Wednesday, September 30, 2009

TUNTUTLAH ILMU DARI BUAIAN....- ADAKAH IA HADITH?

"TUNTUTLAH ILMU DARI BUAIAN HINGGA KE LIANG LAHAD"

Telah beberapa kali saya disoal tentang hadith yang disebutkan di atas, yang terbaru adalah selepas kuliah hadith Jami' al-Tirmidzi pada Isnin lepas...

Mungkin patut saya menulis sedikit tentang perkara ini?

DUA PERKARA PENTING
Sebelum menjawab soalan ini, terdapat dua perkara penting yang perlu diketahui dan diyakini bersama:

1-Galakan menuntut ilmu sememangnya terdapat di dalam banyak ayat Al-Quran dan hadith-hadith Rasulullah S.A.W. Tiada siapa dapat menafikan bahawa Islam menyuruh dan menggalakkan kita menuntut ilmu.

2-Menyatakan sesuatu sebagai 'hadith' atau 'bukan hadith' adalah perkara rumit yang membawa banyak implikasi terhadap diri dan masyarakat. Oleh itu ilmuan Islam zaman berzaman telah menekankan kepentingan 'penyelidikan' dalam memastikan adakah sesuatu 'madah' atau 'nasihat' atau 'kata-kata hikmah' itu adalah 'hadith' atau 'bukan hadith'. Pelbagai kaedah telah dinyatakan sejak zaman awal Islam hingga hari ini untuk membuat penapisan dan kajian. Pendek kata, kita perlu berhati-hati sebelum melabelkan sesuatu kata-kata itu sebagai 'hadith' dan begitu juga sebaliknya.

BAGI YANG SUDAH TAHU...BAGI YANG BELUM TAHU...

Maka kita pergi kepada jawapan terhadap soalan di atas. Bagi mereka yang belum tahu, ini merupakan satu ilmu baru pada anda dan diharapkan anda akan menerimanya dengan positif. Sekiranya saya tersalah, dialu-alukan untuk menegur dengan penuh sikap 'persaudaraan'.

Bagi mereka yang telah tahu, anggaplah ia sebagai satu peringatan untuk anda pula membuat peringatan kepada yang lain. Kongsilah ilmu kita dengan orang lain, jangan ilmu kita hanya menghiasi diri kita semata. Mungkin terdetik di hati kita..'orang dah tahu kot'. tapi percayalah...walaupun terdapat ramai yang tahu..tapi ramai juga yang masih belum tahu. Jangan jemu memberitahu kerana memberitahu itu juga adalah ilmu.

JAWAPAN DARI BUKU '20 PERSOALAN ASAS TENTANG HADIS'

Secara ringkasnya, saya telah pun menjawab persoalan ini di dalam buku pertama saya iaitu '20 Persoalan Asas Tentang HadiS' yang boleh didapati di kedai-kedai buku berhampiran atau anda boleh membaca versi e-book di laman web www.hafizfirdaus.com dan ada pautannya di dalam blog ini - alitantawi.blogspot.com

JAWAPAN YANG AGAK BERBEZA...

Saya tidak mahu hanya menyalin kembali 100% apa yang ada di sana. Lalu saya tambahkan dan huraiakan seperti berikut:

1- Kata-kata 'Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad' adalah kata-kata yang membawa maksud yang menepati saranan Al-Quran dan hadith-hadith sahih iaitu - kita seharusnya menuntut ilmu setiap masa selagi bernyawa.

2- Kata-kata ini bukanlah sebuah hadith yang boleh dinyatakan bahawa ia 'sabda Rasulullah S.A.W.' atau 'hadith sahih'. Ini kerana beberapa sebab seperti...

3- Ia tidak direkodkan oleh ulama-ulama utama hadith yang mengumpulkan hadith-hadith Rasulullah S.A.W. Di antara buku utama dalam hadith ialah seperti 'Enam Buku Utama Hadith' iaitu - Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, Jami' al-Tirmidzi, Sunan Abu Daud, Sunan al-Nasaaei. Tidak ada satu pun buku-buku di atas yang memuatkan kata-kata 'Tuntutlah ilmu dari buaian..' di dalamnya.

4- Di dalam buku-buku hadith yang lain juga ia tidak ditemui. Di antara buku-buku hadith yang juga tidak kurang pentingnya adalah seperti - Musnad Ahmad, Sahih Ibn Khuzaimah, Sahih Ibn Hibban, Mustadrak al-Hakim, Sunan al-Baihaqi dan lain-lain lagi.

5- Inilah yang menjadikan para ulama hadith zaman berzaman dan termasuk juga ulama hadith moden pada hari ini menyatakan dengan yakin bahawa ia 'bukan hadith'. Di antara ulama hadith zaman ini yang menyatakannya ialah seperti:

6- Syeikh Abd. Fattah Abu Ghuddah (wafat 1997) di dalam bukunya yang amat menarik - Qiimat al-Zaman Inda al-Ulama (Nilai masa di sisi ulama) telah menyatakan bahawa kata-kata yang berbentuk nasihat yang baik ini bukanlah sebuah 'hadith sahih' dan ia sama sekali tidak boleh disebarkan sebagai 'sabda Rasulullah S.A.W.'.

7- Walaupun ia adalah kata-kata hikmah yang cukup baik bagi menggambarkan tuntutan menuntut apa sahaja ilmu yang bermanfaat yang berterusan sepanjang kita masih hidup, namun kita sama sekali tidak boleh menyatakannya sebagai 'hadith' atau 'sabda Rasulullah S.A.W. seolah-olah ia memang benar datang dari Rasulullah S.A.W. !

PENYELESAIAN UNTUK MEREKA YANG INGIN BERDAKWAH...

Buat para sahabat yang sentiasa berusaha dan berniat baik untuk menyebarkan mutiara kata tentang Islam, pastikanlah ia benar-benar 'sahih' terlebih dahulu. Sekiranya tidak pasti, bolehlah berbincang dan bertanya kepada yang lebih tahu.

Jangan kita jadi terlalu 'berhati-hati' dalam beberapa aspek tetapi kurang pula pada aspek yang penting seperti menyebarkan hadith yang tidak sahih. Kata-kata yang sedikit tetapi benar adalah lebih baik dari kata-kata yang banyak tetapi bercampur aduk.

RENUNGKANLAH SIKAP BERHATI-HATI SEORANG SAHABAT NABI S.A.W.

Akhir sekali, renungkanlah kata-kata seorang sahabat Nabi S.A.W. yang bernama al-Zubair Bin al-Awwam ketika mana di disoal oleh anaknya Abdullah Bin al-Zubair ...'kenapa ayah tidak banyak meriwayatkan hadith seperti orang lain?'. Ayahnya (al-Zubair) menjawab..'aku tidak pernah berjauhan dari Nabi S.A.W., tetapi aku pernah mendengar Nabi S.A.W. bersabda : 'Sesiapa yang berbohong ke atasku, maka tempahlah tempatnya di neraka.
(Sumber: Sahih al-Bukhari, hadith no.107)

*Perhatikan bagaimana bijaknya al-Zubair apabila beliau menjawab soalan anaknya dengan menggunakan sebuah hadith tentang amaran menyebarkan hadith yang tidak sahih...

Semoga kita semua lebih berhati-hati dan berwaspada kerana itulah metodologi kita, umat Islam.

Saturday, September 26, 2009

NAK JADI AHLI HADITH? MULAKAN DENGAN 'HADITH 40'...


PERHATIAN UNTUK PEMINAT DAN PENUNTUT ILMU HADITH...

Jangan terlalu bercita-cita besar untuk membaca atau mempelajari buku-buku 'besar' dalam hadith seperti buku Sahih al-Bukhari (7 ribu hadith lebih) atau Sahih Muslim (7 ribu hadith lebih) atau Musnad Ahmad (hampir 30 ribu hadith)....

Tapi mulakanlah dengan buku-buku ringkas dan kecil yang menjadi langkah permulaan bagi para ulama zaman berzaman...contohnya? Buku 'Hadith 40' karya imam hadith dan fiqh terkenal iaitu Imam Yahya Bin Syaraf al-Nawawi - Imam Nawawi (wafat 676 Hijrah).

Kenapa buku kecil ini penting?

1- Ia disusun oleh seorang imam yang hebat dalam hadith (kenali siapa al-Nawawi).

2- Ia disusun khas untuk penuntut ilmu hadith (sila baca pendahuluannya).

3- Ia mengumpulkan 42 hadith (ya, bukan 40 tapi 42) hadith penting yang ringkas tapi padat maknanya.

4- Hadith-hadith itu merupakan kaedah-kaedah penting yang sentiasa diperlukan oleh para penuntut ilmu hadith kerana ia berkaitan hampir kesemua topik berkaitan aqidah, ibadah dan akhlak Islam.

5- Majoriti hadith di dalamnya adalah daripada hadith-hadith Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim.


Nasihat saya kepada peminat/penuntut ilmu hadith:

i- Cubalah untuk membaca dari awal hingga habis buku ini.

ii- Jika mampu, hafal sebahagiannya atau kesemuanya (kalau nak jadi muhaddith, takkan 42 hadith pun dianggap banyak?) belum cuba belum tahu..cubalah dulu!

iii- Jika berkesempatan dan mampu menyelidik, pelajarilah 'sanad' bagi setiap 'matan' hadith 40 ini kerana ia amat menarik dan amat berbaloi bagi menambah penguasaan terhadap ilmu hadith. Contohnya? Lihatlah buku karya Ibn Rajab al-Hanbali yang bertajuk Jami' al-'Ulum wa al-Hikam - ia merupakan buku yang menghuraikan 'sanad' dan 'matan' hadith 40 ini ditambah dengan lapan lagi hadith pilihan Ibn Rajab sendiri. bacalah buku ini dan anda akan dapati ia amat menarik!

iv- Setelah menguasai buku kecil ini, bolehlah kita berbicara tentang buku-buku hadith yang lebih besar, lebih panjang dan lebih susah untuk dipelajari.


INGAT, ILMU ADA TANGGANYA DAN TINGKATNYA...MANA MUNGKIN KITA BOLEH MELOMPAT TERUS KE ATAS TANPA MELALUI YANG DIBAWAH....

* semoga nasihat ini mendapat tempat di hati kita...

Tuesday, September 22, 2009

Indahnya Bersama Dr. Yusuf al-Qaradawi!


Sepanjang Ramadhan yang lalu, salah satu rancangan tv di negara arab iaitu Ana Tv telah menyiarkan satu program bersama Dr.Yusuf al-Qaradawi (Pengerusi Majlis Fiqh Eropah dan seorang alim terkemuka dunia Islam). Rancangan tersebut bertajuk 'Fiqh al-Hayat'

Kepada yang boleh berbahasa arab, anda dipersilakan untuk menikmati ilmu dan luahan hati Dr.Yusuf al-Qaradawi dengan menaip فقه الحياة dalam laman web youtube dan anda akan menemui rakaman video untuk rancangan ini.

Memang indah apabila bersama seorang yang hebat...dia mengingatkan kita bahawa kita semua adalah hamba Allah yang lemah dan perlukan ilmu serta ibadah.

selamat menonton!

Saturday, September 12, 2009

KULIAH HADITH 40 IMAM AL-NAWAWI

Assalamualaikum.

Jemputan ke Kuliah Hadith 40

Buku Hadith 40 Imam Nawawi,

Oleh: Adlan Abd Aziz

Tarikh:Ahad, 13 September 2009

Masa: 11.00 – 12.30 t/hari

Tempat:The Little Khalifah Shop

2750A Jalan Changkat Permata

Taman Permata

53300 Kuala Lumpur


Penyertaan adalah percuma.

Untuk pendaftaran sila hubungi:

03 4147 2626

Wednesday, September 02, 2009

BUKU TERBARU TENTANG RAMADHAN




Alhamdulillah, saya dan dua orang rakan telah berjaya menghasilkan sebuah buku ringkas tentang beberapa hadith Rasulullah SAW berkaitan Ramadhan. Sudilah mendapatkannya untuk faedah bersama...:

Tajuk: Ramadhan Bersama Rasulullah SAW
Penulis:

1.Adlan Bin Abd. Aziz (Bahasa Arab, Univ. Al al-Bayt, Jordan)

2.Mohd.Abrar Bin Mohd.Noor (Fiqh & Usul Fiqh,UIAM)

3.Mohamad Raqi Bin Mohamad Shapien (Usuluddin, Univ.Malaya


Sinopsis:
Buku ini merupakan himpunan beberapa hadith Rasulullah SAW berkaitan puasa berserta huraian ringkas yang mudah untuk difahami lalu diamalkan, insya Allah. Walaupun ia tidak mengumpulkan kesemua hadith berkaitan puasa, namun kebanyakan hadith yang sering kita dengari ada di dalam buku ini. Tajuk ini membawa makna yang amat mendalam untuk kita renungkan.

harga:
Semenanjung Malaysia RM8.00
Sabah/Sarawak RM10.00


*Untuk mendapatkan buku ini, bolehlah menghubungi

019-7105167 atau menghantar ke alamat e mail : alitantawi@yahoo.com

atau berjumpa sendiri dengan saya sekiranya ada berhampiran.

Selamat membaca...