Wednesday, September 24, 2008

Dari Pantai Balok....Kuantan (Kejutan Ramadhan)


Alhamdulillah...sesekali dapat mengambil angin di luar Lembah Klang bersama rakan-rakan dalam program bersama guru-guru Bahasa Arab dari pelbagai negeri.

Banyak yang diperolehi dalam program2 sebegini. Maklumat baru, kemahiran baru, bertukar pengalaman dan sebagainya.

Sesekali manusia perlu juga bertukar 'angin' untuk menimba pengalaman baru dan memperbaiki kelemahan diri. Terkadang kita dapat memperolehi pengalaman berbentuk 'emosi' dan tidak sekadar maklumat berbentuk fakta.

Contohnya seorang ustaz yang menjadi imam subuh pagi ini. Bacaannya (walaupun tidak begitu ber'lagu' atau ber'tarannum') tapi cukup menyentuh hati. Bacaann surah al-Soff dari beliau saya dapati 'berlainan' dan saya kehairanan selepas solat. saya bersyukur.

Selepas subuh saya berbincang pula dengan dua sahabat 'senior' semasa di universiti dahulu. Ternyata banyak faedah yang saya perolehi.

Sekarang kami baru selesai sesi pertama dalam program berkaitan sukatan pelajaran Bahasa Arab.

Semoga ilmu dan iman saya terus bertambah hasil bergaul dengan sahabat2 di sini.

KEJUTAN RAMADHAN!

Saya akhirnya dapat bertemu dengan seorang senior dari universiti dahulu (baru sampai pagi ni) yang merupakan seorang senior dan guru - mendidik saya mengenali 'alam' buku dan kitab, mendidik saya ketekunan seorang pengkaji dan merupakan guru dan pendorong saya dalam bidang hadith, termasuk menganugerahkan sanad (utk tabarruk)

Alhamdulillah..alhamdulillah....

Saturday, September 20, 2008

Luahan hati - KURMA OH KURMA...




* Kira-kira dua tahun lepas, dalam bulan Ramadhan, saya telah menulis coretan berikut. Elok rasanya saya letakkan di sini untuk mereka yang belum menatapnya lagi.

KURMA OH KURMA

Kurma oh kurma
Setibanya bulan puasa yang indah lagi mulia, aku ingin berbicara…..

Kurma oh kurma (tamar oh tamar)
Alangkah indahnya nasibmu wahai kurma
Engkaulah sunnah yang jarang dilupa
bahkan diamalkan oleh semua
tak kira muda ataupun tua.

Kurma oh kurma
Di kala orang meninggalkan kewajipan dan fardhu
Engkau diidam bagaikan ratu
Engkau dicari dan diburu
Biarlah mahal, asalkan tamar itu jadi milikku!

Kurma oh kurma
Dirimu kegemaran Nabi
Pakar sains juga membawa bukti
Dengan menikmati dirimu, sisa toksik badan tiada lagi
Adakah mereka menyangka, kurma juga penghapus toksik (dosa) di dalam
hati?

Kurma oh kurma
Umat zaman ini (di negara ini) amat mengenalimu
Rutob, tamar, balah dan apa lagi, aku pun tak tahu
Tentang dirimu mereka benar-benar berilmu
Mereka mengambil berat tentang sifat-sifatmu
Tetapi adakah mereka juga begitu tentang agama mereka dan juga
Rasulmu?

Aduh, sedapnya merasai kemanisan tamar
Apatah lagi setelah sehari suntuk berlapar
Alangkah baiknya kalau kemanisan iman juga ada di pasar

Kurma oh kurma (berapa banyak kurma daa?)
Ramai yang membelimu di mana-mana
Sunnah Nabi, kata mereka
Tetapi… mereka tinggalkan (sebahagian) ajarannya
Atau ….cukuplah kurma sebagai sunnah yang kami suka?

Adakah ihya' Ramadhan hanya dengan kurma?
Memanglah, tak siapa yang marah tak siapa yang hina
Engkau makan, aku pun tumpang sama


Selamat berbuka puasa. Ingatlah, sunnah Nabi bukan sekadar berbuka
dengan kurma. Pelajarilah sunnah, amalkanlah ia dan sebarkanlah ia
untuk semua!

Tuesday, September 16, 2008

Puasa Tak Boleh Ketawa Banyak Sangat?


Dalam Ramadhan, masyarakat kita mempunyai banyak sangkaan dan kebanyakannya melibatkan pantang larang atau perkara yang mengurangkan pahala puasa.

Apa yang pasti, kata-kata dosa akan menyebabkan kurangnya pahala puasa. Begitu juga perbuatan dosa sudah pasti menjejaskan kualiti puasa.

Tapi terkadang kedengaran dari mulut orang-orang yang saya temui pelbagai pantang larang yang saya kurang pasti dari mana datangnya. Contohnya:

- Semasa berpuasa, tak boleh berbicara tentang juadah berbuka.

- Semasa berpuasa, tak boleh gelak ketawa berlebihan.

- Semasa berpuasa, tak boleh mandi banyak-banyak.

- Semasa berpuasa, tak boleh kumur banyak-banyak.

dan sebagainya...

Sedangkan ini semua bukanlah 'tidak dibolehkan' dengan maksud 'haram'. Ia mungkin boleh dikategorikan dalam perkara yang 'tidak digalakkan' atau 'tidak elok dilakukan'. Namun tak mungkin perkara ini termasuk dalam kategori dosa yang menghilangkan pahala puasa atau membatalkan puasa. Panjang ceritanya tapi inilah yang perlu diketahui oleh kita semua.

Maka janganlah kita terlalu berkeras dalam perkara-perkara yang sebegini. Nanti salah faham pula kita terhadap 'perkara yang membatalkan puasa/pahala puasa'.

Selamat berpuasa...

Wednesday, September 10, 2008

Puasa Dapat...Tapi Kualitinya?

Kualiti puasa ialah nilai puasa tersebut di sisi Allah SWT...atau dengan kata lain, sejauh mana puasa itu diterima oleh Allah SWT. Atau dengan ungkapan lain, adakah pahala puasa kita banyak, berkurang, atau tiada?

Ramai orang menjaga puasa dari terbatal - jangan makan dan minum, jangan masukkan sesuatu ke dalam rongga hidung atau telinga, berhati-hati ketika niat pada waktu sahur dan sebagainya - ini semua amat baik dan amat penting.

Tapi...

Terkadang tumpuan terlalu lebih kepada perkara 'zahir' atau 'luaran' menyebabkan sebahagian kita tak begitu memberi perhatian kepada 'kualiti' puasa. Menipu, mengumpat, mengeji, membuat perkara tidak baik, mengambil hak orang lain, mendedahkan aurat, membazir, tidak solat, pergaulan bebas, mengabaikan hak keluarga dan rumah tangga, menyakiti hati ibu bapa...dan banyak lagi perkara yang dilarang (sama ada pada Ramadhan atau bulan-bulan lain) dilakukan - ini pasti memberi kesan kepada kualiti puasa. Maka berhati-hati...

takut nanti puasa saya dan anda hanya memperolehi 'lapar dan dahaga' sahaja!

PERINGATAN UNTUK MEREKA YANG BERKENAAN...TERMASUK DIRI PENULIS

Saturday, September 06, 2008

Semangat Membeli...atau Membazir?



Semalam, pada satu lokasi yang menjual kuih-muih dan juadah berbuka, saya berkata pada isteri..'dah..dah, lama sangat kat sini, nanti membazir'.

Mungkin ada yang menyangka saya tak nak isteri saya membazir kan? Sebenarnya saya cakap macam tu merujuk kepada diri saya. Makin lama saya duduk kat satu tempat (terutamanya kat tempat-tempat menjual juadah berbuka), makin banyak saya beli. Bila dah banyak beli..kena la habiskan nanti. Adoi..itu yang kenyang sangat tu.

Isteri pun dah faham perangai ni. Sebab tu lebih baik dia yang pergi beli.

Begitulah sifat sebahagian manusia di bulan puasa. Pasti ramai yang merasainya ketika berjalan-jalan melihat pelbagai jenis makanan. Ada pulak makanan yang 'dah lama tak makan' atau makanan yang 'susah nak dimasak', lagilah. Apatah lagi apabila lapar, semuanya sedap!

Kalau kita dah tahu kelemahan diri, jangan buka ruang untuk itu. Itulah cara kita mengawal diri dan itulah tandanya kita mengenal diri. Mungkin boleh diterapkan untuk perkara lain selain 'pembaziran'.

Wallahu a'lam. itu bagi saya lah....anda pula macam mana?

Wednesday, September 03, 2008

Ramainya Manusia Di Masjid!


Setiap tahun begitulah keadaannya. Kemeriahannya terasa. Tempat meletak kereta di masjid dan surau penuh sesak. Dalam masjid saf-saf dipenuhi sehingga ke belakang atau ke tingkat atas. Walaupun tak seramai gambar di atas (al-masjidil al-Haram, Mekah) namun memang ramai le jugak. Harapan kita...

- agar muslimin dan muslimat yang datang ke masjid itu benar-benar datang untuk merebut ganjaran 'diampunkan dosa yang telah lalu' bagi orang-orang yang menghidupkan malam-malam Ramadhan dengan solat sunat (maksud hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim).

- agar sikap ini berterusan sehinggalah ke pertengahan Ramadhan dan seterusnya sehingga ke tahap penting Ramadhan iaitu 10 malam terakhir, waktu di mana kita berpeluang bertemu dengan Lailatul Qadr.

- agar umat Islam yang memenuhi masjid ini akan konsisten dalam memenuhinya selepas Ramadhan. Sesungguhnya amalan yang amat baik ialah yang berterusan walaupun sedikit.

- agar diri kita diterima oleh Allah SWT - puasa, solat, bacaan Al-Quran, sedekah dan sebagainya.

Insya Allah...sama-sama kita bersedia memastikan harapan di atas menjadi nyata.

Monday, September 01, 2008

Selamat Berpuasa Untuk Semua...!




RAMADHAN BULAN MULIA...BULAN MENGEJAR RAHMATNYA

RAMADHAN BULAN MULIA...SEKIAN LAMA BERPISAH KINI IA MENJELMA

RAMADHAN BULAN MULIA...NILAI KEMBALI AMALAN KITA

RAMADHAN BULAN MULIA...NAMUN ADAKAH KITA MENDAPAT KEMULIAANNYA?

SAMA-SAMALAH KITA BERDOA DAN BERUSAHA...JANGAN HANYA BERANGAN SENTIASA.

Sunday, August 31, 2008

Jalan-Jalan Sebelum Ramadhan...


Amir, Ahla Adlina dan Ammar di Taman Buaya, Melaka...Berjalan-jalan ke Melaka dan Johor. Maklumlah dah lama tak makan angin. Ramadhan nanti letih plak. Kesian kat Ahla, takut dengan buaya.

Tuesday, August 26, 2008

Alhamdulillah...dulu juzuk 30...kini juzuk 29...


Alhamdulillah...

Ingin saya berkongsi kegembiraan dan kesyukuran...di atas kejayaan anak sulung, Ammar (semoga Allah SWT memeliharanya) menghafaz dengan lengkap juzuk 29. Kini, pada umur 7 tahun, Ammar benar-benar mengatasi ayahnya dan ibunya ketika mereka berumur 7 tahun satu masa dahulu.

Semoga dengan 2 juzuk Al-Quran di dalam dadanya, Allah SWT akan melimpahkan rahmatnya kepada keluarga kami.

tahniah Ammar!

Thursday, August 21, 2008

BAGI SALAM PUN TERKEJUT KA?


Tentu anda yang membaca tulisan ini pernah pergi ke sesuatu tempat lalu anda memberi salam tanda permulaan...apa jawapan yang anda selalu dapat? Sudah tentu salam anda dijawab, bukan? Kalau tak semua pun, pasti ada orang yang menjawab.

Begitu juga dengan saya. Kadang-kadang saya masuk ke tempat-tempat tertentu tanpa ada idea untuk memulakan bicara. Pastilah kita akan memberi salam, terutamanya apabila orang yang di hadapan kita ialah orang-orang Islam.

Hari ini, buat pertama kalinya saya masuk ke satu tempat dengan memberi salam, tetapi TIDAK DIJAWAB. Bukan kerana tidak ada orang...ada. Ada dalam 3-4 orang yang berada di ruang hadapan ketika saya melangkah masuk dan memberi salam. Tapi sebaik sahaja saya berkata 'assalaamu'alaikum'...semuanya memandang ke arah saya dalam keadaan terpinga-pinga...'aku salah bagi salam ke?' detik hati saya.

Mungkin disebabkan beberapa sebab yang tak dapat kita ketahui...mereka tergamam ketika saya memberi salam...mungkin sebab mereka tak pernah jumpa saya kot? Atau mungkin kerana mereka terkejut ada juga orang bagi salam?

hehe..ada juga orang mcm ni kan?

anda pernah ada pengalaman yang sama ke?

Wednesday, August 20, 2008

BERFIKIR SEJENAK BERSAMA 'I LOVE RAMADHAN'


cuba beli dulu....insya Allah ada kelainan..tahniah wahai sahabatku dan salah seorang abang dan contoh ikutan saya dalam kalangan senior2 univ. Al al-Bayt dulu...

dapatkan segera....saya pun tak sabar walaupun dah tahu sinopsis dan beberapa sedutan isi kandungannya. dah order dah dari tuan penulisnya cuma masa belum sempat untuk kami bertemu (maklumlah, saya ni kadang2 sibuk..kadang buat2 sibuk) :)

Alhamdulillah...baru sembuh dari demam ni selera makin bertambah...harap selera membaca juga akan bertambah...

Monday, August 18, 2008

SELAMAT BERCUTI - WARGA SEKOLAH...


Untuk sahabat-sahabat warga sekolah...pelajar atau guru...

- Manfaatkan cuti untuk semua pihak - sama ada keluarga atau kawan.

- Mana-mana yang tak sempat berehat tu pandai2lah berehat.

- Kot-kot ada masa terluang nak mendapatkan ilmu tentang agama atau apa sahaja, gunakanlah masa cuti ni. Banyak caranya. Kalau hari bekerja, selalu terdengar alasan sibuk...penat...kerja...ha..sekarang kan cuti?

- Kalau buat kenduri tu jangan lupa la jemput...tanda ingatan.

- Buat semua pelajar2 yang pernah/sedang saya ajar...jangan lupa kerja rumah yang diberi tu. Tidur cukup2, jangan sampai tidur lagi dalam kelas...:)

selamat bercuti!

Friday, August 08, 2008

Kenapa Kritikan Tidak Membina?

Saya menulis berdasarkan satu kata-kata yang saya dengar...kurang enak bunyinya..

kata-kata itu menyebut bahawa orang-orang agama ni suka menghukum dan mereka ni tak memahami...

Balik-balik nak mengkritik orang-orang agama. Siapa orang-orang agama ni? Seolah-olah orang-orang yang bukan 'orang-orang agama' ni dah perfect. Akhirnya orang yang belajar agama jadi bahan kritikan.

Begitukah yang dinamakan kritikan membina? Kritikan dialukan, tapi biarlah ia membina, bukan merosakkan. Biarlah berfokus..jangan main hentam saja.

orang agama semuanya begitu? 100 peratus? 50 peratus? 20 peratus?

saya teringin sangat nak tanya kepada orang yang berfahaman sedemikian beberapa soalan:

1- Statistik yang manakah digunakan mereka untuk membuat kesimpulan yang semudah itu?

2- Kalau ada sebahagian kecil ustaz/ustazah yg 'tidak memahami' atau 'suka menghukum'...kenapa pula dibangkitkan isu ini sebegini?

3- istilah 'tidak memahami' juga kurang jelas maksudnya...apa yang nak difahami? begitu juga istilah 'suka menghukum'...apa yang dihukum? Siapa yg kena hukum? Orang salah ke orang tak salah?

4- Tidakkah kita diajar dalam Islam bahawa ada perkara yang disuruh dan ada perkara yg dilarang? Adakah sikap orang-orang agama yang menceritakan kembali suruhan dan larangan ini dianggap 'tidak memahami' atau 'suka menghukum'?


Kembalilah berfikir menggunakan intelektual dan sesuai dengan taraf akademik kita.

Kembalilah berfikir menggunakan asas-asas yang ditetapkan oleh Islam.

Kembalilah berfikir dengan rasional bukan dengan emosi..


akai ada ka? kalau ada..pakai!

Thursday, August 07, 2008

Sejarah...Kali Pertama Masuk Studio!


Walaupun ia bukanlah satu studio yang terkenal, namun beberapa orang artis Malaysia pernah merakamkan lagu-lagu dan album di situ..(gambar di atas sekadar hiasan, tapi agak mirip dengan studio yang saya maksudkan)

Bayangkan...tak pernah melangkah masuk...tiba-tiba diminta merakamkan suara! Bukanlah gelabah..tapi rasa kekok dan rasa rumit.

Memang tak semudah yang disangka. Berkali-kali diulang, ada saja salahnya. Nasib baiklah kami bersama sahabat artis yang boleh membetulkan keadaan. Sekadar backing vocal, tak apa la kan?

Lagu apa? Nantikan kemunculannya!

Monday, August 04, 2008

Setelah Berduka...Nikmat Allah SWT Tiba Jua...

*Artikel ini saya ambil dari www.al-ahkam.net , ia ditulis dengan penuh rasa gembira dan syukur kerana dapat bertemu salah seorang ulama yang dikagumi...selamat membaca walaupun agak panjang sikit..

Tiada terduga walau dalam mimpi...nikmat Allah SWT yang wajib disyukuri....Bertemu Dr. Hamzah al-Malibari...

Siapa yang dapat menduga apabila tokoh yang dikaguminya melalui penulisan, tiba-tiba berada di depan mata? Tiada yang dapat menggambarkan kegembiraan apabila dapat bersua muka dengan seorang tokoh hadith masa kini yang merupakan salah seorang pengkaji hadith yang mendokong pemikiran 'manhaj al-Mutaqaddimin'.

Beliau ialah Dr. Hamzah al-Malibari, salah seorang tenaga pengajar di salah sebuah universiti di Dubai, UAE. Tanpa diduga, Dr. Hamzah telah datang ke Malaysia untuk menziarahi sanak saudaranya di Seremban, N.Sembilan. Maka salah seorang tenaga pengajar hadith terkemuka UIA, Dr. Abu al-Laith al-Khair Abadi (yang merupakan rakan Dr. Hamzah semasa di Univ. Umm al-Qura, Mekah) telah meminta beliau menyampaikan satu ceramah di UIA berkaitan - pengajaran ilmu hadith yang berkesan dan isu-isu berkaitan beberapa kelemahan dalam kajian sebahagian pengkaji hadith masa kini.

Wakil Jabatan Hadith, AAN, Mat_Lughowiyyat (Penasihat JH), alitantawi (penyelaras JH) serta al-Barlizi (panel JH) telah berkesempatan untuk menghadiri ceramah tersebut yang diadakan baru-baru ini di UIA. Alhamdulillah, ceramah itu juga telah berjaya dirakamkan melalui kamera video AAN.

Kami amat gembira bukan hanya kerana dapat bertemu dengan Dr. Hamzah, malah juga disebabkan oleh akhlak mulia Dr. Hamzah yang tidak jemu melayan soal jawab para pensyarah dan pelajar UIA yang hadir termasuk soalan daripada wakil JH AAN. Beliau juga tidak bosan melayan para hadirin sebelum dan selepas ceramah.

Beliau membentangkan satu ceramah yang padat berkaitan pengajaran ilmu hadith yang sepatutnya dilakukan pada masa kini. Beliau juga menegaskan tentang kepentingan menghormati kajian ulama terdahulu serta meletakkannya pada kedudukan yang sepatutnya. Beliau juga memberikan beberapa contoh 'kegopohan' dan 'kecelaruan' yang berlaku pada sebahagian pengkaji moden yang menyangka bahawa mereka juga boleh menyaingi kehebatan ulama hadith terdahulu. Kepetahan beliau membentangkan ceramahnya dalam Bahasa Arab amat menarik kerana Bahasa Arab bukanlah bahasa ibundanya. Insya Allah, rakaman video ceramah beliau akan diusahakan agar dapat dimuatkan dalam AAN secepat mungkin.

Biodata ringkas Dr. Hamzah al-Malibari:

Dilahirkan di Kirala, India pada tahun 1952, memperolehi pendidikan awal di India, seterusnya menyambung M.A. di Universiti al-Azhar, Mesir, menyambung Phd di Universiti Umm al-Qura, Mekah.

Bertugas di beberapa buah universiti di negara-negara Arab sehinggalah sekarang, di UAE.

Beliau menulis beberapa buah buku yang terkenal seperti:

– الحديث المعلول – قواعد وضوابط –

الموازنة بين المتقدمين والمتأخرين في تصحيح الأحاديث وتعليلها

نظرات جديدة في علوم الحديث تصحيح الحديث عند ابن الصلاح

عبقرية الإمام مسلم في ترتيب أحاديث مسنده الصحيح

كيف ندرس علم تخريج الحديث

Wednesday, July 30, 2008

Sakit, Letih, Susah Hati...

Itulah perkataan-perkataan yang sesuai untuk menggambarkan situasi saya ketika menulis blog ini sekarang...

Semoga itu semua mengampunkan dosa saya..

Semoga itu semua memberikan saya ganjaran di sisi Allah yang Maha Kuasa..

Semoga awan mendung akan berganti cerah dan cahaya...

untuk sahabat yang membaca...doakanlah kebaikan untuk saya dan kita semua.

Terima kasih!

Friday, July 25, 2008

Tenangkan Minda Dengan 2 Buku Baru....




Apa? Bukan...ini bukan buku saya. Keduanya adalah buku Ustaz Sahrulazmi Bin Sidek...

Kalau nak kelainan...kena la cuba sesuatu yang baru. Mungkin penulisnya anda belum kenal, tapi sebenarnya orang-orang yang suka beli buku memang kenal. Bagi saya apa yang penting ialah 'ilmu' nya terutama dalam bidang sejarah Islam. Merupakan salah seorang daripada senior saya di universiti dulu....jom la tengok buku tu....


nak beli? rujuk blog dia lah - www.ibrahsejarah.blogspot.com (ada kat senarai link dalam blog saya ni)...

selamat membaca dan menikmati kelainanya!

Tuesday, July 22, 2008

Solat...Ramaikah Yang Begini??

Tulisan ini berdasarkan kisah benar..
Di sebuah surau yang sedang diubahsuai agar lebih besar...
ramai yang sedang menunggu azan asar...
termasuk beberapa orang pekerja yang berehat sebentar..

Apabila azan dilaungkan...
ada yang bergegas berwudhu' dan menyucikan badan...
ada yang solat sunat dan ada yang bersandar kepenatan...
Namun mereka itu masih berehat dan berbual tanpa silu dan segan..

Apabila iqamah bergema...
kesemua jemaah menuju ke saf merebut takbir pertama...
pekerja-pekerja itu masih berehat seperti biasa...
tak solat ka?..

Ketika solat berlangsung...
imam dan makmum bertakbir dan menyanjung...
mereka tetap di situ, malu seolah tidak wujud langsung..

Apabila imam mengakhiri solat...
berzikir, berdoa memohon berkat...
mereka masih seperti itu, seolah mereka terlalu penat...


- Mereka berada di surau...

- Mereka orang Islam.

- Mereka berhenti dan berehat untuk orang ramai menunaikan solat...

- Mereka berada setiap hari hampir setiap waktu zohor dan asar...


Tetapi mereka tetap tidak solat...

Agaknya puas ajk surau menegur....namun begitu....KALAU DAH TAK NAK..APA NAK DIKATA?

...ramaikah yang begitu???

Saturday, July 19, 2008

Lupa Akhirat...Punca Segala Dosa dan Kejahatan


Saya teringat satu watak dalam siri kanak-kanak yang saya minat sejak kecil iaitu 'Sesame Street'...watak itu ialah 'Forgetful Jones' (lihat gambar tuu)...

Forgetful Jones adalah satu watak yang amat amat sangat pelupanya...ingat satu benda, lupa benda lain..ingat perkara kedua, lupa perkara pertama...

Tapi bukanlah saya nak bercerita tentang Forgetful Jones, tapi nak bercerita tentang satu nasihat daripada salah seorang ulama di pantai timur (diambil daripada rakaman ceramah) tentang LUPA AKHIRAT

Beliau menyebut .."BILA MANUSIA NI SEDAR BAHAWA DIA AKAN HIDUP BALIK DENGAN TAK ADA KUASA MENOLAK, DAN KITA AKAN DIHAKIMI, MULAI DARI SITULAH..MANUSIA AKAN BERFIKIR 2 KALI UNTUK BUAT BENDA-BENDA YANG DIPANGGIL MAKSIAT....

Begitulah kita...saya dan anda...

Kalau kita betul-betul duduk sejenak dan ingat kepada akhirat...

Kalau kita berhenti seketika dan berfikir tentang hari pembalasan...

Kalau kita tumpukan pemikiran kepada hari terdedah segala amalan...

Kita berikan sepenuh fokus dalam sedar...kepada hari yang terakhir...hari akhirat..

PASTI HIDUP KITA AKAN JADI LEBIH BAIK..LEBIH BERNILAI DAN BERHARGA DI SISI ALLAH ...

....renungan utk diriku dan dirimu...

Monday, July 14, 2008

Bukan Semua Cerita Orang Itu Benar...



Saya teringat antara watak yang saya minati sejak kecil - Sherlock Holmes...Penyiasat Terkemuka....takkan tak kenal?

Sememangnya kita perlu contohi sikap Mr. Holmes. Biar apa yang sampai ke telinga kita akan melalui panel penapisan (sama ada berasaskan logik akal atau berasaskan syariat)...sebelum dipercayai atau ditolak.

Panduan mudah yang boleh saya kongsi bersama...

Kalau sampai kepada kita sesuatu cerita atau berita...lihatlah siapa yang membawa cerita/berita itu. Kalau boleh, bertanyalah serba sedikit tentang cerita/berita itu...bandingkan pula (jika boleh) dengan cerita daripada sumber yang lain...


Jangan kita jadi dua manusia berikut:

1- Mudah percaya apa saja berita/cerita yang sampai ke telinganya.

2-Mudah tak percaya apa saja berita/cerita yang sampai ke telinga.


Tapi kebanyakan orang yang saya temui adalah kategori no. 1.


So, marilah kita sama-sama mengubah sikit (sikit je) cara kita berfikir.

selamat mencuba!