Tuesday, February 27, 2007

SIAPAKAH SYIAH?

Syi‘ah ialah golongan yang mendakwa Sayyidina ‘Ali lebih utama daripada sahabat-sahabat lain dan mengkafirkan sahabat-sahabat yang lain. Inilah perkara pokok yang membezakan golongan Syi‘ah daripada golongan-golongan Islam yang lain. Terdapat beberapa banyak aliran di dalam Syi‘ah itu sendiri yang pada dasarnya masing-masing mempunyai konsep yang tersebut di atas. Tetapi aliran-aliran itu berbeza antara satu dengan yang lain kerana wujudnya fahaman-fahaman atau ajaran-ajaran yang saling berbeza. Tetapi tumpuan yang utama akan diberikan kepada Syi‘ah Imamiyyah Ithna ‘Asyariyyah* kerana kekeliruan yang timbul di dalam masyarakat sekarang ini ialah berhubung dengan Syi‘ah Imamiyyah Ithna ‘Asyariyyah. Syi‘ah inilah yang dipertikaikan oleh para ‘ulama’ di setiap tempat pada masa ini kerana ramainya bilangan mereka dan kedudukan mereka yang semakin popular terutama selepas tercetusnya revolusi di Iran.

SYI‘AH IMAMIYYAH ITHNA ‘ASYARIYYAH
Syi‘ah Imamiyyah Ithna ‘Asyariyyah ialah Syi‘ah yang mempercayai keimaman dua belas orang imam secara berturut seperti di bawah ini:-
1. ‘Ali bin Abi Talib (wafat 40 H)
2. Hasan bin ‘Ali (wafat 50 H)
3. Husain bin ‘Ali (wafat 61 H)
4. ‘Ali Zainal ‘Abidin bin Husain (wafat 94 H)
5. Muhammad al-Baqir bin ‘Ali Zainal ‘Abidin (wafat 117 H)
6. Ja‘far as-Sadiq bin Muhammad al-Baqir (wafat 148 H)
7. Musa al-Kazim bin Ja‘far as-Sadiq (wafat 183 H)
8. ‘Ali ar-Ridha bin Musa Kazim (wafat 202 H)
9. Muhammad al-Jawaad bin ‘Ali ar-Ridha (wafat 220 H)
10. ‘Ali bin Muhammad al-Jawaad (wafat 254 H)
11. Hasan bin ‘Ali al-‘Askari (wafat 260 H)
12. Muhammad bin Hasan al-‘Askari al-Mahdi (ghaib 260 H)

Mereka percaya Imam Kedua Belas telah ghaib dan ia akan muncul kembali ke dalam masyarakat setelah dunia ini dipenuhi dengan kezaliman dan kekacauan. Mereka juga percaya kepada al-bada’, ar-raj‘ah, tahrif al-Qur’an, (akan dijelaskan secara terperinci di dalam siri-siri selepas ini ), kemurtadan para sahabat termasuk Sayyidina Abu Bakar, ‘Umar, ‘Utsman r.a. dan sahabat-sahabat besar Rasulullah s.a.w. yang lain, ‘ismah para imam dan lain-lain. Biasa juga Syi‘ah ini disebut sebagai Syi‘ah Imamiyyah atau Ja‘fariyyah sahaja. Syi‘ah ini juga dikenali sebagai Rafidhah kerana fahaman-fahaman dan ‘aqidah-‘aqidahnya yang melampau.
Di Malaysia kumpulan Syi‘ah ini dipercayai mula bertapak selepas kejayaan Revolusi Iran pada tahun 1979. Pengaruh ajaran dan fahaman kumpulan ini menular ke negara ini melalui bahan-bahan bacaan dan orang perseorangan sama ada yang berkunjung ke Iran atau yang datang dari Iran. Fahaman Syi‘ah ini bertambah meruncing apabila beberapa orang pensyarah universiti tempatan telah memainkan peranan untuk menyebarkan fahaman Syi‘ah Ja'fariyah secara serius kepada para pelajar di Institut Pengajian Tinggi. Pengaruh fahaman Syi‘ah ini kian menular ke negeri-negeri di Semenanjung Malaysia, antaranya Kelantan, Johor, Perak, Wilayah Persekutuan dan Selangor.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam dalam keputusannya yang bertarikh 5 Mei 1996 telah mewartakan kesesatan Syi‘ah dan mengharamkannya dari diamalkan di Malaysia.

Antara negeri yang telah mewarta dan mengharamkan Syi‘ah ;
Selangor : 19 Januari 1998 W.Persekutuan : 3 April 1997
Terengganu : 25 September 1997 P. Pinang : 16 Januari 1997
N.Sembilan : 12 Mac 1998 Kelantan : September 1987

sumber: www.darulkautsar.com

SYIAH - MUSUH DALAM SELIMUT

Istilah musuh dalam selimut amat sesuai dengan fahaman Syiah yang kelihatan semakin menular dalam sebahagian masyarakat Islam di negara kita.

Ia musuh dalam selimut...kerana ia kelihatan menyeru ke arah melaksanakan tuntutan Al-Quran, namun Al-Quran yang mana? Kerana tercatat dalam buku-buku Syiah bahawa Al-Quran yang ada kini tidak lengkap dan naskhah lengkap hanya ada pada Imam Mahdi.

Ia musuh dalam selimut...kerana ia kelihatan seperti memuliakan Rasulullah SAW dan ahli keluarganya...namun kenapa pula Syiah berulang kali menghina dan melaknat sebahagian besar sahabat-sahabat Rasulullah SAW ? Bukankah mereka generasi yang dididik oleh Rasulullah SAW? Rasulullah SAW tidak pandai mendidik atau memilih sahabat?

Ia musuh dalam selimut...kerana ia sekarang menyeru ke arah Jihad menentang Amerika, Israel dan musuh-musuh Islam...namun begitu, Syiah berulang kali menyatakan bahawa mereka juga akan berjihad menentang Sunni (Ahl Sunnah wa al-Jamaa'ah)....adakah Sunni sama seperti musuh-musuh Islam yang lain?

Ia musuh dalam selimut...kerana ia mengajak orang ke arah memuliakan ahli keluarga Rasulullah SAW..namun adakah memuliakan itu sampai ke tahap mengangkat mereka sehingga mempunyai sifat-sifat ketuhanan? Imam-imam mereka (bermula daripada Ali Ibn Abi Talib R.A. sehingga imam Mahdi) dikatakan oleh pemimpin mereka bahawa mereka maksum dan lebih tinggi daripada Nabi, Rasul dan malaikat. Inikah cara memuliakan ahli keluarga Rasulullah SAW?

Ia musuh dalam selimut...kerana ia menyeru ke arah beramal dengan sunnah dan hadith...namun begitu, Syiah menolak hadith-hadith yang diriwayatkan oleh Ahl Sunnah dan hanya menerima hadith daripada periwayat-periwayat Syiah...hadith manakah yang mereka maksudkan untuk kita beramal?

Ia musuh dalam selimut...kerana di dalam perhimpunan bersama Ahl Sunnah, Syiah menyatakan bahawa mereka bersaudara dengan semua Ahl Sunnah..namun begitu, penyeksaan dan pembunuhan yang mereka lakukan di Iran dan Iraq terhadap Ahl Sunnah...adakah itu cara mereka bersaudara dengan kita?

Ia musuh dalam selimut...kerana ia menyeru ke arah akhlak yang mulia...namun begitu..kenapa mereka menghalalkan nikah mut'ah sehingga ke tahap yang begitu merendahkan martabat wanita?

Ia memang musuh dalam selimut...kerana ramai yang masih menyangka Syiah adalah salah satu mazhab...sama sahaja dengan mazhab Ahl Sunnah yang lain....Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali....

Inilah masalahnya bila musuh kita berada dalam selimut...dan kita hanya melihat di luar selimut tanpa membuka di dalamnya....

rujuk penerangan lanjut tentang Syiah dalam www.darulkautsar.com - semoga Allah SWT memberikan ganjaran dan keteguhan kepada sahabat-sahabat di darulkautsar....

Monday, February 26, 2007

MEMBENTUK PEMIKIRAN MUSLIM SATU KEPERLUAN SEMASA

Melihatkan pelbagai gelagat muslim dan muslimah masa kini membuatkan saya terfikir tentang keperluan membentuk kembali pemikiran muslim. Pembentukan ini perlu diasaskan dengan asas-asas kukuh yang diserap daripada ayat-ayat Al-Quran (yang difahami) dan hadith-hadith sahih (yang juga difahami dengan baik).
Sebagai contoh, asas 'dosa dan pahala' di dalam Islam sudah dilihat jarang dihayati malah jarang diperkatakan dengan serius dalam kalangan orang-orang Islam masa kini. Sedangkan konsep inilah yang mampu mendorong ke arah kebaikan dan menghalang daripada terjebak dalam kejahatan.
Begitu juga asas yang berkaitan tentang 'keperluan ilmu dalam ibadah' juga perlu dihayati kembali dalam pemikiran masyarakat Islam agar mereka tidak lagi beribadah dalam bentuk 'ikut-ikutan'.
Asas berkaitan 'halal dan haram' juga perlu dihayati pada masa kini di mana terdapat banyak jalan-jalan 'mencipta' wang dan harta yang masih belum terang dan nyata adakah ia halal atau tidak. Ini penting agar wang yang akan digunakan nanti mempunyai nilai keberkatan dan bukannya wang yang bakal membawa dosa demi dosa di akhirat nanti.
Sebagai seorang muslim dan muslimah yang menuturkan dua kalimah syahadah, sepatutnya dan seharusnya mereka tidak menjadi manusia yang mempunyai sifat '2 alam' atau 'double standard' - sekejap mentaati Allah dan sekejap lagi pula meninggalkan perintah Allah.
Semoga Allah SWT memberikan kita keteguhan dalam menerapkan Islam dalam seluruh kehidupan.

Thursday, February 22, 2007

Kuliah Terkini

Disebabkan kesibukan, saya tidak dapat mengiklankan kuliah-kuliah yang telah lalu. Apa yang ada ialah 2 kuliah yang akan datang dalam bulan februari ini iaitu:

1- 27/2 - Kuliah Syamaail Muhammadiyyah (hadith2 sifat dan peribadi Rasulullah SAW) - Surau al-Naim, Seksyen 5, Wangsa Maju - selepas solat maghrib

2- 28/2- Kuliah '20 Persoalan Asas Tentang Hadis' - kedai My Little Khalifah Shop, Taman Permata, Ampang - pukul 8.30 mlm

SETIAP ORANG ADALAH PENDAKWAH!

Di sini saya nukilkan sebuah tulisan daripada salah seorang pendakwah terkenal di dunia arab dan Islam masa kini iaitu Dr. Salman Ibn Fahd al-Audah. Artikel ini dan lain-lain artikel serta buku beliau boleh dilihat di laman webnya iaitu www.islamtoday.com .

tajuk artikel ini adalah tentang perlunya setiap orang berdakwah dalam hidup...

selamat membaca...

Dr. Salman al-Audah:

Calling to Allah was the essential duty of all the Prophets (peace be upon them). In the Qur’ân, Allah gives Prophet Muhammad (peace be upon him) the following command: “Say: This is my way; I call to Allah upon clear knowledge, I and those who follow me. Glory be to Allah! And I am not of those who engage in polytheism.” [Sûrah Yûsuf: 108] The Prophet (peace be upon him) carried out this duty throughout his life. It was then taken up by his Companions and those who followed after them. The Muslims have been carrying this duty out ever since. Calling people to Allah is an activity that is open to all Muslims. It is not restricted to any group of people. It is not some exclusive discipline that can only be practiced within a narrow conceptual framework. It is a general volunteer enterprise that can be carried out by all Muslims in all walks of life. They can call people to Allah in in the context of all their lawful pursuits. It is a duty that should be carried out even by those Muslims who regard themselves as sinners. All people are sinners. We are all human, and we all make mistakes. If every sinner refrained from exhorting others to righteousness, then who would exhort others to righteousness after the Prophet (peace be upon him)? The Prophet (peace be upon him) said: “All the descendents of Adam are prone to err, and the best of those who err are those who are penitent.” [Sunan Abî Dâwûd] Calling people to Allah is a duty that has been voluntarily carried out throughout the ages not only by preachers, scholars, and reformers, but by all those who care about Islam and the Muslims, and who long for Islam to spread. Today, these efforts can also be seen in people’s efforts for the upliftment and reform of society. There is no specialist cadre or social caste with an exclusive jurisdiction over Islamic work. A person who gives good advice to others is a caller to Islam. A person who provides social services is a caller to Islam. A person engaged in humanitarian work is a caller to Islam. The same can be said for a person who does charitable work, or who supports reforms, or who works for social justice, or who seeks to dispel misinformation and misunderstandings. Indeed, even someone who merely provides people with lawful alternatives to their sinful deeds is someone engaged in calling to Allah. This is because the person to whom you wish to present Islam needs a conducive environment to make it easy for him to accept what he is being called to. Therefore, any effort we make to bring people to betterment or to take them away from wrongdoing is a step towards calling them to Allah. Such acts are virtuous and charitable, and we are enjoined to be charitable to others. The Prophet (peace be upon him) said: “Every greeting of peace is charity. Every step taken to prayer is charity. Every reconciliation made between two people is charity. Carrying a man’s burden for him is charity. Removing an obstruction from the road is charity.” He also said: “The smile that you show to your brother is an act of charity.” Indeed, the Prophet (peace be upon him) even said: “The intimacy that you have with your wife is charity.” The Companions were surprised by this and asked: “One of us fulfills his desires and receives blessings for it?” The Prophet (peace be upon him) answered: “Consider, if he fulfilled his desire through unlawful means, would he not incur sin? Likewise, if he fulfills it through lawful means, he will attain blessings.”

Thursday, February 08, 2007

MEWUJUDKAN PERPUSTAKAAN ISLAM KECIL DI DALAM RUMAH

seeloknya setiap keluarga muslim mewujudkan satu perpustakaan kecil dalam rumahnya agar budaya ilmu dapat disemai sesama ahli keluarga. Berikut adalah buku-buku cadangan untuk diletak di dalam perpustakaan mini tersebut:

1- Al-Quran berserta terjemahannya seperti Tafsir Pimpinan al-Rahman dan juga tafsir terjemahan daripada Kerajaan Arab Saudi (warna coklat dan biru) dan boleh juga digunakan terjemahan Bahasa Inggeris iaitu terjemahan Dr. Taqiyuddin al-Hilali.

2- Satu buku tentang tafsir Al-Quran yang lebih lanjut melebihi terjemahan di atas seperti Tafsir Ibn Kathir yang telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

3- Buku hadith utama seperti - Ringkasan Sahih al-Bukhari, Ringkasan Sahih Muslim, Riyadhussolihin karya al-Nawawi.

4- Buku-buku lain yang lebih nipis dan berkaitan tajuk-tajuk Islam. namun begitu perlulah ditanya kepada orang yang berilmu adakah buku itu sesuai atau tidak.

kewujudan perpustakaan Islam mini sebegini akan memudahkan kita untuk merujuk kepadanya ketika kita berada di rumah. perpustakaan ini juga boleh mewujudkan suasana ilmu dalam rumah. ia juga boleh dijadikan sumber utk berbincang sama ada formal atau tidak sesama ahli keluarga.

ingat, Islam ditegakkan di atas dasar ilmu, ke mana kita ingin pergi kalau sekiranya kita tidak ada ilmu tentang Islam?

Wednesday, February 07, 2007

PANDUAN RINGKAS SEKIRANYA ANDA TERJUMPA SEBUAH HADITH

JIKA ANDA TERJUMPA SEBUAH HADITH…

1- Pastikan siapakah yang meriwayatkan hadith itu. Cara yang paling mudah ialah bertanya kepada orang yang berilmu tentang hadith. Cara lain ialah dengan anda sendiri mencarinya dalam buku-buku hadith. Ini kerana…

2- Anda perlu mengetahui kesahihan hadith. Untuk mengetahui kesahihan hadith, kebiasaannya kita perlu mengetahui sumber asal hadith tersebut. Cara mudah untuk mengetahui kesahihan sesebuah hadith ialah dengan bertanya kepada orang yang mengetahui. Jika anda mampu, bolehlah mengkaji pendapat ulama terdahulu dan masa kini.

3- Jika hadith itu dhaif, maka ia diragui sama ada benar-benar datang dari Rasulullah SAW atau tidak. Hadith sebegini tidak boleh disebutkan sebagai ‘hadith sahih’ atau ‘sabda Rasulullah SAW’ kerana kita tidak pasti. Semua ulama hadith menyatakan bahawa hadith dhaif tidak boleh digunakan dalam persoalan hukum dan aqidah.

4- Jika hadith itu palsu, maka ia langsung tidak boleh dikaitkan dengan diri Rasulullah SAW. Sekiranya maksudnya tidak menyalahi syariat, maka gunakanlah ia tetapi bukan sebagai hadith tetapi sebagai kata-kata hikmah.

5- Jika hadith itu sahih, maka ia bolehlah diceritakan kembali atau ditulis sebagai sebuah ‘hadith Rasulullah SAW’ atau ‘sabda Nabi’.

6- Jika hadith itu mengandungi sesuatu hukum atau saranan, maka pelajarilah maksud hadith tersebut daripada ahli ilmu agar kita tidak tersalah faham lantas tersalah pula dalam beramal.

7- Sebarkanlah hadith itu kepada orang lain agar kita tergolong dalam kalangan orang yang menyampaikan dan menyebarkan hadith Rasulullah SAW.

Selamat mencuba!

Tuesday, January 09, 2007

Tanggungjawab Terhadap Mangsa Bencana

Apabila berlaku sesuatu bencana alam yang telah ditentukan oleh Allah, respon yang sama masih kedengaran – ini bala daripada Allah untuk kita. Kita asyik melihat sudut ‘bala’ lebih daripada kita melihat ini sebagai satu ‘peringatan’ atau sebagai satu ‘ketentuan’ daripada Allah.

Memang hidup kita tak dapat lari daripada kegembiraan dan kesedihan, nikmat dan musibah, suka dan duka.

Namun apa yang lebih perlu ialah – sikap kita untuk membantu saudara-saudara kita yang terlibat dengan bencana. Tak kiralah sama ada mereka saudara seagama kita atau berlainan agama, kita perlu bersegera membantu mereka.

Janganlah suka menyebut ‘padan muka, inilah bala Allah’. Sepatutnya kita bersegera dalam menghulurkan bantuan. Bukankah kita orang Islam yang sepatutnya memberikan ketenteraman dan bantuan kepada orang lain?

Mari kita sama-sama membantu sama ada kewangan atau sebagainya bagi meringankan beban orang-orang yang terlibat dengan bencana.

Friday, December 22, 2006

ISU AURAT - JANGAN HANYA MENGKRITIK

Satu fakta yang diakui dan dapat dilihat oleh kita semua ialah – terlalu ramai lelaki dan wanita yang tidak menutup aurat dengan sempurna. Maka apa yang kita ingin lakukan?
Ada diantara kita yang hanya merungut. Ada pula yang mengutuk golongan itu. Ada yang menegur dengan kasar. Ada yang menegur dengan cara ‘slow-talk’. Ada yang menegur secara bertulis.
Nasihat saya, cukuplah merungut dan mengkritik. Apalah hasil dan faedahnya sekiranya rungutan dan kritikan itu tidak dapat diubah kepada nasihat dan teguran?
Bagi yang menegur pula, jangan mulakan dengan cara yang kasar kerana Islam tidak menyuruh kita berkasar dengan semua manusia. Tegurlah dengan cara yang terbaik pada waktu yang terbaik.
Bagi yang menegur secara bertulis, pastikan tulisan kita sampai kepada golongan yang masih tidak menutup aurat. (harapnya tulisan saya ini dapat sampai kepada mereka). Kita mesti menyatakan bahawa aurat itu wajib dan kita mesti juga menyampaikan maklumat ini dengan baik dan tersusun kepada mereka.
Pertama, ajar mereka bahawa perintah menutup aurat adalah perintah yang ada di dalam Al-Quran dan hadith sahih.
Kedua, ajar kepada mereka bagaimana menutup aurat yang sebenar. Jangan asyik menyuruh tanpa mengajar. Terdapat sebilangan lelaki dan wanita yang tidak menutup aurat hanya kerana mereka tidak tahu cara sebenar. Bantulah mereka untuk taat kepada Allah SWT.
Ketiga, cuba sentuh hati mereka dengan menggambarkan bagaimana sikap kita ketika menerima sesuatu perintah Allah SWT. Contohnya, kenapa kita solat 5 waktu? Kerana ia perintah Allah SWT. Kenapa kita puasa Ramadhan? Kerana ia perintah Allah SWT. Kenapa kita menutup aurat? Juga jawapannya ialah kerana ia perintah Allah SWT. Kenapa beza-bezakan antara solat 5 waktu dan aurat?
Pernah juga saya menasihatkan golongan ini dengan nasihat – menutup aurat adalah sebahagian daripada perintah Allah SWT. Tidakkan mentaati perintah Allah itu adalah tanda kita bersyukur kepadaNya? Dia yang menciptakan kita, Dia yang memberikan segala pancaindera kepada kita dan memudahkan segala rezeki kepada kita. Kenapa agaknya kita tidak mahu mentaati perintahNya apabila Dia yang memerintahkannya ke atas kita?
Saya tak pandai sangat soal psikologi ni. Tapi saya berharap akan muncul ramai pendakwah (tidak semestinya ustaz) yang berjaya memujuk hati golongan yang tidak menutup aurat agar mereka berfikir kembali tentang sikap mereka yang tidak mahu menutup aurat secara sempurna.
Ini adalah harapan untuk saya dan anda. mari kita cuba jadikan ia sebagai kenyataan.

Sunday, December 17, 2006

JADUAL KULIAH

Jadual Kuliah Bulanan :

1- Masjid Bukit Jelutong - Kisah Para Nabi Berdasarkan Al-Quran dan Hadith Sahih - Sabtu - 9 pagi - tarikh akan diberitahu

2- Surau Syeksyen 5, WangsaMaju - buku Syamaail Muhammadiyyah karya al-Tirmidzi - hadith2 tentang sifat Rasulullah SAW = Setiap Selasa minggu terakhir setiap bulan - selepas solat Maghrib - tarikh terkini ialah minggu depan Selasa 26/12/06

3- UIA Kuantan - huraian buku 20 Persoalan Asas Tentang Hadis - sabtu - selepas solat Maghrib - tarikh akan diberitahu

Tuesday, November 28, 2006

BUKU BARU - DOA DAN ZIKIR RASULULLAH S.A.W. SELEPAS SOLAT

Alhamdulillah, setelah sekian lama saya akhirnya dapat juga menulis dalam blog ini. Untuk permulaannya, saya ingin menghebahkan buku kedua saya yang telah pun berada di pasaran. Ia bertajuk Doa dan Zikir Rasulullah SAW selepas solat. Saya menulisnya bersama Ustaz Muharman Bachtiar (www.ontahapo.blogspot.com).

berikut adalah sinopsis buku berdasarkan artikel yang telah ditulis oleh saudara Kamin di www.al-ahkam.net

Pengarang :
1. Muharman bin Bachtiar (B.A. Syariah, Universiti Yarmuk, Jordan)
2. Adlan bin Abdul Aziz (B.A. Bahasa Arab, Universiti al Al-Bayt, Jordan)
Penyunting :
al-Ustaz Mohd Khairuddin Aman Razali atTakiri (B.A. Universiti Jordan. M.A Universiti al Al-Bayt, Jordan)
ISBN 983-3618-10-3
Harga : RM6.00
Penerbit : Darul Fuqaha Enterprise (Boleh e-mail kepada Ustaz Adlan untuk mendapatkan buku ini - alitantawi@yahoo.com atau SMS beliau di nombor - 019-7105167) -------------

Tahniah kepada Ustaz berdua kerana telah berjaya menerbitkan sebuah buku kecil yang menghimpunkan zikir-zikir dan do'a yang boleh di baca selepas Solat. Al-Ahkam juga turut bergembira kerana kedua-dua Ustaz ini merupakan moderator dan forumer al-Ahkam. Buku kecil ini meliputi :-

- Ilmu asas zikir - perintah, kelebihan, Majlis zikir dan adab-adab berdo'a -

Bab 1 - Menjelaskan mengenai pengambilan sumber zikir, Rasulullah sebagai panduan yang terbaik, mustahab melakukan zikir selepas solat dan yang paling penting adalah silabus/manhaj yang perlu diketahui didalam proses pengambilam zikir. -

Bab 2 - Memaparkan senarai zikir-zikir yang sahih selepas solat

Berikut dipaparkan kepentingan buku ini
Sebagai pembaca, anda perlu mengetahui kepentingan buku ini serta bagaimana anda boleh menggunakan buki ini dengan penggunaan yang sempurna, Berikut adalah beberapa perkara berkaitan kepentingan buku ini :-

a. Buku ini dapat membantu pembaca untuk mengenal pasti apakah zikir yang benar-benar pernah dibaca oleh Rasulullah :saw serta diajar oleh baginda saw untuk kita membacanya selepas solat. Ini penting kerana ada diantara kita yang tidak mampu membezakan antara zikir Rasulullah :saw dengan zikir yang disusun oleh para ulama'. Mengetahui tentang zikir Rasulullah :saw ini dapat mengelakkan kita daripada melakukan 2 kesilapan besar :-

1. Menyatakan atau menganggap sesuatu zikir itu datang daripada Rasulullah :saw sedangkan zikir itu sebenarnya disusun oleh para ulama'.
2. Mengabaikan sesuatu zikir yang pernah diajar oleh Rasulullah :saw kerana menganggap itu adalah zikir biasa yang disusun oleh ulama'.

b. Buku ini mengumpulkan zikir dan do'a Rasulullah :saw yang sahih sahaja iaitu zikir dan so'a yang benar-benar dibaca oleh Rasulullah :saw. Manakala zikir-zikir dan do'a yang ada di dalam hadiyh-hadith yang tidak sahih tidak penulis masukkan didalam senarai yang ada didalam buku ini. c. Buku ini juga penting kerana ia dapat menjimatkan masa kita dalam usaha untuk mencari satu persatu dalam buku-buku hadith tentang zikir selepas solat yang di ajar oleh Rasulullah :saw.

Tuesday, October 24, 2006

JANGAN LUPA....

hari raya tiba lagi...

apabila menjelang hari raya, semua orang sibuk membuat persiapan...saya cuma ingin mengingatkan diri saya dan anda dengan beberapa perkara:

- jangan lupa di waktu kita bergembira, ada yang berduka. mungkin kerana mereka tidak berharta, mungkin juga kerana mereka kehilangan orang yang tersayang atau mungkin kerana mereka ditindas oleh musuh-musuh Islam.

- jangan lupa pada puasa kita yang telah berlalu. mungkin banyak cacat-celanya kerana kita tidak menjaga diri kita daripada dosa. segeralah bertaubat agar Allah SWT mengampunkan kesalahan kita

- jangan lupa bahawa bulan-bulan yang akan datang tetap menuntut kita untuk mentaati Allah. tidak hanya di dalam bulan Ramadhan sahaja kita perlu beribadat dan menjaga hubungan kita dengan Allah.

- jangan kita lupa pada cabaran semasa yang dihadapi oleh umat Islam termasuk yang terkini iaitu penghinaan terhadap Rasulullah SAW. fikirkan bagaimana kita ingin menghadapi cabaran ini dan berdakwah sekadar mampu.

- jangan lupa bahawa syaitan dan iblis telah pun dibebaskan. mereka akan meneruskan kerja mereka untuk membawa kita ke dalam neraka bersama mereka

- jangan lupa pada Allah dalam setiap gerak-geri kita..

semoga saya dan anda tergolong di kalangan mereka yang mengingati semua ini dan tidak lupa, amin.

Tuesday, October 10, 2006

Mencari Ilmu Di Bulan Mulia

Dengan kedatangan bulan Ramadhan yang penuh berkat ini, marilah kita tinggalkan segala sifat negatif yang pernah ada pada diri. Di antara sifat negatif itu ialah sambil lewa dalam menambahkan ilmu agama. Kenapa masih ramai yang menganggap bahawa mempelajari ilmu agama hanyalah perkara sampingan? Malah ada juga yang meminggirkan soal menuntut ilmu agama kerana pada tanggapannya itu hanyalah tugas orang-orang yang bergelar ustaz atau ‘gayanya’ macam ustaz. Tidak kurang juga yang beralasankan ‘sibuk’ sehingga tidak ada waktu yang boleh diluangkannya untuk ‘menemani’ ilmu berkaitan Islam.
Seakan sudah lenyap dari ingatan kita bahawa ayat pertama yang diturunkan kepada Rasulullah SAW ialah ‘Iqra’ bermaksud ‘bacalah’. Seakan kita sudah lupa pada kegigihan para sahabat mempelajari Al-Quran daripada Rasulullah SAW. Seolah-olah kita tidak pernah membaca sejarah Islam yang penuh dengan khazanah ilmu terutama buku-buku yang terlalu banyak. Islam adalah agama yang berasaskan ilmu dan pengajian. Ia bukan agama yang hanya mementingkan ibadah tanpa usaha menambah ilmu pengetahuan.
Hanya Nabi dan Rasul yang memiliki kelebihan menerima ilmu daripada Allah SWT. Itu pun disebabkan mereka sememangnya terpilih di sisi Allah SWT untuk memikul amanah mendidik manusia ke jalan yang benar. Tetapi manusia biasa seperti saya dan anda, kita disuruh menuntut ilmu dan mencarinya, bukan menunggu-nunggu bilakah agaknya ilmu itu akan datang bergolek. Rezeki tidak datang bergolek, ilmu juga begitu.
Masalahnya sekarang, orang Islam tidak ‘kreatif’ dalam menuntut ilmu agama. Mereka hanya mengeluh bahawa mereka tidak sempat atau letih untuk mengikuti kelas pengajian di masjid, surau atau tempat ilmiah tertentu. Sedangkan ilmu itu tidak semestinya diambil daripada kelas pengajian. Bagi yang sempat dan rajin, ikutilah kelas-kelas pengajian dengan istiqamah di tempat-tempat berhampiran dengan rumah anda. Selain kelas-kelas itu, anda boleh memilih buku-buku ilmiah untuk dibaca. Anda juga boleh melayari laman web Islamik termasuklah juga anda boleh muat turun buku-buku elektronik tentang Islam.
Paling tidak, luangkanlah masa untuk ‘melepak’ bersama-sama orang yang berilmu tentang Islam agar anda boleh berbincang dan bertanya tentang perkara yang anda kurang faham. Gunakan juga kemudahan telefon bimbit untuk berbual sekejap dengan golongan yang berpengetahuan atau sekadar menghantar mesej ringkas bertanyakan soal-soal tertentu.
Setiap seorang daripada kita boleh melakukan perkara-perkara di atas sama ada kesemuanya atau memilih mana-mana cara yang mudah bagi kita untuk menambah ilmu tentang Islam. Ingatlah, ilmu itu dicari dan ia tidak mencari kita. Allah SWT memuliakan orang-orang yang berilmu di dalam Al-Quran. Rasulullah SAW juga di dalam banyak hadith menekankan soal menuntut ilmu tentang Islam. Janganlah kita pandai mencari rezeki, pandai mencari ilmu tentang keduniaan dan sebagainya tetapi tidak tahu atau tidak ambil kisah dalam usaha mencari ilmu tentang Islam. Selamat mencari ilmu dan selamat beramal!

Friday, October 06, 2006

Bazar Ramadhan atau Bazir Ramadhan?

Berpusu-pusu manusia membanjiri Bazar Ramadhan yang diadakan setiap tahun di merata tempat. Tujuannya? Nak mengisi perut yang bolehlah dikatakan kecil. Saiz perut berbeza mengikut manusia. Tetapi apa yang menghairankan ialah makanan yang dibeli melebihi (agaknya) daripada kemampuan perut atau saiznya.
Orang yang menjual pula meletakkan harga yang hebat-hebat. Maklumlah, ramai orang datang, takkanlah tak ada yang nak beli? Kualiti barang yang dijual? Ada yang ok dan ada yang tak ok. Nama air kelapa, tapi rasa air gula saja pun ada.
Orang yang membeli biasanya akan berselera membeli kerana perut tengah kosong. Maka mungkin elok kalau kita tukarkan nama Bazar Ramadhan kepada Bazir Ramadhan?

Sunday, October 01, 2006

PEMBAHAGIAN PUASA – UMUM, KHUSUS, KHUSUS AL KHUSUS

Saya pernah mendengar dan membaca tentang satu bentuk pembahagian puasa yang agak pelik dan sukar untuk saya fahami. Sejak saya mendengarnya bermula semasa di bangku sekolah sehingga saya melanjutkan pelajaran dan menamatkan pengajian di universiti, saya semakin yakin bahawa pembahagian ini tidak mempunyai sumber atau dalil yang kukuh.
Pembahagian ini telah menjadikan puasa di bulan Ramadhan sebagai topik utamanya. Pembahagian ini juga sebenarnya adalah pembahagian yang berfokuskan kepada orang yang berpuasa. Puasa Umum adalah puasa orang awam atau orang biasa yang sekadar menyempurnakan rukun-rukun puasa seperti yang termaktub dalam buku-buku fiqh Islam. Puasa Umum ialah puasa yang mementingkan niat dan menahan diri dari melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa seperti yang dapat difahami dari Al Quran dan hadis-hadis sahih.
Puasa Khusus pula ialah puasa segolongan manusia yang menjaga diri dari perkara-perkara maksiat dan tidak hanya memenuhi rukun puasa seperti Puasa Umum. Mereka sentiasa menjaga diri dari perkara terlarang yang boleh dilakukan oleh anggota badan.
Puasa Khusus al Khusus adalah satu peringkat yang lebih tinggi. Mereka yang berpuasa sebegini dikatakan tidak pernah lalai dan lupa dari mengingati Allah SWT sepanjang puasa mereka. Hati mereka sentiasa mengingati Allah dan tidak pernah terlepas walau sesaat.
Inilah pembahagian puasa yang tidak saya temui melainkan di kalangan mereka yang mendakwa dari kalangan pelajar-pelajar tasawuf atau kesufian. Saya cuba melihat sebanyak mungkin ayat-ayat Al Quran berkaitan puasa dan hadis-hadis sahih yang menjelaskan mengenai puasa yang dikehendaki. Maka saya dapati bahawa Puasa Umum dan Puasa Khusus sedikit sebanyak mempunyai asas secara umum. Namun Puasa Khusus al Khusus langsung tidak disebutkan dan tidak dapat dicari dari manakah sumbernya.
Seperkara lagi, kalau kita menyatakan bahawa Puasa Umum adalah puasa yang paling rendah, maka seolah-olah kita memandang rendah kepada mereka yang berpuasa mengikut rukun dan syarat yang telah ditetapkan di dalam Al Quran dan hadis. Memang sudah semestinya kita menjaga diri dari perkara yang membatalkan puasa kerana itu telah termaktub di dalam Al Quran dan hadis-hadis sahih. Para sahabat sendiri terlalu berhati-hati menjaga agar puasa mereka tidak batal. Kenapa kita perlu menggambarkan puasa sebegini adalah puasa yang biasa atau rendah nilainya?
Kalau kita melihat kepada maksud Puasa Khusus pula, memang kita telah mengetahuinya dari Al Quran dan hadis-hadis sahih. Maksudnya, seseorang itu ketika berpuasa (dan juga ketika tidak berpuasa), wajib menjaga diri dari melakukan maksiat kerana maksiat adalah semua perkara yang melanggar ketetapan Alllah SWT dan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Maka di dalam Al Quran dan hadis sahih, sesiapa yang mengaku dirinya Muslim, wajib menjaga dirinya agar tidak melakukan maksiat, sama ada ketika berpuasa atau ketika tidak berpuasa. Untuk itu Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam telah bersabda : ‘mungkin seseorang itu berpuasa dan dia tidak mendapat balasan kecuali lapar’ – hadis sahih riwayat Ibn Majah (hadis no. 1690).
Melalui pembacaan, saya mendapati bahawa golongan sufi telah menjadikan Puasa Khusus al Khusus sebagai hak milik para wali dan kekasih Allah SWT (ini yang didakwa sebahagian golongan sufi). Mereka berpuasa dalam keadaan yang lebih tinggi dari manusia biasa. Mereka tidak pernah lupa pada Allah SWT dan tidak pernah lalai walau sedetik. Ini adalah dakwaan yang melampaui batas manusia biasa kecuali para Nabi dan Rasul.

marilah kita berpuasa dengan mempelajari puasa Rasulullah SAW.

Friday, September 29, 2006

JADUAL KULIAH BULAN OKTOBER

1/10 - rumah anak yatim Aman, Syeksen 2, Shah Alam - selepas tarawih - tazkirah Ramadhan

2 / 10 - Surau Kolej Pertama, UM - selepas tarawih - tazkirah Ramadhan

7 / 10 - Masjid Bukit Jelutong, Shah Alam - selepas tarawih - tazkirah Ramadhan

14/ 10 - UIA Kuantan - selepas Maghrib - Huraian buku '20 Persoalan Asas Tentang Hadith'

Monday, September 25, 2006

GAMBAR LAGI


HARI JADI AMMAR ...AMIR JOIN SEKAKI


AMIR SERONOK MASUK BLOG


APA AGAKNYA YANG AHLA FIKIRKAN?


SERONOK NAIK KERETA

SELAMAT DATANG RAMADHAN

Ramadhan Penghapus Dosa
Ramadhan penghapus dosa….inilah yang perlu disedari oleh kita. Rasulullah SAW telah menyatakan bahawa setiap Ramadhan itu merupakan penghapus dosa. Baginda juga menyatakan bahawa sesiapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala, maka Allah SWT akan mengampunkan dosanya yang telah dilakukan. Inilah peluang yang perlu kita gunakan.
Dosa yang banyak akan membebankan kita setelah kita melangkah ke alam akhirat. Orang berdosa tidak akan dapat memasuki syurga melainkan setelah disiksa terlebih dahulu di dalam neraka. Tidak berbaloi sekiranya kita bahagia di dunia dengan wang ringgit, pangkat dan keluarga tetapi di akhirat kita disiksa dengan pelbagai siksaan hanya kerana dosa kita yang banyak.
Marilah kita sama-sama berpuasa dengan mengharapkan pengampunan dari Allah SWT. Tanpa pengampunanNya, kita akan terus dibelenggu dosa yang bakal menyusahkan kita di akhirat sana.

Ramadhan Mendidik Jiwa

1- Mendidik jiwa agar mempunyai kekuatan menahan nafsu. Ini bakal menyediakan diri kita supaya semasa dan selepas Ramadhan kita akan lebih mampu bertahan dengan ajakan nafsu yang menyeru ke arah maksiat.

2- Mendidik jiwa agar merasai sedikit kesusahan dan keperitan kerana lapar dan dahaga. Di seluruh dunia, ada sahaja umat Islam yang kelaparan dan hidup dalam serba tidak mencukupi. Kalau kita hanya berlapar pada siang hari, bayangkan betapa susahnya orang lain yang terpaksa berlapar pada siang dan malam?

Monday, September 11, 2006

SOLAT TAPI MASIH MELAKUKAN MAKSIAT?

ARTIKEL INI TELAH DIHANTAR KE LAMAN WEB WWW.AL-AHKAM.NET PADA BULAN JULAI YANG LALU. SEMOGA PENGUNJUNG BLOG INI MENDAPAT MANFAAT DARINYA


Baru-baru ini saya mendapat satu sms daripada abang saya. Sms tersebut di’forward’kan kepada saya. Asal sms itu ditujukan kepada beliau dengan persoalan: Solat itu mencegah kemungkaran, saya menjaga solat 5 waktu tetapi masih lagi berkeinginan melakukan maksiat, kenapa ini berlaku?’. Begitulah persoalan yang ditimbulkan dengan ayat yang sedikit berbeza.
Memang jelas dinyatakan di dalam surah al Ankabut ayat 45 bahawa solat itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar. Ini adalah firman Allah SWT dan setiap firman Allah SWT di dalam Al Quran adalah benar dan tidak diragui lagi.

Sepatutnya keraguan tidak timbul pada diri orang yang bertanya sekiranya dia mendalami maksud ayat tadi dan juga mendalami ayat-ayat dan hadith lain yang berkaitan dengan persoalan yang ditimbulkannya iaitu persoalan ‘keinginan melakukan maksiat’.
Ayat tersebut menyatakan bahawa solat yang sempurna akan mencegah orang yang menunaikannya daripada perbuatan keji dan mungkar. Di dalam ayat tersebut tidak disebutkan bahawa orang yang solat tidak ada ‘keinginan’ untuk melakukan maksiat.

Keinginan melakukan maksiat memang ada dalam diri setiap manusia seperti yang disebutkan dalam ayat-ayat Al Quran contohnya surah al Syams ayat 8 bermaksud: ‘Maka Dia telah mengilhamkan setiap jiwa kejahatan dan ketaqwaan’. Rasulullah SAW juga menceritakan tentang rahmat Allah SWT yang tidak menyiksa manusia sekiranya dia hanya sekadar terlintas di dalam hatinya keinginan untuk melakukan maksiat (hadith riwayat al Bukhari – hadith no.6491 dan Muslim – hadith no.350).

Satu lagi perkara penting ialah solat itu sendiri perlu dilihat adakah tepat atau tidak mengikut seperti yang diajarkan oleh Rasulullah SAW: ‘Solatlah kamu seperti aku solat’? (hadith riwayat al Bukhari – hadith no.631). Maka sebelum seseorang itu bertanya tentang kesan solat terhadap dirinya, perlulah dia meneliti adakah solatnya itu seperti yang diajar oleh Rasulullah SAW ataupun tidak. Adakah solatnya sah atau batal? Adakah solatnya dilakukan dalam keadaan khusyuk (berfokus) atau bersahaja dan lalai?

Bagi mereka yang telah menunaikan solat dengan bersungguh-sungguh dan cuba menepati solat yang diajar oleh Rasulullah SAW, tetapi masih melakukan maksiat atau berkeinginan melakukan maksiat, saya ada beberapa nasihat untuk kita kongsi bersama:

1. Syaitan itu musuh kita. Dia telah bersumpah di dalam Al Quran sebagaimana di dalam surah Shod ayat 82, surah al A’raf ayat 16 dan 17 bahawa dia akan sentiasa berusaha menyesatkan manusia setiap masa dan setiap waktu. Maka tidak hairanlah kita akan sentiasa berkeinginan atau terlintas untuk melakukan maksiat. Di dalam surah yang sering kita baca, al Naas, Allah SWT menyifatkan syaitan sebagai makhluk yang akan membisikkan ke dalam hati manusia perkara kejahatan.

2. Hanya malaikat yang bersih daripada keinginan melakukan maksiat atau lintasan hati untuk melakukan maksiat. Begitu juga para Nabi dan Rasul yang mendapat pemeliharaan (‘ishmah) daripada Allah SWT bagi memelihara kesucian perjuangan mereka. Adapun manusia biasa, maka tidak terlepas daripada lintasan hati untuk melakukan maksiat. Manusia yang bertaqwa ialah mereka yang menghalang dirinya daripada mengikut keinginan tersebut. Ini jelas daripada firman Allah SWT di dalam surah al Naazi’at ayat 40 yang menceritakan bahawa sifat ahli syurga ialah dia menghalang kehendak dirinya untuk melakukan maksiat di dunia.

3. Keinginan melakukan maksiat bukanlah maksiat. Lintasan hati untuk melakukan maksiat bukanlah maksiat. Ini telah dijelaskan seperti yang tertera dalam maksud hadith riwayat al Bukhari dan Muslim yang disebut di awal tulisan ini.

4. Setiap ayat di dalam Al Quran perlu difahami dengan melihat ayat-ayat lain yang ada di dalamnya. Ini adalah kerana Al Quran diturunkan sebagai kitab yang lengkap melengkapi dan berkaitan antara satu ayat dengan ayat yang lain. Menghadkan pandangan kepada satu atau dua ayat semata-mata akan menyebabkan kita kurang memahami maksud sebenar ayat tersebut. Maka sesiapa yang melihat ayat bahawa solat itu mencegah kemungkaran, perlu juga dia melihat ayat yang menceritakan bahawa manusia itu mempunyai kesediaan untuk melakukan kebaikan dan kejahatan, maka manusia yang bertaqwa ialah manusia yang menghalang dirinya daripada mengikut hasutan ke arah kejahatan.

5. Orang bertaqwa juga tidak akan terlepas melakukan kemungkaran akibat terlalai atau kurang imannya kerana iman itu meningkat dan menurun. Di dalam surah Ali Imran ayat 135, Allah SWT menjelaskan sifat-sifat orang bertaqwa dan di dalam ayat tersebut Allah SWT berfirman bahawa orang yang bertaqwa juga ada masanya melakukan dosa lalu dia bersegera bertaubat. Maksud yang sama juga ada disebut dalam ayat 201 surah al A’raf.

Semoga kita sama-sama mengambil peringatan daripada tulisan ringkas ini dengan memperbaiki mutu solat kita agar lebih menyerupai solat Rasulullah SAW. Begitu juga kita perlu sentiasa mendidik diri agar bertaqwa kepada Allah SWT bukan sekadar di dalam solat, tetapi di luar solat dalam seluruh kehidupan. Sikap ini memang payah tetapi perlu diusahakan sedikit demi sedikit. Semoga Allah SWT membantu kita dalam memperbaiki amalan dan jiwa kita ke arah ketaqwaan. Amin.

Monday, September 04, 2006

GAMBAR LAGI....

SENGIH..SENGIH....AMIR NI MEMANG LAWAK

SERONOK LA TU..DAPAT KEK...AMMAR


EWAH..EWAH...COMEYNYERRRR...AHLA