Tuesday, February 26, 2008

Berhati-hati Sebelum Berbicara

Kita dah lama tahu....

kerana mulut badan binasa..

cakap siang pandang-pandang...

terlajak kata buruk padahnya...dan lain-lain lagi yang sewaktu dengannya.

Agama pun dah beritahu....lihat surah Qaf ayat 18 bermaksud:

"Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya)".

Tapi kita masih tidak memelihara mulut dari menuturkan sesuatu...mengutuk orang itu dan ini sesuka hati, memuji orang itu dan ini berlebihan dari realiti, menipu orang itu dan ini, menyebarkan fitnah kepada pihak itu dan ini, menjadi talam dua muka dan sebagainya....

Bila agaknya kita akan berjaya 'mengawal' mulut ini? Bila agaknya saya dan anda dapat menjaga diri agar berfikir sebelum berkata...sebagaimana kita berfikir sebelum buang?

Thursday, February 21, 2008

BIJAK HANYA PADA URUSAN DUNIA?


Ramai orang yang menyuruh kita agar menjadi orang yang bijak...

Rupa-rupanya yang dimaksudkan hanyalah bijak dalam urusan duniawi. Ok..saya setuju. Anda pun pasti setuju bahawa untuk hidup, kita perlu bijak. Tidak syak lagi.

Tapi...bagaimana pula dengan urusan selepas dunia ini nanti? Tidakkah kita juga perlu bijak untuk berjaya di akhirat nanti? Saya harap anda setuju...sebagaimana saya setuju dengan kata-kata anda 'kita perlu bijak di dunia'.

Atau...kita hendak melahirkan umat yang hanya bijak di dunia? Atau..hanya bijak dan berjaya di akhirat? Pasti saya dan anda akan terfikir hanya satu penyelesaian...

Bijak di dunia ...Bijak di akhirat...betul tak?

Tapi...apa maksud 'bijak' dalam urusan akhirat?

Mari kita fikirkan dulu...bijak...bijak!

Sunday, February 17, 2008

Berehat sejenak bersama Yusuf Islam (Cat Stevens)



Pasti ramai yang mengenali Yusuf Islam @ Cat Stevens yang telah memeluk Islam dan berdakwah mengembangkan Islam sejak tahun 1977. Itulah waktu kegemilangan beliau dalam dunia hiburan antarabangsa. Setelah memeluk Islam, beliau tidak meninggalkan terus bidang nyanyian malah menggunakannya sebagai satu cara beliau untuk menyampaikan mesej ke seluruh dunia.

pada tahun lepas (2007) beliau telah menerbitkan satu lagi album baru mengandungi lagu2 bermesej Islam dengan jodol An Other Cup. Mungkin ia tidak begitu popular di Malaysia. Di dalamnya ada lagu-lagu yang membawa makna amat mendalam dan memang memberi kesan jika dihayati...

Apa kata kita lihat bersama lirik salah satu lagunya seperti di bawah. Ia bertajuk 'In The End'. Untuk melihat lagu ini dipersembahkan secara 'live' di England, bolehlah copy n paste link di bawah:

http://www.youtube.com/watch?v=Fy_mytEQB-Q

In The End - Yusuf Islam

You can't bargain with the truth
'Cause whether you're right or you're wrong
We're gonna know what you've done
We're going to see where you belong - in the end

You can't bargain with the truth
Whether you are black or you're white
We're going to know who's right
We're going to see you in the light - in the end

O and every little thing you do
You'd better know it's coming back to you

You can't bargain with the truth
'Cause one day you're gonna die
And good's going high,
And evil's going down - in the end

You can't bargain with the truth
Whether you're old or young
We're going to see what you've done
There'll be nowhere else to run - in the end

You can't bargain with the truth
'Cause whether you're rich or you're poor
You're going to meet at the same door;
You're going to know the real score - in the end

And if you want to help your fellow man
You better start with what is in your hand

You can't bargain with the truth
'Cause whether you're right or you're wrong
We're going to know what you've done
We're going to see where you belong - in the end

You can't bargain with the truth;
'Cause if the world you chose
No further than your nose
Will be where the doors will close- in the end
You can't bargain with the truth
'Cause for those who were deceived
There'll be no reprieve
There'll be no time to believe - in the end

O and every little thing you do
You better know it's coming back to you

You can't bargain with the truth
'Cause one day you're gonna die
And good's going high,
And evil's going down - in the end

* liriknya cukup indah. Mendengar ia dilagukan lebih memberi penghayatan.

selamat mendengar...

Wednesday, February 13, 2008

Anak Yang Baik atau Anak Yang Soleh?

Maksud anak yang soleh atau solehah (perempuan) perlu dikemas kini kembali seiring dengan kelam kabut dan huru hara dunia masa kini.

Anak yang soleh adalah anak yang baik menurut neraca Islam.
Meninggalkan yang dilarang oleh Islam dan melakukan apa yang diwajibkan oleh Islam.

Menjaga hubungan dengan manusia apatah lagi hubungan dirinya dengan Tuhan.

Bermanfaat untuk ibu dan ayah di dunia dan juga setelah ibu bapa meninggal dunia..

TETAPI...
Jangan maksud ini hendak disalurkan kepada anak-anak yang mentaati ibu bapa tapi melanggar perintah Allah...

atau menjaga hubungan dengan manusia tapi lupa pada Tuhan yang menciptanya...

atau membantu ibu dan ayah di dunia tapi tidak mampu membantu mereka di akhirat...

berdisiplin dalam urusan dunia tapi tiada disiplin dalam menunaikan solat (contohnya)...

bersungguh-sungguh bersukan dan berakademik tapi buta Al-Quran dan syariat...

ikhlas dalam menghulur bantuan kepada yang memerlukan tapi diri sendiri tidak dibantu...

hebat keazaman dan tinggi cita-cita dunia, tapi lemah iman dan tiada perancangan untuk akhirat...

*semakin lama, semakin serabut memikirkannya. Marilah kita perbetulkan diri kita, saya, anda dan keluarga kita..jom !

Saturday, February 09, 2008

Sakit Sebagai Penghapus Dosa


Sakit yang pelbagai sering mengundang persoalan dalam hati seorang muslim atau muslimah..

Adakah sakit ini petanda Allah SWT bencikan kita? Adakah sakit ini sesuatu yang positif untuk diri pesakit?

Sememangnya kita insan lemah..sering berdosa sama ada kecil atau besar. Jangan sesekali diri kita merasai bahawa kita telah mengatasi segala dosa dan berada pada kedudukan yang tinggi...

Maka sakit itu datang dan pergi untuk kebaikan kita juga. Oleh itu Rasulullah SAW pernah mengingatkan kita bahawa segala sakit, kepayahan, kesulitan, malah sehinggakan terkena duri sekali pun..ia sebenarnya positif...ia menghapuskan dosa dan menaikkan kedudukan kita di dunia dan di akhirat nanti...

Walaupun kita tidak boleh meminta sakit, walaupun setelah sakit, Islam menyuruh kita berubat...

namun sakit itu sebenarnya sesuatu yang menguntungkan kita pada jangka masa yang panjang.

Sayangnya kita (umat akhir zaman) sering berfikir jangka pendek...sering menuntut sesuatu dengan gopoh..kurang memikirkan akibat jangka panjang..kurang memikirkan masa depan...

Semoga Allah SWT memberikan lebih hidayah kepada kita semua..

Monday, February 04, 2008

TILAWAH TANPA TILAWAH


Sedarkah kita perkataan Tilawah dalam Bahasa Arab membawa sekurang-kurangnya dua maksud utama?

Pertama, membawa maksud bacaan. Maka Tilawah Al-Quran maksudnya ialah bacaan Al-Quran.

Kedua, membawa maksud mengikuti. Maka Tilawah Al-Quran juga membawa maksud mengikuti ajaran Al-Quran.

Mungkinkah kita boleh katakan bahawa ramai orang (mungkin juga anda dan saya) selalu melakukan Tilawah (membaca) Al-Quran tetapi kurang pula Tilawah (mengikut ajaran) Al-Quran? Semoga Allah SWT mengampunkan saya, anda dan umat Islam yang seringkali Tilawah tetapi tidak Tilawah!

Mari kita bertilawah dengan sebenar-benar maksud TILAWAH.

Saturday, February 02, 2008

Kalau Tak Sempat Baca, Dengarlah Bacaan Orang Lain

Masih lagi menyentuh isu sibuk...

Kesibukan sebahagian masyarakat kadangkala menjadikan mereka tidak sempat membaca..bukannya tak sempat membaca suratkhabar atau novel malah artikel dalam laman web, tetapi tak sempat membaca AL-QURAN.

Alasan demi alasan yang diberikan mungkin benar mungkin tidak. Namun begitu, saya ingin mencadangkan kepada mereka yang sibuk itu agar janganlah tinggalkan terus hubungan anda dengan AL-QURAN.

Allah SWT telah memberitahu kita di dalam ayat-ayat awal surah al-Anfal bahawa antara sifat seorang mukmin ialah bagaimana dirinya akan memberi tindak balas apabila mendengar bacaan AL-QURAN.

Firman Allah SWT di dalam ayat no.2 surah al-Anfal yang bermaksud:

Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.

Maka pastikanlah dalam kereta atau di dalam pc atau laptop, anda menyimpan cd atau mp3 bacaan ayat-ayat suci AL-QURAN agar dapat anda dengar sesekali atau beberapa kali dalam sehari. Sekadar ingin memberikan tenaga kepada iman anda.

Sekali lagi saya ingatkan, kalau tak sempat baca, dengarlah bacaan AL-QURAN dari orang lain. Sekurang-kurangnya kita tidak terlalu JAUH dari AL-QURAN.

Thursday, January 31, 2008

KESIBUKAN BUKAN PENGHALANG MENUNTUT ILMU AGAMA

Jika anda sibuk, kenapa anda masih ada masa untuk melakukan seribu satu macam perkara sampingan dalam hidup?

Jika anda sibuk, kenapa anda masih ada masa untuk bersama keluarga, keluar bersiar-siar, membeli-belah, berjumpa rakan-rakan, mempromosi jualan, menghadiri jamuan demi jamuan dan sebagainya?

Sebenarnya kita tidak sibuk. Tetapi kita kerap kali menuturkan perkataan 'sibuk' apabila kita tidak sempat melaksanakan sesuatu perkara. Maka tiada alasan lain (selalunya) yang lebih baik daripada 'sibuk'.

Ada orang pernah berkata kepada saya bahawa sejak meninggalkan bangku persekolahan, dia tidak pernah belajar agama lagi secara formal. Adakah masyarakat kita sebegini sibuk?

Kesibukan sering menjadi penghalang kepada segelintir masyarakat dari menuntut ilmu agama secara formal atau tidak formal.

Sedangkan menuntut ilmu agama adalah satu perkara yang kita boleh lakukan dengan pelbagai cara dan teknik.

Saya hanya ingin memberi satu contoh, iaitu belajar agama dari laman web Islamik. Ada laman web dalam Bahasa Melayu dan ada dalam Bahasa Inggeris. cuba peruntukkan masa yang tetap sama ada seminggu sekali, seminggu dua kali, seminggu tiga kali atau beberapa minit dalam setiap hari..untuk membuka laman web Islamik yang tertentu agar bertemu dengan perkara baru tentang agama kita. Itulah tujuan menuntut ilmu agama. Antaranya ialah mendapat perkara baru yang dahulunya kita tidak tahu.

Begitu juga dengan melayari laman web sebegini secara KONSISTEN merupakan satu cara untuk melembutkan hati dan mengubat kelemahan iman (iman bertambah dan berkurang).

Perkara yang paling penting ialah...KONSISTEN dan ISTIQAMAH.

insya Allah, anda mampu melakukanya!

Sunday, January 27, 2008

E-BOOK BUKU 20 PERSOALAN ASAS TENTANG HADIS

Mungkin sudah ada yang tahu...mungkin juga ada yang belum tahu..

Bagi yang belum tahu, buku pertama saya iaitu '20 Persoalan Asas Tentang Hadis' telah pun diterbitkan pada tahun 2006. Salah seorang sahabat saya (yang juga merupakan penulis buku) telah sudi untuk menjadikan buku ini sebagai e-book agar ia mudah dibaca oleh pelayar-pelayar internet. Ribuan terima kasih kepada beliau.

Untuk anda, sudikanlah membacanya di laman web beliau iaitu:
www.hafizfirdaus.com

Buku itu berada dalam bahagian e-book.


Di dalam buku itu, saya cuba menghimpunkan 20 persoalan berkaitan hadis yang saya anggap sebagai perkara yang perlu diketahui oleh setiap muslim dan muslimah. Semoga ia menjadi manfaat untuk kita semua.

http://hafizfirdaus.com/ebook/20asashadis/

Friday, January 25, 2008

BERTERIMA KASIH KEPADA ISTERI

Khas untuk para suami...

Isteri perlu dihargai. Tugas mereka ibarat menguruskan semua perkara. Diri sendiri, suami, anak, ibu bapa mereka, keluarga, tempat kerja (bagi yang bekerja), urusan ibadat dengan Tuhannya, cita-cita, perancangan peribadi...hidup mereka selalunya mempunyai beban dua kali ganda daripada suami. Jika suami kurang menghargai, apa agaknya yang akan mereka simpan di dalam hati?

Rasulullah SAW amat menghargai isteri-isterinya. Sebaik-baik suami adalah yang paling baik terhadap isteri dan anak-anak. Bukan sekadar memberi nasihat, malah Rasulullah SAW memberikan contoh untuk ikutan para suami sepanjang zaman.

Sebagai suami, kita terkadang lupa dengan pengorbanan isteri. Mungkin terkadang bila kita mendengar lagu Nash 'Pada Syurga di Wajahmu' atau lagu Search 'Teguh', barulah kita terfikir tentang isteri.

Ego kita menutup mata hati kita daripada berterima kasih kepada mereka. Saya dan anda amat terhutang budi kepada mereka. Belajarlah berterima kasih kepada mereka terutama para isteri yang setia dan taat kepada suami.

Thursday, January 24, 2008

BERPANDANGAN JAUH...SEJAUH AKHIRAT

Islam sentiasa mengajar umatnya berpandangan jauh ke hadapan. Dengan tidak menafikan perlunya pandang ke belakang untuk mengambil pengajaran dan membuat pembetulan, Islam adalah ajaran yang penuh sarat dengan saranan agar umatnya terus memandang jauh ke hadapan.

Ayat-ayat Al-Quran dan hadith-hadith Rasulullah SAW penuh dengan isyarat dan saranan ke arah mengambil kira kesan perbuatan kita terhadap masa depan. Segala idea yang tersurat dan tersirat adalah untuk umat Islam berfikir panjang sebelum mengeluarkan pandangan atau melakukan sebarang tindakan.

Pandangan jauh itu bukan hanya sekadar di dunia, tetapi terus menjangkau ke alam akhirat. Begitu jauh pandangan seorang muslim. Hatinya sentiasa terdetik...apa agaknya kesan perbuatanku ini? Adakah ia menguntungkan diriku di akhirat nanti? Adakah ia merugikan diriku di akhirat nanti? Maka muslim berada dalam keadaan penuh sedar bahawa masa depannya perlu dijaga...bukan hanya di dunia, malah di akhirat sana!

Tuesday, January 22, 2008

BERSABAR TERHADAP KERENAH ORANG LAIN

Terkadang kita bertemu dengan segolongan manusia yang kita anggap sebagai kawan. Kawan yang memahami dan mengerti hasrat kita dan tujuan kita. Mereka bergaul dengan kita dalam keadaan telus dan ikhlas. Saling memberi dan menerima. Tetapi...masa berlalu dan seperti disebut oleh sebahagian sasterawan..'siang dan malam melakukan 'sesuatu' terhadap kita'.

Akhirnya mereka yang dianggap kawan telah mengubah tanggapan mereka terhadap kita. Kita tidak berubah. Mereka yang berubah. Mereka inginkan sesuatu yang lebih dari kita. Mereka lupa jasa kita walaupun kita tidak pernah lupa jasa mereka. Mereka merasakan bahawa kita yang memerlukan mereka sedangkan kita semua lengkap melengkapi.

Ubatnya ialah SABAR. Bersabarlah, itu adalah yang mampu kita lakukan. Bersabarlah, kita tidak akan rugi kalau sebahagian kecil dari 'kawan' kita berubah. Kita masih ada ramai lagi insan ikhlas yang sedia berkorban untuk kita. Hargailah mereka pula. Jangan nanti mereka pula yang merana kerana kita lupakan mereka.

- coretan hati 2.00pm

Saturday, January 19, 2008

Panduan Ulama Terdahulu Dalam Memelihara Kesahihan Hadith #1 - Bahagian akhir

SEKIRANYA ADA, AMBILLAH TAPI SEKIRANYA TIADA...
Setelah mencari, ditaqdirkan anda bertemu dengan kenyataan bahawa hadith yang satu itu adalah sahih, maka tenangkanlah diri anda dan cubalah beramal dengan memahaminya.
Tapi sekiranya hadith itu tidak sahih, tidak diketahui oleh orang berilmu, tiada dalam mana-mana buku yang mengumpulkan hadith sahih, tidak pernah dinilai sahih oleh mana-mana ahli hadith, maka tinggalkanlah ia. Tinggalkan sahaja hadith itu.
Sekiranya hadith itu berada dalam status ’tidak ditemui’, tinggalkanlah juga ia kerana kita masih belum pasti adakah ia sahih atau tidak. Tinggalkanlah ia sekejap dalam simpanan. Ada masa, teruskan mencari. Mungkin ada yang akan menjumpainya selain anda.
Setelah anda membaca huraian saya terhadap kata-kata Yazid Ibn Abi Habib, anda boleh membuat keputusan, adakah nasihat beliau masih relevan untuk kita pada zaman ini di negara ini? Wallahu a’lam.

* (bagi saya, nasihat ini amat sesuai dipraktikkan sebagai langkah segera untuk memulihkan kepekaan masyarakat terhadap hadith-hadith Rasulullah SAW. Ini pendapat saya, anda bagaimana?)

Wednesday, January 16, 2008

Panduan Ulama Terdahulu Dalam Memelihara Kesahihan Hadith #1 - Bahagian 2

APABILA ENGKAU MENDENGAR SATU HADITH...
Selalunya kita akan mendengar hadith (walaupun hanya satu!) melalui radio atau kaca tv. Kita juga akan mendengar hadith pada ceramah-ceramah atau kuliah-kuliah agama bahkan mungkin pada ceramah pilihanraya. Begitu juga kita seringkali terjumpa dengan hadith di dalam majalah, surat khabar, buku, poster, ukiran di dinding, internet, kain rentang, diari, botol ubat, makanan atau minuman dan sebagainya. Yazid Ibn Abi Habib seakan menyuruh kita agar tidak membiarkan sahaja hadith itu tanpa difikirkan atau dikaji, sahih, dhaif atau palsu? Beliau ingin mendidik jiwa umat Islam agar peka dengan maklumat tentang agama mereka, bukan hanya melihat dan membiarkannya tanpa dipedulikan. Kepekaan ini jarang kita temui termasuklah dalam kalangan penuntut ilmu agama sendiri!
Pernah satu petang Jumaat pada tahun 2004 saya didatangi oleh salah seorang pelajar sekolah tempat saya mengajar. Dia datang membawa buku nota kecil dan menunjukkan kepada saya beberapa hadith yang telah dicatatkannya semasa khutbah Jumaat di masjid! Dia ingin tahu, adakah hadith-hadith itu sahih atau tidak. Adakah ini berlaku dalam kalangan masyarakat kita pada hari ini? Ia akan berlaku jika kepekaan dalam diri itu wujud. Nasihat Yazid Ibn Abi Habib amat mendalam. Sanggupkah kita menerima nasihat ini?

CARILAH IA SEPERTI MENCARI BARANG YANG HILANG...
Kalau anda kehilangan sesuatu yang berharga, pasti anda akan ke sana dan ke sini dalam keadaan gelisah dan resah. Ada yang berjumpa bomoh dan dukun. Ada yang meminta masjid melakukan solat hajat berjemaah. Ada yang berdoa siang dan malam agar Allah SWT memberi petunjuk dan mengembalikan barang yang hilang itu.
Inilah yang ingin ditanam oleh Yazid Ibn Abi Habib dalam jiwa masyarakat Islam pada zamannya. Kalau bertemu dengan satu...walaupun satu hadith, carilah ia seperti mencari barang yang hilang. Pergilah bertanya kepada yang tahu. Bukalah alat carian yang anda mampu. Gunakanlah segala jalan yang dirasakan boleh membantu kita mengetahui dari manakah asal-usul hadith itu. Carilah dengan bersungguh-sungguh dan bukan dengan sekadar sambil lewa.
........................(Bersambung)

Tuesday, January 15, 2008

Panduan Ulama Terdahulu Dalam Memelihara Kesahihan Hadith #1

CARILAH IA SEPERTI MENCARI SESUATU YANG HILANG

Sesekali terlintas di hati kita atau terdengar di telinga kita rungutan tentang sukarnya mengenal pasti hadith sama ada ia sahih atau tidak. Kepada mereka yang pernah merungut dan mengeluh tentang perkara ini, saya ingin tegaskan...ya! Sememangnya ia adalah sesuatu yang sukar dan hanya boleh dilakukan oleh pakar-pakar hadith yang layak. Jadi? Apa penyelesaiannya? Takkanlah tak ada apa yang boleh kita lakukan?
Mungkin ada. Mari kita lihat bersama satu ungkapan yang pernah disebut oleh salah seorang tokoh tabi’in (mereka yang sempat bertemu dengan para sahabat tetapi tidak sempat bertemu dengan Rasulullah SAW) yang bernama Yazid Ibn Abi Habib. Beliau pernah memberi nasihat kepada umat Islam di zamannya dengan katanya: ’Apabila engkau mendengar satu hadith, carilah ia seperti mana kamu mencari sesuatu yang hilang. Jika hadith itu dikenali orang, terimalah. Tapi sekiranya ia tidak dikenali, tinggalkanlah ia’. Kata-katanya lebih ringkas tetapi itulah yang dapat saya terjemahkan untuk sama-sama kita fahami. Sumber: Risalah Abu Daud Ila Ahl Makkah karya Abu Daud (275H); Al-Jarh Wa al-Ta’dil karya Ibn Abi Hatim.

UNGKAPAN YANG MENARIK!
Entah kenapa saya amat tertarik dengan kata-kata ini! Bagi saya ia menarik kerana ia datang daripada seorang ahli hadith terkemuka dalam kalangan tabi’in yang tahu keadaan yang dihadapi oleh masyarakat di zamannya. Seolah-olah nasihat ini ditujukan kepada mereka yang masih tercari-cari kaedah sebenar mengenal hadith antara yang sahih atau tidak. Beliau tidak menyuruh semua masyarakat agar belajar sehingga mencapai tahap beliau sendiri yang merupakan antara tokoh hadith terbilang. Ia akan memakan masa yang panjang.
Bolehkah nasihat ini digunakan pada zaman kita sekarang? Bolehkah nasihat ini dipakai di Malaysia dalam keadaan ilmu hadith masih belum benar-benar berkembang? Mari kita lihat satu persatu nasihat beliau ini. Mungkin ia berguna untuk saya dan anda dan mungkin juga ia tidak lagi relevan untuk zaman kita. Pilihan di tangan anda!
...............Bersambung.

Monday, January 14, 2008

BULAN MUHARRAM, BULAN BERPUASA

Selalu orang cakap 'Bulan Ramadhan Bulan Berpuasa'. Memang betul, puasa wajib.

Kini mari kita ucapkan 'Bulan Muharram Bulan Berpuasa' dengan makna puasa sunat.

Ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW (Riwayat Muslim dalam 'Sahih Muslim') yang bermaksud:

"Puasa yang paling baik selepas puasa Ramadhan ialah puasa pada bulan Allah yang kamu panggil sebagai al-Muharram".

* Puasa sunat ni bagi sebahagian manusia, senang diucap tapi susah dibuat. Bagi sebahagian yang lain, senang dibuat, sukar untuk dihayati. Bersama-samalah kita mencuba sedaya upaya agar ia meninggalkan kesan di dalam hati.

Friday, January 11, 2008

TAHUN BARU...BANYAK MASALAH BARU

Tahun baru hijrah datang lagi...

Masih banyak azam tahun-tahun lalu belum terlaksana...

Ditambah pula dengan azam tahun ini.

Masih banyak dosa tahun-tahun lalu belum di'taubat'kan...

Ditambah pula dengan dosa tahun ini.

Masih banyak buku-buku yang belum dibaca pada tahun-tahun yang lalu...

Ditambah pula dengan buku cetakan baru tahun ini.

Masih banyak kerja tahun lalu yang belum selesai...

Ditambah pula dengan kerja baru pada tahun baru.

Masih banyak kewajipan yang tertunggak pada tahun lalu...

Ditambah pula dengan kewajipan pada tahun ini.

Apa yang penting..perbaharuilah iman, tekad dan amalan. Kerana dengan memperbaharuinya, kita akan berjaya menyelesaikan masalah dulu dan juga masalah yang baru. Insya Allah.

Wednesday, January 09, 2008

PROGRAM MALAM INI - WACANA ILMU

Diambil daripada laman web pengajur:

Tugas Ahli Hadith Moden
Wacana Ilmiah

8:15 pm, Rabu, 9 Januari 2008

Pertubuhan Kebajikan Al-Nidaa’ Malaysia,
17A, Lorong Datuk Sulaiman 7, Taman Tun Dr Ismail,
60000 Kuala Lumpur

Kita sering mendengar istilah ‘ahli hadith’ atau ‘muhaddith’. Sejauh mana istilah ini berkembang sejak ia mula muncul pada zaman awal Islam? Adakah ‘ahli hadith’ pada zaman moden ini sama kedudukannya, sifat-sifatnya, tugasnya, kemampuannya dan sebagainya dengan ‘ahli hadith’ pada zaman kegemilangan ilmu hadith pada sekitar kurun kedua, ketiga dan keempat Hijrah? Jika sama, apa buktinya? Jika tidak, apa pula tugas dan cabaran semasa yang perlu dipikul oleh ‘ahli hadith’ moden?

Pembentangan ini akan tertumpu kepada mencari jawapan terhadap persoalan-persoalan di atas dan juga persoalan lain yang berkaitan. Ia akan membicarakan tentang:
Pengenalan kepada ‘ahli hadith’
Tugas ‘ahli hadith’ silam terutama pada kurun kegemilangan hadith
Mengenal perbezaan antara ahli hadith moden dan silam
Tugas ‘ahli hadith’ moden
Semoga pembentangan ini akan dapat membuka jalan ke arah memahami cabaran semasa terhadap kajian hadith. Dalam masa yang sama, ia bertujuan untuk kita mengetahui sejauh mana kehebatan ahli hadith sepanjang zaman dan sejauh mana ia memberi kesan kepada dakwah Islam. Insha Allah.
Profil Pembentang:



Ustaz Adlan Bin Abdul Aziz

Memperolehi Ijazah Bahasa Arab dari Universiti Al Bayt, Jordan. Kini sedang menuntut di Universiti Malaya untuk mendapatkan Ijazah Sarjana pengkhususan Bahasa Arab.

Merupakan guru di SMK Segambut Jaya, Kuala Lumpur. Antara buku yang diterbitkan termasuk 20 Persoalan Asas Tentang Hadith dan Doa & Zikir Rasulullah SAW selepas Solat.

Beberapa artikel disiarkan dalam Majalah I terbitan Karangkraf dan al-ahkam.net, di mana beliau seorang moderator.



Tempat Terhad
Sila Hubungi:
03-77106900 atau 012-2820244
Dewasa: RM 10, Pelajar: RM 5
** Koleksi CD dan DVD dari tajuk-tajuk wacana sebelum ini turut dijual **

Sunday, January 06, 2008

PANDUAN SURAH AL-KAHFI TENTANG PEMAKANAN SIHAT

Malam tadi ana berbual panjang dengan salah seorang sahabat yang dikasihi iaitu Presiden Institut al-Qayyim. Kalau nak kenal, bolehlah buka laman web Institut al-Qayyim - http://al-qayyim.dtdns.net/v01/ , pasti anda akan dapati banyak info berguna tentang Islam.

Apa yang penting, antara topik perbualan kami ialah satu ayat daripada Surah al-Kahfi. Ashabul Kahfi adalah pemuda-pemuda yang lari menyelamatkan iman dan jiwa mereka daripada ancaman pemimpin yang kufur pada satu masa dahulu. Setelah mereka bersembunyi di dalam sebuah gua, mereka telah ditidurkan oleh Allah SWT selama beratus tahun dan akhirnya Allah SWT mentaqdirkan mereka bangun daripada tidur yang panjang. Itu adalah sinopsis kisah Ahsabul Kahfi.

Apa yang menarik disebut oleh Presiden IQ ialah: kata-kata salah seorang daripada pemuda-pemuda itu ketika bangun dari tidur. Kata-kata beliau telah direkodkan di dalam Al-Quran dalam ayat no. 19:

Maksudnya:
"Dan demikianlah pula Kami bangkitkan mereka (dari tidurnya), supaya mereka bertanya-tanyaan sesama sendiri. Salah seorang di antaranya bertanya: "Berapa lama kamu tidur?" (sebahagian dari) mereka menjawab: "Kita telah tidur selama sehari atau sebahagian dari sehari". (Sebahagian lagi dari) mereka berkata: "Tuhan kamu lebih mengetahui tentang lamanya kamu tidur; sekarang utuslah salah seorang dari kamu, membawa wang perak kamu ini ke bandar; kemudian biarlah dia mencari dan memilih mana-mana jenis makanan yang lebih baik lagi halal (yang dijual di situ); kemudian hendaklah ia membawa untuk kamu sedikit habuan daripadanya; dan hendaklah ia berlemah-lembut dengan bersungguh-sungguh (semasa di bandar); dan janganlah dia melakukan sesuatu yang menyebabkan sesiapapun menyedari akan hal kamu".
(Terjemahan diambil daripada laman web http://www.iiu.edu.my/deed/quran/malay/)

Lihatlah di dalam ayat itu terdapat perkataan 'makanan yang lebih baik' atau yang paling baik. Bukankah di dalam ayat seringkas ini terdapat panduan terhadap pemakanan yang sihat? Subhanallah, kita sebagai umat Islam kadangkala terlepas pandang panduan yang seindah ini dalam ayat yang seringkas ini.

sama-samalah kita 'renungkan' Al-Quran dan bukan setakat 'merenung' zahirnya sahaja.

Friday, January 04, 2008

DUNIA YANG MELETIHKAN

Dunia ni memang meletihkan. Betul tak?

Kalau seorang pelajar yang belajar untuk berjaya dalam pengajiannya...letih.

Seorang pemandu yang memandu pelbagai jenis kenderaan...letih.

Seorang peniaga yang sentiasa bekerja untuk menjamin keuntungan...letih.

Seorang atlit yang bersukan dalam pelbagai jenis sukan..letih.

Seorang ahli fikir atau ahli politik...letih.

Seorang yang menari dan menyanyi untuk menghiburkan diri dan orang lain...letih.

Seorang manusia yang masih hidup dan perlu beribadah kepada Tuhannya...letih.

Memang dunia ini meletihkan. Tugas kita ialah untuk memastikan beberapa perkara berkaitan 'letih':

1- Letih yang berbaloi dan memberikan pulangan positif sama ada di dunia atau di akhirat.

2- Letih yang disusuli dengan rehat yang mencukupi untuk kita terus berusaha.

3- Letih yang dapat memberikan kepuasan kepada diri dan orang lain.

Itulah dunia ini. Pastikan kita 'letih' kerana perkara yang positif, bukan 'letih' yang merugikan dunia dan menghilangkan nikmat akhirat. Bukan juga letih yang akhirnya membawa 'letih' yang baru di akhirat. Bukan juga 'letih' yang mengganggu dan menyusahkan hidup orang lain.

coretan semasa 'letih' selepas menulis di komputer.