahagian manusia di bulan puasa. Pasti ramai yang merasainya ketika berjalan-jalan melihat pelbagai jenis makanan. Ada pulak makanan yang 'dah lama tak makan' atau makanan yang 'susah nak dimasak', lagilah. Apatah lagi apabila lapar, semuanya sedap!

Kalau kita dah tahu kelemahan diri, jangan buka ruang untuk itu. Itulah cara kita mengawal diri dan itulah tandanya kita mengenal diri. Mungkin boleh diterapkan untuk perkara lain selain 'pembaziran'.

Wallahu a'lam. itu bagi saya lah....anda pula macam mana?

Wednesday, September 03, 2008

Ramainya Manusia Di Masjid!


Setiap tahun begitulah keadaannya. Kemeriahannya terasa. Tempat meletak kereta di masjid dan surau penuh sesak. Dalam masjid saf-saf dipenuhi sehingga ke belakang atau ke tingkat atas. Walaupun tak seramai gambar di atas (al-masjidil al-Haram, Mekah) namun memang ramai le jugak. Harapan kita...

- agar muslimin dan muslimat yang datang ke masjid itu benar-benar datang untuk merebut ganjaran 'diampunkan dosa yang telah lalu' bagi orang-orang yang menghidupkan malam-malam Ramadhan dengan solat sunat (maksud hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim).

- agar sikap ini berterusan sehinggalah ke pertengahan Ramadhan dan seterusnya sehingga ke tahap penting Ramadhan iaitu 10 malam terakhir, waktu di mana kita berpeluang bertemu dengan Lailatul Qadr.

- agar umat Islam yang memenuhi masjid ini akan konsisten dalam memenuhinya selepas Ramadhan. Sesungguhnya amalan yang amat baik ialah yang berterusan walaupun sedikit.

- agar diri kita diterima oleh Allah SWT - puasa, solat, bacaan Al-Quran, sedekah dan sebagainya.

Insya Allah...sama-sama kita bersedia memastikan harapan di atas menjadi nyata.

Monday, September 01, 2008

Selamat Berpuasa Untuk Semua...!




RAMADHAN BULAN MULIA...BULAN MENGEJAR RAHMATNYA

RAMADHAN BULAN MULIA...SEKIAN LAMA BERPISAH KINI IA MENJELMA

RAMADHAN BULAN MULIA...NILAI KEMBALI AMALAN KITA

RAMADHAN BULAN MULIA...NAMUN ADAKAH KITA MENDAPAT KEMULIAANNYA?

SAMA-SAMALAH KITA BERDOA DAN BERUSAHA...JANGAN HANYA BERANGAN SENTIASA.

Sunday, August 31, 2008

Jalan-Jalan Sebelum Ramadhan...


Amir, Ahla Adlina dan Ammar di Taman Buaya, Melaka...Berjalan-jalan ke Melaka dan Johor. Maklumlah dah lama tak makan angin. Ramadhan nanti letih plak. Kesian kat Ahla, takut dengan buaya.

Tuesday, August 26, 2008

Alhamdulillah...dulu juzuk 30...kini juzuk 29...


Alhamdulillah...

Ingin saya berkongsi kegembiraan dan kesyukuran...di atas kejayaan anak sulung, Ammar (semoga Allah SWT memeliharanya) menghafaz dengan lengkap juzuk 29. Kini, pada umur 7 tahun, Ammar benar-benar mengatasi ayahnya dan ibunya ketika mereka berumur 7 tahun satu masa dahulu.

Semoga dengan 2 juzuk Al-Quran di dalam dadanya, Allah SWT akan melimpahkan rahmatnya kepada keluarga kami.

tahniah Ammar!

Thursday, August 21, 2008

BAGI SALAM PUN TERKEJUT KA?


Tentu anda yang membaca tulisan ini pernah pergi ke sesuatu tempat lalu anda memberi salam tanda permulaan...apa jawapan yang anda selalu dapat? Sudah tentu salam anda dijawab, bukan? Kalau tak semua pun, pasti ada orang yang menjawab.

Begitu juga dengan saya. Kadang-kadang saya masuk ke tempat-tempat tertentu tanpa ada idea untuk memulakan bicara. Pastilah kita akan memberi salam, terutamanya apabila orang yang di hadapan kita ialah orang-orang Islam.

Hari ini, buat pertama kalinya saya masuk ke satu tempat dengan memberi salam, tetapi TIDAK DIJAWAB. Bukan kerana tidak ada orang...ada. Ada dalam 3-4 orang yang berada di ruang hadapan ketika saya melangkah masuk dan memberi salam. Tapi sebaik sahaja saya berkata 'assalaamu'alaikum'...semuanya memandang ke arah saya dalam keadaan terpinga-pinga...'aku salah bagi salam ke?' detik hati saya.

Mungkin disebabkan beberapa sebab yang tak dapat kita ketahui...mereka tergamam ketika saya memberi salam...mungkin sebab mereka tak pernah jumpa saya kot? Atau mungkin kerana mereka terkejut ada juga orang bagi salam?

hehe..ada juga orang mcm ni kan?

anda pernah ada pengalaman yang sama ke?

Wednesday, August 20, 2008

BERFIKIR SEJENAK BERSAMA 'I LOVE RAMADHAN'


cuba beli dulu....insya Allah ada kelainan..tahniah wahai sahabatku dan salah seorang abang dan contoh ikutan saya dalam kalangan senior2 univ. Al al-Bayt dulu...

dapatkan segera....saya pun tak sabar walaupun dah tahu sinopsis dan beberapa sedutan isi kandungannya. dah order dah dari tuan penulisnya cuma masa belum sempat untuk kami bertemu (maklumlah, saya ni kadang2 sibuk..kadang buat2 sibuk) :)

Alhamdulillah...baru sembuh dari demam ni selera makin bertambah...harap selera membaca juga akan bertambah...

Monday, August 18, 2008

SELAMAT BERCUTI - WARGA SEKOLAH...


Untuk sahabat-sahabat warga sekolah...pelajar atau guru...

- Manfaatkan cuti untuk semua pihak - sama ada keluarga atau kawan.

- Mana-mana yang tak sempat berehat tu pandai2lah berehat.

- Kot-kot ada masa terluang nak mendapatkan ilmu tentang agama atau apa sahaja, gunakanlah masa cuti ni. Banyak caranya. Kalau hari bekerja, selalu terdengar alasan sibuk...penat...kerja...ha..sekarang kan cuti?

- Kalau buat kenduri tu jangan lupa la jemput...tanda ingatan.

- Buat semua pelajar2 yang pernah/sedang saya ajar...jangan lupa kerja rumah yang diberi tu. Tidur cukup2, jangan sampai tidur lagi dalam kelas...:)

selamat bercuti!

Friday, August 08, 2008

Kenapa Kritikan Tidak Membina?

Saya menulis berdasarkan satu kata-kata yang saya dengar...kurang enak bunyinya..

kata-kata itu menyebut bahawa orang-orang agama ni suka menghukum dan mereka ni tak memahami...

Balik-balik nak mengkritik orang-orang agama. Siapa orang-orang agama ni? Seolah-olah orang-orang yang bukan 'orang-orang agama' ni dah perfect. Akhirnya orang yang belajar agama jadi bahan kritikan.

Begitukah yang dinamakan kritikan membina? Kritikan dialukan, tapi biarlah ia membina, bukan merosakkan. Biarlah berfokus..jangan main hentam saja.

orang agama semuanya begitu? 100 peratus? 50 peratus? 20 peratus?

saya teringin sangat nak tanya kepada orang yang berfahaman sedemikian beberapa soalan:

1- Statistik yang manakah digunakan mereka untuk membuat kesimpulan yang semudah itu?

2- Kalau ada sebahagian kecil ustaz/ustazah yg 'tidak memahami' atau 'suka menghukum'...kenapa pula dibangkitkan isu ini sebegini?

3- istilah 'tidak memahami' juga kurang jelas maksudnya...apa yang nak difahami? begitu juga istilah 'suka menghukum'...apa yang dihukum? Siapa yg kena hukum? Orang salah ke orang tak salah?

4- Tidakkah kita diajar dalam Islam bahawa ada perkara yang disuruh dan ada perkara yg dilarang? Adakah sikap orang-orang agama yang menceritakan kembali suruhan dan larangan ini dianggap 'tidak memahami' atau 'suka menghukum'?


Kembalilah berfikir menggunakan intelektual dan sesuai dengan taraf akademik kita.

Kembalilah berfikir menggunakan asas-asas yang ditetapkan oleh Islam.

Kembalilah berfikir dengan rasional bukan dengan emosi..


akai ada ka? kalau ada..pakai!

Thursday, August 07, 2008

Sejarah...Kali Pertama Masuk Studio!


Walaupun ia bukanlah satu studio yang terkenal, namun beberapa orang artis Malaysia pernah merakamkan lagu-lagu dan album di situ..(gambar di atas sekadar hiasan, tapi agak mirip dengan studio yang saya maksudkan)

Bayangkan...tak pernah melangkah masuk...tiba-tiba diminta merakamkan suara! Bukanlah gelabah..tapi rasa kekok dan rasa rumit.

Memang tak semudah yang disangka. Berkali-kali diulang, ada saja salahnya. Nasib baiklah kami bersama sahabat artis yang boleh membetulkan keadaan. Sekadar backing vocal, tak apa la kan?

Lagu apa? Nantikan kemunculannya!

Monday, August 04, 2008

Setelah Berduka...Nikmat Allah SWT Tiba Jua...

*Artikel ini saya ambil dari www.al-ahkam.net , ia ditulis dengan penuh rasa gembira dan syukur kerana dapat bertemu salah seorang ulama yang dikagumi...selamat membaca walaupun agak panjang sikit..

Tiada terduga walau dalam mimpi...nikmat Allah SWT yang wajib disyukuri....Bertemu Dr. Hamzah al-Malibari...

Siapa yang dapat menduga apabila tokoh yang dikaguminya melalui penulisan, tiba-tiba berada di depan mata? Tiada yang dapat menggambarkan kegembiraan apabila dapat bersua muka dengan seorang tokoh hadith masa kini yang merupakan salah seorang pengkaji hadith yang mendokong pemikiran 'manhaj al-Mutaqaddimin'.

Beliau ialah Dr. Hamzah al-Malibari, salah seorang tenaga pengajar di salah sebuah universiti di Dubai, UAE. Tanpa diduga, Dr. Hamzah telah datang ke Malaysia untuk menziarahi sanak saudaranya di Seremban, N.Sembilan. Maka salah seorang tenaga pengajar hadith terkemuka UIA, Dr. Abu al-Laith al-Khair Abadi (yang merupakan rakan Dr. Hamzah semasa di Univ. Umm al-Qura, Mekah) telah meminta beliau menyampaikan satu ceramah di UIA berkaitan - pengajaran ilmu hadith yang berkesan dan isu-isu berkaitan beberapa kelemahan dalam kajian sebahagian pengkaji hadith masa kini.

Wakil Jabatan Hadith, AAN, Mat_Lughowiyyat (Penasihat JH), alitantawi (penyelaras JH) serta al-Barlizi (panel JH) telah berkesempatan untuk menghadiri ceramah tersebut yang diadakan baru-baru ini di UIA. Alhamdulillah, ceramah itu juga telah berjaya dirakamkan melalui kamera video AAN.

Kami amat gembira bukan hanya kerana dapat bertemu dengan Dr. Hamzah, malah juga disebabkan oleh akhlak mulia Dr. Hamzah yang tidak jemu melayan soal jawab para pensyarah dan pelajar UIA yang hadir termasuk soalan daripada wakil JH AAN. Beliau juga tidak bosan melayan para hadirin sebelum dan selepas ceramah.

Beliau membentangkan satu ceramah yang padat berkaitan pengajaran ilmu hadith yang sepatutnya dilakukan pada masa kini. Beliau juga menegaskan tentang kepentingan menghormati kajian ulama terdahulu serta meletakkannya pada kedudukan yang sepatutnya. Beliau juga memberikan beberapa contoh 'kegopohan' dan 'kecelaruan' yang berlaku pada sebahagian pengkaji moden yang menyangka bahawa mereka juga boleh menyaingi kehebatan ulama hadith terdahulu. Kepetahan beliau membentangkan ceramahnya dalam Bahasa Arab amat menarik kerana Bahasa Arab bukanlah bahasa ibundanya. Insya Allah, rakaman video ceramah beliau akan diusahakan agar dapat dimuatkan dalam AAN secepat mungkin.

Biodata ringkas Dr. Hamzah al-Malibari:

Dilahirkan di Kirala, India pada tahun 1952, memperolehi pendidikan awal di India, seterusnya menyambung M.A. di Universiti al-Azhar, Mesir, menyambung Phd di Universiti Umm al-Qura, Mekah.

Bertugas di beberapa buah universiti di negara-negara Arab sehinggalah sekarang, di UAE.

Beliau menulis beberapa buah buku yang terkenal seperti:

– الحديث المعلول – قواعد وضوابط –

الموازنة بين المتقدمين والمتأخرين في تصحيح الأحاديث وتعليلها

نظرات جديدة في علوم الحديث تصحيح الحديث عند ابن الصلاح

عبقرية الإمام مسلم في ترتيب أحاديث مسنده الصحيح

كيف ندرس علم تخريج الحديث

Wednesday, July 30, 2008

Sakit, Letih, Susah Hati...

Itulah perkataan-perkataan yang sesuai untuk menggambarkan situasi saya ketika menulis blog ini sekarang...

Semoga itu semua mengampunkan dosa saya..

Semoga itu semua memberikan saya ganjaran di sisi Allah yang Maha Kuasa..

Semoga awan mendung akan berganti cerah dan cahaya...

untuk sahabat yang membaca...doakanlah kebaikan untuk saya dan kita semua.

Terima kasih!

Friday, July 25, 2008

Tenangkan Minda Dengan 2 Buku Baru....




Apa? Bukan...ini bukan buku saya. Keduanya adalah buku Ustaz Sahrulazmi Bin Sidek...

Kalau nak kelainan...kena la cuba sesuatu yang baru. Mungkin penulisnya anda belum kenal, tapi sebenarnya orang-orang yang suka beli buku memang kenal. Bagi saya apa yang penting ialah 'ilmu' nya terutama dalam bidang sejarah Islam. Merupakan salah seorang daripada senior saya di universiti dulu....jom la tengok buku tu....


nak beli? rujuk blog dia lah - www.ibrahsejarah.blogspot.com (ada kat senarai link dalam blog saya ni)...

selamat membaca dan menikmati kelainanya!

Tuesday, July 22, 2008

Solat...Ramaikah Yang Begini??

Tulisan ini berdasarkan kisah benar..
Di sebuah surau yang sedang diubahsuai agar lebih besar...
ramai yang sedang menunggu azan asar...
termasuk beberapa orang pekerja yang berehat sebentar..

Apabila azan dilaungkan...
ada yang bergegas berwudhu' dan menyucikan badan...
ada yang solat sunat dan ada yang bersandar kepenatan...
Namun mereka itu masih berehat dan berbual tanpa silu dan segan..

Apabila iqamah bergema...
kesemua jemaah menuju ke saf merebut takbir pertama...
pekerja-pekerja itu masih berehat seperti biasa...
tak solat ka?..

Ketika solat berlangsung...
imam dan makmum bertakbir dan menyanjung...
mereka tetap di situ, malu seolah tidak wujud langsung..

Apabila imam mengakhiri solat...
berzikir, berdoa memohon berkat...
mereka masih seperti itu, seolah mereka terlalu penat...


- Mereka berada di surau...

- Mereka orang Islam.

- Mereka berhenti dan berehat untuk orang ramai menunaikan solat...

- Mereka berada setiap hari hampir setiap waktu zohor dan asar...


Tetapi mereka tetap tidak solat...

Agaknya puas ajk surau menegur....namun begitu....KALAU DAH TAK NAK..APA NAK DIKATA?

...ramaikah yang begitu???

Saturday, July 19, 2008

Lupa Akhirat...Punca Segala Dosa dan Kejahatan


Saya teringat satu watak dalam siri kanak-kanak yang saya minat sejak kecil iaitu 'Sesame Street'...watak itu ialah 'Forgetful Jones' (lihat gambar tuu)...

Forgetful Jones adalah satu watak yang amat amat sangat pelupanya...ingat satu benda, lupa benda lain..ingat perkara kedua, lupa perkara pertama...

Tapi bukanlah saya nak bercerita tentang Forgetful Jones, tapi nak bercerita tentang satu nasihat daripada salah seorang ulama di pantai timur (diambil daripada rakaman ceramah) tentang LUPA AKHIRAT

Beliau menyebut .."BILA MANUSIA NI SEDAR BAHAWA DIA AKAN HIDUP BALIK DENGAN TAK ADA KUASA MENOLAK, DAN KITA AKAN DIHAKIMI, MULAI DARI SITULAH..MANUSIA AKAN BERFIKIR 2 KALI UNTUK BUAT BENDA-BENDA YANG DIPANGGIL MAKSIAT....

Begitulah kita...saya dan anda...

Kalau kita betul-betul duduk sejenak dan ingat kepada akhirat...

Kalau kita berhenti seketika dan berfikir tentang hari pembalasan...

Kalau kita tumpukan pemikiran kepada hari terdedah segala amalan...

Kita berikan sepenuh fokus dalam sedar...kepada hari yang terakhir...hari akhirat..

PASTI HIDUP KITA AKAN JADI LEBIH BAIK..LEBIH BERNILAI DAN BERHARGA DI SISI ALLAH ...

....renungan utk diriku dan dirimu...

Monday, July 14, 2008

Bukan Semua Cerita Orang Itu Benar...



Saya teringat antara watak yang saya minati sejak kecil - Sherlock Holmes...Penyiasat Terkemuka....takkan tak kenal?

Sememangnya kita perlu contohi sikap Mr. Holmes. Biar apa yang sampai ke telinga kita akan melalui panel penapisan (sama ada berasaskan logik akal atau berasaskan syariat)...sebelum dipercayai atau ditolak.

Panduan mudah yang boleh saya kongsi bersama...

Kalau sampai kepada kita sesuatu cerita atau berita...lihatlah siapa yang membawa cerita/berita itu. Kalau boleh, bertanyalah serba sedikit tentang cerita/berita itu...bandingkan pula (jika boleh) dengan cerita daripada sumber yang lain...


Jangan kita jadi dua manusia berikut:

1- Mudah percaya apa saja berita/cerita yang sampai ke telinganya.

2-Mudah tak percaya apa saja berita/cerita yang sampai ke telinga.


Tapi kebanyakan orang yang saya temui adalah kategori no. 1.


So, marilah kita sama-sama mengubah sikit (sikit je) cara kita berfikir.

selamat mencuba!

Saturday, July 12, 2008

Kalau Ada Kelapangan...Jemputlah Datang

Assalamualaikum,

Bicara Ilmu Hujung Minggu.

Tajuk : Perkahwinan Rasulullah S.A.W- Fakta, pengajaran dan penghayatan.
Penceramah : Ustaz Adlan Abd Aziz
Tarikh : Ahad, 13hb Julai 2008
Masa : 10 – 11.30 pagi
Tempat : The Little Khalifah shop
2750A Jalan Changkat Permata
Taman Permata
53300 Kuala Lumpur

Penyertaan adalah percuma.
Untuk pendaftaran sila hubungi : 03 4147 2626

Thursday, July 10, 2008

Terkenang Semasa Dulu....Best!



Baru sebentar tadi seorang sahabat sejak di bangku sekolah telefon...'hang cuba buka tv1'..saya pun buka tv1..rupa-rupanya ada persembahan nasyid dari bekas sekolah kami berdua...

Bukan itu yang menyentuh hati..tetapi nama kumpulan nasyid tersebut masih lagi seperti waktu kami asaskan dahulu...fuh...menangkap ke dalam qalbu!

Teringat semasa dulu...susah payah menubuhkan kelab nasyid buat julung-julung kali di sekolah. Pelbagai dugaan dan cabaran..ada pujian, ada kritikan...

Akhirnya...kami berjaya membuat persembahan demi persembahan di sekolah. Masih ingat lagi sewaktu sama-sama bernasyid dan berkompang serta bergendang...(itu saja alat yang kami tahu mainkan)..

Tak sangka...setelah 13 tahun...kumpulan kecil yang diasaskan itu kini muncul di kaca tv ..kekal dengan nama yang kami fikirkan bersama dahulu! Walaupun adik-adik itu tidak lagi kenal siapa pengasasnya, kami tumpang gembira di atas kemajuan dan kejayaan mereka..

Best...best...

Saturday, July 05, 2008

GENERASI YANG TIDAK PEDULI...?


*Adakah kita sedang menyaksikan kemunculan satu generasi yang tidak kisah..halal atau haram..dosa atau pahala...TIDAK PEDULI SOAL AGAMA?

*Bagi yang pernah menemuinya, pasti mereka akan bersetuju wujudnya segolongan begini..

- Saya tidak mahu meletakkan manusia muslim/muslimah ke tahap malaikat...tapi adakah kita perlu jadi setahap syaitan?

- Saya tidak mahu menolak kemungkinan muslim/muslimah itu melakukan dosa...tapi adakah dengan langsung tidak terusik atau tersentuh di hatinya bahawa dia berdosa?

- Saya tidak mahu menafikan peluang 'taubat' yang dikurniakan Allah SWT untuk orang-orang yang pernah berdosa...tapi adakah dengan menjadikan taubat sekadar mainan?

Kita tahu bahawa setiap manusia melakukan kesilapan dan dosa...

Tapi pilihlah:

A - Manusia berdosa yang sedar dirinya berdosa dan ingin berubah...
B - Manusia berdosa yang langsung tak peduli dosa atau pahala...lantaklah?

Semoga saya, anda dan mereka membuat pilhan yang tepat...

Merasa bersalah dalam melakukan dosa adalah tanda anda beriman! Sebaliknya tidak merasa bersalah dalam melakukan dosa pula adalah tanda....?

Saturday, June 28, 2008

Kalau Tidak Tahu, Kenapa Perlu Malu?



* Sebahagian kita mempunyai pelbagai persoalan tentang Islam yang berkaitan dengan kehidupan seharian. Sememangnya tiada muslim atau muslimah yang tahu semua perkara tentang hukum agamanya (termasuk para ustaz dan ustazah). Oleh itu kita perlu bertanya...tapi...ramai juga yang malu.

* Kalau kita malu bertanya tentang urusan dunia, bukankah itu akan menyusahkan kita juga? Kalau kita malu bertanya tentang ubat-ubatan contohnya, bukankah itu akan melambatkan proses mengubati penyakit?

* Kita selalu melaungkan - Malu Bertanya..Sesat Jalan!

Bayangkan kalau orang yg sakit malu berjumpa/bertanya doktor...atau seorang pelajar malu berjumpa/bertanya guru...atau seorang 'beginner' dalam sesuatu bidang malu bertanya dengan mentornya yang berpengalaman?

Hasilnya: masalah tak akan selesai!

Begitu juga soal agama - yang lebih penting dan lebih besar!

* Buangkan sifat malu tidak bertempat itu...jadikan diri kita berani bertanya tentang soal agama kepada orang yang berilmu.
- Apatah lagi jika perkara yang kita ingin tahu itu akan menentukan baik buruknya tempat kita di akhirat nanti?
- Apatah lagi kalau perkara itu berlegar antara dosa dan pahala?

* dan saya akui di sini...walaupun saya sendiri seorang ustaz...saya tidak malu untuk mengakui bahawa BANYAK lagi perkara yang saya tidak tahu dan pasti saya perlu berhubung dan bertanya dengan kawan-kawan yang lebih tahu....

apa yang nak saya malukan?

Monday, June 23, 2008

SANGKAAN BAIK ORANG LAIN - Nikmat Yang Wajib Disyukuri



Pernahkah anda terfikir...

* betapa ramai manusia di sekeliling kita (kenalan atau keluarga) yang bersangka baik terhadap diri kita? Mereka selesa apabila bertemu dengan kita...mereka menyukai diri kita...sekurang-kurang mereka tidak membenci diri kita...

* bandingkan pula dengan orang-orang yang tidak begitu mesra atau tidak begitu bersangka baik dengan kita....atau mereka membenci kita malah tidak mahu menatap wajah kita?

* pasti yang menyukai dan bersangka baik adalah LEBIH RAMAI...tak percaya?
Cuba fikirkan sejenak....fikir betul-betul...

Harapnya anda seperti saya dan ramai lagi orang lain yang mempunyai lebih ramai manusia di sekelilingnya yang bersangka baik terhadapnya...

Ini adalah nikmat daripada Allah SWT...

- bukan senang nak jadikan orang menyukai kita tanpa apa-apa sebab..

- bukan mudah untuk mendapatkan 'sangkaan baik' daripada manusia lain..

- adakah kita benar-benar layak untuk diberikan 'sangkaan baik' yang begitu tinggi nilainya itu? Daripada ramai orang yang berada di sekeliling kita?

- orang bertemu dengan kita dan mempunyai pandangan +ve terhadap diri kita...ia bukan perkara kecil!

ia anugerah dari Allah..yang wajib kita syukuri...tapi bagaimana?

mungkin saya akan menjawabnya dalam tulisan akan datang...mungkin anda sendiri tahu jawapannya...

jom kita fikirkan sejenak....

Monday, June 16, 2008

Surat Untuk Anakku Ammar...Tahniah!



Ammar...(7 tahun)

Buat Ammar....

Tiada yang abi dan ummi harapkan dari Ammar melainkan yang terbaik...di dunia dan akhirat..

Tidak kami sangka Ammar mempunyai minat ke arah menghafaz kitab Allah,...Semuanya ini adalah nikmat daripada Allah SWT ke atas dirimu dan diri kita sekeluarga...

Tiada yang dapat menggambarkan betapa gembiranya hati kami apabila Ammar berjaya menghafaz keseluruhan juzuk 30 dalam masa 5 bulan - dan sekarang memulakan hafazan juzuk 29...

Teruskan langkahmu wahai anakku..memimpin adik-adikmu (Amir dan Ahla Adlina)

Semoga engkau menjadi insan yang soleh..dikurniakan istiqamah...diredhai Tuhanmu..

amin...

Abi dan Ummi

Monday, June 09, 2008

Tiada Teman Sehebat Buku


Kita boleh bertemu dengannya pada bila-bila waktu...

Kita boleh berada bersama dengannya di mana-mana sahaja...

Kita boleh menatapnya begitu lama tapi dia tidak jemu atau bosan...

Kita boleh membawanya bersama kita ke mana jua...

Dia tidak meminta apa-apa dari kita...

Kalau kita campakkan atau hentakkan pun dia tidak merungut..

Apabila kita jemu, kita abaikan saja...dia tidak bersedih...

Bila rindu, kita cari kembali dan membukanya untuk dibaca..dia tidak merajuk...

Diconteng, diwarna atau dilipat...sedikit pun dia tidak kisah...

DAN YANG PALING PENTING UNTUK KITA INGATI BERSAMA...

Dialah teman waktu sunyi...waktu kita dah tua nanti...dah tak ada orang nak berbual atau bergurau lagi...
dialah teman setia kita...tiada teman sehebat dia...

(Ditulis berdasarkan kata-kata nasihat salah seorang guruku, Syeikh Syuaib al-Arnaout - semoga Allah SWT memelihara beliau, melanjutkan umurnya dan memberkati hidupnya untuk manfaat seluruh umat....)

Thursday, June 05, 2008

TIADA SAHABAT YANG SEMPURNA...TERMASUKLAH ANDA!


...SETELAH 5 HARI TERPUTUS DARI INTERNET....

Baru-baru ini saya berbincang dalam telefon bersama salah seorang sahabat saya sejak sekolah menengah...berkenaan maksud 'sahabat' atau 'kawan'. Kami berbicara tentang pentingnya bersahabat dan menghargai persahabatan. Begitu juga kami berbual tentang beberapa masalah dalam berkawan.

Apabila mengenangkan perbualan kami tadi, saya merasakan perlunya kita saling nasihat-menasihati khusus tentang cara kita bersahabat atau berkawan.

Salah satu perkara yang dirasakan perlu kita akui bersama ialah...SAHABAT/KAWAN KITA TIDAK SEMPURNA..

ada yang tidak pandai menghargai diri kita..

ada yang berkawan hanya kerana kepentingan tertentu...

ada yang 'kenal' kita hanya ketika kita 'di atas'...

ada yang mengkhianati kita...ada yang menipu kita...

ada yang mengambil hak atau menzalimi dalam keadaan sedar atau tidak sedar...

ada yang sanggup memutuskan persahabatan hanya kerana perkara remeh...

ada pula yang bergurau ...tapi hanya dia seorang sahaja yang ketawa!

dan macam-macam lagi...

ingatlah...MANUSIA TIDAK ADA YANG SEMPURNA..akan ada kelemahannya ..suka atau tidak...

dalam masa yang sama, mungkin ada kawan/sahabat kita yang menganggap kita sedemikian rupa....

ini kerana...KITA JUGA TIDAK SEMPURNA...

oleh itu wahai sahabat, wahai kawan...jangan terlalu memperbesarkan kesilapan kawan/sahabat kita sedangkan kita juga melakukan perkara yang sama...

sama-samalah kita perbaiki, pelihara dan kekalkan persahabatan...

bersamalah kita perbaiki kekurangan diri...

hidupkan kembali ukhuwah kita...!

Friday, May 30, 2008

Dulu Kita....Kini Mereka....

Beberapa hari berhenti dari mencoret sesuatu dalam blog ini...

Alhamdulillah...bermulanya cuti sekolah, kami sekeluarga terus pulang ke kampung...cuti kali ni memang betul-betul nak bercuti...puas hati.

Bila melihat kegembiraan anak-anak...teringat satu masa dulu...bukan sekadar kita yang teringat, tapi ibu kita (nenek mereka) pun teringat sewaktu membawa kita bersiar-siar dan bermain di pantai ...

dulu kita...kini mereka pula...cepat sungguh masa berlalu..




Ammar, Amir dan Ahla Adlina di tepi pantai.




Ahla sedang memerhatikan keadaan sebelum 'menyerang' air laut

Thursday, May 22, 2008

BERHENTI SEJENAK...SIAPA ANDA SEBENARNYA?


Sebelum anda menjadi seorang yang hebat, dikenali, lengkap serba-serbi...

Sebelum anda menjadi seorang yang petah berbicara, memukau semua...

Sebelum anda berharta...mengumpul dan berbelanja semahunya...

Sebelum anda dewasa...berbicara isu semasa...memuja dan menghina...

Sebelum anda yakin...penuh semangat...tahu bertindak tanpa bantuan sesiapa...

Sebelum anda berilmu...berinformasi...tahu semua perkara yang orang tidak tahu...

Sebelum anda berkeluarga...beristeri...bersuami...beranak pinak dalam rumah besar...

Sebelum anda berijazah...berkelulusan...diiktiraf di mata manusia...

and the list goes on...

sebelum semua itu......anda tidak punya apa....


ITULAH ANDA SEBENARNYA.........!

- perbaikilah hubungan dengan YANG MEMILIKI SEGALANYA....

Tuesday, May 20, 2008

PENGAJARAN BERGUNA DARI FILEM 'AHMAD ALBAB'


Sambil-sambil menggunakan komputer, rupa-rupanya anak-anak saya tengah seronok tengok cerita Ahmad Albab. Bagi saya yang dah berkali-kali tengok, memang tak kisah sangat dapat tengok ke tidak. Anak bongsu saya - Ahla Adlina - nampak berminat betul...hehe..

Tapi sambil tengok tak tengok tu...tiba-tiba saya 'terperasan' satu dialog dalam filem tu...maksudnya lebih kurang ialah anak orang kaya al-buaya tu kata kepada bapaknya bahawa dia nak buktikan bahawa 'kebahagiaan itu ada pada Tuhan' bukan 'dari bapak'...begitulah kira2nya (sapa2 yang ingat tu minta betulkan).

Terfikir sejenak saya dibuatnya...dah lama dan berkali-kali tengok cerita ni tapi tak pulak sedar adanya skrip yang begitu 'islamik' ini. Memang cerita Allahyarham P. Ramlee banyak nilai-nilai moral, Islamik dan tak kurang juga Bahasa Arab...ada juga perkara yang orang kritik..tapi kita ambil yang jernih, buang yang keruh.

Bagi sebahagian orang, filem2 P. Ramlee jauh lebih baik daripada filem-filem zaman ini....

Apa kata anda?

Tuesday, May 13, 2008

SAKIT..HANYA AKU YANG MENGERTI

Sakit…hanya orang yang sakit tahu bagaimana rasanya sakit…

Walaupun sejuta orang memberikan simpati dan memberikan kata-kata manis, namun orang yang sakit jualah yang tahu bagaimana beratnya sakit itu...

Alhamdulillah, setelah beberapa hari ditimpa beberapa penyakit (walaupun kecil tapi cukup menyakitkan)....

Setelah beberapa malam merasai bagaimana peritnya tidur yang diganggu dengan sakit....

Setelah beberapa ketika menanggung sakit yang tidak boleh dikongsi walaupun dengan isteri yang disayangi...(semoga Allah SWT membalas jasanya yang bersabar dan menjaga suaminya ini. Ya Allah, anugerahkanlah dirinya kasihMU sebagaimana dia telah mengasihiku)...

Akhirnya....

Sakit itu pergi juga...ibarat tetamu yang tidak diundang, masuk menjengah ke dalam tubuh, singgah untuk menambahkan derita tuan rumah...akhirnya dia mengambil keputusan untuk pergi membawa diri....

Ya Allah...ku tahu sakit dan sihat, nikmat dan azab, suka dan duka..semuanya adalah ujian dariMU....aku bersyukur kerana masih berpeluang merasai sihat, nikmat dan suka...setelah diri ini diuji sakit, azab dan duka...

Ya Allah...syukur kepadaMU kerana memberikan diriku kesabaran dan kesembuhan...ketenangan dan kegembiraan....

Namun...sampai bilakah agaknya diri ini akan bertahan dalam mensyukuriMU biar senang atau susah?

HARI IBU - HARI MENGENANG KESILAPAN

Bagi saya...

Hari Ibu bukan untuk memberikan kata-kata manis, hadiah, 'surprise', kad-kad wangi atau sms yang anda hanya 'forward' dari sms kawan-kawan...dan lain-lain...

Bagi saya...

Hari Ibu adalah hari untuk meningkatkan kemesraan dan komitmen terhadap ibu...

Hari untuk menginsafi jasa mereka....tanpa perlu memberitahu mereka pun...

Tapi yang lebih penting bagi saya...

Hari Ibu adalah hari untuk mengenang kembali segala kesilapan kita yang membuatkan ibu kita sedih, tertekan, marah, kecil hati, rasa sunyi, rasa terasing, rasa dipinggirkan dan pelbagai lagi rasa negatif...hasil daripada kesalahan kita...kita anak-anaknya..

Itu adalah makna Hari Ibu kepada saya...

anda bagaimana?

Thursday, May 08, 2008

AJAK ANAK SOLAT...


Tulisan kali ni khusus untuk ibu bapa yang mempunyai anak-anak....

Anak sulung saya (Ammar) - ya Allah, peliharalah dirinya dan muliakanlah akhlaknya - dah masuk 7 tahun. Bila 7 tahun, kita digalakkan menyuruh anak-anak kita solat.

Memang bagus kalau kita suruh...tapi lagi bagus kalau kita ajak dia solat sama-sama. Berjemaah. Tapi first time pegi solat Jumaat dengan anak saya, resah juga dia. Mungkin elok mulakan dengan solat biasa kat rumah dulu. Terpulang kepada keadaan.

Lain rasanya bila kita ajak anak solat bersama...dan anak kita pun ada perasaan 'kebersamaan' menunaikan solat. Memang best. Hanya mereka yang tahu saja akan rasa best.

Apa kata kita cuba pada anak-anak kita?

Kalau kita boleh menonton tv bersama, bersukan bersama, membeli belah bersama, melancong bersama...kita pasti boleh SOLAT BERSAMA....

utamakan keluarga...masyarakat bahagia...!

Sunday, May 04, 2008

'Kebiasaan' Menghalang Perubahan


Kita amat mengenali diri kita...

Kita tahu bahawa dalam diri kita ada macam-macam perkara yang perlukan perubahan. Ramai dalam kalangan masyarakat kita yang tahu perkara ini. Mereka nak sangat berubah daripada yang buruk kepada yang baik, daripada yang baik kepada yang lebih baik.

Setiap tahun, setiap kali sambutan ulang tahun, setiap kali ada sesuatu tarikh penting atau setiap kali beli diari baru...ramai berazam untuk membuat perubahan...

Tapi masih tak jadi..atau ada yang jadi tetapi banyak yang tak jadi..hangat-hangat tahi ayam menurut pepatah lama..

Antara sebabnya (pada hemat saya) adalah kebiasaan...rutin harian...kelaziman kita menjalani jadual hidup seharian menyebabkan kita sukar untuk mengubahnya dan mengubah yang lain.

Memecahkan kebiasaan dan kelaziman itulah perkara pertama dalam melakukan perubahan.

Berdoalah..dan berusahalah...bertanyalah kepada yang telah berjaya...

insya Allah, saya dan anda pasti dapat mengubah sesuatu...

tapi jangan gopoh..kejayaan tidak datang dalam sekelip mata.

jangan pula putus asa...setiap perkara bermula dengan langkah pertama...

Tuesday, April 29, 2008

Ahla Adlina dah 2 tahun..!



agaknya Ahla terfikir...'kenapa agaknya abi beli kek malam ni?'



Ammar dan Amir apa lagi...join sekali la!

Dakwah Bukan Paksaan, Bukan Juga Hukuman


#Kita akui bahawa dalam masyarakat kita adanya sebahagian yang memahami Islam, mengamalkannya sedaya mampu dan kita bersyukur bahawa kita melihat semakin ramai golongan sebegini.

#Namun hati kecil kita juga akan mengakui bahawa ada sebahagian lain yang masih belum memahami Islam (100%) dan masih lagi bertangguh dalam mengamalkan perintah agama. Kepada mereka kita tujukan dakwah ...dakwah yang penuh dengan ilmu dan perasaan.

#Ilmu yang jelas..yang memungkin mereka untuk mendapat fakta sebenar. Agar satu masa nanti mereka akan tahu untuk beramal.

#Perasaan...maksudnya dengan penuh harapan, kewarasan, kesederhanaan..dan kesabaran.

Dakwah bukan paksaan...

Hari ini aku dakwah, hari ni juga orang mesti ikut. Hari ini engkau faham, hari ni juga engkau kena ubah hidup engkau 360 darjah. Aku nak sekarang juga engkau pergi beli buku itu dan buku ini...aku nak 'sebelum subuh' engkau ubah manhaj engkau kepad manhaj aku.

Dakwah bukan juga hukuman...

Kalau engkau tak ikut dakwah ni, habih la. Engkau dah menyalahi sunnah. Engkau dah menyalahi perintah Islam. Engkau sesat. Bla..bla...

Berilah peluang untuk dakwah itu membuat 'kerjanya'...ibarat ubat yang ditelan pesakit, mungkin mengambil masa untuk memberi kesan.

*dan....untuk orang yang sampai padanya dakwah...berilah peluang untuk minda anda menerima ilmu dalam dakwah, dan berilah peluang kepada hati anda untuk berinteraksi dengan perasaan pendakwah...

Insya Allah...mengubah sedikit demi sedikit adalah lebih baik daripada tiada....

Friday, April 25, 2008

SAYANG AL-QURAN BUKAN SEKADAR CIUM


Kita diajar sejak kecil lagi agar mencium dan menjunjung Al-Quran setiap kali selesai membacanya. Ada yang junjung tiga kali dan ada yang sekali. Saya pun tak ingat semasa membacanya dengan arwah nenek (semoga Allah SWT merahmatinya) semasa kecil, berapa kali agaknya saya junjung dan cium Al-Quran. (nak kena sms 'my brother' dulu).

Boleh ke junjung dan cium ni? Mungkin ada sesetengah ustaz yang keras, mengatakan tak boleh. Mungkin juga ada yang kata 'mesti cium dan mesti junjung'.

Saya tak kisah sangat. Dari segi fakta, memang tak ada ayat Al-Quran atau hadith sahih yang menyuruh agar kita buat macam tu lepas baca Al-Quran. Itu sekadar pencarian saya. Wallahu a'lam.

Tapi tak apalah kalau nak cium dan junjung sekadar nak merasai 'sayang' terhadap Al-Quran. Tapi...

Janganlah sekadar cium..tapi tak berusaha untuk faham maksud ayat-ayatnya..

Janganlah sekadar cium..tapi tak berusaha untuk mempelajari tafsirannya...

Janganlah sekadar cium..tapi jarang sangat membuka helaian tafsir atau helaian Al-Quran...

Janganlah sekadar cium..tapi sikap dan tingkah laku kita tidak selaras pula dengan ajaran Al-Quran..

Saya menasihati diri saya dan anda yang membaca...

Sayangilah Al-Quran sepenuhnya dari segenap sudut...bukan sekadar mencium atau menjunjungnya semata.

Tuesday, April 22, 2008

Penyejuk Hati Untuk Pendakwah....


Jika anda seorang pendakwah...(tak kira rasmi atau tidak, ustaz atau tidak, berdakwah sepenuh masa atau kadang-kadang...)

Ingatlah...

Jika anda merasakan andalah yang MEMULAKAN DAKWAH...MENERUSKANNYA...dan MENYELESAIKANNYA/MENUAI HASILNYA...anda pasti tidak akan tenang...

Namun jika anda merasakan bahawa ADA ORANG YANG TELAH MEMULAKANNYA...anda SEDANG MENERUSKANNYA...dan AKAN ADA YANG MENYAMBUNG PERJUANGAN INI...insya Allah...walau anda kecewa dan sedih, anda tetap tenang dan yakin...

Walaupun anda tidak dapat melihat hasilnya..anda tetap berpuas hati bahawa anda telah melakukan sesuatu...walau sekecil mana pun...ia tetap bermakna untuk dakwah...

* Jangan sesekali pendakwah ingin melakukan 'one man show'....seolah-olah dialah yang bertanggungjawab SEPENUHNYA...dengan segala STRATEGINYA...dengan segala PEKERJA-PEKERJANYA..atau JAWATANNYA..jangan sesekali begitu..

dakwah ini milik ummah...bekerjalah untuk ummah...ibarat sebutir bata..tetap membantu walau kecil pada pandangan mata..

Saturday, April 19, 2008

'Geng Sunnah' Yang Asyik Melabel Orang Lain..?


Apa yang nak diulas mungkin kurang difahami oleh sebahagian pembaca. Namun sebahagian lain memang amat faham situasi ini.

Terdapat segolongan masyarakat (ada yang ustaz,ada yang bukan ustaz, ada juga masih bergelar penuntut) yang mendakwa diri mereka 'geng Sunnah' dengan maksud mereka adalah orang yang mengikut Sunnah Rasulullah SAW 'melebihi' daripada orang lain. Juga mereka menyangka mereka lebih dekat dengan sunnah daripada orang lain. Bahkan mereka juga ada yang merasakan bahawa mereka lebih faham sunnah daripada orang lain.

Itu mungkin tidak mengapa. Maksud saya, kalau setakat menyangka diri mereka 'geng Sunnah' dengan maksud yang sebegitu...mungkin tidak mengapa. Itu pandangan dan keyakinan masing-masing dan mereka berhak untuk beranggapan sedemikian.

Namun apa yang tidak boleh diterima (saya tak boleh terima) ialah 'sebahagian' daripada 'geng Sunnah' ini suka sangat melabel orang lain dengan pelbagai gelaran yang menjurus kepada satu perkara iaitu : 'mereka bukan geng Sunnah' atau 'mereka bukan orang Sunnah' atau 'mereka bukan orang kita'.

Hasilnya, mereka memandang rendah, memperlekehkan, mengabaikan atau menentang orang-orang yang bukan 'geng Sunnah'. Macamlah diri itu hebat sangat?

Saya sendiri, pernah digelar sebahagian orang sebagai salah seorang 'ustaz Sunnah' dan pernah digelar pula oleh sebahagian yang lain sebagai 'bukan ustaz Sunnah'...

Saya tak kisah. Apa yang penting, saya menasihatkan mereka ini agar belajar menghargai jasa orang lain, belajar untuk merendah diri, dan belajar untuk menghormati orang lain. APa yang lebih penting, kalau anda merasakan anda adalah sebahagian daripada 'geng Sunnah', pelajarilah sunnah itu dengan konsisten...

Bukan semangat je lebih!

atau 'geng sunnah' hanyalah kelab khas untuk orang-orang elit?

Thursday, April 17, 2008

KEMBALI MENATAP BLOG DAN WEB...TAPI...

Beberapa hari terasing daripada internet mungkin tidak ada apa-apa kesan pada orang lain. Tetapi bagi diri saya,ia sedikit sebanyak memberikan kesan. Contohnya...

Saya termenung di depan komputer beberapa ketika...tidak tahu apa yang hendak ditulis. Tidak tahu apa yang sepatutnya saya tulis. Sedangkan idea itu datang mencurah-curah semasa saya bermusafir dan berada jauh dari rumah dan juga dari internet. Idea juga timbul ketika berbincang dengan rakan-rakan semasa di sana dan juga semasa memandu untuk pulang ke rumah.

Tetapi saya tidak ada idea untuk ditulis ketika saya membuka komputer untuk menatap kembali blog ini. Inilah yang saya mampu tulis untuk dikongsi bersama. Mungkin ia ibarat seorang pemain ping pong yang telah lama tidak memegang 'bat' ping pong. Rasa kekok..pukulan tidak mengena...namun setelah berkali-kali berlatih...'skill' tu telah mula menampakkan dirinya.

Saya berharap pembaca blog ini akan terus mengikuti coretan hati saya di dalam ruang kecil ini untuk manfaat dan kebaikan bersama.

Terima kasih kerana melayari blog ini!

Wednesday, April 09, 2008

KITA PERLUKAN RAMAI PEMUZIK YANG BERDAKWAH



Jangan salah faham...bukan maksudnya seorang pemuzik atau artis itu perlu mengubah bentuk pakaiannya kepada memakai jubah atau songkok, menyanyikan lagu-lagu nasyid....bukan itu maksudnya. Bukan sesempit itu.

Maksud saya ialah golongan artis yang
-kemas,
-berkemahiran dalam muzik,
-lengkap asas agamanya (menutup aurat, solat dll),
-menyanyikan lagu-lagu bermesej baik (tanpa mengira irama rock, r&b, rap dll),
-lagu-lagu yang berkualiti,
-rakaman yang mempunyai standard antarabangsa,
-menyanyi dalam keadaan sopan,
-menjadi contoh ikutan kepada masyarakat dalam segenap segi.

Jangan kita sempitkan dakwah hanya kepada artis-artis nasyid. Kadangkala lagu-lagu nasyid sendiri tidak membawa satu maklumat yang benar-benar bermanfaat. kadangkala penasyid atau bekas penasyid sendiri tidak boleh dijadikan contoh ikutan pada akhlaknya.

Artis yang bukan penasyid juga mesti berfikir....
adakah dengan kemahiran yang aku miliki, aku tidak boleh berdakwah?

Sampai bila aku ingin melagukan lagu tanpa tujuan dan tanpa mesej?

Adakah aku akan menyesal menjadi artis di akhirat nanti?

Atau adakah bidang nyanyian ini mampu aku jadikan bekalan di akhirat?

Saturday, April 05, 2008

Jom Download mp3 Al-Quran!

Mari kita penuhkan komputer kita atau pda...dengan surah-surah al-Quran dalam bentuk mp3...

Boleh juga didengari dalam kereta ketika jalan sesak...mungkin dengan menggunakan fm modulator...memang bagus...tak la tension sangat kot ketika memandu..

download kat bawah ni:

www.mp3quran.net

Wednesday, April 02, 2008

SIAPA KATA USTAZ TAK BOLEH 'BOWLING' ?


Setelah sekian lama, akhirnya dapat juga berkumpul bersama sebahagian rakan-rakan seperjuangan di Jordan dahulu. Kini semuanya sudah berubah. Sudah berumahtangga, mempunyai anak-anak, kehidupan yang baru...wajah juga baru.

Apa yang menarik, kami memilih untuk meraikannya bersama...dengan bermain bowling.

Sememangnya saya tidak pandai dalam sukan ini. Malah malam tadi adalah kali pertama saya menyentuh bola bowling. Tapi kawan-kawan yang lain...yang dikenali dalam masyarakat sebagai 'ustaz'...memang hebat!

Sukan yang sebegini termasuk sukan-sukan yang lain sepatutnya diceburi untuk sama-sama menghabiskan masa dengan perkara yang berfaedah, sekurang-kurangnya untuk mengelakkan diri daripada berada di tempat-tempat yang tidak baik. Malah sukan juga sudah pasti menyihatkan badan....

Siapa kata ustaz tak boleh 'bowling'?

Tuesday, April 01, 2008

BERBUAL MENAMBAH IMAN?

Berbual selalunya membawa kepada perkara-perkara yang 'kosong' atau 'dosa'.

Oleh itu ada dalam kalangan ulama yang mengurangkan perbualan kecuali jika ia benar-benar diperlukan.

Namun kalau perbualan itu tidak kita 'kosong'kan, malah kita 'penuh'kan dengan kata-kata berfaedah sama ada faedah duniawi atau akhirat, tidakkah ia akan menjadi satu bekalan untuk kita di sana?

Para sahabat dan tabiin serta ulama zaman berzaman sentiasa melakukan perbualan yang kita istilahkan sebagai berbincang atau musyawarah...sehinggakan begitu popular kata-kata salah seorang daripada mereka:

"Duduklah bersamaku, kita 'beriman' untuk seketika'...

Kalau betul dengan perbincangan, sememangnya iman akan bertambah..

Kalau salah perbincangan, sememangnya sebaliknya akan berlaku...

JOM KITA BERBUAL UNTUK MENAMBAHKAN IMAN....

Thursday, March 27, 2008

BERSABARLAH ...

...nasihat Luqman kepada anak kesayangannya seperti yang direkodkan di dalam Al-Quran, Surah Luqman, ayat ke 17...

"Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya".

Saturday, March 22, 2008

SEMPENA MAULIDURRASUL, FIKIRKANLAH...



1- Sejauh mana maklumat kita tentang diri Rasulullah SAW, kehidupannya, perjuangannya, kejayaannya, kehebatannya...telah kita 'update' atau kemas kini? Adakah kita masih di tahap lama?

2- Berapa kalikah mata kita menatap nama Muhammad atau Rasulullah SAW dalam sehari atau seminggu?

3- Selain berselawat di dalam tasyahud (solat), adakah kita memperbanyakkan selawat pada tempat dan keadaan lain? Atau adakah kita berselawat sekiranya kita mendengar orang lain berselawat atau menyebut nama Baginda?

4- Adakah perasaan kita tersentuh atau memberi tindak balas ketika kita mengetahui bahawa terdapat beberapa akhbar Eropah yang menghina Rasulullah SAW?

5- Adakah kita dekat dengan hadith-hadith Rasulullah SAW? Atau adakah kita memperuntukkan masa tertentu dalam seminggu atau sebulan untuk mempelajari hadith Baginda?

6- Sejauh mana anak-anak kita atau keluarga kita yang mengenali Rasulullah SAW? Apa agaknya yang kita lakukan untuk memperkenalkan Baginda kepada mereka?

7- Akhirnya...(untuk kali ini)..adakah kita merasa terhutang budi di atas segala jasa dan pengorbanan Baginda SAW sehinggakan Islam tersebar dan kita adalah salah seorang yang menerima petunjuk?

Mari kita fikirkan...jangan terlalu asyik menyambut Maulidurrasul dengan persembahan fizikal..tapi jiwa kita tidak 'rapat' dengan Rasulullah SAW...

Peringatan utk diriku dan dirimu...

Monday, March 17, 2008

KITA SERING MEMINTA ....

Kita sering meminta...mengharap dan mengimpikan sesuatu di dunia ini.

Tidak salah meminta atau mengharap. Apatah lagi kalau kita meminta dan mengharap daripada pemilik seluruh alam, Allah SWT.

Namun kehidupan dunia ini tidak akan seimbang kalau sekiranya manusia hanya tahu meminta dan mengharap tanpa melakukan sesuatu.

Berpeluk tubuh sambil meminta dan mengharap adalah satu sikap yang melanggar hukum dan ketentuan alam yang ditetapkan oleh Allah SWT.

Kehidupan Rasulullah SAW telah membuktikan kepada dunia bahawa Islam ditegakkan dengan mengubah sikap dan berusaha. Islam tertegak dengan curahan tenaga, keringat, malah darah dan jiwa...beriringan dengan doa, harapan, permintaan dan pergantungan sepenuhnya kepada Allah SWT.

Tawakkal adalah kerja hati. Usaha pula adalah kerja jasmani. Gabungan keduanya itulah yang menjadikan dunia ini harmoni...

Ramai yang tahu meminta, tapi tak tahu untuk membantu....

Mari kita berubah bersama....!

Wednesday, March 12, 2008

BERIKAN CAHAYA UNTUK HIDUP ANDA


Semasa membelek buku al-Wafi (Himpunan hadith-hadith Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim) yang disusun oleh seorang alim masa kini iaitu Salih al-Syami...saya terpandang sebuah hadith...

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: '...dan solat itu adalah CAHAYA..'. (Riwayat Muslim)

Hadith yang saya baca itu lebih panjang, namun potongan di atas cukup membuatkan saya berfikir panjang.

Mungkin hadith ini pernah dilihat selalu oleh anda terutama mereka yang sering membaca dan menghafal hadith, namun maksudnya yang mendalam kadangkala tidak diberikan penekanan yang sepatutnya.

CAHAYA...Rasululullah SAW membuat satu perbandingan yang amat mudah dan jelas...solat itu umpama CAHAYA. Malah ia sememangnya CAHAYA bagi kehidupan. Apalah erti kehidupan tanpa CAHAYA?

CAHAYA yang memberikan hidup ini makna sebenar

CAHAYA yang menjadi panduan agar tidak tersesat jalan

CAHAYA yang membezakan antara mukmin, muslim dan selain mereka

CAHAYA yang menghubungkan kita dengan Pencipta seluruh alam

CAHAYA yang membawa kepada CAHAYA di akhirat....

* Mari kita pastikan diri kita dan keluarga mendapat CAHAYA ini...jangan biarkan diri kita dalam kegelapan...kelak kegelapan dunia ini akan menemukan kita dengan kegelapan di akhirat...

Thursday, March 06, 2008

Di Mana Letaknya Orang SS Dalam Diriku?



Masih lagi tentang sifat Syok Sendiri...

Mungkin sesekali kita perlu mengakui bahawa ada orang yang kita tak dapat nak mengubahnya. Mungkin orang lain yang dapat mengubahnya atau dirinya sendiri perlu berubah...

Pada mulanya, saya merasakan orang yang Syok Sendiri ni merupakan satu permasalahan yang perlu difikirkan selalu...maka saya masukkan dia ke dalam gambarajah di atas :


Tapi..terfikir juga saya, adakah orang yang Syok Sendiri ni pedulikan usaha kita yang berfikir tentang dirinya...cuba untuk menasihatkannya atau mengubahnya? Mungkin sebenarnya orang yang Syok Sendiri ni hanya ada dalam ruang CONCERN tapi tak wujud dalam ruang INFLUENCE...? :


SAYA SEMAKIN PASTI...

Wednesday, March 05, 2008

Faktor Wujudnya SS...Kawan-Kawannya


Kawan-kawan dan rakan-rakan memang unsur penting dalam hidup...Kerana pandai memilih kawan, kita akan beruntung dan disebabkan salah memilih kawan, kita jugalah yang akan merana..seperti orang yang SYok Sendiri...

Orang Syok Sendiri memang ramai kawan. Tapi tanpa disedari olehnya, kawan-kawannya telah membantu menyuburkan sifat Syok Sendiri dalam dirinya. Bagaimana? Dengan pujian, sanjungan, sokongan, hasutan, kata-kata manis....menggambarkan bahawa dirinya memang betul 100% dalam tindakan dan percakapan. Dialah 'hero' di mata kawan-kawannya. Dialah 'penyelamat' di mata kawan-kawannya. Kawan-kawannya terus menjadi mata dan telinga bagi dirinya...memberikan maklumat yang pelbagai...semata-mata utk membuktikan bahawa dirinya insan terpilih..insan hebat.

Kawan-kawan sebegitu kebiasaannya akan menghalang sebarang nasihat positif utk dirinya berubah. 'Ah..orang tu dengki dengan anda'...'orang tu tak faham perjuangan anda'...'teruskan perjuangan, kami di belakang anda'....'anda hebat, anda bijak'.....

Kalau dia melakukan kesilapan, kawan-kawannya akan menutupnya, mentafsirkan semula, memberikan semangat utknya....kalau dia silap, bukan bermakna dia silap, tapi orang yang silap faham strateginya...waduh waduh...

akhirnya orang yang SYok Sendiri ni semakin yakin bahawa dia memang hebat, memang bijak, memang faham...orang lain yang tak faham...orang lain tak bijak...orang lain tak sama pemikiran..tak sama manhaj....


Makin Syoklah orang yang Syok Sendiri...kerana kawan-kawannya yang disangka madu rupanya racun.

Cara mengatasinya? Carilah madu dan tinggalkanlah racun...selamat insya Allah.

Monday, March 03, 2008

Berhati-hati dengan perangai SS


*Sepanjang hidup kita, kadang-kadang kita bertemu dengan orang yang berpenyakit SS = Syok Sendiri. Saya ada huraian tersendiri tentang maksud dan ciri-ciri orang SS. Mungkin berlainan dan mungkin sama dengan apa yang anda fikirkan. Sama-samalah kita renungkan SS versi saya agar kita sama-sama dapat menjauhkan diri dari perangai yang merugikan ini....teruskan membaca!

SS..Ada orang yang terkena penyakit SS = Syok Sendiri. Apa yang dia buat...semuanya betul. Apa yang orang lain buat..ada betul ada salah, malah kadang-kadang apa yang orang lain buat ada saja salahnya. Tapi dia tetap betul.

Apa yang dia buat, kalau ada orang tegur, maka orang tu yang tak faham sebenarnya. "aku tau apa aku buat"..."aku ada cara aku sendiri". Tak kisahlah orang yang menegur tu kawan ke lawan ke...muda ke tua ke...berilmu ke tak ke...dia tak peduli.

Cadangan atau buah fikiran orang lain mesti selari dengan apa yang dia fikirkan. Kalau tak selari, maka cadangan itu dianggap tak sesuai. Akhirnya, semua cadangan dan buah fikiran yang sesuai hanyalah buah fikirannya sahaja.

Perangai Syok Sendiri ni memang tak nampak pada perkataan. Tapi ia jelas kelihatan pada perangai dan perbuatan serta sikap. Kadang-kadang ada orang yang pada mudanya dia Syok Sendiri..bila dah tua dia berubah. Ada yang sebaliknya. Ada orang yang memang dari muda sampai tua. Ada pula yang bila ada jawatan tinggi, barulah penyakit ini datang.

...bersambung pada masa akan datang. Sama-samalah kita check diri kita yang sedang membaca (termasuk yang sedang menulis tulisan ni)..adakah kita ada ciri awal SS? Kalau ada...kena buat sesuatu...jangan Syok Sendiri!

Tuesday, February 26, 2008

Berhati-hati Sebelum Berbicara

Kita dah lama tahu....

kerana mulut badan binasa..

cakap siang pandang-pandang...

terlajak kata buruk padahnya...dan lain-lain lagi yang sewaktu dengannya.

Agama pun dah beritahu....lihat surah Qaf ayat 18 bermaksud:

"Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya)".

Tapi kita masih tidak memelihara mulut dari menuturkan sesuatu...mengutuk orang itu dan ini sesuka hati, memuji orang itu dan ini berlebihan dari realiti, menipu orang itu dan ini, menyebarkan fitnah kepada pihak itu dan ini, menjadi talam dua muka dan sebagainya....

Bila agaknya kita akan berjaya 'mengawal' mulut ini? Bila agaknya saya dan anda dapat menjaga diri agar berfikir sebelum berkata...sebagaimana kita berfikir sebelum buang?

Thursday, February 21, 2008

BIJAK HANYA PADA URUSAN DUNIA?


Ramai orang yang menyuruh kita agar menjadi orang yang bijak...

Rupa-rupanya yang dimaksudkan hanyalah bijak dalam urusan duniawi. Ok..saya setuju. Anda pun pasti setuju bahawa untuk hidup, kita perlu bijak. Tidak syak lagi.

Tapi...bagaimana pula dengan urusan selepas dunia ini nanti? Tidakkah kita juga perlu bijak untuk berjaya di akhirat nanti? Saya harap anda setuju...sebagaimana saya setuju dengan kata-kata anda 'kita perlu bijak di dunia'.

Atau...kita hendak melahirkan umat yang hanya bijak di dunia? Atau..hanya bijak dan berjaya di akhirat? Pasti saya dan anda akan terfikir hanya satu penyelesaian...

Bijak di dunia ...Bijak di akhirat...betul tak?

Tapi...apa maksud 'bijak' dalam urusan akhirat?

Mari kita fikirkan dulu...bijak...bijak!

Sunday, February 17, 2008

Berehat sejenak bersama Yusuf Islam (Cat Stevens)



Pasti ramai yang mengenali Yusuf Islam @ Cat Stevens yang telah memeluk Islam dan berdakwah mengembangkan Islam sejak tahun 1977. Itulah waktu kegemilangan beliau dalam dunia hiburan antarabangsa. Setelah memeluk Islam, beliau tidak meninggalkan terus bidang nyanyian malah menggunakannya sebagai satu cara beliau untuk menyampaikan mesej ke seluruh dunia.

pada tahun lepas (2007) beliau telah menerbitkan satu lagi album baru mengandungi lagu2 bermesej Islam dengan jodol An Other Cup. Mungkin ia tidak begitu popular di Malaysia. Di dalamnya ada lagu-lagu yang membawa makna amat mendalam dan memang memberi kesan jika dihayati...

Apa kata kita lihat bersama lirik salah satu lagunya seperti di bawah. Ia bertajuk 'In The End'. Untuk melihat lagu ini dipersembahkan secara 'live' di England, bolehlah copy n paste link di bawah:

http://www.youtube.com/watch?v=Fy_mytEQB-Q

In The End - Yusuf Islam

You can't bargain with the truth
'Cause whether you're right or you're wrong
We're gonna know what you've done
We're going to see where you belong - in the end

You can't bargain with the truth
Whether you are black or you're white
We're going to know who's right
We're going to see you in the light - in the end

O and every little thing you do
You'd better know it's coming back to you

You can't bargain with the truth
'Cause one day you're gonna die
And good's going high,
And evil's going down - in the end

You can't bargain with the truth
Whether you're old or young
We're going to see what you've done
There'll be nowhere else to run - in the end

You can't bargain with the truth
'Cause whether you're rich or you're poor
You're going to meet at the same door;
You're going to know the real score - in the end

And if you want to help your fellow man
You better start with what is in your hand

You can't bargain with the truth
'Cause whether you're right or you're wrong
We're going to know what you've done
We're going to see where you belong - in the end

You can't bargain with the truth;
'Cause if the world you chose
No further than your nose
Will be where the doors will close- in the end
You can't bargain with the truth
'Cause for those who were deceived
There'll be no reprieve
There'll be no time to believe - in the end

O and every little thing you do
You better know it's coming back to you

You can't bargain with the truth
'Cause one day you're gonna die
And good's going high,
And evil's going down - in the end

* liriknya cukup indah. Mendengar ia dilagukan lebih memberi penghayatan.

selamat mendengar...

Wednesday, February 13, 2008

Anak Yang Baik atau Anak Yang Soleh?

Maksud anak yang soleh atau solehah (perempuan) perlu dikemas kini kembali seiring dengan kelam kabut dan huru hara dunia masa kini.

Anak yang soleh adalah anak yang baik menurut neraca Islam.
Meninggalkan yang dilarang oleh Islam dan melakukan apa yang diwajibkan oleh Islam.

Menjaga hubungan dengan manusia apatah lagi hubungan dirinya dengan Tuhan.

Bermanfaat untuk ibu dan ayah di dunia dan juga setelah ibu bapa meninggal dunia..

TETAPI...
Jangan maksud ini hendak disalurkan kepada anak-anak yang mentaati ibu bapa tapi melanggar perintah Allah...

atau menjaga hubungan dengan manusia tapi lupa pada Tuhan yang menciptanya...

atau membantu ibu dan ayah di dunia tapi tidak mampu membantu mereka di akhirat...

berdisiplin dalam urusan dunia tapi tiada disiplin dalam menunaikan solat (contohnya)...

bersungguh-sungguh bersukan dan berakademik tapi buta Al-Quran dan syariat...

ikhlas dalam menghulur bantuan kepada yang memerlukan tapi diri sendiri tidak dibantu...

hebat keazaman dan tinggi cita-cita dunia, tapi lemah iman dan tiada perancangan untuk akhirat...

*semakin lama, semakin serabut memikirkannya. Marilah kita perbetulkan diri kita, saya, anda dan keluarga kita..jom !

Saturday, February 09, 2008

Sakit Sebagai Penghapus Dosa


Sakit yang pelbagai sering mengundang persoalan dalam hati seorang muslim atau muslimah..

Adakah sakit ini petanda Allah SWT bencikan kita? Adakah sakit ini sesuatu yang positif untuk diri pesakit?

Sememangnya kita insan lemah..sering berdosa sama ada kecil atau besar. Jangan sesekali diri kita merasai bahawa kita telah mengatasi segala dosa dan berada pada kedudukan yang tinggi...

Maka sakit itu datang dan pergi untuk kebaikan kita juga. Oleh itu Rasulullah SAW pernah mengingatkan kita bahawa segala sakit, kepayahan, kesulitan, malah sehinggakan terkena duri sekali pun..ia sebenarnya positif...ia menghapuskan dosa dan menaikkan kedudukan kita di dunia dan di akhirat nanti...

Walaupun kita tidak boleh meminta sakit, walaupun setelah sakit, Islam menyuruh kita berubat...

namun sakit itu sebenarnya sesuatu yang menguntungkan kita pada jangka masa yang panjang.

Sayangnya kita (umat akhir zaman) sering berfikir jangka pendek...sering menuntut sesuatu dengan gopoh..kurang memikirkan akibat jangka panjang..kurang memikirkan masa depan...

Semoga Allah SWT memberikan lebih hidayah kepada kita semua..

Monday, February 04, 2008

TILAWAH TANPA TILAWAH


Sedarkah kita perkataan Tilawah dalam Bahasa Arab membawa sekurang-kurangnya dua maksud utama?

Pertama, membawa maksud bacaan. Maka Tilawah Al-Quran maksudnya ialah bacaan Al-Quran.

Kedua, membawa maksud mengikuti. Maka Tilawah Al-Quran juga membawa maksud mengikuti ajaran Al-Quran.

Mungkinkah kita boleh katakan bahawa ramai orang (mungkin juga anda dan saya) selalu melakukan Tilawah (membaca) Al-Quran tetapi kurang pula Tilawah (mengikut ajaran) Al-Quran? Semoga Allah SWT mengampunkan saya, anda dan umat Islam yang seringkali Tilawah tetapi tidak Tilawah!

Mari kita bertilawah dengan sebenar-benar maksud TILAWAH.

Saturday, February 02, 2008

Kalau Tak Sempat Baca, Dengarlah Bacaan Orang Lain

Masih lagi menyentuh isu sibuk...

Kesibukan sebahagian masyarakat kadangkala menjadikan mereka tidak sempat membaca..bukannya tak sempat membaca suratkhabar atau novel malah artikel dalam laman web, tetapi tak sempat membaca AL-QURAN.

Alasan demi alasan yang diberikan mungkin benar mungkin tidak. Namun begitu, saya ingin mencadangkan kepada mereka yang sibuk itu agar janganlah tinggalkan terus hubungan anda dengan AL-QURAN.

Allah SWT telah memberitahu kita di dalam ayat-ayat awal surah al-Anfal bahawa antara sifat seorang mukmin ialah bagaimana dirinya akan memberi tindak balas apabila mendengar bacaan AL-QURAN.

Firman Allah SWT di dalam ayat no.2 surah al-Anfal yang bermaksud:

Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.

Maka pastikanlah dalam kereta atau di dalam pc atau laptop, anda menyimpan cd atau mp3 bacaan ayat-ayat suci AL-QURAN agar dapat anda dengar sesekali atau beberapa kali dalam sehari. Sekadar ingin memberikan tenaga kepada iman anda.

Sekali lagi saya ingatkan, kalau tak sempat baca, dengarlah bacaan AL-QURAN dari orang lain. Sekurang-kurangnya kita tidak terlalu JAUH dari AL-QURAN.