Monday, December 24, 2007

TAK HABIS-HABIS DENGAN 'BERANTAI'

Dulu, surat berantai...
Habis terkejut orang-orang tua dan muda apabila menerima surat 'berantai' yang mengandungi pesanan daripada penjaga pintu Kaabah (kononnya). Maka kecut perutlah sebahagian pembaca surat itu apabila isi kandungannya memberikan 'berita gembira' dan 'azab yang pedih'. 'Berita gembira' jika dibuatnya 10 salinan lalu diposkan kepada 10 orang. 'Azab yang pedih' jika tidak mempercayai isi surat itu.

Kini, ada email berantai...
Terkejutlah pula orang-orang yang membuka akaun e mail mereka apabila mendapati terdapat pesanan yang sama. Ia memberikan kata dua - percaya atau terima akibatnya.

Juga, ada sms berantai...
Terkejut pula si pemilik telefon bimbit apabila sms yang diterimanya juga mengandungi cerita yang sama, janji yang sama, amaran yang sama.

Petang semalam (Ahad), isteri saya pula yang menerima sms 'berantai' ini. Lalu saya mengambil telefonnya untuk menulis jawapan balas. Isteri saya bertanya 'kenapa?'. Saya menjawab : 'kita perlu memberitahu penghantar sms ini bahawa sms berantai ini adalah khayalan, pembohongan dan boleh menjejaskan aqidah. Inilah masanya untuk berdakwah'. Lalu isteri saya sendiri yang menulis jawapan sms tersebut.

Inilah sepintas lalu sorotan sejarah surat, e mail dan sms berantai yang telah saya temui sejak di bangku sekolah hinggalah ke petang semalam. Apalah nasib sebahagian umat ini yang masih tidak dapat membezakan antara khayalan, pembohongan dan ajaran agama sebenar.

Didiklah diri kita dan keluarga untuk membina benteng aqidah yang kukuh, dikuatkan dengan ilmu, agar tidak mudah percaya kepada apa sahaja yang berbentuk 'berantai'. Saya yakin dan percaya, kisah 'berantai' ini tidak akan berhenti..malah ia akan berterusan selama mana fahaman Islam tidak benar-benar mantap dalam hati masyarakat.

Ingat..kalau anda jumpa orang-orang yang percaya kepada perkara-perkara yang 'berantai' seperti ini, tegurlah dan perbetulkanlah ia. Sesungguhnya ia adalah satu kerja dakwah yang amat mulia.

No comments: