Sunday, October 05, 2008

Al-Quran Bercerita Tentang Manusia - 1


Setelah berfikir dan berbincang, saya merasa terpanggil untuk mengetengahkan secara ringkas tentang sebahagian ayat Al-Quran yang menceritakan tentang sifat manusia. Secara ringkasnya, kita semua mengetahui bahawa Al-Quran adalah panduan hidup umat manusia. Di dalamnya terdapat suruhan dan larangan Allah SWT,gambaran kenikmatan syurga, gambaran azab neraka, sifat-sifat Allah SWT dan sebagainya. Begitu juga di dalamnya terdapat - ciri-ciri, sifat-sifat, sikap dan tabiat manusia (sama ada yang positif atau negatif).

Untuk apa ciri-ciri dan sifat-sifat ini disebut di dalam Al-Quran? Sudah pasti tujuan ia disebut kembali kepada tujuan Al-Quran diturunkan. Sebagai panduan, sebagai pedoman, sebagai renungan dan sebagai petunjuk untuk semua manusia.

Firman Allah SWT di dalam Surah al-An'am, ayat 92

Dan ini ialah Kitab (Al-Quran) yang Kami turunkan, yang mengandungi berkat (banyak faedah-faedah dan manfaatnya), lagi mengesahkan kebenaran (Kitab-kitab Suci) yang diturunkan sebelumnya, dan supaya engkau memberi peringatan kepada penduduk "Ummul-Qura" (Makkah) serta orang-orang yang tinggal di kelilingnya; dan orang-orang yang beriman kepada hari akhirat, mereka beriman kepada Al-Quran, dan mereka tetap mengerjakan dan memelihara sembahyangnya.

Begitu juga firman Allah SWT di dalam ayat pertama Surah Ibrahim:

Alif, Laam, Raa'. Ini ialah Kitab (Al-Quran) Kami turunkan dia kepadamu (wahai Muhammad), supaya engkau mengeluarkan umat manusia seluruhnya dari gelap-gelita kufur kepada cahaya iman - dengan izin Tuhan mereka - ke jalan Allah Yang Maha Kuasa lagi Maha Terpuji.

Lebih jelas lagi di dalam surah Shod, ayat 29:

(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), -Kitab yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya, dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar.

Maka saya ingin berkongsi bersama para pembaca, maksud sebahagian ayat-ayat Al-Quran yang menceritakan perihal dan tingkah laku makhluk bergelar insan atau manusia. Agar ia menjadi panduan bagi kita, agar dituruti yang baik dan dijauhi pula yang tidak.

Di dalam Al-Quran disebut perkataan 'insan' atau 'naas' yang membawa maksud manusia secara umumnya. Begitu juga disebut perkataan 'Bani Adam' iaitu anak Adam yang merujuk kepada kita sebagai cucu cicit manusia dan Nabi pertama iaitu Adam 'alaihissalam. Ditambah pula dengan beberapa sifat manusia sama ada yang positif seperti al-Mukminun (orang-orang beriman), al-Muttaqun (orang-orang bertaqwa), al-Solihun (orang-orang soleh)...atau negatif seperti al-Kafirun (orang-orang kafir), al-Zolimun (orang-orang yang zalim), al-Fasiqun (orang-orang fasiq) dan banyak lagi.

Bukanlah niat saya untuk menghuraikan atau mentafsirkan dengan panjang lebar ayat-ayat tersebut (saya bukan pakar tafsir), namun apa yang ingin saya lakukan hanyalah berusaha untuk 'mengumpulkan' dan 'mengetengahkan' ayat-ayat tersebut agar dapat direnungi oleh kita, walau hanya sekali dalam seumur hidup. Bahkan kadangkala dengan hanya merenung terjemahan ringkas terhadap ayat-ayat itu pun sudah memadai sekiranya hati kita mahu berfikir...

Firman Allah SWT di dalam surah Qaf, ayat 37:

Sesungguhnya (keterangan-keterangan dan peristiwa-peristiwa) yang tersebut itu, tidak syak lagi mengandungi pengajaran bagi sesiapa yang mempunyai hati (yang sedar pada masa membacanya), atau yang menggunakan pendengarannya dengan bersungguh-sungguh (kepada pengajaran itu) dengan menumpukan hati dan fikiran kepadanya.

Sebagai contoh, mari kita renungkan ayat di bawah - yang menceritakan tentang sikap sebahagian manusia apabila dirinya mendapat kesenangan atau kesusahan - daripada surah al-Fajr, ayat 15-17:

oleh yang demikian, maka kebanyakan manusia apabila diuji oleh Tuhannya dengan dimuliakan dan dimewahkan hidupnya, (ia tidak mahu bersyukur tetapi terus bersikap takbur) serta berkata dengan sombongnya: "Tuhanku telah memuliakan daku!"

Dan sebaliknya apabila ia diuji oleh Tuhannya, dengan disempitkan rezekinya, (ia tidak bersabar bahkan ia resah gelisah) serta merepek dengan katanya: "Tuhanku telah menghinakan daku!"

Jangan demikian, (sebenarnya kata-kata kamu itu salah)...


Dengan hanya membaca ayat di atas, sudah pasti kita akan dapat memahami sikap ramai manusia (bahkan termasuk diri kita) dalam berinteraksi dengan nikmat atau musibah yang melanda.

Semoga usaha ini menjadi peringatan bersama untuk saya dan anda serta menjadi amal soleh untuk diri kita juga. Lebih elok lagi kalau dipanjangkan pula kepada yang lain, maka bertambahlah peluang kita untuk mendapat ganjaran menyebarkan ilmu yang bermanfaat.

bersambung dalam siri seterusnya, insya Allah...

No comments: