Monday, November 23, 2015

Rakaman Program 'Membela Sahih Bukhari siri 2' - Kritikan Daraqutni terhadap Sahih Bukhari

Ini adalah rakaman program 'Membela Sahih Bukhari siri 2'. Dalam siri ini, saya membincangkan tentang kritikan Imam Daraqutni (wafat 385H) terhadap Sahih Bukhari. Ini kerana sebahagian yang membicarakan tentang tajuk ini tidak melihat dengan jelas bagaimanakah kritikan beliau terhadap Sahih Bukhari dan juga Sahih Muslim. Ada yang menyangka Imam Daraqutni menolak hadith-hadith yang dikritik itu dan mendhaifkannya. Sedangkan pada hakikatnya kritikan beliau bukan bertujuan menolak tapi membincangkannya. Sila ikuti perbincangannya di dalam rakaman berikut:

Rakaman 'Bagaimana Kritikan Daraqutni terhadap Sahih Bukhari?'

Tuesday, June 23, 2015

Ramadan - Tambahkan Ilmu Dalam Beramal

Alhamdulillah, permulaan Ramadan dapat kita lalui bersama. Masing-masing dengan cara pengisian yang tersendiri. Apa yang saya harapkan agar betapa sibuknya kita dengan kerja, belajar dan apa jua aktiviti, namun janganlah ibadah kita berkurangan.

Beberapa malam yang awal ini kita lihat masyarakat berpusu-pusu ke masjid dan surau menunaikan Solat Isyak dan seterusnya Solat Tarawih berjemaah. Namun begitu satu perkara yang perlu difikirkan bersama ialah jumlah yang ramai itu akan susut dan berkurangan setelah 4 dan 8 rakaat. Apabila witir ditunaikan dan tiba masa untuk tazkirah, maka amat berbeza jumlahnya berbanding jemaah ketika permulaan Solat Isyak.

Seharusnya para jemaah berusaha untuk menghabiskan solat bersama imam hinggalah akhir witir. Itulah yang diamalkan oleh para ulama zaman berzaman. Mereka akan solat hingga imam beredar, barulah mereka pulang.

Juga diharapkan para jemaah akan terus mengikuti tazkirah yang diberikan kerana ia menambah ilmu kita dan juga mengingatkan apa yang kita lupa. Ia juga sebagai pemberi semangat untuk kita lebih terarah dalam mengharungi Ramadan. Ia juga adalah satu refleksi tentang prestasi amalan kita dalam Ramadan. Ilmu dan amal tak dapati dipisahkan. Kenapa kita ingin beramal tapi kurang bersemangat untuk menambahkan ilmu?

Fikirkan kembali niat kita dan tujuan kita dalam menjalani bulan berkat ini. Rebutlah peluang ilmu dan amal. Jangan sia-siakan kesihatan, tenaga dan masa lapang yang ada. Mungkin satu ketika nanti kita akan terlepas semua peluang sebegini.

Adlan Bin Abd Aziz
6 Ramadan 1436H / 23 Jun 2015M
KL

Thursday, June 18, 2015

1 Ramadan - Jangan Biarkan Peluang Ibadah Terlepas

1 Ramadan - Sekali lagi saya perlu ulangi ucapan syukur kepada Allah SWT yang telah melimpahkan rahmatNya kepada saya dan anda di bulan mulia ini. Kita mula berterawih pada malam tadi dan suasananya jelas dirasai semua. Pagi ini kita mula bersahur dan memulakan hari pertama kembara ibadah puasa sebulan. Ramai juga yang memulakan bacaan Al-Quran dengan harapan dapat khatam sebelum berakhirnya Ramadan. 

Saya ingin sekali berpesan kepada diri saya dan kepada yang membaca agar kita kekalkan perasaan dan semangat ibadah di awal bulan ini agar berkekalan malah bertambah hingga akhir Ramadan. Pesan saya ditujukan kepada 2 sikap atau 2 golongan:

Pertama: Mereka yang menganggap Ramadan hanya utk makan - sahur, berbuka, moreh. Sedangkan amalannya tidak dihayati. Ibadah yang kurang kuantitinya, kurang pula kualiti dan penghayatannya. Yang difikirkan hanya makan - bila, apa dan di mana nak makan. 

Kedua : Mereka yang asyik dengan persiapan hari raya. Sampaikan Ramadan tidak dilihat kelebihannya melainkan hanya tempat persinggahan atau alasan untuk berhari raya. Persiapan pakaian, hiasan rumah, kuih raya dan sebagainya mengatasi penghayatannya untuk beribadah dalam Ramadan. 

Kita mungkin bukanlah orang yang terbaik dalam menjalani ibadah-ibadah Ramadan, cuma persoalannya - kenapa kita tidak berusaha dan berubah?

Adlan Bin Abd. Aziz
1 Ramadan 1436H / 18 Jun 2015
KL

Wednesday, June 17, 2015

TIBA RAMADAN, BERSYUKURLAH

Bersyukur. Itulah perkataan yang terlintas di hati dan diucap di bibir ketika menyambut Ramadan tahun ini, 1436H - 2015M.
Bersyukur pertamanya kerana masih diberi usia dan umur untuk mengecap nikmat Ramadan kali ini. Maka ayuh kita rancang sebaiknya pengisian Ramadan dengan ibadah yang paling banyak mampu dilakukan dan paling baik kualitinya yang mampu ditunaikan.
Bersyukur juga kerana kita masih berada dalam suasana tenang dan aman. Betapa ramai dari kalangan umat Islam yang juga saudara kita di seluruh dunia yang menyambut Ramadan dalam kesusahan, ketakutan, kesedihan, peperangan, kelaparan dan segala yang menguji kekuatan iman. Maka berusahalah untuk membantu mereka dalam apa jua cara. Jangan leka dengan kesenangan kita hingga kita lupa kesusahan mereka.
Bersyukur juga kerana kita berpeluang untuk memperbaiki amalan Ramadan yang kita masing-masing tahu berapa 'gred'nya tahun lalu. Setiap seorang dari kita tahu betapa amalan Ramadan perlu diperbaiki sama ada kuantitinya atau kualiti. Maka di awal menyambut Ramadan ini, rancanglah dan berdoalah agar perancangan kita menjadi nyata.
Bersyukurlah kerana kita masih berpeluang beramal. 
Hari ini kita beramal, esok kita menuai hasilnya. 

Adlan Abd Aziz
30 Syaaban 1436H
17 Jun 2015
KL

Friday, May 22, 2015

Kuliah Terkini - 23, 24 dan 25 Mei 2015

Kuliah Terkini Ustaz Adlan Bin Abd. Aziz

23 Mei (Kuliah Maghrib) di Surau Ikhwan, Desa Pinggiran Putra, Kajang - huraian Riyadhus Solihin

24 Mei (Kuliah Subuh) di Surau Taman Megah, Bt. 10, Cheras - Pengajaran Isra' dan Mi'raj

25 Mei (Kuliah Maghrib) di Masjid Mu'adz Bin Jabal, Setiawangsa - Kepentingan Ilmu Hadith