Sunday, March 17, 2013

Isyarat dengan Ibu Jari atau Jari Telunjuk?

Secara ringkas, ada sebahagian pihak yang membangkitkan isu ini iaitu 'tidak boleh' mengisyaratkan sesuatu atau seseorang dengan menggunakan ibu jari sebagaimana sebahagian masyarakat kita lakukan. Isyarat tersebut dianggap sebagai ajaran Yahudi. Lalu isyarat yang sedemikian mesti digantikan dengan isyarat menggunakan jari telunjuk kerana itu adalah Sunnah Rasulullah s.a.w.

Mungkin penjelasan berikut dari saya yang serba kekurangan ini mampu membuat kita semua berfikir sebelum menerima dakwaan sebegini atau dakwaan lain yang mengaitkan sesuatu perbuatan dengan hukum atau dengan agama.

1- Menyatakan isyarat dengan ibu jari sebagai amalan Yahudi perlukan bukti. Bukanlah dengan mudah kita labelkan sesuatu itu diamalkan oleh segolongan atau sesuatu agama.

2- Kalau dilihat dalam Al-Quran dan Hadith-Hadith yang sahih dan masyhur, belum ditemui (sekadar pencarian yang mampu) wujudnya kenyataan yang menisbahkan cara begitu (isyarat dengan ibu jari) adalah perbuatan Yahudi.

3- Sekadar pencarian juga, pihak yang mendakwa cara begitu adalah cara Yahudi juga tidak membawa mana-mana Hadith untuk dibincangkan tetapi sekadar secara umum dan juga membawa fatwa seorang ahli ilmu yang tidak diketahui siapa namanya dan bilakah 'fatwa' itu dikeluarkan. Semuanya dalam keadaan 'tidak dikenali' dan 'tidak diketahui'.

4- Apabila melihat pula isyarat dengan jari telunjuk, memang ia wujud dalam Hadith secara umum seperti ketika tasyahud/tahiyat [Sahih Muslim], ketika Rasulullah s.a.w. memberitahu dekatnya hari kiamat (dijarakkan antara jari telunjuk dan jari tengah) [Sahih Bukhari], ketika Rasulullah s.a.w. mengisyaratkan waktu fajar sadiq (dengan dua jari telunjuk dipanjangkan) [Sahih Bukhari] dan sebagainya. Namun secara khusus untuk mengisyaratkan kepada seseorang atau sesuatu, juga tiada ditemui secara khusus (sekadar pencarian yang mampu), wAllahu a'lam.

5- Bagaimanapun terdapat satu Hadith dalam Kitab 'asy-Syamaail al-Muhammadiyyah'  [no.225, bab Bagaimana Percakapan Rasulullah s.a.w.] yang menyatakan bahawa Nabi s.a.w. apabila mengisyaratkan sesuatu atau seseorang, Nabi s.a.w. menggunakan seluruh tapak tangannya iaitu semua jari-jarinya. Namun begitu tiada ulama (sekadar ditemui) yang menyatakan 'wajib' mengisyaratkan dengan semua tapak tangan atau semua jari. Ia lebih kepada keterbukaan untuk melakukannya atau tidak.

6- Maka jika kedudukan isyarat dengan ibu jari masih tidak dapat dipastikan 'haram' atau benarkah ia 'amalan Yahudi'. Begitu juga jika kedudukan mengisyaratkan dengan jari telunjuk kepada sesuatu atau seseorang juga tidak ditemui dengan jelas dan terang dalam Hadith Sahih, maka tidak patut untuk kita mengharamkan salah satunya atau mewajibkan salah satu dari keduanya. Keduanya boleh digunakan, wAllahu a'lam.

7- Nasihat untuk diri saya dan pembaca - untuk menyatakan sesuatu itu 'haram', 'bid'ah', 'amalan Yahudi' dan sebagainya perlukan kepada bukti/dalil dan juga huraian dan fatwa ulama yang masyhur dan terkenal sepanjang zaman. Begitu juga untuk menyatakan sesuatu perbuatan sebagai 'sunnah' atau 'wajib dibuat' juga perlukan bukti dan huraian ulama. Berhati-hati adalah yang terbaik dan jangan gopoh membuat kesimpulan.

Semoga penerangan ini membantu kajian kita seterusnya. Mohon dipanjangkan kepada penulis sekiranya ada kesalahan atau info baru. Insya Allah akan diubah apa yang salah dan dibetulkan. Jazakumullah.

Adlan Bin Abd Aziz

facebook.com/adlanabdaziz
twitter.com/AdlanAbdAziz

Wednesday, March 06, 2013

Siri #1 Program Khatam Sahih Bukhari

Siri #1 Program Khatam Sahih Bukhari
Tarikh: 10 Mac 2013
Masa: 7.00 pagi hingga 8.30 pagi
Tempat: Surau al-Ikhwan, Desa Pinggiran Putra, Kajang

Program 'Khatam Sahih Bukhari' ialah beberapa siri (Kesemuanya 10-12 siri insya Allah) bacaan pantas buku Hadith terkenal iaitu Sahih al-Bukhari yang mengandungi sekitar 7500 Hadith. Saya (Adlan Abd.Aziz) dan Ibnu Mahdi Research Team telah sepakat untuk mengadakan siri bacaan ini bertujuan untuk membaca kesemua Hadith dan juga info ilmiah lain di dalam Sahih al-Bukhari.

Bacaan dalam program ini adalah pantas dan tanpa sebarang ulasan, bertujuan untuk menjadikan peserta yang mengikutinya 'khatam' dan melalui semua helaian kitab ini sebagai pengalaman dan permulaan. Langkah seterusnya ialah mempelajari kitab ini dengan huraian lanjut dalam program dan kuliah-kuliah lain. Maka program ini diibaratkan sebagai 'pengenalan' dan 'muqaddimah' yang amat baik untuk mengetahui dan menemui segala maklumat yang direkodkan oleh Imam al-Bukhari.

Bacaan pantas sebegini adalah salah satu cara mempelajari Hadith yang telah dilakukan turun temurun sepanjang zaman oleh para ulama Hadith. Antara tujuan bacaan pantas ialah untuk mengenali setiap maklumat sebagai langkah awal, menguatkan hafazan, membiasakan diri dengan teknik bacaan pantas dan sebagainya. Ia adalah 'salah satu' bentuk pengajian Hadith dan ada banyak lagi bentuk pengajian dan kajian Hadith termasuk yang biasa kita temui di negara kita iaitu huraian Hadith satu persatu dan sedikit demi sedikit.

Insya Allah dengan program sebegini, penuntut ilmu dapat mengetahui isi kandungan Sahih al-Bukhari dalam masa yang singkat  dan seterusnya meneruskan pengajian dan pembelajaran isi kandungannya dalam program dan kuliah lain.

*Peserta yang ingin mengikutinya dinasihatkan membawa sendiri buku Sahih Bukhari sama ada dalam Bahasa Arab atau terjemahan bagi yang tidak menguasai Bahasa Arab. Terjemahan yang dicadangkan ialah terjemahan lengkap cetakan syarikat Mahera. 

insya Allah, jumpa pada siri #1 pada 10 Mac 2013.

Tuesday, February 19, 2013

Hadith Dhaif dalam Kitab Imam Hadith?

oleh Adlan Bin Abd. Aziz -
facebook.com/adlanabdaziz
twitter.com/AdlanAbdAziz

Bismillah...
Pagi...19 Feb 2013
Sudah lama tidak menulis artikel dalam blog atau laman web. Insya Allah artikel-artikel ringkas akan saya coretkan dari masa ke semasa. Doakan istiqamah!

Tajuk hampir seperti di atas pernah saya tulis satu ketika dulu dan ini adalah sambungan. Bukanlah benar-benar sambungan tetapi lontaran idea dan perkongsian yang berkaitan tajuk. Ia mungkin juga pengulangan dalam bentuk yang berbeza. Semoga menjadi ilmu untuk semua yang membaca.

Ringkas cerita - sebahagian penuntut ilmu Hadith ketika mempelajari topik 'hadith dhaif' atau 'metodologi kitab Hadith' sering bertemu dengan fakta bahawa dalam beberapa kitab Hadith (terkenal atau kurang terkenal) wujud dan ada hadith-hadith dhaif. Sebahagian mereka berfikir lebih lanjut dan menyelidik lalu ditemui bahawa kitab-kitab itu adalah hasil karya ulama besar dan imam-imam terkemuka dalam Hadith. Maka kehairananlah mereka (termasuk saya juga satu masa dulu).

Beri sahaja kitab selain Sahih Bukhari dan Sahih Muslim. Pasti kita akan temui info yang mengatakan kitab-kitab itu ada hadith dhaif. Sunan Abu Daud, Sunan/Jami' Tirmidzi, Sunan Nasaai, Sunan Ibn Majah, Musnad Ahmad, Mu'jam (3 Mu'jam) Tabarani (bukan Tabrani), Musnad dan Sunan Imam Syafie, Sunan Daraqutni (bukan Daruqutni tapi Daraqutni), Mustadrak al-Hakim, Sunan al-Baihaqi dan namakan lagi kitab-kitab lain - semuanya mengandungi hadith-hadith dhaif cuma berbeza antara banyak atau sikit sahaja.

Sedangkan nama penulis dan penyusun di atas adalah nama-nama besar dalam ilmu Hadith. Pasti tertanya dalam minda orang yang berfikir, kenapa jadi sebegitu? Ada beberapa jawapan yang pernah saya baca dan dengar:

1- Ulama-ulama Hadith itu tak tahu dan tak sedar ia dhaif. Mereka juga manusia biasa yang tersalah dan tersilap.
2- Mereka benar-benar menyangka ia sahih menurut kajian mereka. Rupanya kajian orang lain selepas mereka termasuk di zaman moden ini membuktikan sebaliknya. (macam hampir sama dengan di atas tapi berbeza pada saya)
3- Mereka tahu ia dhaif tapi mereka lupa untuk memberitahu.
4- Mereka tahu ia dhaif tapi mereka tetap kumpulkan atas sebab tertentu.
5- Mereka tahu ia dhaif dan mereka beritahu tapi dengan pelbagai cara yang tersirat dan tersurat.

Saya sebagai salah seorang pelajar dalam ilmu yang luas ini merasakan bahawa adalah tidak patut kita terus meluru kepada sebab pertama dan kedua (atau ia boleh dijadikan satu sebab). Ini kerana saya amati biodata dan keilmuan ulama-ulama di atas dan setiap seorang dari mereka ialah pakar dan alim dalam ilmu ini. Adakah dengan sewenangnya tanpa kajian menyeluruh kita boleh mengatakan mereka 'tidak tahu'? Sedangkan kedhaifan hadith-hadith itu dapat dikenalpasti oleh penuntut ilmu di zaman moden? Adakah dengan mudahnya saya dapat menerima Imam seperti Abu Daud tidak tahu kedhaifan hadith-hadith dalam bukunya 'Sunan' tapi penuntut ilmu zaman ini yang baru bertatih dalam ilmu Hadith pula dapat tahu? Sukar untuk saya menerima malah saya katakan tak akan saya terima pada saat ini.

Kesimpulan ke 3 pun sukar saya terima tapi ia masih lagi mengandungi sangkaan baik kepada keilmuan mereka, sekurang-kurangnya.

Kesimpulan ke 4 dan ke 5 adalah yang lebih layak bagi mereka melihatkan keilmuan dan ketokohan, juga melihat kepada bukti-bukti yang dibawa oleh pengkaji Hadith sepanjang zaman terutama ulama selepas zaman mereka.

Persoalan saya sekarang - mengapa sukar bersangka baik terhadap mereka? Mengapa mudah terima kenyataan yang menampakkan ulama-ulama terkenal itu searas dengan penuntut tahun satu atau semester satu pengajian Islam? Cuba selidik dan cuba ikuti huraian ulama selepas mereka. Penuh dengan pujian dan sangka baik!

Lihat sahaja pujian ulama Hadith selepas zaman mereka terhadap mereka. Lihat pujian Imam Ibnu as-Solah dalam al-Muqaddimah (Ma'rifat Anwa' Ilm al-Hadith), Imam Zahabi dalam kitabnya al-Muqizoh, Imam Ibn Hajar al-Asqalani dalam Nuzhat an-Nazhor dan Nukat, Imam Ibn Kathir dalam Ikhtisor Ulumil Hadith, Imam as-Sakhawi dalam Fathul Mugith
 dan lain-lain lagi sekadar menamakan contoh.

Mungkin ada lagi jawapan lain, mungkin ada lagi pandangan lain. Namun berhati-hatilah apabila ingin menyatakan 'Imam-imam Hadith terkenal seperti mereka 'tidak tahu' kedhaifan hadith'. Ia sama ada kenyataan yang besar, dibuat oleh orang yang mengkaji dan mengenali mereka, atau kenyataan yang salah, dibuat oleh orang yang jauh dari kajian dan tidak kenal ulama Hadith.

wallahu a'lam

Wednesday, February 13, 2013

Program Hadith 16 dan 17 Feb. Jemput Hadir

Program Terdekat Adlan Abd. Aziz:


1-Sabtu, 16 Feb, 9 pagi - Mengenali 'Musnad' dan 'Sunan' karya Imam as-Syafie - Masjid Wilayah, Jalan Duta.
 

2-Ahad, 17 Feb, 9 pagi - Bacaan bersanad lengkap 'Sunan Imam as-Syafie' di Masjid Kolej Islam Malaya, Jalan Universiti 46350 Petaling Jaya.
Jemput hadir.

Thursday, October 18, 2012

Program Ilmu Hadith - Ahad, 21 Okt

PROGRAM ILMU HADITH 21/10 oleh Us. Adlan Abd Aziz adalah spt berikut:

1- Kuliah Subuh - huraian Musnad Imam Syafie

DAN

2- pukul 10 pagi - Pengajian Mustolah Hadith (Siri 1), huraian kitab 'Nuzhat an-Nazhor' karya Ibn Hajar al-Asqalani

DAN

3- pukul 11 pagi - Bacaan bersanad 'Hadith 40 Imam an-Nawawi' dan 'al-Awaail al-Sunbuliyyah'.

*Ketiga-tiga program di atas bertempat di Masjid al-Mukhlisin, Alam Damai, Cheras.

Jemput hadir, semuanya PERCUMA

Monday, September 17, 2012

Wacana Hadith: Kisah Keluarga Muhaddith: Abu Hatim & Ibnu Abi Hatim

Segala pujian bagi Allah. InsyaALLAH Wacana Hadith akan diadakan seperti berikut:

Wacana ini akan membentangkan profil keluarga muhaddith yang unggul iaitu:

Abu Hatim & Ibnu Abi Hatim

Program akan dikendalikan oleh Ustaz Adlan Abd Aziz.

Tarikh: 20 September 2012 (Khamis)
Masa: 8.30 Malam
Tempat: Islamic Information & Services (IIS) Foundation, Setiawangsa, Kuala Lumpur.

Program ini adalah PERCUMA.

Thursday, August 23, 2012

Program 'Sahih al-Bukhari' - 2 Sept

Program 'Bacaan, Huraian dan Pengijazahan Sanad Sahih al-Bukhari - Hadith-Hadith dari Bab Adab' Ahad 2 Sept 2012 9 Pagi Surau Raudhatul Firdaus, Alam Budiman, Seksyen U10, Shah Alam

Friday, June 29, 2012

PROGRAM HADITH 'MENGENALI KUTUB SITTAH'

Makluman utk peminat Ilmu Hadith: Program Asas Hadith 'Mengenali 'al-Kutub as-Sittah' (6 Kitab utama Hadith) -biodata Imam dan susunan Kitab. Oleh : Adlan Abd Aziz dan Ibnu Mahdi Research Team Ahad,15 Julai, bermula 9 pagi. Di Masjid Wilayah, Jalan Duta PERCUMA, makanan disediakan. Sila sebarkan. DAFTAR DI SINI: Eventbrite - Program Asas Hadith 'Mengenal Kutub Sittah'

Thursday, April 19, 2012

Antara 'Salaf" dan 'Salafi' :Bolehkah Tazkirah Sebelum Khutbah Jumaat?

Telah disebutkan sebelum ini dalam beberapa pandangan dan tulisan, bahawa mereka yang menggunakan istilah 'salafi' perlu menilai kembali apakah mereka benar mengikuti salafussoleh (generasi terawal dan terbaik), atau mereka mengikut pandangan sebahagian tokoh salafi moden tanpa disedari? Saya ingin memudahkan dengan memberikan satu nasihat dan satu contoh untuk mudah difahami:

1. Nasihat saya ialah: buatlah rujukan dan kajian agar kita benar-benar tahu adakah sesuatu pegangan itu adalah memang datangnya daripada generasi awal iaitu salafussoleh, atau ia hanyalah dikatakan 'pegangan salaf (tanpa huruf 'i')' oleh sebahagian tokoh salafi moden? Kalau tiada rujukan dan tiada kajian, itu lebih kepada mengikut tanpa bukti dan sikap itu bukanlah sikap salafi yang kita dengari disebut iaitu 'mengikut dalil menurut kefahaman salafussoleh'.

2. Contoh yang saya berikan pula (selain contoh dari fiqh amalan solat spt 'sedekap di atas dada') ialah: Larangan memberikan tazkirah sebelum khutbah Jumaat. Saya ringkaskan contoh ini seperti di bawah:

a) Terdapat sebahagian yang menggelarkan diri mereka sebagai 'salafi' atau 'pendokong Sunnah' melarang tazkirah diberikan sebelum solat Jumaat. Mereka ini menyatakan bahawa terdapat hadith sahih yang melarang ditambah pula ia tidak diamalkan oleh salafussoleh, maka ia membawa kepada bid'ah.

b) Antara Hadith yang popular digunakan ialah sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam2 hadith seperti Ahmad, Abu Daud, atTirmidzi dan lain2 ulama iaitu hadith tentang larangan duduk dalam kumpulan2 masing2 seperti halaqah atau lingkungan pada hari Jumaat sebelum solat Jumaat.

c) Juga hujah yang digunakan lagi adalah seperti dakwaan bahawa ia mengganggu orang lain untuk solat dan berzikir sebelum khutbah.

d) Terdapat juga dakwaan bahawa ia adalah bid'ah kerana tiada bukti dari salafussoleh mengamalkannya.

Halaqah sembang kosong yang dilarang. Bukan Halaqah iilmu!Halaqah sembang kosong yang dilarang. Bukan Halaqah iilmu!e) Sedangkan....hadith yang disebut di atas tidaklah bermaksud larangan mengadakan majlis ilmu atau tazkirah. Ia lebih bersifat umum dengan mengadakan lingkungan2 yang boleh jadi membawa perbincangan isu luar dan tidak berkaitan dengan agama. Lingkungan dan kumpulan itu juga jika dibiarkan mungkin akan melekakan hingga waktu khutbah bermula. Apa pun, ulama amat berbeza pandangan 'mengapa' larangan itu dan apakah maksud sebenarnya.

f) Manakala hujah bahawa ia bid'ah dan bukan amalan salafussoleh pula amat jauh tersasar kerana terdapat bukti bahawa 'salafussoleh' sendiri bermula dari sahabat hinggalah kepada para ulama hadith terkenal, mereka sendiri melakukan halaqah2, kumpulan2 dan lingkungan2 untuk berbincang dan menuntut ilmu. Dakwaan bahawa 'tiada' amalan dari salafussoleh amat salah dan tidak tepat sama sekali.

g) Maka jika kita mengambil kira bahawa ada hadith yang seakan melarang, kemudian ada pula amalan sahabat dan para salafussoleh, adakah boleh kita 'melarang' dan 'membid'ahkan' tazkirah sebelum khutbah Jumaat? Atau paling baik kita fahami dahulu mengapa ada salafussoleh yang melakukannya? Adakah mereka meriwayatkan dan menyampaikan kepada kita sesuatu yang mereka sendiri lakukan?

h) Ini adalah salah satu contoh yang diharapkan boleh menjadikan kita berhati2 dalam menyatakan sesuatu itu sebagai 'tidak boleh', 'tidak diamalkan salaf', 'tidak sunnah', 'bid'ah' atau 'haram'. Dibimbangi kita nafikan sesuatu itu diamalkan salaf hanya kerana kita mengambil pandangan tokoh salafi moden, bukan tokoh salaf yang terdahulu!

wallahu a'lam

Adlan Abd Aziz