Dengan kedatangan bulan Ramadhan yang penuh berkat ini, marilah kita tinggalkan segala sifat negatif yang pernah ada pada diri. Di antara sifat negatif itu ialah sambil lewa dalam menambahkan ilmu agama. Kenapa masih ramai yang menganggap bahawa mempelajari ilmu agama hanyalah perkara sampingan? Malah ada juga yang meminggirkan soal menuntut ilmu agama kerana pada tanggapannya itu hanyalah tugas orang-orang yang bergelar ustaz atau ‘gayanya’ macam ustaz. Tidak kurang juga yang beralasankan ‘sibuk’ sehingga tidak ada waktu yang boleh diluangkannya untuk ‘menemani’ ilmu berkaitan Islam.
Seakan sudah lenyap dari ingatan kita bahawa ayat pertama yang diturunkan kepada Rasulullah SAW ialah ‘Iqra’ bermaksud ‘bacalah’. Seakan kita sudah lupa pada kegigihan para sahabat mempelajari Al-Quran daripada Rasulullah SAW. Seolah-olah kita tidak pernah membaca sejarah Islam yang penuh dengan khazanah ilmu terutama buku-buku yang terlalu banyak. Islam adalah agama yang berasaskan ilmu dan pengajian. Ia bukan agama yang hanya mementingkan ibadah tanpa usaha menambah ilmu pengetahuan.
Hanya Nabi dan Rasul yang memiliki kelebihan menerima ilmu daripada Allah SWT. Itu pun disebabkan mereka sememangnya terpilih di sisi Allah SWT untuk memikul amanah mendidik manusia ke jalan yang benar. Tetapi manusia biasa seperti saya dan anda, kita disuruh menuntut ilmu dan mencarinya, bukan menunggu-nunggu bilakah agaknya ilmu itu akan datang bergolek. Rezeki tidak datang bergolek, ilmu juga begitu.
Masalahnya sekarang, orang Islam tidak ‘kreatif’ dalam menuntut ilmu agama. Mereka hanya mengeluh bahawa mereka tidak sempat atau letih untuk mengikuti kelas pengajian di masjid, surau atau tempat ilmiah tertentu. Sedangkan ilmu itu tidak semestinya diambil daripada kelas pengajian. Bagi yang sempat dan rajin, ikutilah kelas-kelas pengajian dengan istiqamah di tempat-tempat berhampiran dengan rumah anda. Selain kelas-kelas itu, anda boleh memilih buku-buku ilmiah untuk dibaca. Anda juga boleh melayari laman web Islamik termasuklah juga anda boleh muat turun buku-buku elektronik tentang Islam.
Paling tidak, luangkanlah masa untuk ‘melepak’ bersama-sama orang yang berilmu tentang Islam agar anda boleh berbincang dan bertanya tentang perkara yang anda kurang faham. Gunakan juga kemudahan telefon bimbit untuk berbual sekejap dengan golongan yang berpengetahuan atau sekadar menghantar mesej ringkas bertanyakan soal-soal tertentu.
Setiap seorang daripada kita boleh melakukan perkara-perkara di atas sama ada kesemuanya atau memilih mana-mana cara yang mudah bagi kita untuk menambah ilmu tentang Islam. Ingatlah, ilmu itu dicari dan ia tidak mencari kita. Allah SWT memuliakan orang-orang yang berilmu di dalam Al-Quran. Rasulullah SAW juga di dalam banyak hadith menekankan soal menuntut ilmu tentang Islam. Janganlah kita pandai mencari rezeki, pandai mencari ilmu tentang keduniaan dan sebagainya tetapi tidak tahu atau tidak ambil kisah dalam usaha mencari ilmu tentang Islam. Selamat mencari ilmu dan selamat beramal!
No comments:
Post a Comment