Wednesday, March 12, 2008

BERIKAN CAHAYA UNTUK HIDUP ANDA


Semasa membelek buku al-Wafi (Himpunan hadith-hadith Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim) yang disusun oleh seorang alim masa kini iaitu Salih al-Syami...saya terpandang sebuah hadith...

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: '...dan solat itu adalah CAHAYA..'. (Riwayat Muslim)

Hadith yang saya baca itu lebih panjang, namun potongan di atas cukup membuatkan saya berfikir panjang.

Mungkin hadith ini pernah dilihat selalu oleh anda terutama mereka yang sering membaca dan menghafal hadith, namun maksudnya yang mendalam kadangkala tidak diberikan penekanan yang sepatutnya.

CAHAYA...Rasululullah SAW membuat satu perbandingan yang amat mudah dan jelas...solat itu umpama CAHAYA. Malah ia sememangnya CAHAYA bagi kehidupan. Apalah erti kehidupan tanpa CAHAYA?

CAHAYA yang memberikan hidup ini makna sebenar

CAHAYA yang menjadi panduan agar tidak tersesat jalan

CAHAYA yang membezakan antara mukmin, muslim dan selain mereka

CAHAYA yang menghubungkan kita dengan Pencipta seluruh alam

CAHAYA yang membawa kepada CAHAYA di akhirat....

* Mari kita pastikan diri kita dan keluarga mendapat CAHAYA ini...jangan biarkan diri kita dalam kegelapan...kelak kegelapan dunia ini akan menemukan kita dengan kegelapan di akhirat...

Thursday, March 06, 2008

Di Mana Letaknya Orang SS Dalam Diriku?



Masih lagi tentang sifat Syok Sendiri...

Mungkin sesekali kita perlu mengakui bahawa ada orang yang kita tak dapat nak mengubahnya. Mungkin orang lain yang dapat mengubahnya atau dirinya sendiri perlu berubah...

Pada mulanya, saya merasakan orang yang Syok Sendiri ni merupakan satu permasalahan yang perlu difikirkan selalu...maka saya masukkan dia ke dalam gambarajah di atas :


Tapi..terfikir juga saya, adakah orang yang Syok Sendiri ni pedulikan usaha kita yang berfikir tentang dirinya...cuba untuk menasihatkannya atau mengubahnya? Mungkin sebenarnya orang yang Syok Sendiri ni hanya ada dalam ruang CONCERN tapi tak wujud dalam ruang INFLUENCE...? :


SAYA SEMAKIN PASTI...

Wednesday, March 05, 2008

Faktor Wujudnya SS...Kawan-Kawannya


Kawan-kawan dan rakan-rakan memang unsur penting dalam hidup...Kerana pandai memilih kawan, kita akan beruntung dan disebabkan salah memilih kawan, kita jugalah yang akan merana..seperti orang yang SYok Sendiri...

Orang Syok Sendiri memang ramai kawan. Tapi tanpa disedari olehnya, kawan-kawannya telah membantu menyuburkan sifat Syok Sendiri dalam dirinya. Bagaimana? Dengan pujian, sanjungan, sokongan, hasutan, kata-kata manis....menggambarkan bahawa dirinya memang betul 100% dalam tindakan dan percakapan. Dialah 'hero' di mata kawan-kawannya. Dialah 'penyelamat' di mata kawan-kawannya. Kawan-kawannya terus menjadi mata dan telinga bagi dirinya...memberikan maklumat yang pelbagai...semata-mata utk membuktikan bahawa dirinya insan terpilih..insan hebat.

Kawan-kawan sebegitu kebiasaannya akan menghalang sebarang nasihat positif utk dirinya berubah. 'Ah..orang tu dengki dengan anda'...'orang tu tak faham perjuangan anda'...'teruskan perjuangan, kami di belakang anda'....'anda hebat, anda bijak'.....

Kalau dia melakukan kesilapan, kawan-kawannya akan menutupnya, mentafsirkan semula, memberikan semangat utknya....kalau dia silap, bukan bermakna dia silap, tapi orang yang silap faham strateginya...waduh waduh...

akhirnya orang yang SYok Sendiri ni semakin yakin bahawa dia memang hebat, memang bijak, memang faham...orang lain yang tak faham...orang lain tak bijak...orang lain tak sama pemikiran..tak sama manhaj....


Makin Syoklah orang yang Syok Sendiri...kerana kawan-kawannya yang disangka madu rupanya racun.

Cara mengatasinya? Carilah madu dan tinggalkanlah racun...selamat insya Allah.

Monday, March 03, 2008

Berhati-hati dengan perangai SS


*Sepanjang hidup kita, kadang-kadang kita bertemu dengan orang yang berpenyakit SS = Syok Sendiri. Saya ada huraian tersendiri tentang maksud dan ciri-ciri orang SS. Mungkin berlainan dan mungkin sama dengan apa yang anda fikirkan. Sama-samalah kita renungkan SS versi saya agar kita sama-sama dapat menjauhkan diri dari perangai yang merugikan ini....teruskan membaca!

SS..Ada orang yang terkena penyakit SS = Syok Sendiri. Apa yang dia buat...semuanya betul. Apa yang orang lain buat..ada betul ada salah, malah kadang-kadang apa yang orang lain buat ada saja salahnya. Tapi dia tetap betul.

Apa yang dia buat, kalau ada orang tegur, maka orang tu yang tak faham sebenarnya. "aku tau apa aku buat"..."aku ada cara aku sendiri". Tak kisahlah orang yang menegur tu kawan ke lawan ke...muda ke tua ke...berilmu ke tak ke...dia tak peduli.

Cadangan atau buah fikiran orang lain mesti selari dengan apa yang dia fikirkan. Kalau tak selari, maka cadangan itu dianggap tak sesuai. Akhirnya, semua cadangan dan buah fikiran yang sesuai hanyalah buah fikirannya sahaja.

Perangai Syok Sendiri ni memang tak nampak pada perkataan. Tapi ia jelas kelihatan pada perangai dan perbuatan serta sikap. Kadang-kadang ada orang yang pada mudanya dia Syok Sendiri..bila dah tua dia berubah. Ada yang sebaliknya. Ada orang yang memang dari muda sampai tua. Ada pula yang bila ada jawatan tinggi, barulah penyakit ini datang.

...bersambung pada masa akan datang. Sama-samalah kita check diri kita yang sedang membaca (termasuk yang sedang menulis tulisan ni)..adakah kita ada ciri awal SS? Kalau ada...kena buat sesuatu...jangan Syok Sendiri!

Tuesday, February 26, 2008

Berhati-hati Sebelum Berbicara

Kita dah lama tahu....

kerana mulut badan binasa..

cakap siang pandang-pandang...

terlajak kata buruk padahnya...dan lain-lain lagi yang sewaktu dengannya.

Agama pun dah beritahu....lihat surah Qaf ayat 18 bermaksud:

"Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya)".

Tapi kita masih tidak memelihara mulut dari menuturkan sesuatu...mengutuk orang itu dan ini sesuka hati, memuji orang itu dan ini berlebihan dari realiti, menipu orang itu dan ini, menyebarkan fitnah kepada pihak itu dan ini, menjadi talam dua muka dan sebagainya....

Bila agaknya kita akan berjaya 'mengawal' mulut ini? Bila agaknya saya dan anda dapat menjaga diri agar berfikir sebelum berkata...sebagaimana kita berfikir sebelum buang?

Thursday, February 21, 2008

BIJAK HANYA PADA URUSAN DUNIA?


Ramai orang yang menyuruh kita agar menjadi orang yang bijak...

Rupa-rupanya yang dimaksudkan hanyalah bijak dalam urusan duniawi. Ok..saya setuju. Anda pun pasti setuju bahawa untuk hidup, kita perlu bijak. Tidak syak lagi.

Tapi...bagaimana pula dengan urusan selepas dunia ini nanti? Tidakkah kita juga perlu bijak untuk berjaya di akhirat nanti? Saya harap anda setuju...sebagaimana saya setuju dengan kata-kata anda 'kita perlu bijak di dunia'.

Atau...kita hendak melahirkan umat yang hanya bijak di dunia? Atau..hanya bijak dan berjaya di akhirat? Pasti saya dan anda akan terfikir hanya satu penyelesaian...

Bijak di dunia ...Bijak di akhirat...betul tak?

Tapi...apa maksud 'bijak' dalam urusan akhirat?

Mari kita fikirkan dulu...bijak...bijak!

Sunday, February 17, 2008

Berehat sejenak bersama Yusuf Islam (Cat Stevens)



Pasti ramai yang mengenali Yusuf Islam @ Cat Stevens yang telah memeluk Islam dan berdakwah mengembangkan Islam sejak tahun 1977. Itulah waktu kegemilangan beliau dalam dunia hiburan antarabangsa. Setelah memeluk Islam, beliau tidak meninggalkan terus bidang nyanyian malah menggunakannya sebagai satu cara beliau untuk menyampaikan mesej ke seluruh dunia.

pada tahun lepas (2007) beliau telah menerbitkan satu lagi album baru mengandungi lagu2 bermesej Islam dengan jodol An Other Cup. Mungkin ia tidak begitu popular di Malaysia. Di dalamnya ada lagu-lagu yang membawa makna amat mendalam dan memang memberi kesan jika dihayati...

Apa kata kita lihat bersama lirik salah satu lagunya seperti di bawah. Ia bertajuk 'In The End'. Untuk melihat lagu ini dipersembahkan secara 'live' di England, bolehlah copy n paste link di bawah:

http://www.youtube.com/watch?v=Fy_mytEQB-Q

In The End - Yusuf Islam

You can't bargain with the truth
'Cause whether you're right or you're wrong
We're gonna know what you've done
We're going to see where you belong - in the end

You can't bargain with the truth
Whether you are black or you're white
We're going to know who's right
We're going to see you in the light - in the end

O and every little thing you do
You'd better know it's coming back to you

You can't bargain with the truth
'Cause one day you're gonna die
And good's going high,
And evil's going down - in the end

You can't bargain with the truth
Whether you're old or young
We're going to see what you've done
There'll be nowhere else to run - in the end

You can't bargain with the truth
'Cause whether you're rich or you're poor
You're going to meet at the same door;
You're going to know the real score - in the end

And if you want to help your fellow man
You better start with what is in your hand

You can't bargain with the truth
'Cause whether you're right or you're wrong
We're going to know what you've done
We're going to see where you belong - in the end

You can't bargain with the truth;
'Cause if the world you chose
No further than your nose
Will be where the doors will close- in the end
You can't bargain with the truth
'Cause for those who were deceived
There'll be no reprieve
There'll be no time to believe - in the end

O and every little thing you do
You better know it's coming back to you

You can't bargain with the truth
'Cause one day you're gonna die
And good's going high,
And evil's going down - in the end

* liriknya cukup indah. Mendengar ia dilagukan lebih memberi penghayatan.

selamat mendengar...

Wednesday, February 13, 2008

Anak Yang Baik atau Anak Yang Soleh?

Maksud anak yang soleh atau solehah (perempuan) perlu dikemas kini kembali seiring dengan kelam kabut dan huru hara dunia masa kini.

Anak yang soleh adalah anak yang baik menurut neraca Islam.
Meninggalkan yang dilarang oleh Islam dan melakukan apa yang diwajibkan oleh Islam.

Menjaga hubungan dengan manusia apatah lagi hubungan dirinya dengan Tuhan.

Bermanfaat untuk ibu dan ayah di dunia dan juga setelah ibu bapa meninggal dunia..

TETAPI...
Jangan maksud ini hendak disalurkan kepada anak-anak yang mentaati ibu bapa tapi melanggar perintah Allah...

atau menjaga hubungan dengan manusia tapi lupa pada Tuhan yang menciptanya...

atau membantu ibu dan ayah di dunia tapi tidak mampu membantu mereka di akhirat...

berdisiplin dalam urusan dunia tapi tiada disiplin dalam menunaikan solat (contohnya)...

bersungguh-sungguh bersukan dan berakademik tapi buta Al-Quran dan syariat...

ikhlas dalam menghulur bantuan kepada yang memerlukan tapi diri sendiri tidak dibantu...

hebat keazaman dan tinggi cita-cita dunia, tapi lemah iman dan tiada perancangan untuk akhirat...

*semakin lama, semakin serabut memikirkannya. Marilah kita perbetulkan diri kita, saya, anda dan keluarga kita..jom !

Saturday, February 09, 2008

Sakit Sebagai Penghapus Dosa


Sakit yang pelbagai sering mengundang persoalan dalam hati seorang muslim atau muslimah..

Adakah sakit ini petanda Allah SWT bencikan kita? Adakah sakit ini sesuatu yang positif untuk diri pesakit?

Sememangnya kita insan lemah..sering berdosa sama ada kecil atau besar. Jangan sesekali diri kita merasai bahawa kita telah mengatasi segala dosa dan berada pada kedudukan yang tinggi...

Maka sakit itu datang dan pergi untuk kebaikan kita juga. Oleh itu Rasulullah SAW pernah mengingatkan kita bahawa segala sakit, kepayahan, kesulitan, malah sehinggakan terkena duri sekali pun..ia sebenarnya positif...ia menghapuskan dosa dan menaikkan kedudukan kita di dunia dan di akhirat nanti...

Walaupun kita tidak boleh meminta sakit, walaupun setelah sakit, Islam menyuruh kita berubat...

namun sakit itu sebenarnya sesuatu yang menguntungkan kita pada jangka masa yang panjang.

Sayangnya kita (umat akhir zaman) sering berfikir jangka pendek...sering menuntut sesuatu dengan gopoh..kurang memikirkan akibat jangka panjang..kurang memikirkan masa depan...

Semoga Allah SWT memberikan lebih hidayah kepada kita semua..

Monday, February 04, 2008

TILAWAH TANPA TILAWAH


Sedarkah kita perkataan Tilawah dalam Bahasa Arab membawa sekurang-kurangnya dua maksud utama?

Pertama, membawa maksud bacaan. Maka Tilawah Al-Quran maksudnya ialah bacaan Al-Quran.

Kedua, membawa maksud mengikuti. Maka Tilawah Al-Quran juga membawa maksud mengikuti ajaran Al-Quran.

Mungkinkah kita boleh katakan bahawa ramai orang (mungkin juga anda dan saya) selalu melakukan Tilawah (membaca) Al-Quran tetapi kurang pula Tilawah (mengikut ajaran) Al-Quran? Semoga Allah SWT mengampunkan saya, anda dan umat Islam yang seringkali Tilawah tetapi tidak Tilawah!

Mari kita bertilawah dengan sebenar-benar maksud TILAWAH.

Saturday, February 02, 2008

Kalau Tak Sempat Baca, Dengarlah Bacaan Orang Lain

Masih lagi menyentuh isu sibuk...

Kesibukan sebahagian masyarakat kadangkala menjadikan mereka tidak sempat membaca..bukannya tak sempat membaca suratkhabar atau novel malah artikel dalam laman web, tetapi tak sempat membaca AL-QURAN.

Alasan demi alasan yang diberikan mungkin benar mungkin tidak. Namun begitu, saya ingin mencadangkan kepada mereka yang sibuk itu agar janganlah tinggalkan terus hubungan anda dengan AL-QURAN.

Allah SWT telah memberitahu kita di dalam ayat-ayat awal surah al-Anfal bahawa antara sifat seorang mukmin ialah bagaimana dirinya akan memberi tindak balas apabila mendengar bacaan AL-QURAN.

Firman Allah SWT di dalam ayat no.2 surah al-Anfal yang bermaksud:

Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.

Maka pastikanlah dalam kereta atau di dalam pc atau laptop, anda menyimpan cd atau mp3 bacaan ayat-ayat suci AL-QURAN agar dapat anda dengar sesekali atau beberapa kali dalam sehari. Sekadar ingin memberikan tenaga kepada iman anda.

Sekali lagi saya ingatkan, kalau tak sempat baca, dengarlah bacaan AL-QURAN dari orang lain. Sekurang-kurangnya kita tidak terlalu JAUH dari AL-QURAN.

Thursday, January 31, 2008

KESIBUKAN BUKAN PENGHALANG MENUNTUT ILMU AGAMA

Jika anda sibuk, kenapa anda masih ada masa untuk melakukan seribu satu macam perkara sampingan dalam hidup?

Jika anda sibuk, kenapa anda masih ada masa untuk bersama keluarga, keluar bersiar-siar, membeli-belah, berjumpa rakan-rakan, mempromosi jualan, menghadiri jamuan demi jamuan dan sebagainya?

Sebenarnya kita tidak sibuk. Tetapi kita kerap kali menuturkan perkataan 'sibuk' apabila kita tidak sempat melaksanakan sesuatu perkara. Maka tiada alasan lain (selalunya) yang lebih baik daripada 'sibuk'.

Ada orang pernah berkata kepada saya bahawa sejak meninggalkan bangku persekolahan, dia tidak pernah belajar agama lagi secara formal. Adakah masyarakat kita sebegini sibuk?

Kesibukan sering menjadi penghalang kepada segelintir masyarakat dari menuntut ilmu agama secara formal atau tidak formal.

Sedangkan menuntut ilmu agama adalah satu perkara yang kita boleh lakukan dengan pelbagai cara dan teknik.

Saya hanya ingin memberi satu contoh, iaitu belajar agama dari laman web Islamik. Ada laman web dalam Bahasa Melayu dan ada dalam Bahasa Inggeris. cuba peruntukkan masa yang tetap sama ada seminggu sekali, seminggu dua kali, seminggu tiga kali atau beberapa minit dalam setiap hari..untuk membuka laman web Islamik yang tertentu agar bertemu dengan perkara baru tentang agama kita. Itulah tujuan menuntut ilmu agama. Antaranya ialah mendapat perkara baru yang dahulunya kita tidak tahu.

Begitu juga dengan melayari laman web sebegini secara KONSISTEN merupakan satu cara untuk melembutkan hati dan mengubat kelemahan iman (iman bertambah dan berkurang).

Perkara yang paling penting ialah...KONSISTEN dan ISTIQAMAH.

insya Allah, anda mampu melakukanya!

Sunday, January 27, 2008

E-BOOK BUKU 20 PERSOALAN ASAS TENTANG HADIS

Mungkin sudah ada yang tahu...mungkin juga ada yang belum tahu..

Bagi yang belum tahu, buku pertama saya iaitu '20 Persoalan Asas Tentang Hadis' telah pun diterbitkan pada tahun 2006. Salah seorang sahabat saya (yang juga merupakan penulis buku) telah sudi untuk menjadikan buku ini sebagai e-book agar ia mudah dibaca oleh pelayar-pelayar internet. Ribuan terima kasih kepada beliau.

Untuk anda, sudikanlah membacanya di laman web beliau iaitu:
www.hafizfirdaus.com

Buku itu berada dalam bahagian e-book.


Di dalam buku itu, saya cuba menghimpunkan 20 persoalan berkaitan hadis yang saya anggap sebagai perkara yang perlu diketahui oleh setiap muslim dan muslimah. Semoga ia menjadi manfaat untuk kita semua.

http://hafizfirdaus.com/ebook/20asashadis/

Friday, January 25, 2008

BERTERIMA KASIH KEPADA ISTERI

Khas untuk para suami...

Isteri perlu dihargai. Tugas mereka ibarat menguruskan semua perkara. Diri sendiri, suami, anak, ibu bapa mereka, keluarga, tempat kerja (bagi yang bekerja), urusan ibadat dengan Tuhannya, cita-cita, perancangan peribadi...hidup mereka selalunya mempunyai beban dua kali ganda daripada suami. Jika suami kurang menghargai, apa agaknya yang akan mereka simpan di dalam hati?

Rasulullah SAW amat menghargai isteri-isterinya. Sebaik-baik suami adalah yang paling baik terhadap isteri dan anak-anak. Bukan sekadar memberi nasihat, malah Rasulullah SAW memberikan contoh untuk ikutan para suami sepanjang zaman.

Sebagai suami, kita terkadang lupa dengan pengorbanan isteri. Mungkin terkadang bila kita mendengar lagu Nash 'Pada Syurga di Wajahmu' atau lagu Search 'Teguh', barulah kita terfikir tentang isteri.

Ego kita menutup mata hati kita daripada berterima kasih kepada mereka. Saya dan anda amat terhutang budi kepada mereka. Belajarlah berterima kasih kepada mereka terutama para isteri yang setia dan taat kepada suami.

Thursday, January 24, 2008

BERPANDANGAN JAUH...SEJAUH AKHIRAT

Islam sentiasa mengajar umatnya berpandangan jauh ke hadapan. Dengan tidak menafikan perlunya pandang ke belakang untuk mengambil pengajaran dan membuat pembetulan, Islam adalah ajaran yang penuh sarat dengan saranan agar umatnya terus memandang jauh ke hadapan.

Ayat-ayat Al-Quran dan hadith-hadith Rasulullah SAW penuh dengan isyarat dan saranan ke arah mengambil kira kesan perbuatan kita terhadap masa depan. Segala idea yang tersurat dan tersirat adalah untuk umat Islam berfikir panjang sebelum mengeluarkan pandangan atau melakukan sebarang tindakan.

Pandangan jauh itu bukan hanya sekadar di dunia, tetapi terus menjangkau ke alam akhirat. Begitu jauh pandangan seorang muslim. Hatinya sentiasa terdetik...apa agaknya kesan perbuatanku ini? Adakah ia menguntungkan diriku di akhirat nanti? Adakah ia merugikan diriku di akhirat nanti? Maka muslim berada dalam keadaan penuh sedar bahawa masa depannya perlu dijaga...bukan hanya di dunia, malah di akhirat sana!

Tuesday, January 22, 2008

BERSABAR TERHADAP KERENAH ORANG LAIN

Terkadang kita bertemu dengan segolongan manusia yang kita anggap sebagai kawan. Kawan yang memahami dan mengerti hasrat kita dan tujuan kita. Mereka bergaul dengan kita dalam keadaan telus dan ikhlas. Saling memberi dan menerima. Tetapi...masa berlalu dan seperti disebut oleh sebahagian sasterawan..'siang dan malam melakukan 'sesuatu' terhadap kita'.

Akhirnya mereka yang dianggap kawan telah mengubah tanggapan mereka terhadap kita. Kita tidak berubah. Mereka yang berubah. Mereka inginkan sesuatu yang lebih dari kita. Mereka lupa jasa kita walaupun kita tidak pernah lupa jasa mereka. Mereka merasakan bahawa kita yang memerlukan mereka sedangkan kita semua lengkap melengkapi.

Ubatnya ialah SABAR. Bersabarlah, itu adalah yang mampu kita lakukan. Bersabarlah, kita tidak akan rugi kalau sebahagian kecil dari 'kawan' kita berubah. Kita masih ada ramai lagi insan ikhlas yang sedia berkorban untuk kita. Hargailah mereka pula. Jangan nanti mereka pula yang merana kerana kita lupakan mereka.

- coretan hati 2.00pm

Saturday, January 19, 2008

Panduan Ulama Terdahulu Dalam Memelihara Kesahihan Hadith #1 - Bahagian akhir

SEKIRANYA ADA, AMBILLAH TAPI SEKIRANYA TIADA...
Setelah mencari, ditaqdirkan anda bertemu dengan kenyataan bahawa hadith yang satu itu adalah sahih, maka tenangkanlah diri anda dan cubalah beramal dengan memahaminya.
Tapi sekiranya hadith itu tidak sahih, tidak diketahui oleh orang berilmu, tiada dalam mana-mana buku yang mengumpulkan hadith sahih, tidak pernah dinilai sahih oleh mana-mana ahli hadith, maka tinggalkanlah ia. Tinggalkan sahaja hadith itu.
Sekiranya hadith itu berada dalam status ’tidak ditemui’, tinggalkanlah juga ia kerana kita masih belum pasti adakah ia sahih atau tidak. Tinggalkanlah ia sekejap dalam simpanan. Ada masa, teruskan mencari. Mungkin ada yang akan menjumpainya selain anda.
Setelah anda membaca huraian saya terhadap kata-kata Yazid Ibn Abi Habib, anda boleh membuat keputusan, adakah nasihat beliau masih relevan untuk kita pada zaman ini di negara ini? Wallahu a’lam.

* (bagi saya, nasihat ini amat sesuai dipraktikkan sebagai langkah segera untuk memulihkan kepekaan masyarakat terhadap hadith-hadith Rasulullah SAW. Ini pendapat saya, anda bagaimana?)

Wednesday, January 16, 2008

Panduan Ulama Terdahulu Dalam Memelihara Kesahihan Hadith #1 - Bahagian 2

APABILA ENGKAU MENDENGAR SATU HADITH...
Selalunya kita akan mendengar hadith (walaupun hanya satu!) melalui radio atau kaca tv. Kita juga akan mendengar hadith pada ceramah-ceramah atau kuliah-kuliah agama bahkan mungkin pada ceramah pilihanraya. Begitu juga kita seringkali terjumpa dengan hadith di dalam majalah, surat khabar, buku, poster, ukiran di dinding, internet, kain rentang, diari, botol ubat, makanan atau minuman dan sebagainya. Yazid Ibn Abi Habib seakan menyuruh kita agar tidak membiarkan sahaja hadith itu tanpa difikirkan atau dikaji, sahih, dhaif atau palsu? Beliau ingin mendidik jiwa umat Islam agar peka dengan maklumat tentang agama mereka, bukan hanya melihat dan membiarkannya tanpa dipedulikan. Kepekaan ini jarang kita temui termasuklah dalam kalangan penuntut ilmu agama sendiri!
Pernah satu petang Jumaat pada tahun 2004 saya didatangi oleh salah seorang pelajar sekolah tempat saya mengajar. Dia datang membawa buku nota kecil dan menunjukkan kepada saya beberapa hadith yang telah dicatatkannya semasa khutbah Jumaat di masjid! Dia ingin tahu, adakah hadith-hadith itu sahih atau tidak. Adakah ini berlaku dalam kalangan masyarakat kita pada hari ini? Ia akan berlaku jika kepekaan dalam diri itu wujud. Nasihat Yazid Ibn Abi Habib amat mendalam. Sanggupkah kita menerima nasihat ini?

CARILAH IA SEPERTI MENCARI BARANG YANG HILANG...
Kalau anda kehilangan sesuatu yang berharga, pasti anda akan ke sana dan ke sini dalam keadaan gelisah dan resah. Ada yang berjumpa bomoh dan dukun. Ada yang meminta masjid melakukan solat hajat berjemaah. Ada yang berdoa siang dan malam agar Allah SWT memberi petunjuk dan mengembalikan barang yang hilang itu.
Inilah yang ingin ditanam oleh Yazid Ibn Abi Habib dalam jiwa masyarakat Islam pada zamannya. Kalau bertemu dengan satu...walaupun satu hadith, carilah ia seperti mencari barang yang hilang. Pergilah bertanya kepada yang tahu. Bukalah alat carian yang anda mampu. Gunakanlah segala jalan yang dirasakan boleh membantu kita mengetahui dari manakah asal-usul hadith itu. Carilah dengan bersungguh-sungguh dan bukan dengan sekadar sambil lewa.
........................(Bersambung)

Tuesday, January 15, 2008

Panduan Ulama Terdahulu Dalam Memelihara Kesahihan Hadith #1

CARILAH IA SEPERTI MENCARI SESUATU YANG HILANG

Sesekali terlintas di hati kita atau terdengar di telinga kita rungutan tentang sukarnya mengenal pasti hadith sama ada ia sahih atau tidak. Kepada mereka yang pernah merungut dan mengeluh tentang perkara ini, saya ingin tegaskan...ya! Sememangnya ia adalah sesuatu yang sukar dan hanya boleh dilakukan oleh pakar-pakar hadith yang layak. Jadi? Apa penyelesaiannya? Takkanlah tak ada apa yang boleh kita lakukan?
Mungkin ada. Mari kita lihat bersama satu ungkapan yang pernah disebut oleh salah seorang tokoh tabi’in (mereka yang sempat bertemu dengan para sahabat tetapi tidak sempat bertemu dengan Rasulullah SAW) yang bernama Yazid Ibn Abi Habib. Beliau pernah memberi nasihat kepada umat Islam di zamannya dengan katanya: ’Apabila engkau mendengar satu hadith, carilah ia seperti mana kamu mencari sesuatu yang hilang. Jika hadith itu dikenali orang, terimalah. Tapi sekiranya ia tidak dikenali, tinggalkanlah ia’. Kata-katanya lebih ringkas tetapi itulah yang dapat saya terjemahkan untuk sama-sama kita fahami. Sumber: Risalah Abu Daud Ila Ahl Makkah karya Abu Daud (275H); Al-Jarh Wa al-Ta’dil karya Ibn Abi Hatim.

UNGKAPAN YANG MENARIK!
Entah kenapa saya amat tertarik dengan kata-kata ini! Bagi saya ia menarik kerana ia datang daripada seorang ahli hadith terkemuka dalam kalangan tabi’in yang tahu keadaan yang dihadapi oleh masyarakat di zamannya. Seolah-olah nasihat ini ditujukan kepada mereka yang masih tercari-cari kaedah sebenar mengenal hadith antara yang sahih atau tidak. Beliau tidak menyuruh semua masyarakat agar belajar sehingga mencapai tahap beliau sendiri yang merupakan antara tokoh hadith terbilang. Ia akan memakan masa yang panjang.
Bolehkah nasihat ini digunakan pada zaman kita sekarang? Bolehkah nasihat ini dipakai di Malaysia dalam keadaan ilmu hadith masih belum benar-benar berkembang? Mari kita lihat satu persatu nasihat beliau ini. Mungkin ia berguna untuk saya dan anda dan mungkin juga ia tidak lagi relevan untuk zaman kita. Pilihan di tangan anda!
...............Bersambung.

Monday, January 14, 2008

BULAN MUHARRAM, BULAN BERPUASA

Selalu orang cakap 'Bulan Ramadhan Bulan Berpuasa'. Memang betul, puasa wajib.

Kini mari kita ucapkan 'Bulan Muharram Bulan Berpuasa' dengan makna puasa sunat.

Ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW (Riwayat Muslim dalam 'Sahih Muslim') yang bermaksud:

"Puasa yang paling baik selepas puasa Ramadhan ialah puasa pada bulan Allah yang kamu panggil sebagai al-Muharram".

* Puasa sunat ni bagi sebahagian manusia, senang diucap tapi susah dibuat. Bagi sebahagian yang lain, senang dibuat, sukar untuk dihayati. Bersama-samalah kita mencuba sedaya upaya agar ia meninggalkan kesan di dalam hati.

Friday, January 11, 2008

TAHUN BARU...BANYAK MASALAH BARU

Tahun baru hijrah datang lagi...

Masih banyak azam tahun-tahun lalu belum terlaksana...

Ditambah pula dengan azam tahun ini.

Masih banyak dosa tahun-tahun lalu belum di'taubat'kan...

Ditambah pula dengan dosa tahun ini.

Masih banyak buku-buku yang belum dibaca pada tahun-tahun yang lalu...

Ditambah pula dengan buku cetakan baru tahun ini.

Masih banyak kerja tahun lalu yang belum selesai...

Ditambah pula dengan kerja baru pada tahun baru.

Masih banyak kewajipan yang tertunggak pada tahun lalu...

Ditambah pula dengan kewajipan pada tahun ini.

Apa yang penting..perbaharuilah iman, tekad dan amalan. Kerana dengan memperbaharuinya, kita akan berjaya menyelesaikan masalah dulu dan juga masalah yang baru. Insya Allah.

Wednesday, January 09, 2008

PROGRAM MALAM INI - WACANA ILMU

Diambil daripada laman web pengajur:

Tugas Ahli Hadith Moden
Wacana Ilmiah

8:15 pm, Rabu, 9 Januari 2008

Pertubuhan Kebajikan Al-Nidaa’ Malaysia,
17A, Lorong Datuk Sulaiman 7, Taman Tun Dr Ismail,
60000 Kuala Lumpur

Kita sering mendengar istilah ‘ahli hadith’ atau ‘muhaddith’. Sejauh mana istilah ini berkembang sejak ia mula muncul pada zaman awal Islam? Adakah ‘ahli hadith’ pada zaman moden ini sama kedudukannya, sifat-sifatnya, tugasnya, kemampuannya dan sebagainya dengan ‘ahli hadith’ pada zaman kegemilangan ilmu hadith pada sekitar kurun kedua, ketiga dan keempat Hijrah? Jika sama, apa buktinya? Jika tidak, apa pula tugas dan cabaran semasa yang perlu dipikul oleh ‘ahli hadith’ moden?

Pembentangan ini akan tertumpu kepada mencari jawapan terhadap persoalan-persoalan di atas dan juga persoalan lain yang berkaitan. Ia akan membicarakan tentang:
Pengenalan kepada ‘ahli hadith’
Tugas ‘ahli hadith’ silam terutama pada kurun kegemilangan hadith
Mengenal perbezaan antara ahli hadith moden dan silam
Tugas ‘ahli hadith’ moden
Semoga pembentangan ini akan dapat membuka jalan ke arah memahami cabaran semasa terhadap kajian hadith. Dalam masa yang sama, ia bertujuan untuk kita mengetahui sejauh mana kehebatan ahli hadith sepanjang zaman dan sejauh mana ia memberi kesan kepada dakwah Islam. Insha Allah.
Profil Pembentang:



Ustaz Adlan Bin Abdul Aziz

Memperolehi Ijazah Bahasa Arab dari Universiti Al Bayt, Jordan. Kini sedang menuntut di Universiti Malaya untuk mendapatkan Ijazah Sarjana pengkhususan Bahasa Arab.

Merupakan guru di SMK Segambut Jaya, Kuala Lumpur. Antara buku yang diterbitkan termasuk 20 Persoalan Asas Tentang Hadith dan Doa & Zikir Rasulullah SAW selepas Solat.

Beberapa artikel disiarkan dalam Majalah I terbitan Karangkraf dan al-ahkam.net, di mana beliau seorang moderator.



Tempat Terhad
Sila Hubungi:
03-77106900 atau 012-2820244
Dewasa: RM 10, Pelajar: RM 5
** Koleksi CD dan DVD dari tajuk-tajuk wacana sebelum ini turut dijual **

Sunday, January 06, 2008

PANDUAN SURAH AL-KAHFI TENTANG PEMAKANAN SIHAT

Malam tadi ana berbual panjang dengan salah seorang sahabat yang dikasihi iaitu Presiden Institut al-Qayyim. Kalau nak kenal, bolehlah buka laman web Institut al-Qayyim - http://al-qayyim.dtdns.net/v01/ , pasti anda akan dapati banyak info berguna tentang Islam.

Apa yang penting, antara topik perbualan kami ialah satu ayat daripada Surah al-Kahfi. Ashabul Kahfi adalah pemuda-pemuda yang lari menyelamatkan iman dan jiwa mereka daripada ancaman pemimpin yang kufur pada satu masa dahulu. Setelah mereka bersembunyi di dalam sebuah gua, mereka telah ditidurkan oleh Allah SWT selama beratus tahun dan akhirnya Allah SWT mentaqdirkan mereka bangun daripada tidur yang panjang. Itu adalah sinopsis kisah Ahsabul Kahfi.

Apa yang menarik disebut oleh Presiden IQ ialah: kata-kata salah seorang daripada pemuda-pemuda itu ketika bangun dari tidur. Kata-kata beliau telah direkodkan di dalam Al-Quran dalam ayat no. 19:

Maksudnya:
"Dan demikianlah pula Kami bangkitkan mereka (dari tidurnya), supaya mereka bertanya-tanyaan sesama sendiri. Salah seorang di antaranya bertanya: "Berapa lama kamu tidur?" (sebahagian dari) mereka menjawab: "Kita telah tidur selama sehari atau sebahagian dari sehari". (Sebahagian lagi dari) mereka berkata: "Tuhan kamu lebih mengetahui tentang lamanya kamu tidur; sekarang utuslah salah seorang dari kamu, membawa wang perak kamu ini ke bandar; kemudian biarlah dia mencari dan memilih mana-mana jenis makanan yang lebih baik lagi halal (yang dijual di situ); kemudian hendaklah ia membawa untuk kamu sedikit habuan daripadanya; dan hendaklah ia berlemah-lembut dengan bersungguh-sungguh (semasa di bandar); dan janganlah dia melakukan sesuatu yang menyebabkan sesiapapun menyedari akan hal kamu".
(Terjemahan diambil daripada laman web http://www.iiu.edu.my/deed/quran/malay/)

Lihatlah di dalam ayat itu terdapat perkataan 'makanan yang lebih baik' atau yang paling baik. Bukankah di dalam ayat seringkas ini terdapat panduan terhadap pemakanan yang sihat? Subhanallah, kita sebagai umat Islam kadangkala terlepas pandang panduan yang seindah ini dalam ayat yang seringkas ini.

sama-samalah kita 'renungkan' Al-Quran dan bukan setakat 'merenung' zahirnya sahaja.

Friday, January 04, 2008

DUNIA YANG MELETIHKAN

Dunia ni memang meletihkan. Betul tak?

Kalau seorang pelajar yang belajar untuk berjaya dalam pengajiannya...letih.

Seorang pemandu yang memandu pelbagai jenis kenderaan...letih.

Seorang peniaga yang sentiasa bekerja untuk menjamin keuntungan...letih.

Seorang atlit yang bersukan dalam pelbagai jenis sukan..letih.

Seorang ahli fikir atau ahli politik...letih.

Seorang yang menari dan menyanyi untuk menghiburkan diri dan orang lain...letih.

Seorang manusia yang masih hidup dan perlu beribadah kepada Tuhannya...letih.

Memang dunia ini meletihkan. Tugas kita ialah untuk memastikan beberapa perkara berkaitan 'letih':

1- Letih yang berbaloi dan memberikan pulangan positif sama ada di dunia atau di akhirat.

2- Letih yang disusuli dengan rehat yang mencukupi untuk kita terus berusaha.

3- Letih yang dapat memberikan kepuasan kepada diri dan orang lain.

Itulah dunia ini. Pastikan kita 'letih' kerana perkara yang positif, bukan 'letih' yang merugikan dunia dan menghilangkan nikmat akhirat. Bukan juga letih yang akhirnya membawa 'letih' yang baru di akhirat. Bukan juga 'letih' yang mengganggu dan menyusahkan hidup orang lain.

coretan semasa 'letih' selepas menulis di komputer.

Wednesday, January 02, 2008

AKTIVITI ILMU TERDEKAT

Insya Allah, saya akan membentangkan sebuah tajuk berkaitan kajian hadith. Sila klik 'link' di bawah

http://www.al-nidaa.com.my/artikel.php?id=283&action=view

Tuesday, January 01, 2008

TAHUN BARU, SEMANGAT BARU

Walaupun kita tidak disuruh untuk menyambut tahun baru dengan apa-apa amalan tertentu (dalam Islam), tetapi tahun baru tidak dinafikan memberikan satu peluang untuk kita memperbaharui tekad dalam memperbaiki diri.

Semangat yang baru sering dikaitkan dengan tahun baru. Ia amat penting kerana Islam -sebagaimana ia perlukan ilmu pengetahuan - ia juga perlukan semangat utk menggerakkan amalan bersesuaian dengan ilmu yang telah diperolehi.

Dengan semangat dalaman yang kukuh barulah diri dan keluarga kita dapat dibentuk untuk hidup selaras dengan perintah Allah SWT dan perintah RasulNya SAW.

Islam memberikan garis panduan umum untuk seluruh tindak tanduk dalam kehidupan. Jadikanlah tahun baru ini tahun penuh bersemangat untuk diri kita menambah ilmu, menambah semangat dan mengubah haluan ke arah yang lebih dekat pada kehendak Islam.

Monday, December 24, 2007

TAK HABIS-HABIS DENGAN 'BERANTAI'

Dulu, surat berantai...
Habis terkejut orang-orang tua dan muda apabila menerima surat 'berantai' yang mengandungi pesanan daripada penjaga pintu Kaabah (kononnya). Maka kecut perutlah sebahagian pembaca surat itu apabila isi kandungannya memberikan 'berita gembira' dan 'azab yang pedih'. 'Berita gembira' jika dibuatnya 10 salinan lalu diposkan kepada 10 orang. 'Azab yang pedih' jika tidak mempercayai isi surat itu.

Kini, ada email berantai...
Terkejutlah pula orang-orang yang membuka akaun e mail mereka apabila mendapati terdapat pesanan yang sama. Ia memberikan kata dua - percaya atau terima akibatnya.

Juga, ada sms berantai...
Terkejut pula si pemilik telefon bimbit apabila sms yang diterimanya juga mengandungi cerita yang sama, janji yang sama, amaran yang sama.

Petang semalam (Ahad), isteri saya pula yang menerima sms 'berantai' ini. Lalu saya mengambil telefonnya untuk menulis jawapan balas. Isteri saya bertanya 'kenapa?'. Saya menjawab : 'kita perlu memberitahu penghantar sms ini bahawa sms berantai ini adalah khayalan, pembohongan dan boleh menjejaskan aqidah. Inilah masanya untuk berdakwah'. Lalu isteri saya sendiri yang menulis jawapan sms tersebut.

Inilah sepintas lalu sorotan sejarah surat, e mail dan sms berantai yang telah saya temui sejak di bangku sekolah hinggalah ke petang semalam. Apalah nasib sebahagian umat ini yang masih tidak dapat membezakan antara khayalan, pembohongan dan ajaran agama sebenar.

Didiklah diri kita dan keluarga untuk membina benteng aqidah yang kukuh, dikuatkan dengan ilmu, agar tidak mudah percaya kepada apa sahaja yang berbentuk 'berantai'. Saya yakin dan percaya, kisah 'berantai' ini tidak akan berhenti..malah ia akan berterusan selama mana fahaman Islam tidak benar-benar mantap dalam hati masyarakat.

Ingat..kalau anda jumpa orang-orang yang percaya kepada perkara-perkara yang 'berantai' seperti ini, tegurlah dan perbetulkanlah ia. Sesungguhnya ia adalah satu kerja dakwah yang amat mulia.

Friday, December 21, 2007

KEPERLUAN MENGENAL SEJARAH ISLAM SEBENAR

Di antara jalan-jalan penting yang digunakan oleh musuh-musuh Islam atau pengikut-pengikut mereka secara tidak sedar ialah Sejarah Islam.

Mengubah walaupun satu fakta penting dalam perjalanan sejarah Islam akan mampu mengubah persepsi seorang muslim atau muslimah tentang pelbagai perkara.

Perbuatan salah tafsir terhadap beberapa peristiwa sejarah penting dalam Islam akan menjadikan pembacanya bersangka buruk terhadap orang-orang yang baik..dan bersangka baik kepada orang-orang yang memerangi Islam.

Menokok nambah peristiwa sejarah palsu di celah-celah peristiwa sebenar akan hanya mengelirukan pelajar-pelajar sejarah tentang Islam.

Kita perlu memastikan bahawa sejarah Islam benar-benar diperolehi daripada sumber yang diyakini. Setelah itu, kita perlu membezakan antara fakta sejarah dan juga 'tafsiran sejarah' agar ia tidak memerangkap kita dalam memberikan pendapat.

Inilah yang berlaku - sebagai contoh - pada sejarah pembukuan hadith Rasulullah SAW. Ia berlaku dalam keadaan yang tidak disedari dan amat halus. Beberapa fakta palsu sengaja dilemparkan bertujuan untuk menuduh bahawa hadith tidak terpelihara dan hadith sebenarnya adalah rekaan ulama dan bukan bersumberkan daripada Rasulullah SAW.

Saya telah bertemu dengan mereka yang menganuti fahaman ini dan mungkin anda juga pernah membaca tentang fahaman ini. Punca utama perkara ini tidak lain dan tidak bukan - kurangnya maklumat tepat tentang sejarah Islam khususnya pembukuan hadith. Akhirnya tempat yang kosong itu dipenuhkan dengan fakta-fakta palsu lagi meragukan.

Semoga kita sentiasa terdorong ke arah mendalami sejarah Islam dengan lebih berhati-hati. Sebagai bacaan cadangan untuk mendapat maklumat-maklumat asas tentang 'Sejarah Pembukuan Hadith', saya syorkan anda membaca buku-buku berikut:

1- buku Dr. Mustafa al-A'zhami tentang kajian hadith (dalam Bahasa Arab):

http://s203995553.onlinehome.us/books/13/1297.rar

2- sebuah lagi buku Dr. Mustafa al-A'zhami (dalam Bahasa Melayu) bertajuk:
Kajian Metodologi dan Penulisan Hadith - terjemahan Engku Ibrahim Engku ISmail - cetakan Dewan Bahasa dan Pustaka, 1989.

Wednesday, December 12, 2007

DAKWAH PERLUKAN KESABARAN

Dakwah dengan maksud 'menyampaikan Islam kepada manusia' adalah sesuatu yang amat tinggi nilainya di sisi Allah SWT.

Dakwah juga mempunyai banyak cara dan ruang untuk digunakan sepenuhnya oleh seorang yang bergelar 'pendakwah' atau 'da'ei'. Tidak semestinya cara saya berdakwah perlu diikuti dan boleh dilaksanakan oleh orang lain. Tidak semestinya juga cara dakwah anda perlu saya contohi 100% tanpa sebarang pengolahan.

Begitu juga dakwah perlukan sokongan dalam pelbagai bentuk sama ada moral atau material. Selain itu, dakwah juga perlukan matlamat dan perancangan rapi untuk mencapai matlamat tersebut.

TETAPI...apa yang lebih penting ialah - dakwah perlukan kesabaran. Manusia sering gopoh dan tergesa-gesa dalam hidupnya. Begitu juga para pendakwah, terkadang bermain di fikiran mereka ..'kenapa masyarakat tak nak ikut Islam 100%?'..'bila agaknya masyarakat akan kembali insaf?'..'kenapa dakwah aku tidak berkesan?'..'sampai bila keadaan akan berterusan sebegni?'....

Itu semuanya petanda kita kurang kesabaran. Sabar adalah aspek penting malah ia antara yang terpenting dalam kehidupan seorang pendakwah. Ia amat sukar dilakukan dan tidak ada yang akan memahaminya kecuali orang itu pernah melaluinya.

Ingatlah..kesabaran adalah sesuatu yang amat diperlukan oleh seorang pendakwah. Dan ketahuilah bahawa jalan dakwah adalah jalan yang telah dimulakan oleh orang-orang sebelum kita. Ia sedang dilakukan oleh kita. Ia juga bakal disambung oleh orang-orang selepas kita...

Bersabarlah..kesudahan yang baik adalah utk orang-orang yang bertaqwa.

Monday, December 10, 2007

MENDEKATKAN ILMU ISLAM KEPADA MASYARAKAT ATAU...?

Seringkali kita temui usaha pelbagai pihak dari dalam dan luar negara untuk mendekatkan ilmu-ilmu tentang Islam kepada masyarakat. Pelbagai istilah dan usaha dihasilkan untuk memudahkan dan menjadikan ilmu-ilmu Islam (yang seringkali dianggap susah) senang utk difahami seterusnya dipraktikkan.

Tetapi dalam masa yang sama kita juga dapati bahawa ada satu lagi masalah yang perlu difikirkan dan diselesaikan bersama iaitu - bagaimana mendekatkan masyarakat kepada ilmu-ilmu Islam.

Semudah mana sekalipun ilmu itu kita persembahkan dan bagaimana menariknya pun kita bentangkan, tetapi kalau tuan punya badan tak ingin menatapnya atau menghampirinya, adakah apa yg kita persembahkan itu akan bermanfaat utk dirinya?

Sudah tiba masanya kita fikirkan, adakah buku agama atau apa sahaja bentuk tulisan tentang ilmu-ilmu Islam itu tidak menarik, atau sebenarnya ia memang menarik tetapi tidak dipedulikan oleh masyarakat?

Penyelesaiannya bergantung kepada diri kita agar kita berfikir sejenak dan merenung kembali - kenapa diri ini tidak begitu berminat untuk menambah ilmu tentang Islam? Ketepikan soal-soal zahir dan luaran seperti 'buku tak cantik, laman web tak menarik, masa tak ada, harga mahal sangat dll'. Tetapi tanya diri kita, adakah kita BERMINAT untuk MENDEKATI ilmu-ilmu tentang Islam..?

Akhirnya juga fikirkan...adakah dengan MENDEKATI ilmu-ilmu Islam menjadikan masa kita terbuang atau duit kita terkurang? Adakah faedah MENDEKATI ilmu-ilmu Islam akan membantu kita di akhirat nanti?

Anda mampu berfikir...maka lakukanlah yg terbaik!

Wednesday, December 05, 2007

Berhati-Hati Dengan 'Tanggapan Pertama'

Kita adalah manusia yang lemah. Seringkali kita tertipu dengan 'pandangan pertama' atau 'tanggapan awal'. Apa yang sering dikenali dengan istilah '1st impression'.

Masih segar di ingatan saya bagaimana saya dan seorang teman ketika kami mula-mula ditugaskan di salah sebuah sekolah di Kuala Lumpur sebagai guru pelatih. Kami bertemu dengan salah seorang pentadbir sekolah - dengan mukanya yang serius, tiada senyuman, kelihatan tidak begitu menghargai kami berdua. Pelbagai tanggapan muncul dalam pemikiran kami dan ia tidaklah begitu positif.

Tetapi, setelah masuk ke pejabat beliau dan berbual dengannya, ternyata apa yang kami sangka amat tidak tepat malah jauh dari kenyataan. Ternyata beliau seorang yang begitu memahami dan mesra. Ya Allah, terasa begitu bersalah kerana membuat tanggapan melulu.

Begitu juga ketika saya membeli burger di salah satu gerai burger di Kajang. Penjual burger itu kelihatan pada saya (menurut tanggapan pertama) seperti seorang yang amat bengis dan seolah-olah tidak mahu menerima pelanggan. Tetapi sebaik sahaja saya memberinya wang dan beliau memulangkan kembali wang baki, terpancar di mukanya raut ceria dan ucapan 'terima kasih, bang' kedengaran begitu lembut. Pada hari yang lain, saya pernah melihat beliau begitu mesra melayan seorang kanak-kanak kurang upaya. Ya Allah, betapa salahnya tanggapan awalku!

Mungkin anda juga pernah melalui peristiwa yang hampir sama?

Lagipun, kita mesti ingat bahawa sebagaimana kita mempunyai tanggapan awal terhadap orang lain, mereka juga pasti ada tanggapan awal terhadap kita.

Marilah kita perbaiki penampilan kita agar tidak disalah anggap...dan marilah kita menghindari tanggapan yang negatif untuk komunikasi kita menjadi lebih berkesan.

Tuesday, December 04, 2007

Putus Asa Dari Taubat?

Sebagai seorang muslim dan muslimah, kita dilarang utk berputus asa daripada rahmat dan keampunan Allah SWT.

Tetapi, disebabkan kita tenggelam dalam banyak maksiat dan kita tinggalkan pula banyak suruhan Allah, ini semua menyebabkan kita semakin hari semakin berputus asa dari taubat.

Tiada jalan lain melainkan kembali kepada Allah SWT. Biarlah sejauh mana kita menyimpang dari ajaran Islam, biarlah seburuk mana sikap dan tingkah laku kita, biarlah walaupun segunung dosa ada di bahu kita...ingatlah...

Allah itu penyayang dan pengampun bagi mereka yang ingin kembali kepadaNya.

Janganlah kita berputus asa daripada bertaubat kerana ia adalah sikap yg akan merugikan kita. Hari demi hari berlalu, waktu tidak pernah berhenti..sedar atau tidak,kita semakin hampir ke penghujung hayat. Kenapa kita tidak mahu menghargai nikmat kehidupan sebelum kematian?

Mulakan dengan bertaubat...insya Allah, anda tidak akan lagi berputus asa daripada rahmat Allah dan pengampunanNya.

Monday, December 03, 2007

Mari DEKATkan anak-anak dengan Al-Quran

Wahai para ibu dan bapa,

sebagai bapa kepada anak-anak yang sedang membesar, saya ingin mengajak diri saya dan anda semua agar memberikan perhatian terhadap hubungan anak-anak kita dengan Al-Quran.

pastikan kekerapan yang berterusan utk anak-anak kita membaca Al-Quran.

sekiranya anda semua boleh mengajar dan sempat pula mengajar Al-Quran, maka pastikan jadual itu tetap. contohnya setiap hari sabtu malam, anda pasti akan mengajar anak-anak anda membaca AL-Quran.

sekiranya anda tidak mampu atau tidak sempat, maka peruntukkanlah masa dan juga sedikit perbelanjaan agar ada yang mampu utk mendidik anak-anak kita membaca AL-Quran.

Bukanlah tujuan kita semata-mata utk mereka boleh membaca AL-Quran, tapi utk mereka DEKAT dan HAMPIR dengan AL-Quran.

begitu ramai umat Islam yang amat JAUH dari AL-Quran. JAUH dari membacanya dengan berterusan. JAUH dari memahaminya dengan tepat. JAUH daripada mempraktikkan ajaran Al-Quran.

mari kita DEKATkan diri kita dan pewaris kita (anak-anak kesayangan kita) dengan AL-Quran.

Monday, October 08, 2007

TARIKH KEWAFATAN SERTA BEBERAPA PERISTIWA PENTING DALAM SEJARAH ISLAM

Berikut adalah senarai tahun kewafatan Rasulullah SAW dan sebahagian para sahabat yang terkenal. Begitu juga diselitkan tarikh beberapa peristiwa penting sepanjang zaman Rasulullah SAW sehingga penghujung pemerintahan khalifah-khalifah rasyidin. Ia adalah sebahagian daripada tulisan yang dikumpulkan oleh ahli-ahli Multaqa Ahl Hadeeth yang saya pilih daripada edisi lengkap. Edisi lengkap sejarah Islam tersebut yang memuatkan tarikh kewafatan dan peristiwa-peristiwa penting sehingga tahun 1424 H(dalam Bahasa Arab) akan disediakan dalam ruangan muat turun al-ahkam.net tidak lama lagi, insya Allah.

semoga tarikh-tarikh berikut akan kita simpan untuk diingati selalu.




1- Khadijah Binti Khuwailid, isteri Rasulullah SAW – 3 tahun sebelum Hijrah.

2- Perang Badr – 2 H

3- Ruqayyah, anak Rasulullah SAW – 2 H

4- Perang Uhud – 3 H

5- Hamzah Ibn Abd. Muttolib, bapa saudara Rasulullah SAW – 3 H

6- Perang Dzat al-Riqa’ – 4 H

7- Perang Khandaq – 5 H

8- Perang Bani Quraizoh – 5 H

9- Perdamaian Hudaibiyyah – 6 H

10- Perang Khaibar – 7 H

11- Pembukaan Makkah – 8 H

12- Perang Hunain – 8 H

13- Perang Mu’tah – 8 H

14- Zainab, anak Rasulullah SAW – 8 H

15- Perang Tabuk – 9 H

16- Raja al-Najashi, pemerintah Habsyah – 9 H

17- Ummu Kalthum, anak Rasulullah SAW – 9 H

18- Ibrahim, anak Rasulullah SAW – 10 H

19- Haji Perpisahan (haji terakhir Rasulullah SAW) – 11 H

20- Kewafatan penghulu segala Nabi dan Rasul, Muhammad Ibn Abdullah, Rasulullah SAW – 11 H

21- Fatimah, anak Rasulullah SAW – 11 H

22- Peperangan al-Riddah (memerangi orang-orang murtad) – 11 H

23- Peperangan Dzat al-Salaasil – 12 H

24- Abu Bakr al-Siddiq, khalifah pertama – 13 H

25- Peperangan al-Qadisiyyah – 14 H

26- Peperangan Yarmuk – 15 H

27- Permulaan penyusunan semula kalendar Hijrah di zaman Umar – 16 H

28- Pembukaan Baitul Maqdis – 16 H

29- Pembukaan Mesir – 20 H

30- Zainab, isteri Rasulullah SAW – 20 H

31- Saudah, isteri Rasulullah SAW – 23 H

32- Pembukaan Libya – 23 H

33- Umar Ibn al-Khattab, khalifah kedua – 23 H

34- Pembukaan Khurasan – 29 H

35- Penulisan dan pengumpulan semula Al-Quran di zaman Uthman Ibn Affan – 32 H

36- Al-Abbas Ibn Abd. Muttolib, bapa saudara Rasulullah SAW – 32 H

37- Abdullah Ibn Mas’ud – 32 H

38- Uthman Ibn Affan, khalifah ketiga – 35 H

39- Peperangan al-Jamal – 36 H

40- Peperangan Siffin – 37 H

41- Ammar Ibn Yasir – 37 H

42- Ali Ibn Abi Tolib, khalifah keempat – 40 H

43- Hafsah, isteri Rasulullah SAW – 41 H

44- Ummu Habibah, isteri Rasulullah SAW – 44 H

45- Ramlah Binti Abu Sufian, isteri Rasulullah SAW – 49H

46- Al-Hasan Ibn Ali, cucu Rasulullah SAW – 49 H

47- Pembukaan Tunisia – 50 H

48- Safiyyah, isteri Rasulullah SAW – 50 H

49- Maimunah, isteri Rasulullah SAW – 50 H

50- Abu Hurairah – 57 H

51- Aisyah, isteri Rasulullah SAW – 58 H

52- Mu’awiyah Ibn Abu Sufian, khalifah pertama Kerajaan Bani Umaiyyah – 60 H

53- Al-Husain, cucu Rasulullah SAW – 61 H

54- Ummu Salamah, isteri Rasulullah SAW – 62 H

55- Ibnu Abbas – 68 H

56- Ibnu Umar – 73 H

57- Anas Ibn Malik – 91 H

Wednesday, September 19, 2007

UTAMAKAN PERKARA FARDHU DALAM RAMADHAN

Umat masa kini perlu dirawat imannya dan amalannya menurut keutamaan atau apa yang diistilahkan oleh Dr. Yusuf al-Qaradhawi (juga ulama lain) sebagai ‘Fiqh al-Awlawiyyat’. Perkara yang wajib perlu diberikan penekanan melebihi perkara sunat dan perkara yang haram perlu diberikan penekanan melebihi perkara yang makruh. Inilah yang perlu kita utamakan setiap masa termasuk di bulan Ramadhan yang mulia ini.


Ada orang yang memandang serong kepada mereka yang tidak menunaikan solat tarawih di masjid atau tidak bertadarus Al-Quran pada bulan Ramadhan. Ada pula yang menyuruh orang lain untuk menghidupkan pertengahan malam (qiyamullail) sepanjang bulan Ramadhan. Adakah ini sikap yang patut kita tunjukkan dalam situasi umat ini ‘sakit’ dan ‘pening’ tentang awlawiyyat?

Bagi saya (wallahu a’lam), umat hari ini perlu diberikan penekanan tentang perkara yang wajib melebihi perkara yang sunat. Kita perlu memastikan mereka tidak meninggalkan mana-mana perintah Allah SWT yang diwajibkan seperti solat lima waktu dan puasa Ramadhan. Itu lebih utama sebelum kita berbicara tentang perkara-perkara sunat di bulan Ramadhan.

Cara kita berdakwah dan mengajak orang ramai ke arah Islam perlu dipelbagaikan mengikut kumpulan sasaran. Memang kita akan mengajak golongan yang telah berpencen dan tidak ada aktiviti untuk datang ke masjid dan menunaikan solat tarawih berjemaah. Tapi, bagi mereka yang berkerja dan pekerjaan mereka melewati waktu sehingga malam, adakah sesuai bagi kita membangkitkan isu solat sunat? Seeloknya kita persoalkan, adakah mereka menunaikan solat fardhu? Begitu juga sebaiknya kita persoalkan adakah mereka menunaikan puasa dengan sempurna? Begitu juga sekiranya kumpulan sasaran kita ialah orang-orang yang baru sahaja bertaubat dan meninggalkan amalan maksiat. Apakah sesuai kita beratkan mereka dengan amalan-amalan sunat sehingga mereka merasai satu kejutan berubah daripada hidup yang lalai kepada hidup yang terlalu padat?

Kalau dilihat daripada sudut lain pula, misalnya bentuk solat yang sempurna rukun dan syaratnya seperti yang diajar oleh Rasulullah SAW. Kita dapati ramai dalam kalangan masyarakat kita yang melakukan kesilapan-kesilapan tertentu dalam solat sehingga solat mereka tidak sah. Adakah kepada golongan sebegini juga kita akan bangkitkan soal mereka malas menunaikan solat sunat? Apa yang perlu ialah kita bangkitkan isu solat sebagaimana Rasulullah SAW solat dan juga mengingatkan mereka tentang perkara-perkara yang membatalkan solat. Itu lebih utama atau lebih aula.

Begitu juga puasa yang dituntut oleh Allah SWT mempunyai rukun dan syarat yang telah ditetapkan. Elok sangatlah kalau kita mengajar umat ini tentang puasa yang sebenar sebagaimana yang diajar oleh Rasulullah SAW. Umat ini amat berhajat kepada ilmu yang jelas dalam menunaikan ibadah seperti yang diajar oleh Rasulullah SAW. Itu lebih aula daripada mempersoalkan kenapa mereka tidak menunaikan perkara yang sunat atau digalakkan.

Bagi yang ingin masyarakat bertadarus Al-Quran, mungkin lebih elok kalau kita tumpukan perhatian kepada mengajar masyarakat membaca Al-Quran dengan lebih baik sama ada sebutan huruf, tajwid atau pun melagukan Al-Quran dengan baik. Lebih baik kalau tadarus itu benar-benar dimanfaatkan untuk membetulkan bacaan, bukan sekadar terlalu laju kerana ingin menghabiskan 30 juzuk. Perkara ini sama seperti isu membaca Yasin di malam Jumaat. Seeloknya kita fahami isi kandungan surah Yasin dan bukan sekadar membacanya sahaja.

Saya di sini bukanlah ingin mempertahankan sikap malas di kalangan masyarakat kita. Saya hanya ingin menasihatkan para pendakwah sama ada secara rasmi atau tidak, agar mereka memperhatikan apakah tajuk yang perlu dibangkitkan di hadapan kumpulan sasaran mereka. Jangan salah dalam memilih keutamaan atau awlawiyyat sehingga kita menampakkan kepada masyarakat seolah-olah kita ini hanya mementingkan mereka melakukan amalan sunat melebihi amalan fardhu. Atau pun kita menampakkan kepada mereka sikap pendakwah yang kasar atau tidak menghargai amalan yang telah dilakukan oleh masyarakat. Kita mesti mencontohi corak dakwah Rasulullah SAW yang bermula dengan perkara wajib sebelum perkara sunat. Ini jelas seperti sebuah hadith tentang seorang arab kampung yang datang membuat pengakuan bahawa dia tidak mahu menunaikan solat sunat atau puasa sunat dan apa juga perkara sunat. Dia hanya ingin menunaikan perkara yang wajib sahaja. Maka Rasulullah SAW memberikan respon yang perlu sentiasa diingati oleh para pendakwah : ‘dia akan masuk syurga sekiranya pengakuannya benar’ (al-Bukhari, no.1891 dan Muslim, no.110). Wallahu a’lam.

Thursday, August 30, 2007

BERSEDIA MENGHADAPI RAMADHAN

Alhamdulillah..kita dah semakin menghampiri Ramadhan..apakah persediaan yang sepatutnya kita lakukan? Mungkin cadangan-cadangan berikut dapat membantu anda.

1- Menambahkan ilmu tentang puasa dengan membaca buku-buku asas puasa. Ini untuk kita tahu serba sedikit tentang puasa seperti: rukun-rukunnya, perkara-perkara yang membatalkannya, perkara-perkara sunat ketika puasa dan sebagainya. sebagai cdangan, ada satu buku karya Dr. Yusuf al-Qaradhawi bertajuk Fiqh Puasa yang rasanya telah pun diterjemahkan daripada Bahasa Arab.

2- Membuat perancangan tentang kewangan pada bulan puasa agar tidak habis begitu sahaja terutama pada tempat-tempat yang diberi nama 'bazar ramadhan' atau lebih tepat saya istilahkan kadang-kadang dengan nama 'bazir ramadhan'.

3- Membuat perancangan berkaitan tempat untuk solat tarawih. Saya contohnya akan memilih beberapa tempat khususnya Masjid Kampung Baru kerana ada imam jemputan dari negara arab. tapi kalau tak sempat kerana bekerja, pergilah kat mana-mana tempat berhampiran.

4- Merancang dengan baik utk membuat jadual bacaan Al-QUran. kalau boleh kita khatam pada bulan Ramadhan. kalau tak boleh pun tak apa tapi biar berjadual. mungkin jadual tu akan bertahan sehingga selepas Ramadhan, maka ia menjadi satu kebaikan yang berterusan daripada kita. cadangan saya, bacalah dua helai pada setiap lepas solat fardhu. Maka setiap hari kita akan membaca satu juzuk. sebulan 30 juzuk. insya Allah, anda mampu

5- Berazam untuk membuat perubahan diri dan menjadikan Ramadhan sebagai sekolah atau kursus selama sebulan bagi mengawal diri daripada melakukan perkara yang kita ingini tapi tak boleh. bukankah sewaktu puasa kita nak sangat makan dan minum tapi tak boleh? maka begitu juga selepas ramadhan terdapat perkara2 haram yang dihasut oleh jiwa..kita nak buat tapi tak boleh.

semoga kita mendapat faedah daripada Ramadhan...lebih daripada ramadhan2 yg lalu, amin.

Monday, July 09, 2007

PROGRAM TERKINI: WACANA ILMU

WACANA ILMU : MENILAI KEMBALI SERUAN KEPADA SIFAT SOLAT NABI S.A.W.

Oleh: Ustaz Adlan Bin Abdul Aziz

Di Pejabat Pertubuhan Kebajikan Al-Nidaa’ Malaysia
17A, Lorong Datuk Sulaiman 7, Taman Tun Dr. Ismail, 60000 Kuala Lumpur

8:15pm, Rabu, 11 Julai 2007

Monday, May 28, 2007

IBU DAN AYAH PERLU DIDIK ANAK TENTANG DOSA & PAHALA

Dosa dan Pahala...dua perkara yang jarang diperkatakan dalam masyarakat...mungkin ini sebabnya masyarakat makin tak kisah sama ada melakukan dosa atau mendapat pahala.

Dosa dan Pahala...dua topik..atau satu topik sebenarnya yang jarang diambil peduli oleh ibu bapa. Keluar dari rumah tanpa memperdulikan adakah pakaian mereka dan anak-anak mendatangkan pahala atau dosa. Mungkin ini sebabnya anak-anak sukar dikawal.

Dosa dan Pahala...terkadang diungkapkan oleh guru di sekolah. Itu pun guru agama dan sebahagian guru biasa yang merasa terpanggil untuk memberikan nasihat. Mungkin ini sebabnya para pelajar sekolah sudah berani melakukan dosa dan tidak bermotivasi untuk mencari pahala.

Dosa dan Pahala...bukan lagi matlamat utama kehidupan. Pakar motivasi (tidak semuanya) sudah menetapkan matlamat hidup bagi pelanggannya. Tapi tidak ada dalam senarai itu ..melakukan sesuatu untuk mendapat pahala..dan meninggalkan sesuatu kerana ia berdosa. Mungkin ini sebabnya masyarakat sudah tidak peduli.

Ingatlah...

Pahala adalah ganjaran daripada Allah SWT terhadap sebarang amalan kebaikan walaupun sekecil mana pun.
Dosa adalah balasan daripada Allah SWT terhadap sebarang amalan buruk dan jahat walau sekecil mana pun.

jangan semata-mata melihat amalan itu ..tetapi lihatlah kepada Pemberi dan Pembalas amalan itu. Fikirkan...adakah Allah SWT akan membalas dengan dosa atau pahala?

Friday, May 25, 2007

MENGENALI MUNGKAR SEBELUM MENCEGAHNYA

Kita sering mendengar istilah 'Amar makruf nahi mungkar'. Terjemahannya ialah
'suruhan terhadap perkara baik dan pencegahan daripada perkara mungkar'. Tetapi,

adakah saya dan anda telah jelas apa maksud 'mungkar' atau kemungkaran?

adakah saya telah mencuba untuk mendidik isteri dan anak-anak tentang apa maksud kemungkaran?

adakah kita sebagai pemimpin dalam keluarga atau tempat kerja telah mendidik orang-orang di bawah pimpinan kita tentang apa itu kemungkaran?

saya cuma ingin membangkitkan kesedaran terhadap diri saya dan anda pembaca blog ini agar kita pastikan diri kita ini mengenali apa itu kemungkaran sebelum kita berbincang soal mencegahnya atau menghapuskannya.

kemungkaran adalah setiap perkara yang melanggar perintah Allah SWT sama ada meninggalkan perkara yang wajib atau melakukan perkara yang haram.

kenalilah mungkar sebelum mencegahnya.

Tuesday, May 15, 2007

TAUBAT...MUDAH ATAU SUSAH?

Seringkali kita mendengar tafsiran berbeza tentang taubat. Ada yang menganggap ia sebagai satu level yang hanya perlu dibicarakan ketika usia pencen. Ada pula yang menyangka diri telah bertaubat tetapi sebenarnya tidak. Ada yang terlalu kecewa dengan dosa yang terlalu banyak lalu membuat keputusan bahawa taubatnya tidak akan diterima oleh Allah SWT. Ada juga yang meletakkan syarat tertentu...mesti buat itu dan buat ini barulah taubat akan sah atau diterima.

Apa yang jelas daripada perkataan taubat ialah istilah 'kembali'. Kembali kepada asal kejadian iaitu 'mentaati Allah SWT'. Ia mengandungi maksud 'meninggalkan kesalahan'. Maka untuk bertaubat, tinggalkan perbuatan yang salah itu walaupun telah lama kita lakukan. Sebaik sahaja kita tinggalkan ia, maka kita sebenarnya telah bertaubat.

Satu lagi makna yang terkandung dalam taubat ialah apa yang telah dihuraikan oleh Rasulullah SAW di dalam sebuah hadith riwayat Ahmad yg berbunyi: 'Menyesal itu adalah taubat'. Maka untuk bertaubat, perlukan 'penyesalan'. Ia tidak boleh dilakonkan atau direka. Ia datang daripada hati yang benar dan ikhlas menyedari bahawa diri telah melakukan dosa lalu merasa diri amat bersalah.

Bertaubat juga tidak perlukan anda untuk menukar baju baru atau kehidupan baru...tidak juga perlukan kepada solat sunat khas atau puasa sunat khas atau apa2 pengesahan daripada sesiapa. Ia adalah di antara anda dan Tuhan anda..

ayuh, praktikkan segera!

Friday, May 11, 2007

BUKU-BUKU ISLAMIK DALAM BAHASA INGGERIS

berikut adalah shortcut kepada beberapa buku Islamik dalam Bahasa Inggeris, selamat memuat turun dan membaca:

Terjemahan Al-Quran Al-Karim oleh Abdullah Yusuf Ali:

http://www.ahlalhdeeth.com/vb/attachment.php?attachmentid=16215&d=1122534774


Terjemahan Hadith Sahih al-Bukhari:

http://www.ahlalhdeeth.com/vb/attachment.php?attachmentid=16217&d=1122534980


Terjemahan Hadith Sahih Muslim:

http://www.ahlalhdeeth.com/vb/attachment.php?attachmentid=16218&d=1122535047

- buku Sahih al-Bukhari n Sahih Muslim adalah buku yang menghimpunkan hadith-hadith sahih. elok kita jadikan ia sebagai rujukan. namun tak dinafikan ia perlukan kepada huraian. maka jadikanlah ia rujukan dan tanyalah kepada orang yang berilmu utk mendapatkan huraian yg lebih tepat.


Terjemahan Himpunan Hadith Riyadhussolihih oleh Imam al-Nawawi:

http://www.ahlalhdeeth.com/vb/attachment.php?attachmentid=16221&d=1122535242

- Riyadussolihin lebih praktikal utk dibaca kerana beberapa sebab antaranya kerana jumlah hadithnya tidak banyak (walaupun banyak juga sebab jumlahnya lebih kurang seribu lebih). kelebihannya juga kerana ia menghimpunkan hadith yang paling penting utk diamalkan dalam kehidupan muslim mengikut bab2 yang memudahkan kita faham.

Terjemahan Sejarah HIdup Rasulullah SAW - al-Rahiq al-Makhtum oleh al-Mubarakfuri:

http://www.ahlalhdeeth.com/vb/attachment.php?attachmentid=16223&d=1122535320


Terjemahan Zikir Harian Hisn al-Muslim oleh Dr. al-Qahtani

http://www.ahlalhdeeth.com/vb/attachment.php?attachmentid=16267&d=1122569121

Thursday, May 10, 2007

MELEPAK MENAMBAH ILMU

Melepak selalunya dikaitkan dengan perbuatan duduk beramai-ramai atau bersendirian tanpa ada objektif tertentu dan perbuatan khusus. Secara ringkasnya melepak saya takrifkan (sekiranya boleh) dengan kata ‘mengisi masa tanpa pengisian’. Masa dibiarkan berlalu tanpa dihargai dan sedar tak sedar, berjam-jam telah dihabiskan dengan melepak.

Mari kita jadikan melepak sebagai aktiviti yang positif dan kita tukar persepsi orang lain tentang melepak. Saya mencadangkan supaya kita perlu memasukkan aktiviti melepak ini dalam kalendar kehidupan agar ia dapat menjadi contoh kepada golongan yang melepak tanpa tujuan. Kita ingin mereka menjadikan melepak itu sebagai satu perbuatan yang ada tujuan dan matlamat.

Maksud saya ialah, sesekali kita perlu keluar dan melepak di satu tempat bersama rakan-rakan atau mungkin juga sanak saudara terutama jika masing-masing sibuk dan jarang berjumpa. Mungkin sebulan sekali, sebulan dua kali dan sebagainya merupakan waktu yang sesuai dengan kesibukan masing-masing. Maka melepak yang saya maksudkan ini seeloknya bercirikan ciri-ciri yang berikut:

1-Seeloknya tidak menganggu waktu solat yang agak singkat seperti antara maghrib dan isya’ atau antara asar dan maghrib. Waktu yang paling baik mungkin selepas isya’ atau pada waktu pagi.

2-Memastikan bahawa pada waktu melepak itu tidak ada perkara lain yang lebih penting untuk kita uruskan contohnya seperti urusan perubatan, tugasan kerja, tanggungjawab terhadap ibu bapa, keluarga dan lain-lain.

3-Melepak dihiasi dengan makan dan minum agar perbincangan tidak terganggu kerana lapar.

4-Merancang terlebih dahulu apa yang hendak dibualkan dan perbualan mestilah bersih daripada perkara dosa.

5-Memilih tempat yang agak tenang dan tiada hiruk pikuk yang akan mengganggu perbincangan.

6-Bagi yang agak ‘loaded’ bolehlah mengambil tindakan membayar kos makanan rakan-rakan lain yang melepak agar rezeki akan lebih banyak dan lebih berkat. Tetapi janganlah asyik orang yang sama sahaja terpaksa bayar kerana ini pasti akan mengganggu emosinya dalam berbincang.

7-Masa yang diperuntukkan untuk melepak janganlah terlalu singkat dan jangan pula terlalu lama.

8-Perlu ada sesuatu yang dianggap sebagai ‘resolusi’ untuk diambil tindakan selepas melepak.

Buat saudaraku dan saudariku yang seagama denganku, janganlah membiasakan diri dengan melepak tanpa tujuan seperti apa yang berlaku di kebanyakan tempat pada masa kini. Ramai yang melepak tanpa solat, tanpa adab, tanpa tujuan dan sudah pasti tanpa apa-apa resolusi dan tindakan yang positif. Adakah untuk tujuan yang tidak ada tujuan ini kita dicipta? Adakah mengisi masa tanpa pengisian itu tuntutan agama atau tuntutan kemajuan dunia? Tidak dan tidak sama sekali. Agama menuntut kita mengisi masa dengan perkara berfaedah terutama perkara yang membantu kita di akhirat nanti. Kemajuan dunia pula menuntut kita untuk mengisi masa dengan perkara yang berfaedah untuk hidup dan seringkali kita dengar bahawa rakyat negara maju tidak membuang masa dengan melepak tanpa arah tujuan. Marilah melepak selaras dengan syarak. Anda mampu mengubahnya!

Sunday, May 06, 2007

JIKA ANDA INGIN BERZIKIR...

Pastikan zikir itu bersumberkan daripada nas yang jelas sama ada Al-Quran atau hadith sahih. Zikir yang tidak ada di dalam Al-Quran dan hadith sahih tidak dapat dipastikan adakah maksudnya benar. Kenapa anda perlu meninggalkan zikir yang telah ada di dalam Al-Quran dan hadith sahih? Bertanyalah kepada mereka yang tahu.

Berhati-hati dengan niat anda berzikir. Adakah kerana inginkan keredhaan dan ganjaran Allah SWT atau inginkan keramat atau keajaiban? Atau zikir kerana ingin dilihat sebagai seorang yang kuat beribadah (riya’)?

Jangan berzikir sehingga meninggalkan tanggungjawab lain yang lebih utama mengikut waktu seperti tanggungjawab terhadap keluarga, pekerjaan, ibu bapa, suami atau isteri dan sebagainya.

Sentiasa ingat bahawa zikir bukan semata-mata sebutan lidah, tapi juga penghayatan maksud di dalam hati. Zikir bermaksud untuk mengingati Allah SWT dalam keadaan sedar, bukan berzikir sampai hilang ingatan.

Anda boleh berzikir secara individu di mana-mana tempat yang suci. Tidak perlulah anda mencari majlis khas untuk berzikir dengan pimpinan/khalifah tertentu.

Berzikirlah dalam keadaan yang tenang dan jangan pula ‘naik syeikh’ sampai terlompat-lompat dengan pergerakan yang ganas kerana zikir Rasulullah SAW dan para sahabat penuh dengan ketenangan.

Pastikan hidup anda selaras dengan syariat iaitu cuba sedaya upaya mematuhi perintah Allah SWT dan berusaha sedaya mampu meninggalkan laranganNya. Jangan kuat berzikir tetapi tak peduli tentang hukum-hakam.

Jangan berzikir dengan bercampur aduk lelaki dan perempuan ajnabi dalam keadaan yang tidak ada batasan.

Janganlah berzikir sampai mencederakan mana-mana anggota badan seperti menghentakkan kaki atau tangan ke lantai dengan kuat. Islam tidak pernah menyuruh kita menyeksa diri.

Jangan berzikir dengan suara yang terlalu kuat atau kasar sehingga mengganggu orang lain (terutama ketika di masjid dan ada orang sedang solat) dan menghilangkan tumpuan diri anda sendiri.

Jangan mempercayai ganjaran zikir kecuali jika ganjaran itu ada di dalam Al-Quran atau hadith sahih. Contohnya, ‘sesiapa yang bertasbih 1000 kali, akan dapat ilmu dari malaikat’. Walaupun bertasbih adalah sunnah yang diajar oleh Rasulullah SAW, namun tidak ada hadith sahih yang menyatakan bahawa ganjaran ini akan didapati apabila anda bertasbih.

Kalau mengantuk, tidurlah, kalau lapar, makanlah dan kalau letih, berehatlah. Jangan memaksa diri untuk berzikir. Islam itu mudah dan memudahkan. Jangan pula menggoyangkan badan dengan ganas hanya kerana ingin menghilangkan rasa mengantuk.


Selamat berzikir !

Sunday, April 15, 2007

PELABURAN YANG TELAH DISAHKAN HARAM

Pelaburan saham melalui Internet haram – Majlis Fatwa
Utusan Malaysia- 13 April 2007

Oleh NOR AZIAH JAAFAR, RUHAIDINI ABD KADIR dan RAMLI ABDUL KARIM

KUALA LUMPUR 12 April – Ketika wujud gelombang besar penyertaan orang ramai dalam skim-skim pelaburan Internet yang menjanjikan pulangan berlipat ganda, aktiviti itu hari ini difatwakan sebagai haram di sisi Islam.

Keputusan Mesyuarat Majlis Fatwa Kebangsaan Ke-77 di Kuala Terengganu itu sudah pasti memberi kesan kepada aktiviti pelaburan melibatkan tidak kurang 500,000 orang Islam termasuk golongan kenamaan dan profesional berpangkat Tan Sri dan Datuk.

Majlis berkenaan membuat keputusan itu terhadap semua bentuk pelaburan Internet termasuk skim cepat kaya SwissCash yang kononnya diuruskan Swiss Mutual Fund kerana skim-skim itu secara jelas mengandungi unsur riba.

Dengan nilai pelaburan mencecah RM1 bilion termasuk kira-kira RM200 juta yang dilaburkan oleh 50,000 pelabur dalam skim SwissCash, tidak kurang 50 jenis pelaburan Internet kini giat melobi orang ramai melabur dengan janji pulangan sehingga 300 peratus.

Selepas SwissCash dan beberapa lain malap, skim terbaru yang mendapat sambutan hebat ketika ini ialah I Love You Forever menerusi laman web www.iluf.biz yang menjanjikan pulangan sehingga RM21,000 bagi pelaburan pokok RM800 untuk tempoh 12 bulan dan www.ugifund.com yang dilancarkan hari ini.

Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Profesor Datuk Dr. Abdul Shukor Husin yang ditemui pemberita selepas mesyuarat itu memberitahu, sebarang pelaburan yang menjamin keuntungan secara tetap seperti ditawarkan SwissCash adalah haram.

Menurutnya, atas alasan itu, Islam tidak membenarkan umatnya melabur dalam segala bentuk pelaburan seumpama itu.

‘‘Ada banyak pelaburan alternatif disediakan kepada pelabur yang berlandaskan Islam dan boleh disertai oleh umat Islam,’’ katanya.

Berdasarkan siasatan Utusan Malaysia, pelaburan Internet pilihan rakyat Malaysia ialah skim yang mendakwa menjana wang dalam pasaran hadapan komoditi seperti minyak, gas, perladangan dan emas.

Terdapat pelaburan Internet seperti SwissCash yang mendakwa kononnya aktiviti mereka ialah pelaburan offshore yang tidak tertakluk dalam bidang kuasa perundangan termasuk Bank Negara Malaysia (BNM).

Jenis pelaburan lain yang didakwa sebagai asas aktiviti skim pelaburan Internet ialah perniagaan mata wang asing selain melabur dalam pasaran-pasaran saham luar negara.

Sebelum ini, media mendedahkan pelaburan skim cepat kaya SwissCash yang tampil dengan pelan pelaburan tanpa had dan jaminan keuntungan lebih meyakinkan yang setakat ini sudah menelan kira-kira RM190 juta wang daripada lebih 50,000 pelabur Malaysia.

Kutipan wang deposit awam secara haram itu beroperasi dengan modus operandi berasaskan transaksi Telegraphic Transfer (TT) di bank-bank tempatan dan urusan pelaburan menerusi Internet.

Ekoran itu, BNM membuat kenyataan bahawa skim SwissCash adalah menyalahi undang-undang negara kerana mengambil deposit secara haram.



Teknologi

Selain SwissCash, terdapat lebih 50 skim cepat kaya menggunakan kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) didalangi beberapa sindiket yang menawarkan pelbagai bentuk pelan pelaburan menerusi alam maya Internet.

Antara skim berkenaan ialah www.ABFund.biz; www.WinliFund.com; www.empay.com; www.buyebarrel.us; www.eaindex.com; www.fical.us; www.GlobalForex.us; www.Arabic.com; www.eracapital.com; www.e-investpro.com; www.GG-trade.com dan www.smartindex.net.

Dengan membuka laman web www.jutawan.com, pelayar boleh mendapatkan senarai keseluruhan skim-skim pelaburan Internet atau istilah globalnya dikenali sebagai High Yield Investment Programme (HYIP).

Modal pelaburan dikira berasaskan nilai mata wang Amerika Syarikat (ASD) berdasarkan 3.80 bagi setiap Ringgit Malaysia.

Dengan pelaburan serendah AS$20 (RM76), skim-skim itu menjanjikan pulangan lumayan minimum dua peratus sehari atau 60 peratus sebulan yang dibayar kepada para pelabur selama 100 hari.

Pulangan itu jauh lebih besar dan terlalu tinggi jika dibandingkan dengan kadar pulangan yang ditawarkan institusi perbankan iaitu tiga peratus sebulan bagi deposit tetap atau lapan peratus bagi pasaran modal.

Dengan pelan pelaburan yang menarik menggunakan laman web yang berpusat di Amerika Syarikat (AS), penganjur yang sebenarnya didalangi orang tempatan berjaya mengabui mata para pelabur.

Wednesday, April 11, 2007

HADITH-HADITH POPULAR TETAPI TIDAK SAHIH

Petikan daripada buku saya yang pertama '20 Persoalan Asas Tentang Hadis' cetakan Jahabersa.

Soalan 20:

Apakah contoh-contoh hadis dhaif dan palsu yang telah tersebar dalam masyarakat?

Jawapan:

Berikut saya senaraikan beberapa contoh hadis-hadis yang popular di dalam masyarakat. Sayangnya hadis-hadis yang popular ini pada hakikatnya adalah dhaif atau palsu. Saya menyebutnya sebagai dhaif atau palsu dengan meletakkan komen dan hasil kajian para ulama hadis dulu dan kini untuk sama-sama diteliti dan difahami. Ini bermakna, bukanlah saya yang memandai-mandai mengatakan ia dhaif atau palsu, tetapi saya berpandukan kepada hasil kajian yang telah sedia ada di dalam buku-buku para ulama hadis. Bagi para pembaca, mereka dialu-alukan untuk membetulkan kesilapan saya sama ada dari segi penggunaan bahan rujukan atau kesilapan dalam terjemahan teks asalnya yang ditulis dalam bahasa arab.

Di samping itu saya juga selitkan sedikit ulasan bagi menjelaskan maksud hadis tersebut dan juga membincangkan adakah maksud hadis boleh diterima dan disokong oleh dalil-dalil daripada Al Quran atau hadis sahih. Walau bagaimana baik maksud sesuatu hadis yang dhaif atau palsu, hadis tersebut tetap tidak boleh dinyatakan atau ‘diiklankan’ sebagai ‘hadis sahih’ atau sebagai ‘sabda Nabi SAW’. Hadis tersebut mungkin boleh dianggap sebagai kata-kata hikmah atau nasihat yang baik sekiranya maksudnya tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Pembaca akan dapat melihat apa yang saya maksudkan dalam huraian setiap hadis.

Pertama:

Tuntutlah ilmu walaupun hingga ke negeri China.

Kedudukan Hadis:

Ini adalah hadis palsu. Hadis ini telah disebutkan sebagai palsu oleh Ibn al Jauzi di dalam buku al Maudhu’at[1]. Pembaca juga boleh melihat buku Menangkis Pencemaran Terhadap Agama dan Tokoh-Tokohnya karya Mohd. Asri Zainul Abidin untuk mendapat maklumat lanjut tentang hadis ini. Hadis ini dikritik juga oleh pengkaji hadis seperti Ibnu Tahir al Maqdisi (507H)[2], al Iraqi[3], Ibn Hibban[4] dan Muhammad Nasiruddin al Albani[5].

Ulasan:

Hadis ini kerap dijadikan hujah bagi membuktikan bahawa Islam menggalakkan umatnya menuntut ilmu sejauh yang mungkin walaupun ke negara China. Sedangkan pada hakikatnya hadis ini adalah palsu. Telah ada dalil-dalil serta hujah-hujah yang jelas dalam Al Quran dan hadis-hadis sahih tentang kewajipan menuntut ilmu serta kelebihan mereka yang mempunyai ilmu. Terdapat ayat-ayat Al Quran yang mengiktiraf golongan yang berilmu contohnya:

Maksudnya : ALLAH mengangkat kedudukan orang-orang yang beriman dan yang mempunyai ilmu dengan beberapa darjat[6].

Begitu juga di dalam hadis-hadis sahih terdapat saranan ke arah menuntut ilmu antaranya seperti hadis:

Sabda Rasulullah : Sesiapa yang melalui jalan ke arah menuntut ilmu maka ALLAH mudahkan untuknya jalan ke syurga[7].

Sabda Rasulullah : menuntut ilmu adalah kewajipan ke atas setiap muslim [8].

Telah diketahui umum bahawa menuntut ilmu adalah kewajipan dalam kehidupan umat Islam. Apa yang ingin saya sebutkan di sini adalah kesalahan menggunakan hadis palsu dalam menyatakan sesuatu perkara yang telah sedia ada dalam Islam sama ada di dalam Al Quran atau hadis-hadis sahih. Tindakan menggunakan hadis palsu ini boleh menjadikan kita lupa bahawa ayat Al Quran atau hadis sahih sudah pun memadai dan mencukupi untuk kita menyatakan sesuatu yang berkaitan dengan Islam. Berhati-hatilah dalam menggunakan sesuatu hadis. Pastikan bahawa hadis tersebut adalah sahih sebelum menggunakannya sebagai dalil atau hujah.


nota kaki:
1]Al Maudhu’at – Ibn al Jauzi – jilid 1 – muka surat 215.

[2]Makrifat al Tazkirah – Ibn Tahir al Maqdisi – hadis no. 118.

[3]Al Mughni An Hamli al Asfar – hadis no. 36 – susunan oleh Abu Muhammad Asyraf Bin Abd. Maqsud – cetakan pertama 1995 – Maktabah Dar al Thabariyyah, Riyadh.

[4]Kata-kata beliau diambil daripada buku Ahadith La Tasihhu – Sulaiman Bin Salih al Kharashiy – hadis no. 21 – laman web www.saaid.net).

[5]Silsilah al Ahadith al Dhaifah – hadis no. 416 dan Dhaif al Jami’ al Shaghir – hadis no. 906 dan 907.

[6]Surah al Mujadalah – ayat 11.

[7]Hadis riwayat Muslim – hadis nombor 2699

[8]Hadis riwayat Ibnu Majah – hadis nombor 224 dan ia disahihkan oleh al Albani dalam semakannya terhadap Sunan Ibn Majah. Hadis ini juga dinilai sebagai hadis hasan oleh Basyar Awwad Ma’ruf dalam kajiannya terhadap Sunan Ibn Majah.

Sunday, April 01, 2007

MENDIDIK ANAK PERLUKAN MATLAMAT

Bercakap tentang persoalan mendidik anak, setiap ibu bapa sebenarnya (sedar atau tidak) mendidik dan memberi bimbingan berdasarkan matlamat dan cita-cita mereka. Percaya atau tidak, kebanyakan ibu bapa mendidik anak-anak (atau berusaha mencari orang yang boleh mendidik) bertujuan hanyalah sekadar untuk anak itu berjaya di dunia SAHAJA.
Sedangkan sepatutnya (saya dan sesiapa sahaja yang mempunyai anak) perlu melihat lebih jauh..jauh sehingga kepada hari akhirat yang merupakan hari yang amat penting bagi setiap insan. Perlu difikirkan tentang anak ini...adakah dia akan selamat di akhirat? Adakah dia mampu menjadi ahli syurga? Bagaimanakah nasibnya bermula daripada alam kubur sehingga hari dibicarakan? Bukankah kita juga akan dihimpunkan di sana bersama semua anak kita? Apakah perasaan kita apabila diri kita terlepas daripada neraka tetapi anak kita tidak?
Maka mendidik anak perlukan matlamat...untuk anak itu berjaya di dunia dan juga di AKHIRAT. Semoga Allah memberikan kita ilmu dan kekuatan untuk mendidik anak-anak ke arah matlamat yang jelas dan terpimpin.

Monday, March 26, 2007

KULIAH BULAN INI

Insya Allah, paling terkini, ada beberapa kuliah saya pada bulan ini:

27/3 (Selasa) - Kuliah hadith - al-Syamaail al-Muhammadiyyah (sifat peribadi dan tingkah laku Rasulullah SAW) - selepas maghrib - surau al-naim, syeksen 5, wangsamaju,kl

28/3 (Rabu) - Kuliah hadith - 20 persoalan asas tentang hadith - The Little Khalifah Shop, taman permata (berhampiran pasaraya Giant) - bermula 8.30

31/3 (Sabtu) - kuliah Kisah-Kisah Nabi daripada Al-Quran dan hadith sahih - pukul 9 pagi - Masjid Bukit Jelutong.

Saturday, March 24, 2007

KESAN BURUK HADITH DHAIF DAN PALSU

Hadith dhaif adalah hadith yang tidak mencukupi syarat-syarat hadith sahih sebagaimana diterangkan melalui kajian para ulama hadith. Ini menjadikan hadith dhaif adalah hadith yang tidak dapat dipastikan adakah ia benar-benar bersumber daripada Rasulullah SAW. Para ulama hadith menegaskan bahawa hadith dhaif tidak digunakan dalam soal hukum-hakam dan aqidah.

Manakala hadith palsu pula ialah hadith yang sememangnya rekaan dan disalah anggap sebagai hadith Rasulullah SAW.

Apabila ulama hadith mengemukakan pendapat tentang sesuatu hadith sebagai dhaif, mereka akan mengemukakan bersama hujah atau bukti bahawa hadith itu adalah dhaif. Begitu juga apabila mereka menyatakan tentang kepalsuan sesuatu hadith, mereka akan memberikan bukti kukuh kenapa hadith itu diberikan gelaran ‘palsu’. Sikap ini perlu kita contohi. Ini membuktikan mereka adalah pengkaji, bukannya menggunakan hati, ilham, mimpi atau apa sahaja cara yang tidak dinilai sebagai kajian.

Sekadar pembacaan yang saya lakukan, sememangnya ada hadith dhaif dan palsu yang tidak bercanggah dengan Al Quran dan hadith sahih, wallahu a’lam. Dalam hal ini, kita boleh menyebut lafaz dan maksud hadith tersebut dengan syarat kita tidak menyatakannya sebagai ‘sabda Nabi’ atau ‘hadith Nabi’. Contohnya seperti:

1. ‘tuntutlah ilmu dari buaian sehingga ke liang lahad’,
2. ‘sabar itu separuh daripada iman’,
3. ‘hikmah/ilmu itu adalah hak milik orang beriman yang hilang, maka di mana saja dia menemuinya,dialah yang berhak menggunakannya’,
4. ‘dunia itu ladang akhirat’,
5. ‘dunia itu sesaat (satu tempoh masa yang singkat) maka isilah ia dengan taat’, dan lain-lain lagi.

Namun begitu, terdapat hadith dhaif dan palsu yang membawa maksud bercanggah dengan apa yang telah ada di dalam Al Quran serta hadith sahih. Ada juga hadith dhaif dan palsu yang menyusahkan dan membebankan. Ada juga yang membawa maksud yang pelik dan bertentangan dengan fakta juga logik akal. Apalah yang hendak disusahkan, gunalah hadith-hadith sahih maka selesailah segala kekusutan dan masalah, insya Allah.

Menurut salah seorang pengkaji hadith masa kini, Syeikh Abd. Fattah Abu Ghuddah: ‘Hadith-hadith palsu itu telah memberi kemudharatan dalam pelbagai aspek seperti aqidah, ibadah, akhlak, pemikiran, sosial dan ia telah mencemarkan kesucian Islam dan kebersihannya. Dan usaha untuk membebaskan diri daripada hadith-hadith palsu ini sangat susah dan memerlukan kepada pembacaan yang berterusan dan peringatan yang tidak putus’.
(Muqaddimah tahqiq buku al Mashnu’ Fi Ma’rifat al Hadith al Maudhu’ karya Ali al Qari, muka surat 6, cetakan Maktab al Mathbu’at al Islamiyyah).

Menurut seorang lagi pengkaji hadith masa kini, Syeikh Syuaib al Arnaouth, penggunaan hadith-hadith dhaif boleh membawa kepada sikap al ghuluw (melampau) dalam agama dan membanyakkan ibadah yang menyusahkan dan ini telah menghilangkan gambaran sebenar tentang mudahnya Islam.
(Al Adab al Syar;iyyah karya Ibn Muflih, jilid 1, muka surat 289, nota kaki no.1, cetakan Muassasah al Risalah)

Di sini saya kemukakan beberapa contoh hadith dhaif dan palsu yang demikian sifatnya. Contoh-contoh ini dipilih daripada buku-buku seperti berikut:
1. ‘Riyadhussolihin’ karya al Nawawi tahqiq Syuaib al Arnaouth,
2. ‘Sunan al Daraquthni’ tahqiq Syuaib al Arnaouth,
3. ‘al Mashnu Fi Ma’rifat al Hadith al Maudhu’ karya Ali al Qari tahqiq Abd. Fattah Abu Ghuddah,
4. ‘Silsilah al Ahadith al Dhaifah’ karya al Albani,
5. ‘al Mughni ‘An Haml al Asfar’ (takhrij buku Ihya’ Ulumiddin karya al Ghazali) oleh al Iraqi,
6. ‘al Subul al Sawiyyah Fi Ma La Yashihhu Min al Ahadith Fi al Adab al Syar’iyyah’ karya Zakariyya Ibn Ghulam Qadir al Bakistani
7. ‘20 Persoalan Asas Tentang Hadis’ – Adlan Bin Abd. Aziz, diterbitkan oleh Jahabersa.

Huraian lanjut boleh didapati dalam buku-buku tersebut dan juga buku-buku lain yang membicarakan tentang hadith-hadith dhaif dan palsu. Hadith-hadith berikut mempunyai kesan buruk dalam pelbagai aspek yang berlainan. Saya tidak menghuraikan kesan buruk tersebut memandangkan ia boleh kelihatan dengan jelas hanya dengan membaca maksud hadith dhaif atau palsu tersebut:

1. Seorang suami tidak disoal kenapa dia memukul isterinya – Riwayat Abu Daud, Ibn Majah dan lain-lain lagi dengan sanad yang mengandungi dua periwayat yang tidak dipercayai. Susah juga nasib isteri jika suami menggunakan hadith ini sebagai hujah. (Riyadhussolihin, no.68)

2. Sesiapa yang berbuka puasa di bulan Ramadhan tanpa sebab maka dia tidak dapat menggantikannya walaupun berpuasa seumur hidup/ maka hendaklah dia menggantikannya sebanyak sebulan – riwayat Ahmad dan lain-lain lagi. Di dalam sanadnya terdapat periwayat yang dhaif. (Sunan al Daraquthni, no.2404).

3. Makan di pasar satu kehinaan – riwayat al Thabarani dalam Mu’jam al Kabir dan lain-lain lagi dengan beberapa sanad yang semuanya mengandungi periwayat-periwayat yg bermasalah. (al Subul al Sawiyyah, m/s 7)

4. Apabila makan, mulakan dengan garam dan akhiri juga dengan garam kerana garam itu ubat bagi 70 penyakit – riwayat al Harith dalam musnadnya dengan sanad yang mengandungi pendusta dan orang yang tidak dikenali. (al Subul al Sawiyyah, m/s 9). Terdapat juga riwayat lain yg menyebut bahawa makan garam boleh menyebabkan pemakannya selamat daripada 360 penyakit! (al Mashnu’, m/s 74)

5. Makan dua kali sehari termasuk dalam pembaziran – riwayat al Baihaqi dengan sanad yang bermasalah (periwayat yg dhaif, penipu dsbgnya). Ia turut dilabelkan sebagai dhaif oleh al Iraqi dalam takhrij Ihya’ Ulumiddin. (al Subul al Sawiyyah, m/s 10). Ada lafaz lain yang menyebut: apabila kamu makan makanan yang kamu ingini juga termasuk dalam pembaziran – riwayat Ibn Majah dengan sanad yang mempunyai periwayat dhaif, majhul dan juga mudallis. Ia turut dinilai dhaif oleh al Bushairi dalam Zawaaid Ibn Majah. (al Subul al Sawiyyah, m/s 15).

6. Ketika makan, kita dilarang melihat makanan yang diambil oleh orang lain – riwayat al Khathib al Baghdadi dalam buku al Tathfil dengan 2 sanad yang mempunyai pelbagai masalah dari segi periwayatnya dan sanadnya yang tidak bersambung. (al Subul al Sawiyyah, m/s 40-41).

7. Keberkatan sesuatu makanan ialah apabila kita berwudhuk sebelum dan selepas makan – riwayat al Tirmizi, Abu Daud dan lain-lain lagi dengan sanad yang mempunyai periwayat yg dhaif. Al Tirmizi turut menyatakan hadith ini dhaif ketika meriwayatkannya. Hadith ini turut didhaifkan oleh al Zahabi dan Abu Hatim. (al Subul al Sawiyyah, m/s 48-49)

8. Sesiapa yang solat tetapi masih mengerjakan perbuatan mungkar, maka solatnya akan menjadikannya lebih jauh daripada Allah – riwayat al Thabarani dan al Qudhooi dengan sanad yang mengandungi periwayat yg dhaif. (Silsilah al Ahadith al Dhaifah, no.2).

9. Allah tidak akan menyiksa orang-orang yang cantik wajahnya – riwayat al Dailami dan lain-lain. Sanadnya mengandungi periwayat-periwayat yg tidak dikenali lagi dhaif. (Silsilah al Ahadith al Dhaifah, no.130).


10. Perbezaan antara kita dan orang-orang musyrikin ialah serban di atas kopiah – riwayat Abu Daud, al Tirmizi dan lain-lain lagi. Sanadnya dhaif seperti kata al Tirmizi. (Al Mughni, no.2461).

11. Hadith qudsi, Firman Allah: Sesiapa yang berhadas tetapi tidak berwudhuk atau berwudhuk tetapi tidak solat atau solat tetapi tidak berdoa, sesungguhnya dia telah mengabaikanKu (tidak beradab) – hadith palsu. (Silsilah al Ahadith al Dhaifah, no.44).

12. Sesiapa yang menunaikan haji tetapi tidak menziarahi kuburku, sesungguhnya dia telah mengabaikanku (tidak beradab) – hadith palsu sebagaimana kata al Soghoni, al Zahabi, al Zarkashi dan al Syaukani. (Silsilah al Ahadith al Dhaifah, no. 45).

13. Bermesyuaratlah dengan wanita tetapi jangan ambil keputusan mereka – hadith palsu. (Silsilah al Ahadith al Dhaifah, no.430).

14. Larangan mengajar wanita menulis – riwayat al Baihaqi dalam Syu’ab al Iman dan lain-lain lagi. Al Baihaqi sendiri mengkritik hadith ini. Di dalam sanadnya terdapat periwayat yang pendusta. (Silsilah al Ahadith al Dhaifah, no.2017).

15. Kebanyakan ahli syurga adalah mereka yang bodoh – riwayat al Bazzar dan lain-lain lagi. Ia hadith yang mungkar (sangat dhaif) seperti mana kata al Iraqi. (al Mughni, no.2586).

16. Seseorang yang menjadi imam dipilih berdasarkan kecantikan rupa parasnya – disebut oleh al Suyuthi dalam al La’ali’ al Mashnu’ah. (al Mashnu’, no.405).

17. Setiap bid’ah itu sesat kecuali bid’ah dalam ibadah – riwayat al Dailami dengan sanad yang mempunyai dua orang yang pendusta. (al Mahsnu’ – no. 226).

18. Seseorang hamba tidak akan dapat mencapai tahap orang bertaqwa sehinggalah dia meninggalkan sebahagian perkara yang halal kerana risau membawa kepada perkara yang haram – riwayat Tirmizi dan lain-lain. Di dalam sanadnya terdapat periwayat yang dhaif. (Riyadhussolihin, no.596).

19. Sesiapa yang tidak menunaikan haji sedangkan dia mampu, dia berkemungkinan mati dalam keadaan sebagai Yahudi atau Kristian – riwayat al Tirmizi dan didhaifkan oleh al Tirmizi, al Albani serta lain-lain lagi. (20 Persoalan Asas Tentang Hadis, soalan no.9).

20. Berbual hal keduniaan di masjid boleh menghilangkan pahala – hadith palsu. (20 Persoalan Asas Tentang Hadis, soalan no.20)


Cuba kita bayangkan mereka yang bertemu dengan hadith-hadith seperti di atas dalam keadaan tidak tahu dan mereka menyangka hadith-hadith tersebut sahih. Bagaimana agaknya pemikiran dan amalan mereka serta pandangan mereka terhadap Rasulullah, hadith-hadithnya dan ajaran yang dibawa oleh Baginda? Di sinilah terletaknya kepentingan mengetahui kesahihan sesuatu hadith dan membezakan di antara hadith-hadith sahih daripada hadith-hadith palsu dan dhaif.

Kajilah kesahihan hadith walau sekadar bertanya kepada rakan-rakan yang lebih tahu. Sekiranya mampu, carilah pendapat ulama hadith terdahulu dan masa kini. Sekiranya lebih mampu, kajilah sumber dan sanad sesuatu hadith. Menurut salah seorang ulama hadith terkenal, Abdullah Ibn al Mubarak, di dalam hadith sahih sudah ada segala yang mencukupi tanpa perlukan kepada yang dhaif. (muqaddimah al Subul al Sawiyyah).

Wednesday, March 21, 2007

SETIAP INSAN MENANGGUNG DOSANYA SENDIRI

Sejak zaman persekolahan lagi saya pernah diajar / mendengar tentang satu pendapat yang berbunyi 'dosa seorang anak akan ditanggung oleh mak dan ayah manakala dosa seorang isteri ditanggung oleh suaminya'.

Baru-baru ini semasa berbual dengan salah seorang pelajar saya di sekolah, rupa-rupanya fahaman ini masih wujud pada sebilangan generasi mereka.

Fahaman ini tertolak dengan ayat-ayat Al-Quran yang menegaskan bahawa setiap jiwa bertanggungjawab di atas kesalahan dan dosanya. Begitu juga fahaman ini tertolak dengan akal fikiran dan keyakinan bahawa sesungguhnya Allah SWT adil dan bijaksana.

Bagaimana mungkin Allah SWT akan membebaskan seorang anak yang melakukan dosa lalu meletakkan pula dosa itu di atas bahu orang tuanya tanpa sebab? Begitu juga, bagaimana pula seorang isteri yang melakukan maksiat akan dilepaskan daripada seksaan hanya kerana dia seorang isteri lalu dosanya ditanggung oleh suami? Ini tidak adil.

Fahaman ini sebenarnya hanya bersumberkan daripada cakap-cakap orang dan tidak disokong oleh mana-mana dalil daripada Al-Quran dan hadith sahih.

Ya, sekiranya seorang ayah dan ibu tidak bertanggungjawab mendidik anak-anak, mereka berdosa kerana mengabaikan pendidikan agama. Tetapi anak itu tetap menanggung dosanya sendiri kerana melakukan maksiat.

Begitu juga seorang suami yang tidak memperdulikan pendidikan agama isterinya, malah membiarkan isterinya melakukan maksiat, dia berdosa kerana pengabaian tersebut. Tetapi isterinya masih menanggung dosa yang dirinya lakukan.

Semoga kita diberikan kekuatan untuk mendalami Islam dengan ilmu dan juga diberikan kekuatan untuk beramal dengan ilmu itu.

Tuesday, March 20, 2007

Pengaruh Ke Arah Dosa - Luaran dan Dalaman

Manusia melakukan dosa disebabkan dirinya terpengaruh dengan ajakan ke arah dosa itu. Faktor yang mengajak ke arah dosa terbahagi kepada dua : luaran dan dalaman. Luaran ialah manusia yang mengajak dirinya ke arah dosa (sama ada manusia itu bercakap atau berlakon atau mengadakan program ke arah itu) . Dalaman pula ialah syaitan yang memberikan bisikan dan ajakan (motivasi) ke arah dosa. Pertarungan dalaman dan luaran inilah yang menjadi asam garam hidup di dunia. Akhirnya di akhirat nanti, setiap manusia akan diadili dan diberikan balasan 'atas apa yang kamu kerjakan'... fikirkanlah bersama...

Thursday, March 08, 2007

Siapa Ibn Taimiyyah?

SIAPA IBN TAIMIYYAH?
-diringkaskan daripada laman web www.salafipublications.com


Ahmad Ibn Abd. Halim (gelarannya Ibn Taimiyyah) telah dilahirkan pada tahun 661H / 1263 sebuah tempat bernama Harraan. Keluarganya telah berpindah ke Damsyiq (Damascus) untuk menyelamatkan nyawa mereka daripada ancaman tentera Tatar. Di Damsyiq beliau mendalami bidang agama dalam pelbagai cabang ilmu.

Beliau terkenal sebagai tempat rujukan di dalam banyak cabang ilmu Islam seperti hadith, fiqh, aqidah, Bahasa Arab dan lain-lain lagi. Beliau tegas menentang sebarang penyelewengan terhadap ajaran Islam sebenar. Oleh sebab itu, beliau mempunyai banyak musuh terutama daripada aliran-aliran yang cuba menyebarkan fahaman tidak benar dan juga menyebarkan b id’ah dalam masyarakat.

Di antara aliran yang konsisten dalam memusuhi Ibn Taimiyyah ialah aliran tarekat kesufian dengan pelbagai macam dan ragam. Ada di antara tarekat yang membenci Ibn Taimiyyah bahkan ada tarekat yang menyesatkan Ibn Taimiyyah hanya kerana Ibn Taimiyyah tidak menyetujui aliran tarekat mereka. Perlu juga diingat bahawa beliau tidak memusuhi golongan tarekat secara total, tetapi beliau kerap menegur beberapa kesilapan dalam pengamalan tarekat-tarekat tertentu.

Walaupun begitu, Ibn Taimiyyah tidak menumpukan seluruh hidupnya untuk menentang aliran tarekat semata-mata. Beliau juga memainkan peranan dalam jihad menentang Tatar yang memerangi orang-orang Islam. Beliau terlibat secara langsung dalam peperangan yang dinamakan Shaqhab berhampiran Damsyiq dan dengan izin Allah SWT, tentera Islam mencapai kemenangan.

bersambung.....

Wednesday, March 07, 2007

Pelaburan Demi Pelaburan...Halal atau Haram?

Telah ramai juga yang saya temui bercakap tentang pelaburan baru...modalnya sedikit, pulangannnya nanti berpuluh ribu malahan beratus ribu. Modalnya sedikit, untungnya pasti dapat berganda-ganda...

Saya rasa hairan, kerana mereka yang masuk pelaburan ini begitu berhati-hati ketika mengambil wudhu', takut terbatal wudhu'nya. Mereka juga berhati-hati ketika solat, takut terbatal solatnya. Mereka begitu berhati-hati membersihkan pakaian, takut tak hilang najis yang ada padanya. Mereka begitu berhati-hati dalam melakukan banyak perkara takut kalau ia tidak diterima oleh Allah SWT.

Tetapi, mereka tidak pula berfikir panjang dan tidak pula berhati-hati ketika melabur dalam pelaburan 'instant' sebegini...adakah halal atau haram?

Biarlah kita berhati-hati pada semua perkara...dalam setiap urusan..kerana setiap urusan hidup ini ada balasan di akhirat nanti...

untuk lebih lanjut..sila rujuk laman web salah seorang pakar kewangan Islam muda kita iaitu ustaz Zaharuddin - www.zaharuddin.com


(Siapa Ibn Tamiyyah - artikel akan datang, insya Allah)

Monday, March 05, 2007

Ibn Taimiyyah - Mangsa Iri Hati Dan Hasad Dengki

Kenapa pula tiba-tiba saya memilih tajuk ini?

Sebabnya ialah...saya menerima berita daripada sahabat-sahabat bahawa ada seorang yang digelar tokoh agama...telah mengkritik Ibn Taimiyyah. Saya berlapang dada dan boleh menerima sekiranya kritikan itu ilmiah dan berpatutan. Namun saya diberitahu bahawa beliau telah melabelkan Ibn Taimiyyah sebagai 'sesat'.

Jika ini benar...(setakat ini ia diberitakan oleh orang-orang yang saya percayai kejujuran dan amanah mereka dalam menyampaikan berita)...

Jika ini benar...saya amat sedih bercampur kehairanan. Bagaimana seorang alim yang dikenali seluruh dunia Islam sejak zaman berzaman dilabelkan sebagai 'sesat'. Tidak salah kalau kita ingin mengkritik beberapa pendapat Ibn Taimiyyah atau mana-mana ulama, namun untuk menyatakan sebagai sesat..ia perlukan bukti dan fakta yang amat nyata dan ilmiah.

Sebelum bercerita lebih lanjut tentang diri Ibn Taimiyyah, saya ingin berkongsi maklumat dengan anda bahawasanya sejak Ibn Tamimiyyah hidup dan terkenal, sejak itulah timbulnya pihak-pihak yang telah menyesatkan beliau..malah mengkafirkan beliau! Sejak dahulu hingga kini ulama telah membincangkan tentang diri Ibn Taimiyyah berserta pendapat-pendapatnya. Alhamdulillah, majoriti ulama zaman berzaman telah menerima Ibn Taimiyyah dan tidak melabelkannya sebagai sesat atau kafir...kecuali...mereka yang mendapat maklumat yang salah serta mereka yang memang menjadi musuh ketat beliau - seperti Syiah dan tarekat yang sesat.

tulisan akan datang....Siapa Ibn Taimiyyah?