Tuesday, October 24, 2006

JANGAN LUPA....

hari raya tiba lagi...

apabila menjelang hari raya, semua orang sibuk membuat persiapan...saya cuma ingin mengingatkan diri saya dan anda dengan beberapa perkara:

- jangan lupa di waktu kita bergembira, ada yang berduka. mungkin kerana mereka tidak berharta, mungkin juga kerana mereka kehilangan orang yang tersayang atau mungkin kerana mereka ditindas oleh musuh-musuh Islam.

- jangan lupa pada puasa kita yang telah berlalu. mungkin banyak cacat-celanya kerana kita tidak menjaga diri kita daripada dosa. segeralah bertaubat agar Allah SWT mengampunkan kesalahan kita

- jangan lupa bahawa bulan-bulan yang akan datang tetap menuntut kita untuk mentaati Allah. tidak hanya di dalam bulan Ramadhan sahaja kita perlu beribadat dan menjaga hubungan kita dengan Allah.

- jangan kita lupa pada cabaran semasa yang dihadapi oleh umat Islam termasuk yang terkini iaitu penghinaan terhadap Rasulullah SAW. fikirkan bagaimana kita ingin menghadapi cabaran ini dan berdakwah sekadar mampu.

- jangan lupa bahawa syaitan dan iblis telah pun dibebaskan. mereka akan meneruskan kerja mereka untuk membawa kita ke dalam neraka bersama mereka

- jangan lupa pada Allah dalam setiap gerak-geri kita..

semoga saya dan anda tergolong di kalangan mereka yang mengingati semua ini dan tidak lupa, amin.

Tuesday, October 10, 2006

Mencari Ilmu Di Bulan Mulia

Dengan kedatangan bulan Ramadhan yang penuh berkat ini, marilah kita tinggalkan segala sifat negatif yang pernah ada pada diri. Di antara sifat negatif itu ialah sambil lewa dalam menambahkan ilmu agama. Kenapa masih ramai yang menganggap bahawa mempelajari ilmu agama hanyalah perkara sampingan? Malah ada juga yang meminggirkan soal menuntut ilmu agama kerana pada tanggapannya itu hanyalah tugas orang-orang yang bergelar ustaz atau ‘gayanya’ macam ustaz. Tidak kurang juga yang beralasankan ‘sibuk’ sehingga tidak ada waktu yang boleh diluangkannya untuk ‘menemani’ ilmu berkaitan Islam.
Seakan sudah lenyap dari ingatan kita bahawa ayat pertama yang diturunkan kepada Rasulullah SAW ialah ‘Iqra’ bermaksud ‘bacalah’. Seakan kita sudah lupa pada kegigihan para sahabat mempelajari Al-Quran daripada Rasulullah SAW. Seolah-olah kita tidak pernah membaca sejarah Islam yang penuh dengan khazanah ilmu terutama buku-buku yang terlalu banyak. Islam adalah agama yang berasaskan ilmu dan pengajian. Ia bukan agama yang hanya mementingkan ibadah tanpa usaha menambah ilmu pengetahuan.
Hanya Nabi dan Rasul yang memiliki kelebihan menerima ilmu daripada Allah SWT. Itu pun disebabkan mereka sememangnya terpilih di sisi Allah SWT untuk memikul amanah mendidik manusia ke jalan yang benar. Tetapi manusia biasa seperti saya dan anda, kita disuruh menuntut ilmu dan mencarinya, bukan menunggu-nunggu bilakah agaknya ilmu itu akan datang bergolek. Rezeki tidak datang bergolek, ilmu juga begitu.
Masalahnya sekarang, orang Islam tidak ‘kreatif’ dalam menuntut ilmu agama. Mereka hanya mengeluh bahawa mereka tidak sempat atau letih untuk mengikuti kelas pengajian di masjid, surau atau tempat ilmiah tertentu. Sedangkan ilmu itu tidak semestinya diambil daripada kelas pengajian. Bagi yang sempat dan rajin, ikutilah kelas-kelas pengajian dengan istiqamah di tempat-tempat berhampiran dengan rumah anda. Selain kelas-kelas itu, anda boleh memilih buku-buku ilmiah untuk dibaca. Anda juga boleh melayari laman web Islamik termasuklah juga anda boleh muat turun buku-buku elektronik tentang Islam.
Paling tidak, luangkanlah masa untuk ‘melepak’ bersama-sama orang yang berilmu tentang Islam agar anda boleh berbincang dan bertanya tentang perkara yang anda kurang faham. Gunakan juga kemudahan telefon bimbit untuk berbual sekejap dengan golongan yang berpengetahuan atau sekadar menghantar mesej ringkas bertanyakan soal-soal tertentu.
Setiap seorang daripada kita boleh melakukan perkara-perkara di atas sama ada kesemuanya atau memilih mana-mana cara yang mudah bagi kita untuk menambah ilmu tentang Islam. Ingatlah, ilmu itu dicari dan ia tidak mencari kita. Allah SWT memuliakan orang-orang yang berilmu di dalam Al-Quran. Rasulullah SAW juga di dalam banyak hadith menekankan soal menuntut ilmu tentang Islam. Janganlah kita pandai mencari rezeki, pandai mencari ilmu tentang keduniaan dan sebagainya tetapi tidak tahu atau tidak ambil kisah dalam usaha mencari ilmu tentang Islam. Selamat mencari ilmu dan selamat beramal!

Friday, October 06, 2006

Bazar Ramadhan atau Bazir Ramadhan?

Berpusu-pusu manusia membanjiri Bazar Ramadhan yang diadakan setiap tahun di merata tempat. Tujuannya? Nak mengisi perut yang bolehlah dikatakan kecil. Saiz perut berbeza mengikut manusia. Tetapi apa yang menghairankan ialah makanan yang dibeli melebihi (agaknya) daripada kemampuan perut atau saiznya.
Orang yang menjual pula meletakkan harga yang hebat-hebat. Maklumlah, ramai orang datang, takkanlah tak ada yang nak beli? Kualiti barang yang dijual? Ada yang ok dan ada yang tak ok. Nama air kelapa, tapi rasa air gula saja pun ada.
Orang yang membeli biasanya akan berselera membeli kerana perut tengah kosong. Maka mungkin elok kalau kita tukarkan nama Bazar Ramadhan kepada Bazir Ramadhan?

Sunday, October 01, 2006

PEMBAHAGIAN PUASA – UMUM, KHUSUS, KHUSUS AL KHUSUS

Saya pernah mendengar dan membaca tentang satu bentuk pembahagian puasa yang agak pelik dan sukar untuk saya fahami. Sejak saya mendengarnya bermula semasa di bangku sekolah sehingga saya melanjutkan pelajaran dan menamatkan pengajian di universiti, saya semakin yakin bahawa pembahagian ini tidak mempunyai sumber atau dalil yang kukuh.
Pembahagian ini telah menjadikan puasa di bulan Ramadhan sebagai topik utamanya. Pembahagian ini juga sebenarnya adalah pembahagian yang berfokuskan kepada orang yang berpuasa. Puasa Umum adalah puasa orang awam atau orang biasa yang sekadar menyempurnakan rukun-rukun puasa seperti yang termaktub dalam buku-buku fiqh Islam. Puasa Umum ialah puasa yang mementingkan niat dan menahan diri dari melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa seperti yang dapat difahami dari Al Quran dan hadis-hadis sahih.
Puasa Khusus pula ialah puasa segolongan manusia yang menjaga diri dari perkara-perkara maksiat dan tidak hanya memenuhi rukun puasa seperti Puasa Umum. Mereka sentiasa menjaga diri dari perkara terlarang yang boleh dilakukan oleh anggota badan.
Puasa Khusus al Khusus adalah satu peringkat yang lebih tinggi. Mereka yang berpuasa sebegini dikatakan tidak pernah lalai dan lupa dari mengingati Allah SWT sepanjang puasa mereka. Hati mereka sentiasa mengingati Allah dan tidak pernah terlepas walau sesaat.
Inilah pembahagian puasa yang tidak saya temui melainkan di kalangan mereka yang mendakwa dari kalangan pelajar-pelajar tasawuf atau kesufian. Saya cuba melihat sebanyak mungkin ayat-ayat Al Quran berkaitan puasa dan hadis-hadis sahih yang menjelaskan mengenai puasa yang dikehendaki. Maka saya dapati bahawa Puasa Umum dan Puasa Khusus sedikit sebanyak mempunyai asas secara umum. Namun Puasa Khusus al Khusus langsung tidak disebutkan dan tidak dapat dicari dari manakah sumbernya.
Seperkara lagi, kalau kita menyatakan bahawa Puasa Umum adalah puasa yang paling rendah, maka seolah-olah kita memandang rendah kepada mereka yang berpuasa mengikut rukun dan syarat yang telah ditetapkan di dalam Al Quran dan hadis. Memang sudah semestinya kita menjaga diri dari perkara yang membatalkan puasa kerana itu telah termaktub di dalam Al Quran dan hadis-hadis sahih. Para sahabat sendiri terlalu berhati-hati menjaga agar puasa mereka tidak batal. Kenapa kita perlu menggambarkan puasa sebegini adalah puasa yang biasa atau rendah nilainya?
Kalau kita melihat kepada maksud Puasa Khusus pula, memang kita telah mengetahuinya dari Al Quran dan hadis-hadis sahih. Maksudnya, seseorang itu ketika berpuasa (dan juga ketika tidak berpuasa), wajib menjaga diri dari melakukan maksiat kerana maksiat adalah semua perkara yang melanggar ketetapan Alllah SWT dan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Maka di dalam Al Quran dan hadis sahih, sesiapa yang mengaku dirinya Muslim, wajib menjaga dirinya agar tidak melakukan maksiat, sama ada ketika berpuasa atau ketika tidak berpuasa. Untuk itu Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam telah bersabda : ‘mungkin seseorang itu berpuasa dan dia tidak mendapat balasan kecuali lapar’ – hadis sahih riwayat Ibn Majah (hadis no. 1690).
Melalui pembacaan, saya mendapati bahawa golongan sufi telah menjadikan Puasa Khusus al Khusus sebagai hak milik para wali dan kekasih Allah SWT (ini yang didakwa sebahagian golongan sufi). Mereka berpuasa dalam keadaan yang lebih tinggi dari manusia biasa. Mereka tidak pernah lupa pada Allah SWT dan tidak pernah lalai walau sedetik. Ini adalah dakwaan yang melampaui batas manusia biasa kecuali para Nabi dan Rasul.

marilah kita berpuasa dengan mempelajari puasa Rasulullah SAW.