Saturday, February 21, 2009

3 Hari di KLIA....Mengutip Ilmu


Alhamdulillah..baru saja sampai dari KLIA setelah melalui seminar Ahlussunnah wal Jamaah anjuran Yadim dan Yadmi ...

Di antara yang menarik...

- dapat bertemu tokoh-tokoh akademik dan berinteraksi secara 'live'. Bukan semata tokoh dari negara kita malah dari Indonesia seperti mantan Menteri Agama, Ketua Majlis Ulama Indonesia dan lain-lain lagi.

- dapat berbincang dan mengutip mutiara ilmu daripada 8 kertas kerja yang dibentangkan. puas hati dapat berkongsi pandangan dan soalan walaupun kadang-kadang moderator suruh pendekkan...

- berjumpa sahabat lama dari seluruh negara...ada yang telah bertahun2 tidak bertemu.

- mendapat sahabat baru dari pelbagai latar belakang.

alhamdulillah dipilih untuk menyertai seminar berfaedah ini. semoga dunia dakwah Malaysia dipenuhi dengan keikhlasan dan kebijaksanaan.

Sunday, February 15, 2009

Untuk Peminat Isu 'al-Mutaqaddimun' dan 'al-Mutaakhirun'

Kali ini tulisan saya ditujukan khas kepada rakan-rakan dan saudara saudari yang telah tahu/ingin mengambil tahu tentang isu manhaj hadith antara 'al-Mutaqaddimun' dan 'al-Mutaakhirun'....maaf bagi yang tak berminat kepada isu ini.

Saya hanya ingin mengingatkan dan mencadangkan...

- janganlah membuat andaian sendiri tentang isu manhaj ini. buatlah 'kajian' dan lakukanlah 'penyelidikan'.

- janganlah anggap isu ini kecil kerana ia sememangnya isu besar bagi penuntut ilmu hadith dan ia telah dibincangkan meluas bertahun2 lamanya dalam dunia Islam khususnya ulama hadith tanah arab sejak akhir tahun 90an hingga kini.

- kalau anda bersedia untuk memahaminya dengan mendalam, silakan utk menggunakan buku-buku cdangan yang telah saya sediakan dalam 4shared.com dan foldernya juga telah saya letakkan dalam blog ini di sebelah kanan anda. muat turunlah buku2 itu dan bacalah dengan tenang untuk mendapatkan gambaran yang jelas.

insya Allah, lepas buku2 itu diteliti, adillah dan sesuailah anda untuk membuat kesimpulan peribadi terhadap isu ini.

* seperkara lagi - kalaulah ada yang sudi, boleh kita berjumpa dan berbincang atau berhubung untuk bersoal jawab supaya boleh kita berkongsi ilmu. sudah pasti banyak yang boleh kita bicarakan untuk kebaikan bersama. inilah cara saya dan anda menambah ilmu masing2.

sekian, terima kasih

alitantawi

Saturday, January 24, 2009

Ada Yang Masih Tak Tahu?.....Jelaskan!

Bila bercerita tentang saudara seagama kita di Palestin yang sengsara....

Ada yang masih tak tahu sejak bila negara kecil itu muncul dalam peta dunia...

Ada yang masih tak tahu kenapa (sebab hakiki) berlakunya peperangan...

Ada yang masih tak tahu mana yang betul, mana yang salah...

Ada yang masih tak tahu sejak dulu hingga kini berapa ramai yang terkorban...

Ada yang masih tak tahu apakah jalan penyelesaian...

Ada yang masih tak tahu bagaimanakah cara untuk membantu saudara kita di Palestin...

Ada yang masih tak tahu dan perlukan kita untuk beritahu...


Jadi...tunggu apa lagi? Jelaskan...ceritakan...bualkan...tuliskan....

jangan tunggu dan lihat...jangan asyik mengatakan 'sepatutnya buat begitu begini'...

tapi elok sangatlah kalau kita katakan 'apa yang aku boleh buat?'.

Friday, January 16, 2009

Bantu Palestin...Jangan Asyik Pandang Serong!

Letih dan jemu melihat sebahagian 'mujtahid' yang asyik menyalahkan usaha umat Islam untuk membantu saudara seagama di Palestin...

cara tu tak kena ...cara ni tak kena....habis cara mana yang kena?

ada orang nak boikot...dikatakan tak ada faedah...(walaupun kita boleh bincangkan lebih lanjut mcm mana cara boikot terbaik)..tapi sekurang2nya positif lah...jangan asyik mengata orang 'tak betul' memanjang.

ada orang nak buat bantahan aman...bahkan dibenarkan pula dan dapat permit....dikatakan pula tak guna, tak faedah...pemikiran asyik negatif!

ada orang marah kepada musuh yang membunuh umat Islam...dikatakan pula terlalu emosi. ada-ada saja. habis? kalau tak marah, apa tandanya? kalau tak benci..apa pula nak dibuat?

kita bercerita tentang kematian umat Islam di sana...dikatakan pula 'biarlah, mereka mati syahid'. yang penting katanya umat Islam yang mati lebih ramai di jalan raya.. ke situ pulak perginya?

bila kita ajak orang Islam berdoa...dikatakan pula 'asyik doa je, usahanya mana?'. aduh..orang mcm ni memang letih melayan.

bila kita ajak menderma, dikatakan pula 'derma je nak buat apa?'...'yang bersalah ialah orang arab'....habis? orang Islam 'melayu' ni nak buat apa? tunggu depan tv?

SUDAH-SUDAHLAH...

bantulah mereka dengan APA SAHAJA CARA YANG KITA MAMPU...

janganlah MEMANDANG SERONG usaha yang telah orang lain buat sekadar mereka mampu...

bukankah kita disuruh sekadar kemampuan?

satu soalan terakhir untuk mereka yang suka pandang serong ni..

APA YANG TELAH ANDA BUAT?

Thursday, January 08, 2009

Penuntut Ilmu Agama...Tiada Noktah Baginya!


Apabila anda penuntut ilmu agama - sama ada yang bersijil atau ijazah atau tidak - anda perlu berkata pada diri sendiri:

'jangan berhenti belajar...jangan berhenti mencari...jangan berhenti membaca'

dan perlu ada dalam diri anda satu bisikan:

'makin lama aku mencari, makin banyak yang belum ku temui'

JANGAN sekali-kali bisikan itu bertukar:

'makin lama aku mencari,nampaknya...aku yang paling mengerti!!'

maka diri mula berkata:

'aku tak perlu 'banyak' belajar...aku tak perlu 'sibuk' mencari...aku akan 'kurangkan' membaca..'

'aku perlu 'banyak' mengajar, aku perlu 'sibuk' menunjuk ajar, aku perlu 'banyakkan' menulis untuk dibaca.. '

MUNGKIN penghujungnya...

'hanya aku...dan aku dan aku....aku lebih tahu....bukannya kamu!' NA'UDZUBILLAH..

MUNGKIN JUGA penghujungnya...

'aku tertipu...aku tak tahu....aku hanya penuntut ilmu!' ..ALHAMDULILLAH..

....ingatan untuk diriku dan dirimu...kita semua penuntut ilmu...

Friday, January 02, 2009

Berhenti 'Sejenak' Untuk Berfikir Tentang 'Mereka'

Berhenti...

Berhenti sejenak daripada keseronokan dan kegembiraan...berhenti sejenak dari gelak ketawa...sejenak sahaja....nanti boleh disambung semula...

Berhenti sejenak daripada sebarang kesibukan mencari harta dan pangkat...dari hobi dan minat peribadi...banyak lagi masa untuk semua itu nanti..

Berhenti sejenak daripada sebarang keluhan dan rintihan...rungutan dan sungutan...ada orang yang lebih teruk dari kita...

Berfikir...

Berfikir sejenak tentang kesengsaraan saudara seagama kita di Palestin (malah di mana sahaja)...di Gaza khususnya kini...di kampung halaman mereka...

Berfikir sejenak tentang nasib anak-anak kecil yang luka dan cedera...terkejut dan tergamam...ditimpa bencana di usia yang masih muda...

Berfikir sejenak tentang kemusnahan...kehancuran sekolah dan hospital malah masjid!....luluh dan hancurnya hati melihat kematian demi kematian tanpa dosa....

Tak terfikirkah kita....
Mereka di sana sengsara sepanjang masa...sedangkan kita tak sempat untuk berfikir tentang mereka walaupun 'sejenak' ??

Semoga Allah SWT mengampunkan kita kerana lupa pada mereka...

Hulurkanlah sebarang bantuan...walaupun sepatah doa...itulah tanda kita satu umat....

Monday, December 29, 2008

1 Muharram ... Merenung dan Memperbaiki...


Setiap tahun umat Islam bertemu dengan 'Awal Muharram'...

Terlalu banyak yang boleh diperkatakan ...namun marilah kita melakukan dua perkara...

1- Merenung....kekuatan dan kelemahan sepanjang tahun lalu...dosa pahala....amalan...ilmu...keberkatan hidup....ketenangan....keadaan umat Islam sedunia...macam-macam yang berlaku!

2- Memperbaiki....segala kelemahan dan kekurangan...segala kesilapan dan keterlanjuran...segala salah dan silap..

kita iringi Doa dengan Usaha...

Selamat Menyambut Tahun Hijrah 1430...Saya doakan agar Allah SWT memberikan pengampunan, rahmat dan keberkatan kepada diri kita semua..

Sunday, December 28, 2008

Cuti Sudah Habisss..



Alhamdulillah, baru sebentar tadi sampai dari Kedah. Letih sungguh memandu. Lega dapat kembali semula dan online dengan talian yang lebih baik. Letih...cuti sudah habis di kampung. Ada seminggu lagi nak bersedia untuk mula kerja.

Selamat Bekerja semula wahai rakan-rakanku di bidang pendidikan...

Selamat Belajar semula wahai pelajar-pelajar semua...

Tuesday, December 23, 2008

Jangan Tertipu Dengan Pujian...



Pujian datang disebabkan banyak perkara...

- ada pujian yang ikhlas datangnya dari hati.

- ada pujian yang terpaksa dikeluarkan untuk memuaskan hati.

- ada pujian yang sengaja dikeluarkan untuk mematikan hati.

- ada pujian yang ikhlas tapi tidak tepat kerana tidak berhati-hati.

dan pelbagai lagi sebab....

Maka...

anda yang menerima pujian perlu SEDAR, BERHATI-HATI, BERFIKIR KEMBALI TENTANG NIAT dan BERDOA KEPADA ALLAH S.W.T. AGAR DIBERIKAN 'ISTIQAMAH' atau 'KETETAPAN' .

janganlah sekali-kali kita menjadi orang yang suka dan melambung dengan pujian...sekalipun pujian itu mungkin benar, namun anda telah kerugian...

apatahlagi jika pujian itu TIDAK BENAR SAMA SEKALI??

Sunday, December 14, 2008

Khutbah Pertama Dalam Hidup

Alhamdulillah, setelah seminggu lebih bercuti barulah dapat menulis semula dalam blog.

Sebabnya ialah susah nak dapat line internet yang bagus di Kedah ni. Streamyx tak ada, yang ada hanya maxis broadband (abang punya) dan celcom broadband (sepupu punya). dan kedua2nya agak perlahan dan tak kuat.

berbalik kepada tajuk...

Akhirnya sejak sekian lama ...dapat juga peluang berkhutbah Jumaat. dan yang lebih manis ialah dapat berkhutbah di negeri sendiri dan berhampiran rumah yang dibeli bersama2 keluarga di Gurun, Kedah. Setelah disuruh oleh bapa saudara, maka saya menerimanya dan ini satu pengalaman baru!

Sejak berada di universiti lagi, saya telah berpeluang untuk memberikan ceramah dan kuliah..di surau, masjid, sekolah, univ, pejabat2 tertentu...tapi tak pernah walau sekali pun berkhutbah! tak sangka pada tahun 2008, pada usia 30 tahun...akhirnya dapat berkhutbah.

Khutbah yang bertajuk 'Pengajaran Dari Nasihat Luqman Kepada Anaknya' merupakan satu sejarah dalam hidup. alhamdulillah, respon positif dan membina diperolehi selepas menyampaikannya. Semoga Allah SWT menjadikan kita orang2 yang bersyukur dan menerima amalan kita semua.

Wednesday, December 03, 2008

Balik Kampung...



Walaupun sekolah dah bercuti ...tapi kali ni baru boleh balik kampung. Antara sebab lambat balik bercuti ialah Ammar (anak sulung) masih bersekolah dan habis minggu ni. Alhamdulillah, dia tengah melengkapkan juzuk keempat yang dihafaznya iaitu juzuk 27. Ikut jadual, minggu ni dia habis la juzuk tu insya Allah.

Berjumpa keluarga dan sanak saudara satu nikmat. Terutamanya apabila dah lama juga tak jumpa.

Ammar, Amir dan Ahla dah selalu sebut2 nak balik rumah tok chah n tok pah.

Kalau ada rezeki, berhajat nak jumpa kawan-kawan SMKAK dulu. Rasa sekejap sangat jumpa baru ni, hujan pulak tu.

Hajat di hati juga nak jumpa ust zainys dan rakan-rakan di Penang. Berbincang soal dakwah melalui siber.

Mungkin tak kerap sangat boleh masuk internet. Hmm, susah jugak tu.

Kepada yang membaca tulisan ini, doakan kami sekeluarga selamat dalam perjalanan balik kampung...

SELAMAT BERCUTI!

Friday, November 28, 2008

Alhamdulillah...Amir dah 5 tahun!!!




Alhamdulillah...Amir Bin Adlan kini 5 tahun...

Semoga terus bersemangat baca buku dengan ummi...

Semoga terus dalam pemeliharaan Allah SWT...

AMir ni semangat...tengoklah kek dia tu.. :)

Saturday, November 22, 2008

Terfikir Tentang 'Sahabat Nabi SAW'

Pulang daripada pembentangan tentang Khalifah Uthman Bin Affan...


Terfikir tentang mereka...'Sahabat Nabi SAW'...penyuluh sepanjang jalan...

Merekalah manusia paling beruntung..tiada tandingan...

Bertemu Nabi SAW, belajar,berbincang malah berpimpinan tangan...

Diajar, ditegur, dididik, diasuh oleh insan terbaik...manusia pilihan...


Membelanjakan harta dan segalanya..malah jiwa dan raga...itulah keimanan...

Mereka paling berani...berdepan dunia demi menyambung mesej Tuhan...

Mereka paling kuat beribadah...siang dan malam...solat dan Al-Quran...

Mereka menguasai dunia...tidak pernah lupa daratan..


Aku melihat segenap sudut hidup mereka....memang tiada tandingan!

Aku melihat SATU sudut hidup mereka...juga aku ketinggalan!

Tak mungkin aku mampu berjalang seiringan...

Moga aku akan berada di belakang...setia memohon panduan...


* ayuh tambahkan maklumat anda tentang sahabat Nabi SAW!

Sunday, November 16, 2008

Inilah Umat Muhammad S.A.W.

Apa perasaan anda apabila saudara Islam yang lain menderita atau ditimpa musibah?

Marilah kita menjadi umat yang sepatutnya bersifat seperti yang diingini oleh Nabi Muhammad SAW:

Perbandingan orang-orang beriman dalam berkasih sayang, belas kasihan dan mengambil berat antara satu sama lain - adalah seperti satu badan, apabila satu anggota mengadu sakit, seluruh badan akan turut serta berjaga malam dan merasai kesakitan.
(Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim).

paling tidak, doakanlah untuk sahabat dan saudara kita apabila mereka ditimpa kesusahan atau kesakitan...

Sunday, November 09, 2008

Berhati-Hati Ketika Bercerita...

Terdapat 2 perkara yang perlu diberikan perhatian:

Pertama...

Ketika mendengar berita/cerita...pastikan dengar betul2 dan faham...

Kedua...

Ketika menceritakan kembali berita/cerita yang telah didengar, pastikan kita menceritakannya dengan betul dan tiada tokok tambah...


Jangan jadi seperti berikut:

orang yang tak pandai mendengar dengan tepat....

orang yang tak pandai mengingat berita yang didengar....

orang yang tak pandai menceritakan kembali cerita yang telah diingat...

orang yang tak ingin membetulkan kesalahan dirinya yang salah bercerita...

LEBIH-LEBIH LAGI kalau cerita itu cerita tentang Islam, agama kita!
LEBIH-LEBIH LAGI kalau cerita itu tentang orang Islam, saudara kita!


INGATLAH...
Rasulullah SAW telah bersabda:

Cukuplah menjadi satu kesalahan/pembohongan apabila seseorang itu menceritakan semua perkara yang didengarinya..(dengan maksud tidak menapis dan tidak berhati-hati)
(Hadith riwayat Imam Muslim di dalam pendahuluan bukunya 'Sahih Muslim' dan juga diriwayatkan oleh Abu Daud dalam 'Sunan')

Thursday, October 30, 2008

SMS Dari Ibuku...

Ketika berada di tempat kerja pagi tadi...saya menerima satu SMS dari ibu saya di Kedah...berikut adalah teks SMS itu dan jawapan saya kepadanya.


SMS dari ibu saya: 'Waktu azan isyak mlm ni alan cukup 30thn'

SMS pendek ini cukup menyentuh jiwa saya. Seorang ibu yang sentiasa ingat kepada anaknya sehinggakan dia mengucapkan selamat hari lahir kepada saya pada hari ini - 30 okt . Sedar tidak sedar, usia sudah mencecah 30 tahun. Terbayang rasa sakit ibu yang melahirkan saya pada waktu Isyak pada 30 Okt tahun 1978. Lalu saya membalas SMS itu dengan ayat yang juga ringkas datangnya daripada hati...

'Alhamdulillah. Allah akan balas susah payah mak melahir dan bela alan sampai jadi besaq mcm la ni'
Ya Allah, kasihilah ibuku sebagaimana dia mengasihiku..

Ya Allah, ampunkanlah dosanya...terimalah amalannya..

Ya Allah, himpunkanlah kami bersama nanti di dalam syurgaMU...

Ya Allah, kasihilah Ibu yang telah menanggung segalanya untukku, dialah yang mendidikku...dialah yang bersusah payah untukku...dialah yang sentiasa bimbang dan risau terhadap keselamatan diriku sehingga ke hari ini...

Terimalah ibadahnya, kurniakanlah kesihatan pada dirinya, kekuatan pada jiwanya, keberkatan pada hidupnya...ya Allah, siapalah diriku tanpanya...amin ya Allah...

Firman Allah SWT di dalam surah Luqman, ayat 14:

Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).

Monday, October 27, 2008

Al-Quran Bercerita Tentang Manusia - 3


MANUSIA YANG KETAWA
Ketawa adalah sifat manusia. Manusia sering ketawa dengan pelbagai sebab dan tujuan. Ada yang ketawa mengejek dan ada pula yang ketawa kerana kecewa. Ada yang ketawa kerana mendapat nikmat tapi ada pula yang ketawa kerana lawak jenaka. Bagaimana Al-Quran menceritakan kepada kita tentang manusia yang ketawa?

ALLAH SWT MENCIPTA ‘KETAWA’ UNTUK KITA
Telah disebutkan dengan jelas sekali di dalam Al-Quran iaitu dalam surah al-Najm, ayat 43:

Dan bahawasanya Dialah yang menjadikan orang tertawa dan menangis,

Allah SWT memberitahu kita bahawa Dialah yang mencipta manusia dalam keadaan orang yang mampu ketawa dan menangis. Dialah juga yang menciptakan seluruh alam ini di mana wujudnya sebab-sebab manusia itu boleh ketawa pada satu masa dan menangis pula pada waktu yang lain.

KETAWA TIDAK SALAH
Maka tiada siapa yang dapat menafikan bahawa ketawa itu tidak ada salahnya. Kenapa pula ketawa itu salah sedangkan ia adalah naluri setiap insan apabila ada sebab dan keadaannya? Maka secara umumnya, senyum dan ketawa bukanlah sesuatu yang dilarang dalam Islam. Mustahil Islam melarang sesuatu yang bersifat keperluan naluri kepada setiap insan, kerana Islam itu sendiri sesuai dengan naluri kemanusiaan!

KETAWA DAN SEBAB-SEBABNYA
Di dalam Al-Quran kita dapati beberapa ayat yang menceritakan tentang ketawa. Sebagai contoh, kita dapati Allah SWT telah menceritakan kepada kita tentang senyum dan ketawa Nabi Sulaiman alaihissalaam. Lihatlah maksud ayat-ayat berikut:

Dan Sesungguhnya kami telah memberi ilmu kepada Daud dan Sulaiman; dan keduanya mengucapkan: “Segala puji bagi Allah yang melebihkan kami dari kebanyakan hamba-hambanya yang beriman”.

Dan Sulaiman telah mewarisi Daud, dan dia berkata: "Wahai manusia, kami telah diberi pengertian tentang suara burung dan kami diberi segala sesuatu. Sesungguhnya (semua) Ini benar-benar suatu kurnia yang nyata".

Dan dihimpunkan untuk Sulaiman tenteranya dari jin, manusia dan burung lalu mereka itu diatur dengan tertib (dalam barisan).

Hingga apabila mereka sampai di lembah semut berkatalah seekor semut: “Wahai semut-semut, masuklah ke dalam sarang-sarangmu, agar kamu tidak dipijak oleh Sulaiman dan tentarenya, sedangkan mereka tidak menyedarinya”

Maka dia tersenyum dengan tertawa kerana (mendengar) perkataan semut itu. dan dia berdoa: “Wahai Tuhanku berilah aku ilham untuk tetap mensyukuri nikmatMu yang telah Engkau anugerahkan kepadaku dan kepada dua orang ibu bapaku dan untuk mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai dan masukkanlah aku dengan rahmatMu ke dalam golongan hamba-hambaMu yang soleh”.

(Surah al-Naml - ayat 15 hingga 19)

Itulah senyum dan ketawa daripada seorang manusia yang baik, seorang Nabi pilihan Allah SWT. Seorang Nabi seperti Sulaiman tidak dapat menahan dirinya daripada senyum dan ketawa kerana mendengar dan melihat telatah seekor ketua semut yang bersungguh-sungguh menjaga keselamatan semut-semut yang lain. Keadaan riuh rendah dan tergesa-gesa itu telah mencuit hati seorang manusia mulia seperti Nabi Sulaiman.
Kita juga dapati di dalam ayat yang lain pula, Allah SWT menceritakan kepada kita bagaimana terdapat sekumpulan manusia yang bukan sahaja jahat dan berperangai buruk, malah sanggup pula mentertawakan orang-orang yang beriman dan orang-orang yang soleh. Lihatlah ayat-ayat di bawah ini yang cukup memberikan kita gambaran betapa buruknya mereka dan ‘ketawa’ mereka:

Sesungguhnya orang-orang yang berdosa, mereka mentertawakan orang-orang yang beriman.

Dan apabila orang-orang yang beriman lalu di hadapan mereka, mereka saling mengerdipkan mata (tanda mengejek)

Dan apabila orang-orang yang berdosa itu kembali kepada kaumnya, mereka kembali dengan gembira.

Dan apabila mereka melihat orang-orang mukmin, mereka mengatakan: “Sesungguhnya mereka itu benar-benar orang-orang yang sesat”,

Padahal orang-orang yang berdosa itu tidak dikirim untuk menjadi penjaga bagi orang-orang mukmin.

(Surah al-Mutoffifin - ayat 29 hingga 33)

Seolah kita fahami dari ayat-ayat di atas – Kenapa pula kamu yang berdosa dan berperangai jahat ingin mentertawakan orang-orang yang lebih baik dari kamu? Kamu tidak pun disuruh menjaga kebajikan mereka. Mereka lebih tahu bagaimana mereka dapat menjaga diri mereka sendiri. Sepatutnya kamu tidak perlu sibuk untuk menganggu dan membincangkan tentang orang-orang yang baik, malah kamu amat perlu untuk menjaga diri kamu sendiri!

Maka ayat ini menceritakan tentang ketawa yang bertujuan mengejek dan mengeji. Oleh itu kita perlu berhati-hati dan berfikir – kenapa kita ketawa? Adakah kerana sebab-sebab yang positif? Atau kerana sebab yang negatif? Itu yang perlu direnungkan dan itulah yang perlu diperhatikan dengan teliti.

KETAWA POSITIF
Berikut adalah beberapa ayat yang menunjukkan kepada kita ketawa yang positif atau ketawa yang dibenarkan kerana tujuannya dibenarkan.

1- Ketawa Nabi Sulaiman terhadap ketua semut kerana gelagatnya yang sibuk mengarahkan semut lain berlindung agar tidak dipijak oleh Nabi Sulaiman dan tenteranya ketika lalu di situ.
Maka dia tersenyum dengan tertawa kerana (mendengar) perkataan semut itu.
(surah al-Naml ayat 19)


2- Ketawa orang mukmin di akhirat nanti terhadap orang kafir yang mentertawakan mereka di dunia.
Maka pada hari ini (hari akhirat), orang-orang yang beriman mentertawakan orang-orang kafir.
(Surah al-Mutoffifin ayat 34)


3- Ketawa isteri Nabi Ibrahim alaihissalam ketika mendengar berita gembira bantuan Allah SWT terhadap Nabi Lut dari malaikat yang datang ke rumahnya.
Dan isterinya berdiri (dibalik tirai) lalu dia ketawa, Maka kami sampaikan kepadanya berita gembira tentang (kelahiran) Ishak dan dari Ishak (akan lahir puteranya) Ya'qub.
(surah Huud ayat 71)


KETAWA NEGATIF
Berikut pula adalah beberapa ayat lain pula yang menceritakan tentang ketawa yang datangnya dari sebab-sebab negatif. Ketawa sebegini jelas menggambarkan peribadi tidak baik pada diri orang yang melakukannya. Sama-samalah kita baca dan hayati bersama:
1- Allah SWT menempelak sikap sebahagian manusia yang suka mentertawakan orang yang baik dan orang yang beriman kerana mengejek dan mempermainkan.

Sesungguhnya orang-orang yang berdosa, mereka mentertawakan orang-orang yang beriman.
(Surah al-Mutoffifin ayat 29)


Lalu kamu menjadikan mereka (orang-orang beriman) bahan ejekan, sehingga (kesibukan) kamu mengejek mereka, menjadikan kamu lupa mengingatiKu dan kamu selalu mentertawakan mereka
(Surah al-Mukminuun ayat 110)


2- Terdapat ayat yang menceritakan bagaimana ketawa yang tidak diredhai Allah SWT akan membawa kepada azab di akhirat yang akan menyebabkan mereka menangis pula.

Maka tertawalah mereka sedikit (di dunia yang sementara ini) dan menangislah banyak (di akhirat nanti), sebagai pembalasan dari apa yang selalu mereka kerjakan.
(Surah al-Taubah ayat 82)


3- Ketawa terhadap dakwah seperti ketawanya umat terdahulu terhadap dakwah Nabi-Nabi dan Rasul mereka.

Maka apakah kamu merasa hairan terhadap pemberitaan ini? Dan kamu mentertawakan dan tidak menangis, Sedang kamu melengahkan(nya)?
(Surah al-Najm ayat 59 hingga 61)

Maka tatkala dia datang kepada mereka dengan membawa mukjizat- mukjizat kami dengan serta merta mereka mentertawakannya.
(Surah al-Zukhruf ayat 47)


Begitulah apa beberapa ayat yang dapat saya kumpulkan berkaitan ketawa – yang baik dan diredhai Allah SWT atau yang buruk dan dimurkai Allah SWT – untuk pengajaran kita bersama. Jadikanlah ayat-ayat ini peringatan untuk kita kerana ia menceritakan tentang kita – manusia – yang mempunyai naluri yang ketawa. Semoga senyum dan tawa kita menjadi amalan yang soleh dan tidak menjadi amalan buruk yang menyebabkan kita menangis pula di sana.
Panduan di atas kita lengkapi juga dengan panduan daripada hadith dan sunnah yang menceritakan kepada kita dengan jelas bagaimana keadaan Nabi SAW yang ketawa dan senyum pada perkara yang dibenarkan dan diredhai oleh Allah SWT. Juga kita membaca di dalam sejarah Nabi Muhammad SAW bagaimana orang-orang kafir mentertawakan Nabi SAW ketika tempoh awal dakwah di Mekah di waktu orang-orang Islam masih sedikit bilangannya.

Ketawalah jika ia perlu dan patut
Menangislah kerana rasa sesal dan takut

Semoga Allah SWT memberikan kita keinginan untuk menambah serta memperbaiki ilmu dan amal kerana keduanya itulah yang akan membantu kita di sini dan juga di sana.

Bertemu dalam siri seterusnya insya Allah.

Sunday, October 12, 2008

Al-Quran Bercerita Tentang Manusia - 2


MANUSIA ANTARA 'NIKMAT' DAN 'MUSIBAT'

Alhamdulillah, bertemu sekali lagi dalam siri kedua 'Al-Quran Bercerita Tentang Manusia' di bawah tajuk 'Manusia Antara Nikmat Dan Musibat'.

Kehidupan ini adakalanya cerah dan adakalanya mendung. Ada ketikanya kita merasakan bahawa kitalah manusia yang paling beruntung di dunia ini, namun ada masanya dunia kita gelap seolah kitalah manusia terakhir yang hidup di dunia ini. Kita selalu mendengar ungkapan manusia bahawa hidup ini ibarat roda, terkadang kita di atas dan terkadang kita di bawah. Begitulah kehidupan di dunia ini yang tidak kekal, tiada nikmat yang kekal dan tiada pula azab yang kekal.

Tiap-tiap diri akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan.
(Surah al-Anbiya' - ayat 35)

Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar: (Surah al-Baqarah - ayat 155)

Sabda Rasulullah SAW:

Alangkah hebatnya kehidupan seorang mukmin. Seluruh hidupnya adalah ganjaran kebaikan. Sekiranya dirinya memperolehi nikmat, dia bersyukur lalu ia menjadi kebaikan untuk dirinya. Sekiranya dirinya ditimpa musibah, dia bersabar lalu ia menjadi kebaikan untuknya.
(Hadith riwayat Muslim - no.7692)

AL-QURAN BERCERITA TENTANG SIKAP MANUSIA MENGHADAPI NIKMAT DAN MUSIBAH

Saya masih ingat pesanan berharga salah seorang pensyarah di universiti dahulu (Dr. Bahjat) ketika saya dan rakan-rakan menziarahi beliau selepas menjalani satu pembedahan. Ketika mana kami bertanyakan tentang keadaan kesihatannya, beliau menjawab...'Beginilah dunia. Hanya satu tempat di mana tiadanya kesusahan atau kesakitan...SYURGA'. Terdiam sejenak kami merenung kata-kata itu!

Lihatlah ayat-ayat berikut yang merupakan antara ayat Al-Quran yang menceritakan sikap dan tindak balas sebahagian manusia ketika berdepan dengan nikmat kesenangan dan musibah kesusahan.

1- Surah Yunus - ayat 12:

Dan apabila seseorang manusia ditimpa kesusahan, merayulah ia kepada Kami (dalam segala keadaan), sama ada ia sedang berbaring atau duduk ataupun berdiri; dan manakala Kami hapuskan kesusahan itu daripadanya, ia terus membawa cara lamanya seolah-olah dia tidak pernah merayu kepada Kami memohon agar dihapuskan sebarang kesusahan yang menimpanya.Demikianlah diperelokkan pada pandangan orang-orang yang melampau apa yang mereka lakukan.

2- Surah Yunus - ayat 21:

Dan apabila Kami beri manusia merasai sesuatu rahmat sesudah mereka ditimpa sesuatu kesusahan, mereka dengan serta-merta melakukan rancangan mereka menentang ayat-ayat keterangan Kami dengan mendustakannya dan mengingkarinya. Katakanlah (wahai Muhammad): "Allah lebih cepat melakukan rancangan menentangnya!" Sesungguhnya malaikat-malaikat utusan Kami sentiasa menulis akan rancangan tipu daya yang kamu jalankan itu.

3- Surah al-Isra' - ayat 67:

Dan apabila kamu terkena bahaya di laut, (pada saat itu) hilang lenyaplah (dari ingatan kamu) makhluk-makhluk yang kamu seru selain dari Allah; maka apabila Allah selamatkan kamu ke darat, kamu berpaling tadah (tidak mengingatiNya); dan memanglah manusia itu sentiasa kufur (akan nikmat-nikmat Allah).

4- Surah al-Isra' - ayat 83:

Dan apabila Kami kurniakan nikmat kepada manusia, berpalinglah ia serta menjauhkan diri (dari bersyukur); dan apabila ia merasai kesusahan, jadilah ia berputus asa.

5- Surah Fussilat - ayat 49 hingga 51:

Manusia tidak jemu-jemu memohon kebaikan. Dan kalau ia ditimpa kesusahan maka menjadilah ia seorang yang sangat berputus asa, lagi sangat nyata kesan putus harapnya (dari rahmat pertolongan Allah).

Dan demi sesungguhnya! Jika Kami beri dia merasai sesuatu rahmat dari Kami sesudah ia ditimpa sesuatu kesusahan, berkatalah ia (dengan sikap tidak bersyukur): "Ini ialah hakku (hasil usahaku semata-mata), dan aku tidak fikir bahawa hari kiamat akan berlaku; dan kalaulah aku dikembalikan kepada Tuhanku (sekalipun), sudah tentu aku aKan beroleh kebaikan di sisiNya (seperti kesenanganku sekarang ini)!" Maka demi sesungguhnya! Kami akan memberi tahu kepada orang-orang yang kufur ingkar itu akan keburukan apa yang mereka telah kerjakan, dan Kami akan beri mereka merasai azab seksa yang seberat-beratnya.

Dan apabila Kami kurniakan nikmat kepada manusia, berpalinglah dia serta menjauhkan diri (dari bersyukur); dan apabila ia ditimpa kesusahan, maka ia berdoa merayu dengan panjang lebar.


6- Surah al-Ma'arij - ayat 19 hingga 22:

Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut); -

Apabila ia ditimpa kesusahan, dia sangat resah gelisah;

Dan apabila ia beroleh kesenangan, ia sangat bakhil kedekut;

Kecuali orang-orang yang mengerjakan sembahyang.



Ini hanyalah sebahagian daripada ayat-ayat yang berkaitan sikap sebahagian manusia ketika ditimpa kesusahan atau menerima nikmat kesenangan.

Sikap yang sepatutnya bagi seorang mukmin ketika mendapat kesenangan dan nikmat ialah - bersyukur dan menambahkan lagi ketaatan. Manakala sikap yang seharusnya pada diri seorang muslim ketika ditimpa kesusahan ialah - bersabar dan tidak berubah dari mentaati Allah SWT.

Alangkah mudahnya apabila dituturkan...namun amat payah untuk kita amalkan. Semoga Allah SWT membantu kita.

Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar:

(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali."

Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya.

(Surah al-Baqarah - ayat 155 hingga 157)

Bersyukurlah...

Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadanya.
(Surah al-Baqarah - ayat 172)

dan bersabarlah...

Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu (lebih daripada kesabaran musuh di medan perjuangan), dan bersedialah serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan).
(Surah Aali Imran - ayat 200)

Marilah kita sama-sama hayati doa Nabi Sulaiman alaihissalaam - Satu contoh ikutan bagi orang-orang yang dilimpahi nikmat kesenangan dunia- :

" Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah daku - dengan limpah rahmatMu - dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh"
(Surah al-Naml - ayat 19)

Begitu juga kita amati kata-kata Nabi Yaakub alaihissalaam ketika menanggung kehilangan anaknya Nabi Yusuf alaihissalam - Satu contoh ikutan bagi manusia yang ditimpa kesusahan- :

Mereka berkata: "Demi Allah, ayah tak habis-habis ingat kepada Yusuf, sehingga ayah menjadi sakit merana, atau menjadi dari orang-orang yang binasa".

(Nabi Yaakub) menjawab: "Sesungguhnya aku hanyalah mengadukan kesusahan dan dukacitaku kepada Allah dan aku mengetahui (dengan perantaraan wahyu) dari Allah, apa yang kamu tidak mengetahuinya.

Wahai anak-anakku! Pergilah dan intiplah khabar berita mengenai Yusuf dan saudaranya ,dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir".

(Surah Yusuf - ayat 85 hingga 87)

Insya Allah, bersambung lagi dalam siri seterusnya.

Thursday, October 09, 2008

Banyak Yang Berubah, Ukhuwwah Tetap Sama


MINGGU SEBELUMNYA (Ketika Sambutan Hari Raya)

- Bertemu dengan rakan-rakan lama sejak SMK Agama Kedah.

- Walaupun singkat namun cukup memberi makna.

- Kesemua sudah berumahtangga...membawa isteri dan anak menikmati kuih raya.

- Kisah-kisah persekolahan dibuka semula...ketawa seperti masih berada pada tahun 1995

- Banyak yang berubah, tapi Ukhuwwah tetap sama!

MINGGU INI
- Berada di Hotel KLIH dalam satu program guru-guru Bahasa Arab anjuran Kementerian Pelajaran Malaysia.

- Bertemu dengan sahabat-sahabat lama sepengajian di Jordan dahulu - ada senior, ada yang satu angkatan. Ada yang serumah!

- Banyak juga yang berubah - rupa paras, pemikiran, pengalaman...jenis kereta!

- Namun semangat ukhuwwah itu tetap ada. Kisah-kisah lama dibuka semula, memori manis dan pahit dibicara bersama,status semasa dikemaskini juga, perancangan masa depan dibincang sesama.

* Mudah untuk MENGENALI...mudah untuk MEMULAKAN.

* Tapi sukar untuk MENERUSKAN...susah untuk MEMPERTAHANKAN.

* Janganlah kita seperti sebahagian manusia yang suka BERKAWAN apabila telinganya mendengar kata-kata manis, tapi membuang PERSAHABATAN apabila telinganya sakit mendengar teguran dan nasihat...

Sunday, October 05, 2008

Al-Quran Bercerita Tentang Manusia - 1


Setelah berfikir dan berbincang, saya merasa terpanggil untuk mengetengahkan secara ringkas tentang sebahagian ayat Al-Quran yang menceritakan tentang sifat manusia. Secara ringkasnya, kita semua mengetahui bahawa Al-Quran adalah panduan hidup umat manusia. Di dalamnya terdapat suruhan dan larangan Allah SWT,gambaran kenikmatan syurga, gambaran azab neraka, sifat-sifat Allah SWT dan sebagainya. Begitu juga di dalamnya terdapat - ciri-ciri, sifat-sifat, sikap dan tabiat manusia (sama ada yang positif atau negatif).

Untuk apa ciri-ciri dan sifat-sifat ini disebut di dalam Al-Quran? Sudah pasti tujuan ia disebut kembali kepada tujuan Al-Quran diturunkan. Sebagai panduan, sebagai pedoman, sebagai renungan dan sebagai petunjuk untuk semua manusia.

Firman Allah SWT di dalam Surah al-An'am, ayat 92

Dan ini ialah Kitab (Al-Quran) yang Kami turunkan, yang mengandungi berkat (banyak faedah-faedah dan manfaatnya), lagi mengesahkan kebenaran (Kitab-kitab Suci) yang diturunkan sebelumnya, dan supaya engkau memberi peringatan kepada penduduk "Ummul-Qura" (Makkah) serta orang-orang yang tinggal di kelilingnya; dan orang-orang yang beriman kepada hari akhirat, mereka beriman kepada Al-Quran, dan mereka tetap mengerjakan dan memelihara sembahyangnya.

Begitu juga firman Allah SWT di dalam ayat pertama Surah Ibrahim:

Alif, Laam, Raa'. Ini ialah Kitab (Al-Quran) Kami turunkan dia kepadamu (wahai Muhammad), supaya engkau mengeluarkan umat manusia seluruhnya dari gelap-gelita kufur kepada cahaya iman - dengan izin Tuhan mereka - ke jalan Allah Yang Maha Kuasa lagi Maha Terpuji.

Lebih jelas lagi di dalam surah Shod, ayat 29:

(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), -Kitab yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya, dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar.

Maka saya ingin berkongsi bersama para pembaca, maksud sebahagian ayat-ayat Al-Quran yang menceritakan perihal dan tingkah laku makhluk bergelar insan atau manusia. Agar ia menjadi panduan bagi kita, agar dituruti yang baik dan dijauhi pula yang tidak.

Di dalam Al-Quran disebut perkataan 'insan' atau 'naas' yang membawa maksud manusia secara umumnya. Begitu juga disebut perkataan 'Bani Adam' iaitu anak Adam yang merujuk kepada kita sebagai cucu cicit manusia dan Nabi pertama iaitu Adam 'alaihissalam. Ditambah pula dengan beberapa sifat manusia sama ada yang positif seperti al-Mukminun (orang-orang beriman), al-Muttaqun (orang-orang bertaqwa), al-Solihun (orang-orang soleh)...atau negatif seperti al-Kafirun (orang-orang kafir), al-Zolimun (orang-orang yang zalim), al-Fasiqun (orang-orang fasiq) dan banyak lagi.

Bukanlah niat saya untuk menghuraikan atau mentafsirkan dengan panjang lebar ayat-ayat tersebut (saya bukan pakar tafsir), namun apa yang ingin saya lakukan hanyalah berusaha untuk 'mengumpulkan' dan 'mengetengahkan' ayat-ayat tersebut agar dapat direnungi oleh kita, walau hanya sekali dalam seumur hidup. Bahkan kadangkala dengan hanya merenung terjemahan ringkas terhadap ayat-ayat itu pun sudah memadai sekiranya hati kita mahu berfikir...

Firman Allah SWT di dalam surah Qaf, ayat 37:

Sesungguhnya (keterangan-keterangan dan peristiwa-peristiwa) yang tersebut itu, tidak syak lagi mengandungi pengajaran bagi sesiapa yang mempunyai hati (yang sedar pada masa membacanya), atau yang menggunakan pendengarannya dengan bersungguh-sungguh (kepada pengajaran itu) dengan menumpukan hati dan fikiran kepadanya.

Sebagai contoh, mari kita renungkan ayat di bawah - yang menceritakan tentang sikap sebahagian manusia apabila dirinya mendapat kesenangan atau kesusahan - daripada surah al-Fajr, ayat 15-17:

oleh yang demikian, maka kebanyakan manusia apabila diuji oleh Tuhannya dengan dimuliakan dan dimewahkan hidupnya, (ia tidak mahu bersyukur tetapi terus bersikap takbur) serta berkata dengan sombongnya: "Tuhanku telah memuliakan daku!"

Dan sebaliknya apabila ia diuji oleh Tuhannya, dengan disempitkan rezekinya, (ia tidak bersabar bahkan ia resah gelisah) serta merepek dengan katanya: "Tuhanku telah menghinakan daku!"

Jangan demikian, (sebenarnya kata-kata kamu itu salah)...


Dengan hanya membaca ayat di atas, sudah pasti kita akan dapat memahami sikap ramai manusia (bahkan termasuk diri kita) dalam berinteraksi dengan nikmat atau musibah yang melanda.

Semoga usaha ini menjadi peringatan bersama untuk saya dan anda serta menjadi amal soleh untuk diri kita juga. Lebih elok lagi kalau dipanjangkan pula kepada yang lain, maka bertambahlah peluang kita untuk mendapat ganjaran menyebarkan ilmu yang bermanfaat.

bersambung dalam siri seterusnya, insya Allah...