Monday, December 24, 2007

TAK HABIS-HABIS DENGAN 'BERANTAI'

Dulu, surat berantai...
Habis terkejut orang-orang tua dan muda apabila menerima surat 'berantai' yang mengandungi pesanan daripada penjaga pintu Kaabah (kononnya). Maka kecut perutlah sebahagian pembaca surat itu apabila isi kandungannya memberikan 'berita gembira' dan 'azab yang pedih'. 'Berita gembira' jika dibuatnya 10 salinan lalu diposkan kepada 10 orang. 'Azab yang pedih' jika tidak mempercayai isi surat itu.

Kini, ada email berantai...
Terkejutlah pula orang-orang yang membuka akaun e mail mereka apabila mendapati terdapat pesanan yang sama. Ia memberikan kata dua - percaya atau terima akibatnya.

Juga, ada sms berantai...
Terkejut pula si pemilik telefon bimbit apabila sms yang diterimanya juga mengandungi cerita yang sama, janji yang sama, amaran yang sama.

Petang semalam (Ahad), isteri saya pula yang menerima sms 'berantai' ini. Lalu saya mengambil telefonnya untuk menulis jawapan balas. Isteri saya bertanya 'kenapa?'. Saya menjawab : 'kita perlu memberitahu penghantar sms ini bahawa sms berantai ini adalah khayalan, pembohongan dan boleh menjejaskan aqidah. Inilah masanya untuk berdakwah'. Lalu isteri saya sendiri yang menulis jawapan sms tersebut.

Inilah sepintas lalu sorotan sejarah surat, e mail dan sms berantai yang telah saya temui sejak di bangku sekolah hinggalah ke petang semalam. Apalah nasib sebahagian umat ini yang masih tidak dapat membezakan antara khayalan, pembohongan dan ajaran agama sebenar.

Didiklah diri kita dan keluarga untuk membina benteng aqidah yang kukuh, dikuatkan dengan ilmu, agar tidak mudah percaya kepada apa sahaja yang berbentuk 'berantai'. Saya yakin dan percaya, kisah 'berantai' ini tidak akan berhenti..malah ia akan berterusan selama mana fahaman Islam tidak benar-benar mantap dalam hati masyarakat.

Ingat..kalau anda jumpa orang-orang yang percaya kepada perkara-perkara yang 'berantai' seperti ini, tegurlah dan perbetulkanlah ia. Sesungguhnya ia adalah satu kerja dakwah yang amat mulia.

Friday, December 21, 2007

KEPERLUAN MENGENAL SEJARAH ISLAM SEBENAR

Di antara jalan-jalan penting yang digunakan oleh musuh-musuh Islam atau pengikut-pengikut mereka secara tidak sedar ialah Sejarah Islam.

Mengubah walaupun satu fakta penting dalam perjalanan sejarah Islam akan mampu mengubah persepsi seorang muslim atau muslimah tentang pelbagai perkara.

Perbuatan salah tafsir terhadap beberapa peristiwa sejarah penting dalam Islam akan menjadikan pembacanya bersangka buruk terhadap orang-orang yang baik..dan bersangka baik kepada orang-orang yang memerangi Islam.

Menokok nambah peristiwa sejarah palsu di celah-celah peristiwa sebenar akan hanya mengelirukan pelajar-pelajar sejarah tentang Islam.

Kita perlu memastikan bahawa sejarah Islam benar-benar diperolehi daripada sumber yang diyakini. Setelah itu, kita perlu membezakan antara fakta sejarah dan juga 'tafsiran sejarah' agar ia tidak memerangkap kita dalam memberikan pendapat.

Inilah yang berlaku - sebagai contoh - pada sejarah pembukuan hadith Rasulullah SAW. Ia berlaku dalam keadaan yang tidak disedari dan amat halus. Beberapa fakta palsu sengaja dilemparkan bertujuan untuk menuduh bahawa hadith tidak terpelihara dan hadith sebenarnya adalah rekaan ulama dan bukan bersumberkan daripada Rasulullah SAW.

Saya telah bertemu dengan mereka yang menganuti fahaman ini dan mungkin anda juga pernah membaca tentang fahaman ini. Punca utama perkara ini tidak lain dan tidak bukan - kurangnya maklumat tepat tentang sejarah Islam khususnya pembukuan hadith. Akhirnya tempat yang kosong itu dipenuhkan dengan fakta-fakta palsu lagi meragukan.

Semoga kita sentiasa terdorong ke arah mendalami sejarah Islam dengan lebih berhati-hati. Sebagai bacaan cadangan untuk mendapat maklumat-maklumat asas tentang 'Sejarah Pembukuan Hadith', saya syorkan anda membaca buku-buku berikut:

1- buku Dr. Mustafa al-A'zhami tentang kajian hadith (dalam Bahasa Arab):

http://s203995553.onlinehome.us/books/13/1297.rar

2- sebuah lagi buku Dr. Mustafa al-A'zhami (dalam Bahasa Melayu) bertajuk:
Kajian Metodologi dan Penulisan Hadith - terjemahan Engku Ibrahim Engku ISmail - cetakan Dewan Bahasa dan Pustaka, 1989.

Wednesday, December 12, 2007

DAKWAH PERLUKAN KESABARAN

Dakwah dengan maksud 'menyampaikan Islam kepada manusia' adalah sesuatu yang amat tinggi nilainya di sisi Allah SWT.

Dakwah juga mempunyai banyak cara dan ruang untuk digunakan sepenuhnya oleh seorang yang bergelar 'pendakwah' atau 'da'ei'. Tidak semestinya cara saya berdakwah perlu diikuti dan boleh dilaksanakan oleh orang lain. Tidak semestinya juga cara dakwah anda perlu saya contohi 100% tanpa sebarang pengolahan.

Begitu juga dakwah perlukan sokongan dalam pelbagai bentuk sama ada moral atau material. Selain itu, dakwah juga perlukan matlamat dan perancangan rapi untuk mencapai matlamat tersebut.

TETAPI...apa yang lebih penting ialah - dakwah perlukan kesabaran. Manusia sering gopoh dan tergesa-gesa dalam hidupnya. Begitu juga para pendakwah, terkadang bermain di fikiran mereka ..'kenapa masyarakat tak nak ikut Islam 100%?'..'bila agaknya masyarakat akan kembali insaf?'..'kenapa dakwah aku tidak berkesan?'..'sampai bila keadaan akan berterusan sebegni?'....

Itu semuanya petanda kita kurang kesabaran. Sabar adalah aspek penting malah ia antara yang terpenting dalam kehidupan seorang pendakwah. Ia amat sukar dilakukan dan tidak ada yang akan memahaminya kecuali orang itu pernah melaluinya.

Ingatlah..kesabaran adalah sesuatu yang amat diperlukan oleh seorang pendakwah. Dan ketahuilah bahawa jalan dakwah adalah jalan yang telah dimulakan oleh orang-orang sebelum kita. Ia sedang dilakukan oleh kita. Ia juga bakal disambung oleh orang-orang selepas kita...

Bersabarlah..kesudahan yang baik adalah utk orang-orang yang bertaqwa.

Monday, December 10, 2007

MENDEKATKAN ILMU ISLAM KEPADA MASYARAKAT ATAU...?

Seringkali kita temui usaha pelbagai pihak dari dalam dan luar negara untuk mendekatkan ilmu-ilmu tentang Islam kepada masyarakat. Pelbagai istilah dan usaha dihasilkan untuk memudahkan dan menjadikan ilmu-ilmu Islam (yang seringkali dianggap susah) senang utk difahami seterusnya dipraktikkan.

Tetapi dalam masa yang sama kita juga dapati bahawa ada satu lagi masalah yang perlu difikirkan dan diselesaikan bersama iaitu - bagaimana mendekatkan masyarakat kepada ilmu-ilmu Islam.

Semudah mana sekalipun ilmu itu kita persembahkan dan bagaimana menariknya pun kita bentangkan, tetapi kalau tuan punya badan tak ingin menatapnya atau menghampirinya, adakah apa yg kita persembahkan itu akan bermanfaat utk dirinya?

Sudah tiba masanya kita fikirkan, adakah buku agama atau apa sahaja bentuk tulisan tentang ilmu-ilmu Islam itu tidak menarik, atau sebenarnya ia memang menarik tetapi tidak dipedulikan oleh masyarakat?

Penyelesaiannya bergantung kepada diri kita agar kita berfikir sejenak dan merenung kembali - kenapa diri ini tidak begitu berminat untuk menambah ilmu tentang Islam? Ketepikan soal-soal zahir dan luaran seperti 'buku tak cantik, laman web tak menarik, masa tak ada, harga mahal sangat dll'. Tetapi tanya diri kita, adakah kita BERMINAT untuk MENDEKATI ilmu-ilmu tentang Islam..?

Akhirnya juga fikirkan...adakah dengan MENDEKATI ilmu-ilmu Islam menjadikan masa kita terbuang atau duit kita terkurang? Adakah faedah MENDEKATI ilmu-ilmu Islam akan membantu kita di akhirat nanti?

Anda mampu berfikir...maka lakukanlah yg terbaik!

Wednesday, December 05, 2007

Berhati-Hati Dengan 'Tanggapan Pertama'

Kita adalah manusia yang lemah. Seringkali kita tertipu dengan 'pandangan pertama' atau 'tanggapan awal'. Apa yang sering dikenali dengan istilah '1st impression'.

Masih segar di ingatan saya bagaimana saya dan seorang teman ketika kami mula-mula ditugaskan di salah sebuah sekolah di Kuala Lumpur sebagai guru pelatih. Kami bertemu dengan salah seorang pentadbir sekolah - dengan mukanya yang serius, tiada senyuman, kelihatan tidak begitu menghargai kami berdua. Pelbagai tanggapan muncul dalam pemikiran kami dan ia tidaklah begitu positif.

Tetapi, setelah masuk ke pejabat beliau dan berbual dengannya, ternyata apa yang kami sangka amat tidak tepat malah jauh dari kenyataan. Ternyata beliau seorang yang begitu memahami dan mesra. Ya Allah, terasa begitu bersalah kerana membuat tanggapan melulu.

Begitu juga ketika saya membeli burger di salah satu gerai burger di Kajang. Penjual burger itu kelihatan pada saya (menurut tanggapan pertama) seperti seorang yang amat bengis dan seolah-olah tidak mahu menerima pelanggan. Tetapi sebaik sahaja saya memberinya wang dan beliau memulangkan kembali wang baki, terpancar di mukanya raut ceria dan ucapan 'terima kasih, bang' kedengaran begitu lembut. Pada hari yang lain, saya pernah melihat beliau begitu mesra melayan seorang kanak-kanak kurang upaya. Ya Allah, betapa salahnya tanggapan awalku!

Mungkin anda juga pernah melalui peristiwa yang hampir sama?

Lagipun, kita mesti ingat bahawa sebagaimana kita mempunyai tanggapan awal terhadap orang lain, mereka juga pasti ada tanggapan awal terhadap kita.

Marilah kita perbaiki penampilan kita agar tidak disalah anggap...dan marilah kita menghindari tanggapan yang negatif untuk komunikasi kita menjadi lebih berkesan.

Tuesday, December 04, 2007

Putus Asa Dari Taubat?

Sebagai seorang muslim dan muslimah, kita dilarang utk berputus asa daripada rahmat dan keampunan Allah SWT.

Tetapi, disebabkan kita tenggelam dalam banyak maksiat dan kita tinggalkan pula banyak suruhan Allah, ini semua menyebabkan kita semakin hari semakin berputus asa dari taubat.

Tiada jalan lain melainkan kembali kepada Allah SWT. Biarlah sejauh mana kita menyimpang dari ajaran Islam, biarlah seburuk mana sikap dan tingkah laku kita, biarlah walaupun segunung dosa ada di bahu kita...ingatlah...

Allah itu penyayang dan pengampun bagi mereka yang ingin kembali kepadaNya.

Janganlah kita berputus asa daripada bertaubat kerana ia adalah sikap yg akan merugikan kita. Hari demi hari berlalu, waktu tidak pernah berhenti..sedar atau tidak,kita semakin hampir ke penghujung hayat. Kenapa kita tidak mahu menghargai nikmat kehidupan sebelum kematian?

Mulakan dengan bertaubat...insya Allah, anda tidak akan lagi berputus asa daripada rahmat Allah dan pengampunanNya.

Monday, December 03, 2007

Mari DEKATkan anak-anak dengan Al-Quran

Wahai para ibu dan bapa,

sebagai bapa kepada anak-anak yang sedang membesar, saya ingin mengajak diri saya dan anda semua agar memberikan perhatian terhadap hubungan anak-anak kita dengan Al-Quran.

pastikan kekerapan yang berterusan utk anak-anak kita membaca Al-Quran.

sekiranya anda semua boleh mengajar dan sempat pula mengajar Al-Quran, maka pastikan jadual itu tetap. contohnya setiap hari sabtu malam, anda pasti akan mengajar anak-anak anda membaca AL-Quran.

sekiranya anda tidak mampu atau tidak sempat, maka peruntukkanlah masa dan juga sedikit perbelanjaan agar ada yang mampu utk mendidik anak-anak kita membaca AL-Quran.

Bukanlah tujuan kita semata-mata utk mereka boleh membaca AL-Quran, tapi utk mereka DEKAT dan HAMPIR dengan AL-Quran.

begitu ramai umat Islam yang amat JAUH dari AL-Quran. JAUH dari membacanya dengan berterusan. JAUH dari memahaminya dengan tepat. JAUH daripada mempraktikkan ajaran Al-Quran.

mari kita DEKATkan diri kita dan pewaris kita (anak-anak kesayangan kita) dengan AL-Quran.