Monday, May 28, 2007

IBU DAN AYAH PERLU DIDIK ANAK TENTANG DOSA & PAHALA

Dosa dan Pahala...dua perkara yang jarang diperkatakan dalam masyarakat...mungkin ini sebabnya masyarakat makin tak kisah sama ada melakukan dosa atau mendapat pahala.

Dosa dan Pahala...dua topik..atau satu topik sebenarnya yang jarang diambil peduli oleh ibu bapa. Keluar dari rumah tanpa memperdulikan adakah pakaian mereka dan anak-anak mendatangkan pahala atau dosa. Mungkin ini sebabnya anak-anak sukar dikawal.

Dosa dan Pahala...terkadang diungkapkan oleh guru di sekolah. Itu pun guru agama dan sebahagian guru biasa yang merasa terpanggil untuk memberikan nasihat. Mungkin ini sebabnya para pelajar sekolah sudah berani melakukan dosa dan tidak bermotivasi untuk mencari pahala.

Dosa dan Pahala...bukan lagi matlamat utama kehidupan. Pakar motivasi (tidak semuanya) sudah menetapkan matlamat hidup bagi pelanggannya. Tapi tidak ada dalam senarai itu ..melakukan sesuatu untuk mendapat pahala..dan meninggalkan sesuatu kerana ia berdosa. Mungkin ini sebabnya masyarakat sudah tidak peduli.

Ingatlah...

Pahala adalah ganjaran daripada Allah SWT terhadap sebarang amalan kebaikan walaupun sekecil mana pun.
Dosa adalah balasan daripada Allah SWT terhadap sebarang amalan buruk dan jahat walau sekecil mana pun.

jangan semata-mata melihat amalan itu ..tetapi lihatlah kepada Pemberi dan Pembalas amalan itu. Fikirkan...adakah Allah SWT akan membalas dengan dosa atau pahala?

Friday, May 25, 2007

MENGENALI MUNGKAR SEBELUM MENCEGAHNYA

Kita sering mendengar istilah 'Amar makruf nahi mungkar'. Terjemahannya ialah
'suruhan terhadap perkara baik dan pencegahan daripada perkara mungkar'. Tetapi,

adakah saya dan anda telah jelas apa maksud 'mungkar' atau kemungkaran?

adakah saya telah mencuba untuk mendidik isteri dan anak-anak tentang apa maksud kemungkaran?

adakah kita sebagai pemimpin dalam keluarga atau tempat kerja telah mendidik orang-orang di bawah pimpinan kita tentang apa itu kemungkaran?

saya cuma ingin membangkitkan kesedaran terhadap diri saya dan anda pembaca blog ini agar kita pastikan diri kita ini mengenali apa itu kemungkaran sebelum kita berbincang soal mencegahnya atau menghapuskannya.

kemungkaran adalah setiap perkara yang melanggar perintah Allah SWT sama ada meninggalkan perkara yang wajib atau melakukan perkara yang haram.

kenalilah mungkar sebelum mencegahnya.

Tuesday, May 15, 2007

TAUBAT...MUDAH ATAU SUSAH?

Seringkali kita mendengar tafsiran berbeza tentang taubat. Ada yang menganggap ia sebagai satu level yang hanya perlu dibicarakan ketika usia pencen. Ada pula yang menyangka diri telah bertaubat tetapi sebenarnya tidak. Ada yang terlalu kecewa dengan dosa yang terlalu banyak lalu membuat keputusan bahawa taubatnya tidak akan diterima oleh Allah SWT. Ada juga yang meletakkan syarat tertentu...mesti buat itu dan buat ini barulah taubat akan sah atau diterima.

Apa yang jelas daripada perkataan taubat ialah istilah 'kembali'. Kembali kepada asal kejadian iaitu 'mentaati Allah SWT'. Ia mengandungi maksud 'meninggalkan kesalahan'. Maka untuk bertaubat, tinggalkan perbuatan yang salah itu walaupun telah lama kita lakukan. Sebaik sahaja kita tinggalkan ia, maka kita sebenarnya telah bertaubat.

Satu lagi makna yang terkandung dalam taubat ialah apa yang telah dihuraikan oleh Rasulullah SAW di dalam sebuah hadith riwayat Ahmad yg berbunyi: 'Menyesal itu adalah taubat'. Maka untuk bertaubat, perlukan 'penyesalan'. Ia tidak boleh dilakonkan atau direka. Ia datang daripada hati yang benar dan ikhlas menyedari bahawa diri telah melakukan dosa lalu merasa diri amat bersalah.

Bertaubat juga tidak perlukan anda untuk menukar baju baru atau kehidupan baru...tidak juga perlukan kepada solat sunat khas atau puasa sunat khas atau apa2 pengesahan daripada sesiapa. Ia adalah di antara anda dan Tuhan anda..

ayuh, praktikkan segera!

Friday, May 11, 2007

BUKU-BUKU ISLAMIK DALAM BAHASA INGGERIS

berikut adalah shortcut kepada beberapa buku Islamik dalam Bahasa Inggeris, selamat memuat turun dan membaca:

Terjemahan Al-Quran Al-Karim oleh Abdullah Yusuf Ali:

http://www.ahlalhdeeth.com/vb/attachment.php?attachmentid=16215&d=1122534774


Terjemahan Hadith Sahih al-Bukhari:

http://www.ahlalhdeeth.com/vb/attachment.php?attachmentid=16217&d=1122534980


Terjemahan Hadith Sahih Muslim:

http://www.ahlalhdeeth.com/vb/attachment.php?attachmentid=16218&d=1122535047

- buku Sahih al-Bukhari n Sahih Muslim adalah buku yang menghimpunkan hadith-hadith sahih. elok kita jadikan ia sebagai rujukan. namun tak dinafikan ia perlukan kepada huraian. maka jadikanlah ia rujukan dan tanyalah kepada orang yang berilmu utk mendapatkan huraian yg lebih tepat.


Terjemahan Himpunan Hadith Riyadhussolihih oleh Imam al-Nawawi:

http://www.ahlalhdeeth.com/vb/attachment.php?attachmentid=16221&d=1122535242

- Riyadussolihin lebih praktikal utk dibaca kerana beberapa sebab antaranya kerana jumlah hadithnya tidak banyak (walaupun banyak juga sebab jumlahnya lebih kurang seribu lebih). kelebihannya juga kerana ia menghimpunkan hadith yang paling penting utk diamalkan dalam kehidupan muslim mengikut bab2 yang memudahkan kita faham.

Terjemahan Sejarah HIdup Rasulullah SAW - al-Rahiq al-Makhtum oleh al-Mubarakfuri:

http://www.ahlalhdeeth.com/vb/attachment.php?attachmentid=16223&d=1122535320


Terjemahan Zikir Harian Hisn al-Muslim oleh Dr. al-Qahtani

http://www.ahlalhdeeth.com/vb/attachment.php?attachmentid=16267&d=1122569121

Thursday, May 10, 2007

MELEPAK MENAMBAH ILMU

Melepak selalunya dikaitkan dengan perbuatan duduk beramai-ramai atau bersendirian tanpa ada objektif tertentu dan perbuatan khusus. Secara ringkasnya melepak saya takrifkan (sekiranya boleh) dengan kata ‘mengisi masa tanpa pengisian’. Masa dibiarkan berlalu tanpa dihargai dan sedar tak sedar, berjam-jam telah dihabiskan dengan melepak.

Mari kita jadikan melepak sebagai aktiviti yang positif dan kita tukar persepsi orang lain tentang melepak. Saya mencadangkan supaya kita perlu memasukkan aktiviti melepak ini dalam kalendar kehidupan agar ia dapat menjadi contoh kepada golongan yang melepak tanpa tujuan. Kita ingin mereka menjadikan melepak itu sebagai satu perbuatan yang ada tujuan dan matlamat.

Maksud saya ialah, sesekali kita perlu keluar dan melepak di satu tempat bersama rakan-rakan atau mungkin juga sanak saudara terutama jika masing-masing sibuk dan jarang berjumpa. Mungkin sebulan sekali, sebulan dua kali dan sebagainya merupakan waktu yang sesuai dengan kesibukan masing-masing. Maka melepak yang saya maksudkan ini seeloknya bercirikan ciri-ciri yang berikut:

1-Seeloknya tidak menganggu waktu solat yang agak singkat seperti antara maghrib dan isya’ atau antara asar dan maghrib. Waktu yang paling baik mungkin selepas isya’ atau pada waktu pagi.

2-Memastikan bahawa pada waktu melepak itu tidak ada perkara lain yang lebih penting untuk kita uruskan contohnya seperti urusan perubatan, tugasan kerja, tanggungjawab terhadap ibu bapa, keluarga dan lain-lain.

3-Melepak dihiasi dengan makan dan minum agar perbincangan tidak terganggu kerana lapar.

4-Merancang terlebih dahulu apa yang hendak dibualkan dan perbualan mestilah bersih daripada perkara dosa.

5-Memilih tempat yang agak tenang dan tiada hiruk pikuk yang akan mengganggu perbincangan.

6-Bagi yang agak ‘loaded’ bolehlah mengambil tindakan membayar kos makanan rakan-rakan lain yang melepak agar rezeki akan lebih banyak dan lebih berkat. Tetapi janganlah asyik orang yang sama sahaja terpaksa bayar kerana ini pasti akan mengganggu emosinya dalam berbincang.

7-Masa yang diperuntukkan untuk melepak janganlah terlalu singkat dan jangan pula terlalu lama.

8-Perlu ada sesuatu yang dianggap sebagai ‘resolusi’ untuk diambil tindakan selepas melepak.

Buat saudaraku dan saudariku yang seagama denganku, janganlah membiasakan diri dengan melepak tanpa tujuan seperti apa yang berlaku di kebanyakan tempat pada masa kini. Ramai yang melepak tanpa solat, tanpa adab, tanpa tujuan dan sudah pasti tanpa apa-apa resolusi dan tindakan yang positif. Adakah untuk tujuan yang tidak ada tujuan ini kita dicipta? Adakah mengisi masa tanpa pengisian itu tuntutan agama atau tuntutan kemajuan dunia? Tidak dan tidak sama sekali. Agama menuntut kita mengisi masa dengan perkara berfaedah terutama perkara yang membantu kita di akhirat nanti. Kemajuan dunia pula menuntut kita untuk mengisi masa dengan perkara yang berfaedah untuk hidup dan seringkali kita dengar bahawa rakyat negara maju tidak membuang masa dengan melepak tanpa arah tujuan. Marilah melepak selaras dengan syarak. Anda mampu mengubahnya!

Sunday, May 06, 2007

JIKA ANDA INGIN BERZIKIR...

Pastikan zikir itu bersumberkan daripada nas yang jelas sama ada Al-Quran atau hadith sahih. Zikir yang tidak ada di dalam Al-Quran dan hadith sahih tidak dapat dipastikan adakah maksudnya benar. Kenapa anda perlu meninggalkan zikir yang telah ada di dalam Al-Quran dan hadith sahih? Bertanyalah kepada mereka yang tahu.

Berhati-hati dengan niat anda berzikir. Adakah kerana inginkan keredhaan dan ganjaran Allah SWT atau inginkan keramat atau keajaiban? Atau zikir kerana ingin dilihat sebagai seorang yang kuat beribadah (riya’)?

Jangan berzikir sehingga meninggalkan tanggungjawab lain yang lebih utama mengikut waktu seperti tanggungjawab terhadap keluarga, pekerjaan, ibu bapa, suami atau isteri dan sebagainya.

Sentiasa ingat bahawa zikir bukan semata-mata sebutan lidah, tapi juga penghayatan maksud di dalam hati. Zikir bermaksud untuk mengingati Allah SWT dalam keadaan sedar, bukan berzikir sampai hilang ingatan.

Anda boleh berzikir secara individu di mana-mana tempat yang suci. Tidak perlulah anda mencari majlis khas untuk berzikir dengan pimpinan/khalifah tertentu.

Berzikirlah dalam keadaan yang tenang dan jangan pula ‘naik syeikh’ sampai terlompat-lompat dengan pergerakan yang ganas kerana zikir Rasulullah SAW dan para sahabat penuh dengan ketenangan.

Pastikan hidup anda selaras dengan syariat iaitu cuba sedaya upaya mematuhi perintah Allah SWT dan berusaha sedaya mampu meninggalkan laranganNya. Jangan kuat berzikir tetapi tak peduli tentang hukum-hakam.

Jangan berzikir dengan bercampur aduk lelaki dan perempuan ajnabi dalam keadaan yang tidak ada batasan.

Janganlah berzikir sampai mencederakan mana-mana anggota badan seperti menghentakkan kaki atau tangan ke lantai dengan kuat. Islam tidak pernah menyuruh kita menyeksa diri.

Jangan berzikir dengan suara yang terlalu kuat atau kasar sehingga mengganggu orang lain (terutama ketika di masjid dan ada orang sedang solat) dan menghilangkan tumpuan diri anda sendiri.

Jangan mempercayai ganjaran zikir kecuali jika ganjaran itu ada di dalam Al-Quran atau hadith sahih. Contohnya, ‘sesiapa yang bertasbih 1000 kali, akan dapat ilmu dari malaikat’. Walaupun bertasbih adalah sunnah yang diajar oleh Rasulullah SAW, namun tidak ada hadith sahih yang menyatakan bahawa ganjaran ini akan didapati apabila anda bertasbih.

Kalau mengantuk, tidurlah, kalau lapar, makanlah dan kalau letih, berehatlah. Jangan memaksa diri untuk berzikir. Islam itu mudah dan memudahkan. Jangan pula menggoyangkan badan dengan ganas hanya kerana ingin menghilangkan rasa mengantuk.


Selamat berzikir !