Sunday, June 28, 2009

Nampak 'kecil' tetapi....? (Ummu Mihjan)

Kenalkah kita dengan Ummu Mihjan?

Ummu Mihjan...seorang wanita berkulit hitam...salah seorang wanita dari kalangan sahabat Nabi S.A.W...

Ummu Mihjan...berkhidmat untuk Islam....apa khidmatnya? Membersihkan Masjid di zaman Rasulullah S.A.W...
Itu saja? Bagi sebahagian kita, kerja membersihkan masjid, surau atau mana-mana tempat adalah tugas kecil.

Dr. Aidh al-Qarni di dalam salah satu rancangan tv bertajuk 'Haddathana al-Zaman' telah menyarankan kita agar melakukan 'sesuatu' untuk dunia dan akhirat dengan penuh kesungguhan....walaupun tugas itu nampak 'kecil' atau 'tidak penting' bagi sesetengah mata yang memandang.

Beliau memberikan contoh para sahabat Nabi S.A.W. yang mempunyai pelbagai tugas dan kelebihan....termasuk apa yang dilakukan oleh Ummu Mihjan!

Mari kita lihat bersama kisah pendek Ummu Mihjan sebagaimana disebut dalam buku-buku hadith :

'...terdapat seorang perempuan berkulit hitam, kerjanya membersihkan masjid. Pada satu hari dia telah meninggal dunia (para sahabat tidak sempat memberitahu Nabi S.A.W. di atas sebab-sebab tertentu). Maka Nabi S.A.W. bertanya kepada para sahabat yang lain tentangnya (kenapa dia tidak kelihatan lagi membersihkan masjid), lalu mereka memberitahu Baginda bahawa dia telah meninggal dunia...

Rasulullah SAW berkata: 'kenapa kamu tidak beritahu kepadaku? Tunjukkan kepadaku kuburnya'

Lalu Baginda pergi ke kuburnya dan menunaikan solat jenazah dan mendoakannya...'


Semoga Allah SWT meredhai dan merahmati Ummu Mihjan....

Kedudukannya mungkin kecil pada pandangan sebahagian manusia pada waktu itu...

Tetapi lihatlah kedudukannya pada pandangan mata Rasulullah S.A.W. !!!

* Kisah Ummu Mihjan adalah kisah yang sahih sebagaimana diriwayatkan oleh Imam-Imam Hadith seperti al-Bukhari, Muslim, Abu Daud dan lain-lain lagi.

Wednesday, June 24, 2009

Kejutan Yang Menghampakan

Beberapa hari yang lalu...dibantu oleh Ammar (8 tahun)...kami melakukan bersama semakan terhadap sebuah buku yang ditulis oleh pendakwah terkemuka dunia Islam masa kini - Dr. Aidh al-Qarni (pengarang buku 'La Tahzan' @ 'Jangan Bersedih').

Buku yang disemak adalah sebuah buku kecil yang diterjemahkan (bukan buku 'La Tahzan'). Saya memegang buku asal di dalam Bahasa Arab manakala Ammar membacakan untuk saya buku yang telah diterjemahkan.

...Memang terkejut!

- beberapa tajuk kecil di dalam buku itu salah terjemahannya!

- banyak ayat-ayat di dalam buku itu juga salah terjemahannya!

- nampak ketara penterjemah menggunakan ayat-ayatnya sendiri, bukan ayat asal!

- terdapat ayat-ayat dari buku asal yang tidak diterjemahkan dan hilang begitu saja!

- terdapat juga kesalahan pada ayat Al-Quran (satu sekurang-kurangnya).


Menghampakan!

Sudahlah kemanisan bahasa asal penulis sudah berkurangan akibat terjemahan....ditambah pula dengan kesalahan demi kesalahan pada maksudnya!

Apalah nasib pembaca yang membaca terjemahan ini dan menganggapnya 100% apa yang disampaikan oleh Dr. al-Qarni?!

Saya anggap ini 'kejutan' kerana selama ini saya tidak menyangka akan ada terjemahan yang sebegini! Niat asal hanyalah untuk melihat sejauh mana penterjemah berjaya menterjemahkan bahasa asal Dr. al-Qarni yang sememangnya hebat dalam menulis dan berpidato.

Akhirnya saya 'hampa'...dan Ammar pula hairan....'kenapa abi?'

kalaulah Dr. Aidh al-Qarni tahu...pasti dia lebih 'terkejut' dan lebih 'hampa'!


*Sama-samalah kita berhati-hati dalam membaca buku terjemahan. Jangan sampai lain yang ditulis, lain yang diterjemah, lain pula yang kita baca dan faham!


selamat membaca!

Saturday, June 20, 2009

Nasihat Seorang Khalifah Kepada Anaknya

RINGKAS...TAPI PADAT!


Khalifah al-Ma'mun (Salah seorang khalifah dari kerajaan Islam Abbasiyyah - anak kepada Khalifah Harun al-Rasyid - meninggal pada 218H/833M - Memerintah selama 20 tahun) pernah berpesan kepada anaknya dengan pesanan ringkas berikut:

TULISLAH SESUATU YANG PALING BAIK DARIPADA APA YANG ENGKAU DENGAR...

HAFAZLAH SESUATU YANG PALING BAIK DARIPADA APA YANG ENGKAU TULIS...

SEBARKANLAH SESUATU YANG PALING BAIK DARIPADA APA YANG ENGKAU HAFAZ...

(Dari buku 'Al-Qalaaid Min Faraaid al-Fawaaid' - Dr. Mustafa al-Siba'i - m.s. 74 - cetakan Dar al-Warraq, 1999M)

Padat!

Monday, June 15, 2009

Orang Bukan Islam Memuji Islam...

Mungkin ramai yang telah tahu...mungkin ramai yang telah membacanya. Namun saya suka untuk menukilkannya bagi berkongsi bersama yang belum tahu. Terima kasih kepada Institut Ibnu Hajar, Melaka yang sudi memberikan cenderahati kepada saya - sebuah buku karya Dr. Danial Zainal Abidin bertajuk 'Tip-Tip Cemerlang Daripada Quran'. Inilah antara nukilan yang menarik dari buku tersebut, m/surat 10-14.

1- Gottfried Wilhelm Leibniz dalam 'Theodize' (1710) memuji Nabi Muhammad SAW kerana menyebarkan agama fitrah untuk manusia sejagat.

2- Voltaire dalam 'Essai Sur Les Moeurs' berpendapat Nabi Muhammad SAW adalah seorang yang bijaksana, mempunyai visi yang jauh serta seorang panglima perang yang agung.

3- Dr. Robert Briffault dalam 'The Making Of Humanity' memuji toleransi agama [ada zaman pemerintahan Islam di Cordova, Sepanyol.

4- Karen Armstrong dalam 'MSNBC News Online' berkata: "tidak ada satu pun agama utama di dunia yang benar-benar memuliakan wanita, termasuk agama Kristian. Agama-agama ini adalah agama-agama yang didominasi oleh kaum lelaki. Sebaliknya Nabi Muhammad SAW begitu serius memberikan kebebasan kepada wanita".

5-Carleton S. (Carly) Fiorina - mantan pengerusi Hewlett-Packard Company - dalam satu ucapan di Minnesota (2001) - merumuskan bahawa tanpa tamadun Islam, barat tidak dapat mengecap era kebangkitan.

6- Lancelot Lawton dalam 'The Sphere' berkata : "saya terpaksa mengakui agama Muhammad adalah lebih sesuai di Afrika daripada agama kristian. Malah ia mungkin juga lebih sesuai bagi dunia keseluruhannya".

Saya nukilkan juga di sini kata-kata Dr.Danial selepas beliau menyebutkan maklumat-maklumat di atas ... "tidakkah ajaran yang dipuji dan dikagumi oleh pemikir-pemikir bukan Islam ini sepatutnya membanggakan kita?".

Jom kita fikirkan bersama!

Thursday, June 11, 2009

Mencari Kelebihan....Mencari Kekurangan

RAMAI yang suka mencari kekurangan ORANG LAIN....

ada yang mencari kekurangan untuk menjadi pengajaran...bagus juga.

tapi LEBIH RAMAI yang mencari kekurangan untuk menjadi bahan sendaan, kutukan atau kritikan.

TIDAK RAMAI yang suka mencari kelebihan ORANG LAIN...

ada yang mencari kelebihan untuk bersangka baik dan mendapat manfaat..sangat bagus.

tapi AGAK RAMAI yang mencari kelebihan lalu disembunyikan atau diperkecilkan.


apa yang lebih ketara...

AMAT RAMAI yang sentiasa tidak nampak kekurangan DIRI SENDIRI...


pengajaran untuk DIRI SENDIRI dan ORANG LAIN...

Saturday, June 06, 2009

Binalah Sifat Rendah Diri Dalam Hatimu!

Dari masa ke semasa kita bertemu dengan orang-orang yang tidak mempunyai sifat rendah diri.Sombong, memandang rendah kepada orang lain, memandang tinggi kemampuan diri, syok sendiri dan pelbagai lagi nama yang sewaktu dengannya.

Bagaimana mengubah diri ke arah sifat 'Rendah diri' atau 'tawadhu'?

Pertama, kenali Allah SWT - Dia mengetahui segalanya tentang dirimu wahai manusia yang sombong. Engkau boleh berlakon dan berselindung dengan manusia, tapi dengan Tuhan Pencipta manusia? Engkau boleh tipu seluruh makhluk, tapi bagaimana dengan Pencipta seluruh alam?
Usah berpenat menghias diri di depan manusia, tapi hiaslah hatimu di hadapan Tuhanmu!

Kedua, kenali dirimu - Senaraikan kelemahanmu...jangan engkau tipu diri sendiri sebagaimana engkau menipu orang lain. Jauh di sudut hatimu - engkau penuh dengan kesilapan, kelemahan dan keaiban.
Bersyukurlah ia tidak diketahui manusia!
Bersyukurlah dan buanglah sifat sombong itu.

Ketiga, kenali orang lain - Begitu ramai orang yang lebih hebat darimu - lebih elok rupa parasnya, lebih tinggi pelajarannya, lebih banyak ilmunya, lebih melimpah hartanya, lebih dikenali, lebih mahir, lebih segalanya dari dirimu.
Engkau langsung tidak setanding dengan mereka!

semoga kita bersama membuang sifat buruk meninggi diri dan memandang rendah kemampuan orang lain.

semoga kita bersama membina dan menyemai sifat rendah diri.

Be yourself!