Sunday, March 17, 2013

Isyarat dengan Ibu Jari atau Jari Telunjuk?

Secara ringkas, ada sebahagian pihak yang membangkitkan isu ini iaitu 'tidak boleh' mengisyaratkan sesuatu atau seseorang dengan menggunakan ibu jari sebagaimana sebahagian masyarakat kita lakukan. Isyarat tersebut dianggap sebagai ajaran Yahudi. Lalu isyarat yang sedemikian mesti digantikan dengan isyarat menggunakan jari telunjuk kerana itu adalah Sunnah Rasulullah s.a.w.

Mungkin penjelasan berikut dari saya yang serba kekurangan ini mampu membuat kita semua berfikir sebelum menerima dakwaan sebegini atau dakwaan lain yang mengaitkan sesuatu perbuatan dengan hukum atau dengan agama.

1- Menyatakan isyarat dengan ibu jari sebagai amalan Yahudi perlukan bukti. Bukanlah dengan mudah kita labelkan sesuatu itu diamalkan oleh segolongan atau sesuatu agama.

2- Kalau dilihat dalam Al-Quran dan Hadith-Hadith yang sahih dan masyhur, belum ditemui (sekadar pencarian yang mampu) wujudnya kenyataan yang menisbahkan cara begitu (isyarat dengan ibu jari) adalah perbuatan Yahudi.

3- Sekadar pencarian juga, pihak yang mendakwa cara begitu adalah cara Yahudi juga tidak membawa mana-mana Hadith untuk dibincangkan tetapi sekadar secara umum dan juga membawa fatwa seorang ahli ilmu yang tidak diketahui siapa namanya dan bilakah 'fatwa' itu dikeluarkan. Semuanya dalam keadaan 'tidak dikenali' dan 'tidak diketahui'.

4- Apabila melihat pula isyarat dengan jari telunjuk, memang ia wujud dalam Hadith secara umum seperti ketika tasyahud/tahiyat [Sahih Muslim], ketika Rasulullah s.a.w. memberitahu dekatnya hari kiamat (dijarakkan antara jari telunjuk dan jari tengah) [Sahih Bukhari], ketika Rasulullah s.a.w. mengisyaratkan waktu fajar sadiq (dengan dua jari telunjuk dipanjangkan) [Sahih Bukhari] dan sebagainya. Namun secara khusus untuk mengisyaratkan kepada seseorang atau sesuatu, juga tiada ditemui secara khusus (sekadar pencarian yang mampu), wAllahu a'lam.

5- Bagaimanapun terdapat satu Hadith dalam Kitab 'asy-Syamaail al-Muhammadiyyah'  [no.225, bab Bagaimana Percakapan Rasulullah s.a.w.] yang menyatakan bahawa Nabi s.a.w. apabila mengisyaratkan sesuatu atau seseorang, Nabi s.a.w. menggunakan seluruh tapak tangannya iaitu semua jari-jarinya. Namun begitu tiada ulama (sekadar ditemui) yang menyatakan 'wajib' mengisyaratkan dengan semua tapak tangan atau semua jari. Ia lebih kepada keterbukaan untuk melakukannya atau tidak.

6- Maka jika kedudukan isyarat dengan ibu jari masih tidak dapat dipastikan 'haram' atau benarkah ia 'amalan Yahudi'. Begitu juga jika kedudukan mengisyaratkan dengan jari telunjuk kepada sesuatu atau seseorang juga tidak ditemui dengan jelas dan terang dalam Hadith Sahih, maka tidak patut untuk kita mengharamkan salah satunya atau mewajibkan salah satu dari keduanya. Keduanya boleh digunakan, wAllahu a'lam.

7- Nasihat untuk diri saya dan pembaca - untuk menyatakan sesuatu itu 'haram', 'bid'ah', 'amalan Yahudi' dan sebagainya perlukan kepada bukti/dalil dan juga huraian dan fatwa ulama yang masyhur dan terkenal sepanjang zaman. Begitu juga untuk menyatakan sesuatu perbuatan sebagai 'sunnah' atau 'wajib dibuat' juga perlukan bukti dan huraian ulama. Berhati-hati adalah yang terbaik dan jangan gopoh membuat kesimpulan.

Semoga penerangan ini membantu kajian kita seterusnya. Mohon dipanjangkan kepada penulis sekiranya ada kesalahan atau info baru. Insya Allah akan diubah apa yang salah dan dibetulkan. Jazakumullah.

Adlan Bin Abd Aziz

facebook.com/adlanabdaziz
twitter.com/AdlanAbdAziz

Wednesday, March 06, 2013

Siri #1 Program Khatam Sahih Bukhari

Siri #1 Program Khatam Sahih Bukhari
Tarikh: 10 Mac 2013
Masa: 7.00 pagi hingga 8.30 pagi
Tempat: Surau al-Ikhwan, Desa Pinggiran Putra, Kajang

Program 'Khatam Sahih Bukhari' ialah beberapa siri (Kesemuanya 10-12 siri insya Allah) bacaan pantas buku Hadith terkenal iaitu Sahih al-Bukhari yang mengandungi sekitar 7500 Hadith. Saya (Adlan Abd.Aziz) dan Ibnu Mahdi Research Team telah sepakat untuk mengadakan siri bacaan ini bertujuan untuk membaca kesemua Hadith dan juga info ilmiah lain di dalam Sahih al-Bukhari.

Bacaan dalam program ini adalah pantas dan tanpa sebarang ulasan, bertujuan untuk menjadikan peserta yang mengikutinya 'khatam' dan melalui semua helaian kitab ini sebagai pengalaman dan permulaan. Langkah seterusnya ialah mempelajari kitab ini dengan huraian lanjut dalam program dan kuliah-kuliah lain. Maka program ini diibaratkan sebagai 'pengenalan' dan 'muqaddimah' yang amat baik untuk mengetahui dan menemui segala maklumat yang direkodkan oleh Imam al-Bukhari.

Bacaan pantas sebegini adalah salah satu cara mempelajari Hadith yang telah dilakukan turun temurun sepanjang zaman oleh para ulama Hadith. Antara tujuan bacaan pantas ialah untuk mengenali setiap maklumat sebagai langkah awal, menguatkan hafazan, membiasakan diri dengan teknik bacaan pantas dan sebagainya. Ia adalah 'salah satu' bentuk pengajian Hadith dan ada banyak lagi bentuk pengajian dan kajian Hadith termasuk yang biasa kita temui di negara kita iaitu huraian Hadith satu persatu dan sedikit demi sedikit.

Insya Allah dengan program sebegini, penuntut ilmu dapat mengetahui isi kandungan Sahih al-Bukhari dalam masa yang singkat  dan seterusnya meneruskan pengajian dan pembelajaran isi kandungannya dalam program dan kuliah lain.

*Peserta yang ingin mengikutinya dinasihatkan membawa sendiri buku Sahih Bukhari sama ada dalam Bahasa Arab atau terjemahan bagi yang tidak menguasai Bahasa Arab. Terjemahan yang dicadangkan ialah terjemahan lengkap cetakan syarikat Mahera. 

insya Allah, jumpa pada siri #1 pada 10 Mac 2013.