Sunday, April 15, 2007

PELABURAN YANG TELAH DISAHKAN HARAM

Pelaburan saham melalui Internet haram – Majlis Fatwa
Utusan Malaysia- 13 April 2007

Oleh NOR AZIAH JAAFAR, RUHAIDINI ABD KADIR dan RAMLI ABDUL KARIM

KUALA LUMPUR 12 April – Ketika wujud gelombang besar penyertaan orang ramai dalam skim-skim pelaburan Internet yang menjanjikan pulangan berlipat ganda, aktiviti itu hari ini difatwakan sebagai haram di sisi Islam.

Keputusan Mesyuarat Majlis Fatwa Kebangsaan Ke-77 di Kuala Terengganu itu sudah pasti memberi kesan kepada aktiviti pelaburan melibatkan tidak kurang 500,000 orang Islam termasuk golongan kenamaan dan profesional berpangkat Tan Sri dan Datuk.

Majlis berkenaan membuat keputusan itu terhadap semua bentuk pelaburan Internet termasuk skim cepat kaya SwissCash yang kononnya diuruskan Swiss Mutual Fund kerana skim-skim itu secara jelas mengandungi unsur riba.

Dengan nilai pelaburan mencecah RM1 bilion termasuk kira-kira RM200 juta yang dilaburkan oleh 50,000 pelabur dalam skim SwissCash, tidak kurang 50 jenis pelaburan Internet kini giat melobi orang ramai melabur dengan janji pulangan sehingga 300 peratus.

Selepas SwissCash dan beberapa lain malap, skim terbaru yang mendapat sambutan hebat ketika ini ialah I Love You Forever menerusi laman web www.iluf.biz yang menjanjikan pulangan sehingga RM21,000 bagi pelaburan pokok RM800 untuk tempoh 12 bulan dan www.ugifund.com yang dilancarkan hari ini.

Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Profesor Datuk Dr. Abdul Shukor Husin yang ditemui pemberita selepas mesyuarat itu memberitahu, sebarang pelaburan yang menjamin keuntungan secara tetap seperti ditawarkan SwissCash adalah haram.

Menurutnya, atas alasan itu, Islam tidak membenarkan umatnya melabur dalam segala bentuk pelaburan seumpama itu.

‘‘Ada banyak pelaburan alternatif disediakan kepada pelabur yang berlandaskan Islam dan boleh disertai oleh umat Islam,’’ katanya.

Berdasarkan siasatan Utusan Malaysia, pelaburan Internet pilihan rakyat Malaysia ialah skim yang mendakwa menjana wang dalam pasaran hadapan komoditi seperti minyak, gas, perladangan dan emas.

Terdapat pelaburan Internet seperti SwissCash yang mendakwa kononnya aktiviti mereka ialah pelaburan offshore yang tidak tertakluk dalam bidang kuasa perundangan termasuk Bank Negara Malaysia (BNM).

Jenis pelaburan lain yang didakwa sebagai asas aktiviti skim pelaburan Internet ialah perniagaan mata wang asing selain melabur dalam pasaran-pasaran saham luar negara.

Sebelum ini, media mendedahkan pelaburan skim cepat kaya SwissCash yang tampil dengan pelan pelaburan tanpa had dan jaminan keuntungan lebih meyakinkan yang setakat ini sudah menelan kira-kira RM190 juta wang daripada lebih 50,000 pelabur Malaysia.

Kutipan wang deposit awam secara haram itu beroperasi dengan modus operandi berasaskan transaksi Telegraphic Transfer (TT) di bank-bank tempatan dan urusan pelaburan menerusi Internet.

Ekoran itu, BNM membuat kenyataan bahawa skim SwissCash adalah menyalahi undang-undang negara kerana mengambil deposit secara haram.



Teknologi

Selain SwissCash, terdapat lebih 50 skim cepat kaya menggunakan kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) didalangi beberapa sindiket yang menawarkan pelbagai bentuk pelan pelaburan menerusi alam maya Internet.

Antara skim berkenaan ialah www.ABFund.biz; www.WinliFund.com; www.empay.com; www.buyebarrel.us; www.eaindex.com; www.fical.us; www.GlobalForex.us; www.Arabic.com; www.eracapital.com; www.e-investpro.com; www.GG-trade.com dan www.smartindex.net.

Dengan membuka laman web www.jutawan.com, pelayar boleh mendapatkan senarai keseluruhan skim-skim pelaburan Internet atau istilah globalnya dikenali sebagai High Yield Investment Programme (HYIP).

Modal pelaburan dikira berasaskan nilai mata wang Amerika Syarikat (ASD) berdasarkan 3.80 bagi setiap Ringgit Malaysia.

Dengan pelaburan serendah AS$20 (RM76), skim-skim itu menjanjikan pulangan lumayan minimum dua peratus sehari atau 60 peratus sebulan yang dibayar kepada para pelabur selama 100 hari.

Pulangan itu jauh lebih besar dan terlalu tinggi jika dibandingkan dengan kadar pulangan yang ditawarkan institusi perbankan iaitu tiga peratus sebulan bagi deposit tetap atau lapan peratus bagi pasaran modal.

Dengan pelan pelaburan yang menarik menggunakan laman web yang berpusat di Amerika Syarikat (AS), penganjur yang sebenarnya didalangi orang tempatan berjaya mengabui mata para pelabur.

Wednesday, April 11, 2007

HADITH-HADITH POPULAR TETAPI TIDAK SAHIH

Petikan daripada buku saya yang pertama '20 Persoalan Asas Tentang Hadis' cetakan Jahabersa.

Soalan 20:

Apakah contoh-contoh hadis dhaif dan palsu yang telah tersebar dalam masyarakat?

Jawapan:

Berikut saya senaraikan beberapa contoh hadis-hadis yang popular di dalam masyarakat. Sayangnya hadis-hadis yang popular ini pada hakikatnya adalah dhaif atau palsu. Saya menyebutnya sebagai dhaif atau palsu dengan meletakkan komen dan hasil kajian para ulama hadis dulu dan kini untuk sama-sama diteliti dan difahami. Ini bermakna, bukanlah saya yang memandai-mandai mengatakan ia dhaif atau palsu, tetapi saya berpandukan kepada hasil kajian yang telah sedia ada di dalam buku-buku para ulama hadis. Bagi para pembaca, mereka dialu-alukan untuk membetulkan kesilapan saya sama ada dari segi penggunaan bahan rujukan atau kesilapan dalam terjemahan teks asalnya yang ditulis dalam bahasa arab.

Di samping itu saya juga selitkan sedikit ulasan bagi menjelaskan maksud hadis tersebut dan juga membincangkan adakah maksud hadis boleh diterima dan disokong oleh dalil-dalil daripada Al Quran atau hadis sahih. Walau bagaimana baik maksud sesuatu hadis yang dhaif atau palsu, hadis tersebut tetap tidak boleh dinyatakan atau ‘diiklankan’ sebagai ‘hadis sahih’ atau sebagai ‘sabda Nabi SAW’. Hadis tersebut mungkin boleh dianggap sebagai kata-kata hikmah atau nasihat yang baik sekiranya maksudnya tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Pembaca akan dapat melihat apa yang saya maksudkan dalam huraian setiap hadis.

Pertama:

Tuntutlah ilmu walaupun hingga ke negeri China.

Kedudukan Hadis:

Ini adalah hadis palsu. Hadis ini telah disebutkan sebagai palsu oleh Ibn al Jauzi di dalam buku al Maudhu’at[1]. Pembaca juga boleh melihat buku Menangkis Pencemaran Terhadap Agama dan Tokoh-Tokohnya karya Mohd. Asri Zainul Abidin untuk mendapat maklumat lanjut tentang hadis ini. Hadis ini dikritik juga oleh pengkaji hadis seperti Ibnu Tahir al Maqdisi (507H)[2], al Iraqi[3], Ibn Hibban[4] dan Muhammad Nasiruddin al Albani[5].

Ulasan:

Hadis ini kerap dijadikan hujah bagi membuktikan bahawa Islam menggalakkan umatnya menuntut ilmu sejauh yang mungkin walaupun ke negara China. Sedangkan pada hakikatnya hadis ini adalah palsu. Telah ada dalil-dalil serta hujah-hujah yang jelas dalam Al Quran dan hadis-hadis sahih tentang kewajipan menuntut ilmu serta kelebihan mereka yang mempunyai ilmu. Terdapat ayat-ayat Al Quran yang mengiktiraf golongan yang berilmu contohnya:

Maksudnya : ALLAH mengangkat kedudukan orang-orang yang beriman dan yang mempunyai ilmu dengan beberapa darjat[6].

Begitu juga di dalam hadis-hadis sahih terdapat saranan ke arah menuntut ilmu antaranya seperti hadis:

Sabda Rasulullah : Sesiapa yang melalui jalan ke arah menuntut ilmu maka ALLAH mudahkan untuknya jalan ke syurga[7].

Sabda Rasulullah : menuntut ilmu adalah kewajipan ke atas setiap muslim [8].

Telah diketahui umum bahawa menuntut ilmu adalah kewajipan dalam kehidupan umat Islam. Apa yang ingin saya sebutkan di sini adalah kesalahan menggunakan hadis palsu dalam menyatakan sesuatu perkara yang telah sedia ada dalam Islam sama ada di dalam Al Quran atau hadis-hadis sahih. Tindakan menggunakan hadis palsu ini boleh menjadikan kita lupa bahawa ayat Al Quran atau hadis sahih sudah pun memadai dan mencukupi untuk kita menyatakan sesuatu yang berkaitan dengan Islam. Berhati-hatilah dalam menggunakan sesuatu hadis. Pastikan bahawa hadis tersebut adalah sahih sebelum menggunakannya sebagai dalil atau hujah.


nota kaki:
1]Al Maudhu’at – Ibn al Jauzi – jilid 1 – muka surat 215.

[2]Makrifat al Tazkirah – Ibn Tahir al Maqdisi – hadis no. 118.

[3]Al Mughni An Hamli al Asfar – hadis no. 36 – susunan oleh Abu Muhammad Asyraf Bin Abd. Maqsud – cetakan pertama 1995 – Maktabah Dar al Thabariyyah, Riyadh.

[4]Kata-kata beliau diambil daripada buku Ahadith La Tasihhu – Sulaiman Bin Salih al Kharashiy – hadis no. 21 – laman web www.saaid.net).

[5]Silsilah al Ahadith al Dhaifah – hadis no. 416 dan Dhaif al Jami’ al Shaghir – hadis no. 906 dan 907.

[6]Surah al Mujadalah – ayat 11.

[7]Hadis riwayat Muslim – hadis nombor 2699

[8]Hadis riwayat Ibnu Majah – hadis nombor 224 dan ia disahihkan oleh al Albani dalam semakannya terhadap Sunan Ibn Majah. Hadis ini juga dinilai sebagai hadis hasan oleh Basyar Awwad Ma’ruf dalam kajiannya terhadap Sunan Ibn Majah.

Sunday, April 01, 2007

MENDIDIK ANAK PERLUKAN MATLAMAT

Bercakap tentang persoalan mendidik anak, setiap ibu bapa sebenarnya (sedar atau tidak) mendidik dan memberi bimbingan berdasarkan matlamat dan cita-cita mereka. Percaya atau tidak, kebanyakan ibu bapa mendidik anak-anak (atau berusaha mencari orang yang boleh mendidik) bertujuan hanyalah sekadar untuk anak itu berjaya di dunia SAHAJA.
Sedangkan sepatutnya (saya dan sesiapa sahaja yang mempunyai anak) perlu melihat lebih jauh..jauh sehingga kepada hari akhirat yang merupakan hari yang amat penting bagi setiap insan. Perlu difikirkan tentang anak ini...adakah dia akan selamat di akhirat? Adakah dia mampu menjadi ahli syurga? Bagaimanakah nasibnya bermula daripada alam kubur sehingga hari dibicarakan? Bukankah kita juga akan dihimpunkan di sana bersama semua anak kita? Apakah perasaan kita apabila diri kita terlepas daripada neraka tetapi anak kita tidak?
Maka mendidik anak perlukan matlamat...untuk anak itu berjaya di dunia dan juga di AKHIRAT. Semoga Allah memberikan kita ilmu dan kekuatan untuk mendidik anak-anak ke arah matlamat yang jelas dan terpimpin.