Sunday, August 27, 2006

Monday, August 14, 2006

10 Nasihat Untuk Memahami Al Quran

artikel ini adalah artikel yang telah dihantar ke laman web www.al-ahkam.net . Saya amat menyayangi artikel ini dan diharap artikel ini dapat disampaikan kepada seramai mungkin agar mereka lebih dekat dengan Al Quran. Boleh juga melihat artikel saya yang lain di dalam laman web al-ahkam di mana saya menggunakan nickname alitantawi...

10 Nasihat Untuk Memahami Maksud Al Quran - Posted by : alitantawi

PESANAN PENAJA : BANTULAH SAHABAT YANG DITINDAS DI SELURUH DUNIA ISLAM, JANGAN HANYA MENUNGGU MUKJIZAT
Ketika malam bertukar menjadi pagi,
kucoretkan tulisan ini sebagai nasihat bagi yang sudi,
untuk dipraktikkan bukan sekadar teori,
agar Al Quran dibaca lalu difahami,

Berikut adalah beberapa panduan untuk sesiapa sahaja yang ingin memahami Al Quran, terutama mereka yang tidak memahami sebahagian besar ayat Al Quran hanya kerana ayat-ayat itu adalah di dalam Bahasa Arab. Perkara sebegini bukan halangan untuk anda memahami Al Quran. Malah ramai yang menguasai Bahasa Arab tetapi masih lagi tidak cuba memahami Al Quran. Semoga Allah SWT memberikan hidayah untuk saya dan anda semua.

1- Membeli sebuah Al Quran berserta terjemahan. Mungkin terdapat perbezaan pendapat di kalangan kita tentang terjemahan Al Quran yang paling baik. Saya secara peribadinya mencadangkan agar pembaca membeli terjemahan Al Quran yang dicetak oleh Kerajaan Arab Saudi di dalam Bahasa Indonesia dan juga Tafsir Pimpinan al Rahman yang dicetak oleh Jabatan Perdana Menteri Malaysia.
2- Peruntukkan waktu secara tetap sama ada harian atau mingguan untuk membaca beberapa ayat Al Quran berserta terjemahan. Tidak perlu terlalu bersemangat kerana selalunya semangat yang berlebihan tidak akan bertahan lama. Jika anda sekadar ingin membaca ayat Al Quran tanpa terjemahan, sememangnya digalakkan setiap hari dalam keadaan yang sederhana. Namun untuk membacanya berserta terjemahan, perlulah diberikan peruntukan waktu untuk ‘menghadamkan’ terjemahan dan maksud ayat-ayat yang telah dibaca. Mungkin pembaca boleh memperuntukkan masa untuk ayat-ayat daripada juzuk 30 kerana ia ayat-ayat yang sering kita baca dan hafal. Sebagai contoh, mulakan dengan surah al Ikhlas yang mengandungi 4 ayat dan diberi tempoh selama 3 hari untuk membaca, merenung dan memahami maksudnya sebelum berpindah kepada surah al Naas pula. Begitulah seterusnya. Tidak semestinya anda mengikut susunan misalnya bermula daripada al Fatihah kemudian al Baqarah, Ali Imran dan seterusnya, atau bermuladaripada al Naas kemudian al Falaq, al Ikhlas dan seterusnya. Matlamat kita ialah cuba memahami ayat-ayat Al Quran secara keseluruhan. Mungkin minggu ini kita ingin memahami maksud beberapa ayat daripada surah Yaasin dan minggu depan pula kita ingin mengetahui maksud beberapa ayat daripada surah al Kahfi pula. Apa yang penting, setiap minggu kita akan peruntukkan sedikit masa untuk memahami beberapa ayat dan sikap ini berterusan dengan penuh istiqamah.
3- Tandakan ayat-ayat yang kurang jelas maksudnya. Sememangnya kita tidak akan dapat memahami dengan jelas setiap ayat yang dibaca. Mungkin ini disebabkan oleh keadaan atau tumpuan kita semasa membacanya. Mungkin juga disebabkan ayat terjemahan itu tidak jelas dan mungkin juga disebabkan kita baru membacanya sekali tanpa benar-benar faham. Walau apa pun sebabnya, jangan biarkan ayat itu berlalu tanpa memastikan kita benar-benar faham maksudnya. Tandakan ayat tersebut dan peruntukkan beberapa hari atau lebih untuk mengkaji maksudnya dengan lebih jelas.
4- Wujudkan panel rujukan sendiri dengan menyimpan nombor telefon beberapa orang ustaz yang dirasakan mampu menghuraikan maksud ayat-ayat yang kurang jelas maksudnya tadi. Rujuk kepada mereka untuk mendapatkan jawapan yang lebih cepat dan mudah. Lebih cepat ialah dengan menulis sms dan dihantar ke telefon bimbit seseorang ustaz, misalnya anda tulis ‘Assalaamualaikum ustaz, apa maksud ayat 23 surah Luqman? Terima kasih’. Mungkin sesetengah ustaz tidak terus membalasnya kerana ingin mengkaji terlebih dahulu. Lihat, anda telah melakukan amal soleh dengan menyebabkan seorang agamawan membuka kembali buku dan kitabnya yang telah lama berhabuk di atas rak buku, hanya kerana satu sms yang ingin tahu tentang tafsir satu ayat daripada Al Quran.
5- Boleh juga mencari maksud ayat tersebut daripada terjemahan edisi yang lain atau membeli buku tafsir Al Quran yang telah diterjemahkan. Kini terdapat banyak buku tafsir yang diterjemahkan dan yang paling baik setakat pengetahuan saya ialah terjemahan Tafsir Ibn Kathir. Buku terjemahan Al Quran juga terdapat dalam banyak versi sama ada di dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris atau Bahasa Indonesia dan lain-lain lagi. Langkah ini mungkin memerlukan kepada perbelanjaan yang lebih untuk memiliki sebanyak mungkin terjemahan Al Quran, tetapi ia tetap berbaloi kerana tujuan kita amat mulia iaitu memahami Al Quran.
6- Pengulangan bacaan tafsiran atau terjemahan ayat yang sama dapat memberikan gambaran yang lebih jelas tentang ayat. Mungkin kali pertama anda membaca terjemahannya dan tafsirannya semasa pemikiran anda tidak berfokus dan tidak tenang disebabkan pelbagai masalah. Kali kedua pula anda membacanya dalam keadaan tenang dan tiada masalah. Pasti bacaan kedua akan lebih membantu anda memahami ayat tersebut, wallahu a’lam.
7- Sebolehnya cari kaset-kaset atau cd yang mengandungi huraian Al Quran daripada ustaz-ustaz atau mana-mana pendakwah. Mungkin anda sibuk dan tak sempat nak mendengar kuliah tafsir, maka bukalah radio atau belilah cd untuk anda belajar daripada dalam kereta atau gunakan alat seperti cd walkman atau mp4 untuk mempelajari tafsir Al Quran. Takkanlah waktu di dalam kereta hanya dengan mendengar lagu atau berita di radio sahaja?
8- Lebih baik lagi jika mempunyai tempat kuliah tafsir yang dihadiri secara tetap. Ini penting untuk menjadikan kita sentiasa istiqamah dalam mempelajari tafsir. Ustaz yang mengajar juga boleh kita jadikan sebagai rujukan tetap kerana kita akan sentiasa bertemu dengan beliau setiap kali tiba waktu kuliah.
9- Layari laman web Islamik yang menawarkan perkhidmatan untuk memahami ayat-ayat Al Quran atau boleh muat turun beberapa program yang mengandungi tafsir atau terjemahan Al Quran. Internet perlu digunakan sebaik mungkin terutama bagi mereka yang boleh ‘online’ semasa berkerja. Program tafsir juga boleh dimuat turun ke dalam laptop atau ke dalam alat seperti telefon bimbit atau telefon PDA yang canggih lagi memudahkan.
10- Cuba pelajari Bahasa Arab untuk lebih mendekatkan diri kita dengan maksud ayat yang dibaca. Hendak seribu daya. Saya secara peribadi telah bertemu dengan orang-orang yang tahu berbahasa Arab dengan mempelajarinya secara sendiri dan mereka bukanlah produk sekolah agama atau universiti di negara Arab.Akhir kata, berdoalah kepada Allah SWT agar kita tergolong dalam kalangan orang-orang yang ingin mendalami ilmu Allah SWT terutamanya ingin mendalami Al Quran. Ingatlah, tiada keinginan untuk menambahkan ilmu agama adalah satu penyakit merbahaya. Kesannya pesakit ini akan terus hidup dalam keadaan jahil dan tidak bertambah ilmunya. Ingat pesan Rasulullah SAW : Sebaik-baik kamu ialah orang yang mempelajari Al Quran dan mengajarnya.(Riwayat al Bukhari, no.5027).

PESANAN PENAJA: SAMPAIKAN NASIHAT INI KEPADA YANG LAIN, JANGAN BIARKAN HIDUP ANDA DISELUBUNGI KEJAHILAN
(ini bukan artikel berantai)
al-ahkam.net

Friday, August 11, 2006

KENANGAN LALU DI SEKOLAH TERDAHULU

Nak sambung al kisah tentang pindah sekolah. Untuk pengetahuan pembaca blog, saya mula-mula mengorak langkah dalam alam pendidikan atau pelajaran ini pada tahun 2002 di SMK Cohcraine, KL ketika dalam praktikal. Beberapa bulan di sana cukup untuk mewujudkan rasa ukhuwwah guru - pelajar. Saya mengajar Bahasa Arab menengah rendah. Hubungan dengan guru-guru macam biasa saja. Namun hubungan dengan para pelajar amat baik. Bersambung lagi bila ada kesempatan....

Friday, August 04, 2006

PINDAH SEKOLAH

Sejak berjaya mendapat Diploma Perguruan daripada Maktab Perguruan Islam, Bangi, saya telah berkhidmat di dua buah sekolah iaitu SMK Simpang Rengam, Johor dan SMK BAndar Tun Razak.
Sekarang, saya telah ditugaskan untuk mengajar di sebuah sekolah baru pula iaitu SMK Segambut Jaya. Disebabkan SMK Bandar Tun Razak mempunyai lebihan guru agama, Smk Segambut Jaya pula kekurangan guru Bahasa Arab, maka saya ditugaskan untuk pergi ke Segambut. alhamdulillah, semuanya adalah ketentuan Allah SWT.
Memang agak sedih meninggalkan SMK Bandar Tun Razak (Setahun berkhidmaat) sebagaimana sedihnya meninggalkan SMK Simpang Rengam dulu (2 tahun setengah berkhidmat), tapi sudah pasti banyak aspek positif insya Allah . ok, bersambung ceita pindah sekolah dlam tulisan akan datang. masa tidak mengizinkan.

Sunday, July 23, 2006

KESATUAN UMAT ADALAH TUNTUTAN ISLAM

Sahabat-sahabat yang melayari blog ini, saya ucapkan syukran @ syukriya @ terima kasih. Di waktu ini saya teringat sebuah hadith daripada Rasulullah SAW yang bermaksud: Orang-orang mukmin itu ibarat satu tubuh, apabila sebahagiannya sakit, bahagian yang lain akan turut terasa sakit'.
Tapi nampaknya ramai juga di kalangan kita yang tidak terasa sakit apabila melihat umat Islam (terutama wanita dan kanak-kanak) yang mati dan cedera akibat serangan Yahudi Zionis di Palestin dan Lubnan. Ini bukan peristiwa baru, malah ia telah berlaku dulu, kini dan akan datang jika kita tidak lakukan sesuatu (ummat yang lemah tidak dapat mengubah nasibnya).
Seeloknya kita mengajar diri kita untuk turut sama merasai kepedihan dan kesedihan umat Islam yang tersiksa walau di mana mereka berada walaupun tiada hubungan darah..tetapi perlu kita ingat, hubungan paling tinggi ialah keimanan kepada Allah SWT.

Wednesday, July 19, 2006



.... ni gambar ahla yang terkini...

Saturday, July 15, 2006

Saturday, July 08, 2006

BUATLAH SESUATU UNTUK PALESTIN

sahabat sekelian, umat Islam Palestin terus diancam dan diserang. Sebagai seorang muslim, kita dituntut untuk menjadi umat yang satu dan apa yang ditanggung oleh saudara kita juga sepatutnya difikirkan dan direnungkan oleh kita juga.
buatlah sesuatu ...sumbangan derma, kempen kesedaran, program ilmu, cetusan idea dalam internet....akhir sekali, panjatkan doa kepada Allah...agar Palestin terus bertahan dalam genggaman Islam!

Saturday, June 24, 2006

BUKU BARU - BUKU PERTAMA SAYA


Buat pembaca yang mengunjungi blog ini, bolehlah melihat laman web yang saya sebutkan ini utk melihat dgn lebih dekat buku pertama saya yang telah dicetak dan berada di pasaran. selamat membaca!

http://al-ahkam.net/ipaq/modules.php?op=modload&name=News&file=article&sid=39

Wednesday, June 07, 2006

Anak ke 3


ini Ahla Adlina, anak perempuan pertama n anak ketiga dalam keluarga saya. dia ni baik, nangis pun tak kuat2. semoga Allah menjadikannya di kalangan wanita solehah.

anak kedua, Amir


ini pula anak kedua saya, Amir. memang nakal dan melucukan. amat meminati mr.bean dan batman.

anak sulung saya, yang sudah hafal 2 hadith sahih. Ammar. Lahir di Irbid, Jordan. alhamdulillah, boleh membaca dan menulis.

Islam Untuk Diamalkan...Bukan Sekadar Hiasan

Jika kita melihat kehidupan Rasulullah SAW, para sahabat dan tabiin serta golongan awal Islam, kita akan merasai bahawa kehidupan kita pada hari ini amat ketinggalan ..tapi ketinggalan dari aspek apa? Bukankah dunia semakin maju, kenderaan makin canggih, telekomunikasi makin mengejutkan? Kita ketinggalan jika dibandingkan dengan kehidupan golongan awal Islam bukan dari sudut kebendaan, tetapi kita ketinggalan dari sudut kegigihan mengamalkan Islam dalam seluruh aspek kehidupan. Islam bukan sekadar hiasan dan kebanggaan, tapi Islam adalah iman dan amal. Iman mewakili keyakinan dalam hati manakala amal adalah bukti keyakinan tersebut...mari kita perbaiki diri dengan menumpukan kepada aspek mengamalkan Islam dalam kehidupan.

Selamat datang...

para pembaca yang dihormati, ini adalah blog yang telah dibuat khas untuk mencatatkan beberapa pendapat dan pandangan saya (Adlan/Alitantawi) berserta maklumat lain yang berfaedah insyaAllah. semoga pembaca yang mendapat faedah daripada maklumat-maklumat yang tertera di sini akan mendoakan kebaikan untuk saya dan keluarga (Herlyna, Ammar, Amir dan Ahla Adlina)....