Friday, December 22, 2006

ISU AURAT - JANGAN HANYA MENGKRITIK

Satu fakta yang diakui dan dapat dilihat oleh kita semua ialah – terlalu ramai lelaki dan wanita yang tidak menutup aurat dengan sempurna. Maka apa yang kita ingin lakukan?
Ada diantara kita yang hanya merungut. Ada pula yang mengutuk golongan itu. Ada yang menegur dengan kasar. Ada yang menegur dengan cara ‘slow-talk’. Ada yang menegur secara bertulis.
Nasihat saya, cukuplah merungut dan mengkritik. Apalah hasil dan faedahnya sekiranya rungutan dan kritikan itu tidak dapat diubah kepada nasihat dan teguran?
Bagi yang menegur pula, jangan mulakan dengan cara yang kasar kerana Islam tidak menyuruh kita berkasar dengan semua manusia. Tegurlah dengan cara yang terbaik pada waktu yang terbaik.
Bagi yang menegur secara bertulis, pastikan tulisan kita sampai kepada golongan yang masih tidak menutup aurat. (harapnya tulisan saya ini dapat sampai kepada mereka). Kita mesti menyatakan bahawa aurat itu wajib dan kita mesti juga menyampaikan maklumat ini dengan baik dan tersusun kepada mereka.
Pertama, ajar mereka bahawa perintah menutup aurat adalah perintah yang ada di dalam Al-Quran dan hadith sahih.
Kedua, ajar kepada mereka bagaimana menutup aurat yang sebenar. Jangan asyik menyuruh tanpa mengajar. Terdapat sebilangan lelaki dan wanita yang tidak menutup aurat hanya kerana mereka tidak tahu cara sebenar. Bantulah mereka untuk taat kepada Allah SWT.
Ketiga, cuba sentuh hati mereka dengan menggambarkan bagaimana sikap kita ketika menerima sesuatu perintah Allah SWT. Contohnya, kenapa kita solat 5 waktu? Kerana ia perintah Allah SWT. Kenapa kita puasa Ramadhan? Kerana ia perintah Allah SWT. Kenapa kita menutup aurat? Juga jawapannya ialah kerana ia perintah Allah SWT. Kenapa beza-bezakan antara solat 5 waktu dan aurat?
Pernah juga saya menasihatkan golongan ini dengan nasihat – menutup aurat adalah sebahagian daripada perintah Allah SWT. Tidakkan mentaati perintah Allah itu adalah tanda kita bersyukur kepadaNya? Dia yang menciptakan kita, Dia yang memberikan segala pancaindera kepada kita dan memudahkan segala rezeki kepada kita. Kenapa agaknya kita tidak mahu mentaati perintahNya apabila Dia yang memerintahkannya ke atas kita?
Saya tak pandai sangat soal psikologi ni. Tapi saya berharap akan muncul ramai pendakwah (tidak semestinya ustaz) yang berjaya memujuk hati golongan yang tidak menutup aurat agar mereka berfikir kembali tentang sikap mereka yang tidak mahu menutup aurat secara sempurna.
Ini adalah harapan untuk saya dan anda. mari kita cuba jadikan ia sebagai kenyataan.

Sunday, December 17, 2006

JADUAL KULIAH

Jadual Kuliah Bulanan :

1- Masjid Bukit Jelutong - Kisah Para Nabi Berdasarkan Al-Quran dan Hadith Sahih - Sabtu - 9 pagi - tarikh akan diberitahu

2- Surau Syeksyen 5, WangsaMaju - buku Syamaail Muhammadiyyah karya al-Tirmidzi - hadith2 tentang sifat Rasulullah SAW = Setiap Selasa minggu terakhir setiap bulan - selepas solat Maghrib - tarikh terkini ialah minggu depan Selasa 26/12/06

3- UIA Kuantan - huraian buku 20 Persoalan Asas Tentang Hadis - sabtu - selepas solat Maghrib - tarikh akan diberitahu

Tuesday, November 28, 2006

BUKU BARU - DOA DAN ZIKIR RASULULLAH S.A.W. SELEPAS SOLAT

Alhamdulillah, setelah sekian lama saya akhirnya dapat juga menulis dalam blog ini. Untuk permulaannya, saya ingin menghebahkan buku kedua saya yang telah pun berada di pasaran. Ia bertajuk Doa dan Zikir Rasulullah SAW selepas solat. Saya menulisnya bersama Ustaz Muharman Bachtiar (www.ontahapo.blogspot.com).

berikut adalah sinopsis buku berdasarkan artikel yang telah ditulis oleh saudara Kamin di www.al-ahkam.net

Pengarang :
1. Muharman bin Bachtiar (B.A. Syariah, Universiti Yarmuk, Jordan)
2. Adlan bin Abdul Aziz (B.A. Bahasa Arab, Universiti al Al-Bayt, Jordan)
Penyunting :
al-Ustaz Mohd Khairuddin Aman Razali atTakiri (B.A. Universiti Jordan. M.A Universiti al Al-Bayt, Jordan)
ISBN 983-3618-10-3
Harga : RM6.00
Penerbit : Darul Fuqaha Enterprise (Boleh e-mail kepada Ustaz Adlan untuk mendapatkan buku ini - alitantawi@yahoo.com atau SMS beliau di nombor - 019-7105167) -------------

Tahniah kepada Ustaz berdua kerana telah berjaya menerbitkan sebuah buku kecil yang menghimpunkan zikir-zikir dan do'a yang boleh di baca selepas Solat. Al-Ahkam juga turut bergembira kerana kedua-dua Ustaz ini merupakan moderator dan forumer al-Ahkam. Buku kecil ini meliputi :-

- Ilmu asas zikir - perintah, kelebihan, Majlis zikir dan adab-adab berdo'a -

Bab 1 - Menjelaskan mengenai pengambilan sumber zikir, Rasulullah sebagai panduan yang terbaik, mustahab melakukan zikir selepas solat dan yang paling penting adalah silabus/manhaj yang perlu diketahui didalam proses pengambilam zikir. -

Bab 2 - Memaparkan senarai zikir-zikir yang sahih selepas solat

Berikut dipaparkan kepentingan buku ini
Sebagai pembaca, anda perlu mengetahui kepentingan buku ini serta bagaimana anda boleh menggunakan buki ini dengan penggunaan yang sempurna, Berikut adalah beberapa perkara berkaitan kepentingan buku ini :-

a. Buku ini dapat membantu pembaca untuk mengenal pasti apakah zikir yang benar-benar pernah dibaca oleh Rasulullah :saw serta diajar oleh baginda saw untuk kita membacanya selepas solat. Ini penting kerana ada diantara kita yang tidak mampu membezakan antara zikir Rasulullah :saw dengan zikir yang disusun oleh para ulama'. Mengetahui tentang zikir Rasulullah :saw ini dapat mengelakkan kita daripada melakukan 2 kesilapan besar :-

1. Menyatakan atau menganggap sesuatu zikir itu datang daripada Rasulullah :saw sedangkan zikir itu sebenarnya disusun oleh para ulama'.
2. Mengabaikan sesuatu zikir yang pernah diajar oleh Rasulullah :saw kerana menganggap itu adalah zikir biasa yang disusun oleh ulama'.

b. Buku ini mengumpulkan zikir dan do'a Rasulullah :saw yang sahih sahaja iaitu zikir dan so'a yang benar-benar dibaca oleh Rasulullah :saw. Manakala zikir-zikir dan do'a yang ada di dalam hadiyh-hadith yang tidak sahih tidak penulis masukkan didalam senarai yang ada didalam buku ini. c. Buku ini juga penting kerana ia dapat menjimatkan masa kita dalam usaha untuk mencari satu persatu dalam buku-buku hadith tentang zikir selepas solat yang di ajar oleh Rasulullah :saw.

Tuesday, October 24, 2006

JANGAN LUPA....

hari raya tiba lagi...

apabila menjelang hari raya, semua orang sibuk membuat persiapan...saya cuma ingin mengingatkan diri saya dan anda dengan beberapa perkara:

- jangan lupa di waktu kita bergembira, ada yang berduka. mungkin kerana mereka tidak berharta, mungkin juga kerana mereka kehilangan orang yang tersayang atau mungkin kerana mereka ditindas oleh musuh-musuh Islam.

- jangan lupa pada puasa kita yang telah berlalu. mungkin banyak cacat-celanya kerana kita tidak menjaga diri kita daripada dosa. segeralah bertaubat agar Allah SWT mengampunkan kesalahan kita

- jangan lupa bahawa bulan-bulan yang akan datang tetap menuntut kita untuk mentaati Allah. tidak hanya di dalam bulan Ramadhan sahaja kita perlu beribadat dan menjaga hubungan kita dengan Allah.

- jangan kita lupa pada cabaran semasa yang dihadapi oleh umat Islam termasuk yang terkini iaitu penghinaan terhadap Rasulullah SAW. fikirkan bagaimana kita ingin menghadapi cabaran ini dan berdakwah sekadar mampu.

- jangan lupa bahawa syaitan dan iblis telah pun dibebaskan. mereka akan meneruskan kerja mereka untuk membawa kita ke dalam neraka bersama mereka

- jangan lupa pada Allah dalam setiap gerak-geri kita..

semoga saya dan anda tergolong di kalangan mereka yang mengingati semua ini dan tidak lupa, amin.

Tuesday, October 10, 2006

Mencari Ilmu Di Bulan Mulia

Dengan kedatangan bulan Ramadhan yang penuh berkat ini, marilah kita tinggalkan segala sifat negatif yang pernah ada pada diri. Di antara sifat negatif itu ialah sambil lewa dalam menambahkan ilmu agama. Kenapa masih ramai yang menganggap bahawa mempelajari ilmu agama hanyalah perkara sampingan? Malah ada juga yang meminggirkan soal menuntut ilmu agama kerana pada tanggapannya itu hanyalah tugas orang-orang yang bergelar ustaz atau ‘gayanya’ macam ustaz. Tidak kurang juga yang beralasankan ‘sibuk’ sehingga tidak ada waktu yang boleh diluangkannya untuk ‘menemani’ ilmu berkaitan Islam.
Seakan sudah lenyap dari ingatan kita bahawa ayat pertama yang diturunkan kepada Rasulullah SAW ialah ‘Iqra’ bermaksud ‘bacalah’. Seakan kita sudah lupa pada kegigihan para sahabat mempelajari Al-Quran daripada Rasulullah SAW. Seolah-olah kita tidak pernah membaca sejarah Islam yang penuh dengan khazanah ilmu terutama buku-buku yang terlalu banyak. Islam adalah agama yang berasaskan ilmu dan pengajian. Ia bukan agama yang hanya mementingkan ibadah tanpa usaha menambah ilmu pengetahuan.
Hanya Nabi dan Rasul yang memiliki kelebihan menerima ilmu daripada Allah SWT. Itu pun disebabkan mereka sememangnya terpilih di sisi Allah SWT untuk memikul amanah mendidik manusia ke jalan yang benar. Tetapi manusia biasa seperti saya dan anda, kita disuruh menuntut ilmu dan mencarinya, bukan menunggu-nunggu bilakah agaknya ilmu itu akan datang bergolek. Rezeki tidak datang bergolek, ilmu juga begitu.
Masalahnya sekarang, orang Islam tidak ‘kreatif’ dalam menuntut ilmu agama. Mereka hanya mengeluh bahawa mereka tidak sempat atau letih untuk mengikuti kelas pengajian di masjid, surau atau tempat ilmiah tertentu. Sedangkan ilmu itu tidak semestinya diambil daripada kelas pengajian. Bagi yang sempat dan rajin, ikutilah kelas-kelas pengajian dengan istiqamah di tempat-tempat berhampiran dengan rumah anda. Selain kelas-kelas itu, anda boleh memilih buku-buku ilmiah untuk dibaca. Anda juga boleh melayari laman web Islamik termasuklah juga anda boleh muat turun buku-buku elektronik tentang Islam.
Paling tidak, luangkanlah masa untuk ‘melepak’ bersama-sama orang yang berilmu tentang Islam agar anda boleh berbincang dan bertanya tentang perkara yang anda kurang faham. Gunakan juga kemudahan telefon bimbit untuk berbual sekejap dengan golongan yang berpengetahuan atau sekadar menghantar mesej ringkas bertanyakan soal-soal tertentu.
Setiap seorang daripada kita boleh melakukan perkara-perkara di atas sama ada kesemuanya atau memilih mana-mana cara yang mudah bagi kita untuk menambah ilmu tentang Islam. Ingatlah, ilmu itu dicari dan ia tidak mencari kita. Allah SWT memuliakan orang-orang yang berilmu di dalam Al-Quran. Rasulullah SAW juga di dalam banyak hadith menekankan soal menuntut ilmu tentang Islam. Janganlah kita pandai mencari rezeki, pandai mencari ilmu tentang keduniaan dan sebagainya tetapi tidak tahu atau tidak ambil kisah dalam usaha mencari ilmu tentang Islam. Selamat mencari ilmu dan selamat beramal!

Friday, October 06, 2006

Bazar Ramadhan atau Bazir Ramadhan?

Berpusu-pusu manusia membanjiri Bazar Ramadhan yang diadakan setiap tahun di merata tempat. Tujuannya? Nak mengisi perut yang bolehlah dikatakan kecil. Saiz perut berbeza mengikut manusia. Tetapi apa yang menghairankan ialah makanan yang dibeli melebihi (agaknya) daripada kemampuan perut atau saiznya.
Orang yang menjual pula meletakkan harga yang hebat-hebat. Maklumlah, ramai orang datang, takkanlah tak ada yang nak beli? Kualiti barang yang dijual? Ada yang ok dan ada yang tak ok. Nama air kelapa, tapi rasa air gula saja pun ada.
Orang yang membeli biasanya akan berselera membeli kerana perut tengah kosong. Maka mungkin elok kalau kita tukarkan nama Bazar Ramadhan kepada Bazir Ramadhan?

Sunday, October 01, 2006

PEMBAHAGIAN PUASA – UMUM, KHUSUS, KHUSUS AL KHUSUS

Saya pernah mendengar dan membaca tentang satu bentuk pembahagian puasa yang agak pelik dan sukar untuk saya fahami. Sejak saya mendengarnya bermula semasa di bangku sekolah sehingga saya melanjutkan pelajaran dan menamatkan pengajian di universiti, saya semakin yakin bahawa pembahagian ini tidak mempunyai sumber atau dalil yang kukuh.
Pembahagian ini telah menjadikan puasa di bulan Ramadhan sebagai topik utamanya. Pembahagian ini juga sebenarnya adalah pembahagian yang berfokuskan kepada orang yang berpuasa. Puasa Umum adalah puasa orang awam atau orang biasa yang sekadar menyempurnakan rukun-rukun puasa seperti yang termaktub dalam buku-buku fiqh Islam. Puasa Umum ialah puasa yang mementingkan niat dan menahan diri dari melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa seperti yang dapat difahami dari Al Quran dan hadis-hadis sahih.
Puasa Khusus pula ialah puasa segolongan manusia yang menjaga diri dari perkara-perkara maksiat dan tidak hanya memenuhi rukun puasa seperti Puasa Umum. Mereka sentiasa menjaga diri dari perkara terlarang yang boleh dilakukan oleh anggota badan.
Puasa Khusus al Khusus adalah satu peringkat yang lebih tinggi. Mereka yang berpuasa sebegini dikatakan tidak pernah lalai dan lupa dari mengingati Allah SWT sepanjang puasa mereka. Hati mereka sentiasa mengingati Allah dan tidak pernah terlepas walau sesaat.
Inilah pembahagian puasa yang tidak saya temui melainkan di kalangan mereka yang mendakwa dari kalangan pelajar-pelajar tasawuf atau kesufian. Saya cuba melihat sebanyak mungkin ayat-ayat Al Quran berkaitan puasa dan hadis-hadis sahih yang menjelaskan mengenai puasa yang dikehendaki. Maka saya dapati bahawa Puasa Umum dan Puasa Khusus sedikit sebanyak mempunyai asas secara umum. Namun Puasa Khusus al Khusus langsung tidak disebutkan dan tidak dapat dicari dari manakah sumbernya.
Seperkara lagi, kalau kita menyatakan bahawa Puasa Umum adalah puasa yang paling rendah, maka seolah-olah kita memandang rendah kepada mereka yang berpuasa mengikut rukun dan syarat yang telah ditetapkan di dalam Al Quran dan hadis. Memang sudah semestinya kita menjaga diri dari perkara yang membatalkan puasa kerana itu telah termaktub di dalam Al Quran dan hadis-hadis sahih. Para sahabat sendiri terlalu berhati-hati menjaga agar puasa mereka tidak batal. Kenapa kita perlu menggambarkan puasa sebegini adalah puasa yang biasa atau rendah nilainya?
Kalau kita melihat kepada maksud Puasa Khusus pula, memang kita telah mengetahuinya dari Al Quran dan hadis-hadis sahih. Maksudnya, seseorang itu ketika berpuasa (dan juga ketika tidak berpuasa), wajib menjaga diri dari melakukan maksiat kerana maksiat adalah semua perkara yang melanggar ketetapan Alllah SWT dan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Maka di dalam Al Quran dan hadis sahih, sesiapa yang mengaku dirinya Muslim, wajib menjaga dirinya agar tidak melakukan maksiat, sama ada ketika berpuasa atau ketika tidak berpuasa. Untuk itu Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam telah bersabda : ‘mungkin seseorang itu berpuasa dan dia tidak mendapat balasan kecuali lapar’ – hadis sahih riwayat Ibn Majah (hadis no. 1690).
Melalui pembacaan, saya mendapati bahawa golongan sufi telah menjadikan Puasa Khusus al Khusus sebagai hak milik para wali dan kekasih Allah SWT (ini yang didakwa sebahagian golongan sufi). Mereka berpuasa dalam keadaan yang lebih tinggi dari manusia biasa. Mereka tidak pernah lupa pada Allah SWT dan tidak pernah lalai walau sedetik. Ini adalah dakwaan yang melampaui batas manusia biasa kecuali para Nabi dan Rasul.

marilah kita berpuasa dengan mempelajari puasa Rasulullah SAW.

Friday, September 29, 2006

JADUAL KULIAH BULAN OKTOBER

1/10 - rumah anak yatim Aman, Syeksen 2, Shah Alam - selepas tarawih - tazkirah Ramadhan

2 / 10 - Surau Kolej Pertama, UM - selepas tarawih - tazkirah Ramadhan

7 / 10 - Masjid Bukit Jelutong, Shah Alam - selepas tarawih - tazkirah Ramadhan

14/ 10 - UIA Kuantan - selepas Maghrib - Huraian buku '20 Persoalan Asas Tentang Hadith'

Monday, September 25, 2006

GAMBAR LAGI


HARI JADI AMMAR ...AMIR JOIN SEKAKI


AMIR SERONOK MASUK BLOG


APA AGAKNYA YANG AHLA FIKIRKAN?


SERONOK NAIK KERETA

SELAMAT DATANG RAMADHAN

Ramadhan Penghapus Dosa
Ramadhan penghapus dosa….inilah yang perlu disedari oleh kita. Rasulullah SAW telah menyatakan bahawa setiap Ramadhan itu merupakan penghapus dosa. Baginda juga menyatakan bahawa sesiapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala, maka Allah SWT akan mengampunkan dosanya yang telah dilakukan. Inilah peluang yang perlu kita gunakan.
Dosa yang banyak akan membebankan kita setelah kita melangkah ke alam akhirat. Orang berdosa tidak akan dapat memasuki syurga melainkan setelah disiksa terlebih dahulu di dalam neraka. Tidak berbaloi sekiranya kita bahagia di dunia dengan wang ringgit, pangkat dan keluarga tetapi di akhirat kita disiksa dengan pelbagai siksaan hanya kerana dosa kita yang banyak.
Marilah kita sama-sama berpuasa dengan mengharapkan pengampunan dari Allah SWT. Tanpa pengampunanNya, kita akan terus dibelenggu dosa yang bakal menyusahkan kita di akhirat sana.

Ramadhan Mendidik Jiwa

1- Mendidik jiwa agar mempunyai kekuatan menahan nafsu. Ini bakal menyediakan diri kita supaya semasa dan selepas Ramadhan kita akan lebih mampu bertahan dengan ajakan nafsu yang menyeru ke arah maksiat.

2- Mendidik jiwa agar merasai sedikit kesusahan dan keperitan kerana lapar dan dahaga. Di seluruh dunia, ada sahaja umat Islam yang kelaparan dan hidup dalam serba tidak mencukupi. Kalau kita hanya berlapar pada siang hari, bayangkan betapa susahnya orang lain yang terpaksa berlapar pada siang dan malam?

Monday, September 11, 2006

SOLAT TAPI MASIH MELAKUKAN MAKSIAT?

ARTIKEL INI TELAH DIHANTAR KE LAMAN WEB WWW.AL-AHKAM.NET PADA BULAN JULAI YANG LALU. SEMOGA PENGUNJUNG BLOG INI MENDAPAT MANFAAT DARINYA


Baru-baru ini saya mendapat satu sms daripada abang saya. Sms tersebut di’forward’kan kepada saya. Asal sms itu ditujukan kepada beliau dengan persoalan: Solat itu mencegah kemungkaran, saya menjaga solat 5 waktu tetapi masih lagi berkeinginan melakukan maksiat, kenapa ini berlaku?’. Begitulah persoalan yang ditimbulkan dengan ayat yang sedikit berbeza.
Memang jelas dinyatakan di dalam surah al Ankabut ayat 45 bahawa solat itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar. Ini adalah firman Allah SWT dan setiap firman Allah SWT di dalam Al Quran adalah benar dan tidak diragui lagi.

Sepatutnya keraguan tidak timbul pada diri orang yang bertanya sekiranya dia mendalami maksud ayat tadi dan juga mendalami ayat-ayat dan hadith lain yang berkaitan dengan persoalan yang ditimbulkannya iaitu persoalan ‘keinginan melakukan maksiat’.
Ayat tersebut menyatakan bahawa solat yang sempurna akan mencegah orang yang menunaikannya daripada perbuatan keji dan mungkar. Di dalam ayat tersebut tidak disebutkan bahawa orang yang solat tidak ada ‘keinginan’ untuk melakukan maksiat.

Keinginan melakukan maksiat memang ada dalam diri setiap manusia seperti yang disebutkan dalam ayat-ayat Al Quran contohnya surah al Syams ayat 8 bermaksud: ‘Maka Dia telah mengilhamkan setiap jiwa kejahatan dan ketaqwaan’. Rasulullah SAW juga menceritakan tentang rahmat Allah SWT yang tidak menyiksa manusia sekiranya dia hanya sekadar terlintas di dalam hatinya keinginan untuk melakukan maksiat (hadith riwayat al Bukhari – hadith no.6491 dan Muslim – hadith no.350).

Satu lagi perkara penting ialah solat itu sendiri perlu dilihat adakah tepat atau tidak mengikut seperti yang diajarkan oleh Rasulullah SAW: ‘Solatlah kamu seperti aku solat’? (hadith riwayat al Bukhari – hadith no.631). Maka sebelum seseorang itu bertanya tentang kesan solat terhadap dirinya, perlulah dia meneliti adakah solatnya itu seperti yang diajar oleh Rasulullah SAW ataupun tidak. Adakah solatnya sah atau batal? Adakah solatnya dilakukan dalam keadaan khusyuk (berfokus) atau bersahaja dan lalai?

Bagi mereka yang telah menunaikan solat dengan bersungguh-sungguh dan cuba menepati solat yang diajar oleh Rasulullah SAW, tetapi masih melakukan maksiat atau berkeinginan melakukan maksiat, saya ada beberapa nasihat untuk kita kongsi bersama:

1. Syaitan itu musuh kita. Dia telah bersumpah di dalam Al Quran sebagaimana di dalam surah Shod ayat 82, surah al A’raf ayat 16 dan 17 bahawa dia akan sentiasa berusaha menyesatkan manusia setiap masa dan setiap waktu. Maka tidak hairanlah kita akan sentiasa berkeinginan atau terlintas untuk melakukan maksiat. Di dalam surah yang sering kita baca, al Naas, Allah SWT menyifatkan syaitan sebagai makhluk yang akan membisikkan ke dalam hati manusia perkara kejahatan.

2. Hanya malaikat yang bersih daripada keinginan melakukan maksiat atau lintasan hati untuk melakukan maksiat. Begitu juga para Nabi dan Rasul yang mendapat pemeliharaan (‘ishmah) daripada Allah SWT bagi memelihara kesucian perjuangan mereka. Adapun manusia biasa, maka tidak terlepas daripada lintasan hati untuk melakukan maksiat. Manusia yang bertaqwa ialah mereka yang menghalang dirinya daripada mengikut keinginan tersebut. Ini jelas daripada firman Allah SWT di dalam surah al Naazi’at ayat 40 yang menceritakan bahawa sifat ahli syurga ialah dia menghalang kehendak dirinya untuk melakukan maksiat di dunia.

3. Keinginan melakukan maksiat bukanlah maksiat. Lintasan hati untuk melakukan maksiat bukanlah maksiat. Ini telah dijelaskan seperti yang tertera dalam maksud hadith riwayat al Bukhari dan Muslim yang disebut di awal tulisan ini.

4. Setiap ayat di dalam Al Quran perlu difahami dengan melihat ayat-ayat lain yang ada di dalamnya. Ini adalah kerana Al Quran diturunkan sebagai kitab yang lengkap melengkapi dan berkaitan antara satu ayat dengan ayat yang lain. Menghadkan pandangan kepada satu atau dua ayat semata-mata akan menyebabkan kita kurang memahami maksud sebenar ayat tersebut. Maka sesiapa yang melihat ayat bahawa solat itu mencegah kemungkaran, perlu juga dia melihat ayat yang menceritakan bahawa manusia itu mempunyai kesediaan untuk melakukan kebaikan dan kejahatan, maka manusia yang bertaqwa ialah manusia yang menghalang dirinya daripada mengikut hasutan ke arah kejahatan.

5. Orang bertaqwa juga tidak akan terlepas melakukan kemungkaran akibat terlalai atau kurang imannya kerana iman itu meningkat dan menurun. Di dalam surah Ali Imran ayat 135, Allah SWT menjelaskan sifat-sifat orang bertaqwa dan di dalam ayat tersebut Allah SWT berfirman bahawa orang yang bertaqwa juga ada masanya melakukan dosa lalu dia bersegera bertaubat. Maksud yang sama juga ada disebut dalam ayat 201 surah al A’raf.

Semoga kita sama-sama mengambil peringatan daripada tulisan ringkas ini dengan memperbaiki mutu solat kita agar lebih menyerupai solat Rasulullah SAW. Begitu juga kita perlu sentiasa mendidik diri agar bertaqwa kepada Allah SWT bukan sekadar di dalam solat, tetapi di luar solat dalam seluruh kehidupan. Sikap ini memang payah tetapi perlu diusahakan sedikit demi sedikit. Semoga Allah SWT membantu kita dalam memperbaiki amalan dan jiwa kita ke arah ketaqwaan. Amin.

Monday, September 04, 2006

GAMBAR LAGI....

SENGIH..SENGIH....AMIR NI MEMANG LAWAK

SERONOK LA TU..DAPAT KEK...AMMAR


EWAH..EWAH...COMEYNYERRRR...AHLA

Sunday, August 27, 2006

Monday, August 14, 2006

10 Nasihat Untuk Memahami Al Quran

artikel ini adalah artikel yang telah dihantar ke laman web www.al-ahkam.net . Saya amat menyayangi artikel ini dan diharap artikel ini dapat disampaikan kepada seramai mungkin agar mereka lebih dekat dengan Al Quran. Boleh juga melihat artikel saya yang lain di dalam laman web al-ahkam di mana saya menggunakan nickname alitantawi...

10 Nasihat Untuk Memahami Maksud Al Quran - Posted by : alitantawi

PESANAN PENAJA : BANTULAH SAHABAT YANG DITINDAS DI SELURUH DUNIA ISLAM, JANGAN HANYA MENUNGGU MUKJIZAT
Ketika malam bertukar menjadi pagi,
kucoretkan tulisan ini sebagai nasihat bagi yang sudi,
untuk dipraktikkan bukan sekadar teori,
agar Al Quran dibaca lalu difahami,

Berikut adalah beberapa panduan untuk sesiapa sahaja yang ingin memahami Al Quran, terutama mereka yang tidak memahami sebahagian besar ayat Al Quran hanya kerana ayat-ayat itu adalah di dalam Bahasa Arab. Perkara sebegini bukan halangan untuk anda memahami Al Quran. Malah ramai yang menguasai Bahasa Arab tetapi masih lagi tidak cuba memahami Al Quran. Semoga Allah SWT memberikan hidayah untuk saya dan anda semua.

1- Membeli sebuah Al Quran berserta terjemahan. Mungkin terdapat perbezaan pendapat di kalangan kita tentang terjemahan Al Quran yang paling baik. Saya secara peribadinya mencadangkan agar pembaca membeli terjemahan Al Quran yang dicetak oleh Kerajaan Arab Saudi di dalam Bahasa Indonesia dan juga Tafsir Pimpinan al Rahman yang dicetak oleh Jabatan Perdana Menteri Malaysia.
2- Peruntukkan waktu secara tetap sama ada harian atau mingguan untuk membaca beberapa ayat Al Quran berserta terjemahan. Tidak perlu terlalu bersemangat kerana selalunya semangat yang berlebihan tidak akan bertahan lama. Jika anda sekadar ingin membaca ayat Al Quran tanpa terjemahan, sememangnya digalakkan setiap hari dalam keadaan yang sederhana. Namun untuk membacanya berserta terjemahan, perlulah diberikan peruntukan waktu untuk ‘menghadamkan’ terjemahan dan maksud ayat-ayat yang telah dibaca. Mungkin pembaca boleh memperuntukkan masa untuk ayat-ayat daripada juzuk 30 kerana ia ayat-ayat yang sering kita baca dan hafal. Sebagai contoh, mulakan dengan surah al Ikhlas yang mengandungi 4 ayat dan diberi tempoh selama 3 hari untuk membaca, merenung dan memahami maksudnya sebelum berpindah kepada surah al Naas pula. Begitulah seterusnya. Tidak semestinya anda mengikut susunan misalnya bermula daripada al Fatihah kemudian al Baqarah, Ali Imran dan seterusnya, atau bermuladaripada al Naas kemudian al Falaq, al Ikhlas dan seterusnya. Matlamat kita ialah cuba memahami ayat-ayat Al Quran secara keseluruhan. Mungkin minggu ini kita ingin memahami maksud beberapa ayat daripada surah Yaasin dan minggu depan pula kita ingin mengetahui maksud beberapa ayat daripada surah al Kahfi pula. Apa yang penting, setiap minggu kita akan peruntukkan sedikit masa untuk memahami beberapa ayat dan sikap ini berterusan dengan penuh istiqamah.
3- Tandakan ayat-ayat yang kurang jelas maksudnya. Sememangnya kita tidak akan dapat memahami dengan jelas setiap ayat yang dibaca. Mungkin ini disebabkan oleh keadaan atau tumpuan kita semasa membacanya. Mungkin juga disebabkan ayat terjemahan itu tidak jelas dan mungkin juga disebabkan kita baru membacanya sekali tanpa benar-benar faham. Walau apa pun sebabnya, jangan biarkan ayat itu berlalu tanpa memastikan kita benar-benar faham maksudnya. Tandakan ayat tersebut dan peruntukkan beberapa hari atau lebih untuk mengkaji maksudnya dengan lebih jelas.
4- Wujudkan panel rujukan sendiri dengan menyimpan nombor telefon beberapa orang ustaz yang dirasakan mampu menghuraikan maksud ayat-ayat yang kurang jelas maksudnya tadi. Rujuk kepada mereka untuk mendapatkan jawapan yang lebih cepat dan mudah. Lebih cepat ialah dengan menulis sms dan dihantar ke telefon bimbit seseorang ustaz, misalnya anda tulis ‘Assalaamualaikum ustaz, apa maksud ayat 23 surah Luqman? Terima kasih’. Mungkin sesetengah ustaz tidak terus membalasnya kerana ingin mengkaji terlebih dahulu. Lihat, anda telah melakukan amal soleh dengan menyebabkan seorang agamawan membuka kembali buku dan kitabnya yang telah lama berhabuk di atas rak buku, hanya kerana satu sms yang ingin tahu tentang tafsir satu ayat daripada Al Quran.
5- Boleh juga mencari maksud ayat tersebut daripada terjemahan edisi yang lain atau membeli buku tafsir Al Quran yang telah diterjemahkan. Kini terdapat banyak buku tafsir yang diterjemahkan dan yang paling baik setakat pengetahuan saya ialah terjemahan Tafsir Ibn Kathir. Buku terjemahan Al Quran juga terdapat dalam banyak versi sama ada di dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris atau Bahasa Indonesia dan lain-lain lagi. Langkah ini mungkin memerlukan kepada perbelanjaan yang lebih untuk memiliki sebanyak mungkin terjemahan Al Quran, tetapi ia tetap berbaloi kerana tujuan kita amat mulia iaitu memahami Al Quran.
6- Pengulangan bacaan tafsiran atau terjemahan ayat yang sama dapat memberikan gambaran yang lebih jelas tentang ayat. Mungkin kali pertama anda membaca terjemahannya dan tafsirannya semasa pemikiran anda tidak berfokus dan tidak tenang disebabkan pelbagai masalah. Kali kedua pula anda membacanya dalam keadaan tenang dan tiada masalah. Pasti bacaan kedua akan lebih membantu anda memahami ayat tersebut, wallahu a’lam.
7- Sebolehnya cari kaset-kaset atau cd yang mengandungi huraian Al Quran daripada ustaz-ustaz atau mana-mana pendakwah. Mungkin anda sibuk dan tak sempat nak mendengar kuliah tafsir, maka bukalah radio atau belilah cd untuk anda belajar daripada dalam kereta atau gunakan alat seperti cd walkman atau mp4 untuk mempelajari tafsir Al Quran. Takkanlah waktu di dalam kereta hanya dengan mendengar lagu atau berita di radio sahaja?
8- Lebih baik lagi jika mempunyai tempat kuliah tafsir yang dihadiri secara tetap. Ini penting untuk menjadikan kita sentiasa istiqamah dalam mempelajari tafsir. Ustaz yang mengajar juga boleh kita jadikan sebagai rujukan tetap kerana kita akan sentiasa bertemu dengan beliau setiap kali tiba waktu kuliah.
9- Layari laman web Islamik yang menawarkan perkhidmatan untuk memahami ayat-ayat Al Quran atau boleh muat turun beberapa program yang mengandungi tafsir atau terjemahan Al Quran. Internet perlu digunakan sebaik mungkin terutama bagi mereka yang boleh ‘online’ semasa berkerja. Program tafsir juga boleh dimuat turun ke dalam laptop atau ke dalam alat seperti telefon bimbit atau telefon PDA yang canggih lagi memudahkan.
10- Cuba pelajari Bahasa Arab untuk lebih mendekatkan diri kita dengan maksud ayat yang dibaca. Hendak seribu daya. Saya secara peribadi telah bertemu dengan orang-orang yang tahu berbahasa Arab dengan mempelajarinya secara sendiri dan mereka bukanlah produk sekolah agama atau universiti di negara Arab.Akhir kata, berdoalah kepada Allah SWT agar kita tergolong dalam kalangan orang-orang yang ingin mendalami ilmu Allah SWT terutamanya ingin mendalami Al Quran. Ingatlah, tiada keinginan untuk menambahkan ilmu agama adalah satu penyakit merbahaya. Kesannya pesakit ini akan terus hidup dalam keadaan jahil dan tidak bertambah ilmunya. Ingat pesan Rasulullah SAW : Sebaik-baik kamu ialah orang yang mempelajari Al Quran dan mengajarnya.(Riwayat al Bukhari, no.5027).

PESANAN PENAJA: SAMPAIKAN NASIHAT INI KEPADA YANG LAIN, JANGAN BIARKAN HIDUP ANDA DISELUBUNGI KEJAHILAN
(ini bukan artikel berantai)
al-ahkam.net

Friday, August 11, 2006

KENANGAN LALU DI SEKOLAH TERDAHULU

Nak sambung al kisah tentang pindah sekolah. Untuk pengetahuan pembaca blog, saya mula-mula mengorak langkah dalam alam pendidikan atau pelajaran ini pada tahun 2002 di SMK Cohcraine, KL ketika dalam praktikal. Beberapa bulan di sana cukup untuk mewujudkan rasa ukhuwwah guru - pelajar. Saya mengajar Bahasa Arab menengah rendah. Hubungan dengan guru-guru macam biasa saja. Namun hubungan dengan para pelajar amat baik. Bersambung lagi bila ada kesempatan....

Friday, August 04, 2006

PINDAH SEKOLAH

Sejak berjaya mendapat Diploma Perguruan daripada Maktab Perguruan Islam, Bangi, saya telah berkhidmat di dua buah sekolah iaitu SMK Simpang Rengam, Johor dan SMK BAndar Tun Razak.
Sekarang, saya telah ditugaskan untuk mengajar di sebuah sekolah baru pula iaitu SMK Segambut Jaya. Disebabkan SMK Bandar Tun Razak mempunyai lebihan guru agama, Smk Segambut Jaya pula kekurangan guru Bahasa Arab, maka saya ditugaskan untuk pergi ke Segambut. alhamdulillah, semuanya adalah ketentuan Allah SWT.
Memang agak sedih meninggalkan SMK Bandar Tun Razak (Setahun berkhidmaat) sebagaimana sedihnya meninggalkan SMK Simpang Rengam dulu (2 tahun setengah berkhidmat), tapi sudah pasti banyak aspek positif insya Allah . ok, bersambung ceita pindah sekolah dlam tulisan akan datang. masa tidak mengizinkan.

Sunday, July 23, 2006

KESATUAN UMAT ADALAH TUNTUTAN ISLAM

Sahabat-sahabat yang melayari blog ini, saya ucapkan syukran @ syukriya @ terima kasih. Di waktu ini saya teringat sebuah hadith daripada Rasulullah SAW yang bermaksud: Orang-orang mukmin itu ibarat satu tubuh, apabila sebahagiannya sakit, bahagian yang lain akan turut terasa sakit'.
Tapi nampaknya ramai juga di kalangan kita yang tidak terasa sakit apabila melihat umat Islam (terutama wanita dan kanak-kanak) yang mati dan cedera akibat serangan Yahudi Zionis di Palestin dan Lubnan. Ini bukan peristiwa baru, malah ia telah berlaku dulu, kini dan akan datang jika kita tidak lakukan sesuatu (ummat yang lemah tidak dapat mengubah nasibnya).
Seeloknya kita mengajar diri kita untuk turut sama merasai kepedihan dan kesedihan umat Islam yang tersiksa walau di mana mereka berada walaupun tiada hubungan darah..tetapi perlu kita ingat, hubungan paling tinggi ialah keimanan kepada Allah SWT.

Wednesday, July 19, 2006



.... ni gambar ahla yang terkini...

Saturday, July 15, 2006

Saturday, July 08, 2006

BUATLAH SESUATU UNTUK PALESTIN

sahabat sekelian, umat Islam Palestin terus diancam dan diserang. Sebagai seorang muslim, kita dituntut untuk menjadi umat yang satu dan apa yang ditanggung oleh saudara kita juga sepatutnya difikirkan dan direnungkan oleh kita juga.
buatlah sesuatu ...sumbangan derma, kempen kesedaran, program ilmu, cetusan idea dalam internet....akhir sekali, panjatkan doa kepada Allah...agar Palestin terus bertahan dalam genggaman Islam!

Saturday, June 24, 2006

BUKU BARU - BUKU PERTAMA SAYA


Buat pembaca yang mengunjungi blog ini, bolehlah melihat laman web yang saya sebutkan ini utk melihat dgn lebih dekat buku pertama saya yang telah dicetak dan berada di pasaran. selamat membaca!

http://al-ahkam.net/ipaq/modules.php?op=modload&name=News&file=article&sid=39

Wednesday, June 07, 2006

Anak ke 3


ini Ahla Adlina, anak perempuan pertama n anak ketiga dalam keluarga saya. dia ni baik, nangis pun tak kuat2. semoga Allah menjadikannya di kalangan wanita solehah.

anak kedua, Amir


ini pula anak kedua saya, Amir. memang nakal dan melucukan. amat meminati mr.bean dan batman.

anak sulung saya, yang sudah hafal 2 hadith sahih. Ammar. Lahir di Irbid, Jordan. alhamdulillah, boleh membaca dan menulis.

Islam Untuk Diamalkan...Bukan Sekadar Hiasan

Jika kita melihat kehidupan Rasulullah SAW, para sahabat dan tabiin serta golongan awal Islam, kita akan merasai bahawa kehidupan kita pada hari ini amat ketinggalan ..tapi ketinggalan dari aspek apa? Bukankah dunia semakin maju, kenderaan makin canggih, telekomunikasi makin mengejutkan? Kita ketinggalan jika dibandingkan dengan kehidupan golongan awal Islam bukan dari sudut kebendaan, tetapi kita ketinggalan dari sudut kegigihan mengamalkan Islam dalam seluruh aspek kehidupan. Islam bukan sekadar hiasan dan kebanggaan, tapi Islam adalah iman dan amal. Iman mewakili keyakinan dalam hati manakala amal adalah bukti keyakinan tersebut...mari kita perbaiki diri dengan menumpukan kepada aspek mengamalkan Islam dalam kehidupan.

Selamat datang...

para pembaca yang dihormati, ini adalah blog yang telah dibuat khas untuk mencatatkan beberapa pendapat dan pandangan saya (Adlan/Alitantawi) berserta maklumat lain yang berfaedah insyaAllah. semoga pembaca yang mendapat faedah daripada maklumat-maklumat yang tertera di sini akan mendoakan kebaikan untuk saya dan keluarga (Herlyna, Ammar, Amir dan Ahla Adlina)....