Sifat gopoh dalam memberikan pandangan adalah sifat yang boleh berjangkit kepada sesiapa sahaja. Apa yang terhasil daripada kegopohan seringkali akan membawa kesan yang negatif. Kadangkala sifat gopoh sering dikaitkan dengan usia muda atau peringkat awal menuntut ilmu. Apa yang penting, jangan malu dan degil untuk berubah kerana manusia tidak sempurna terutama penuntut ilmu di usia muda.
Di antara contoh kegopohan dalam memberikan pandangan ialah – Terdapat sebahagian penulis, penuntut ilmu malah pendakwah yang apabila timbul sesuatu persoalan dalam fiqh atau timbul perbincangan tentang kedudukan sesuatu hadith sama ada sahih atau tidak, maka timbullah dan kedengaranlah suara-suara bersemangat yang menyeru ke arah kajian, manhaj, tarjih, tahqiq dan perkara yang sewaktu dengannya. Lalu keluarlah pandangan yang paling ‘rajih’ dan pendapat yang paling kuat atau tepat. Persoalannya, benarkah itu yang ‘rajih’ dan betulkah itu yang paling kuat?
Apa yang penulis temui agak berlainan. Seruan yang indah dan hebat itu rupanya menutup satu kecenderungan memilih pendapat aliran tertentu. Ringkasnya, di dalam fiqh, mereka sebenarnya cenderung memilih pandangan ketat atau pandangan ulama dari Arab Saudi beraliran salafi (terdapat banyak jenis salafi). Manakala di dalam hadith, mereka sebenarnya cenderung memilih pendapat syeikh al-Albani.
Persoalannya, adakah saya akan mengkritik semata-mata kerana mereka cenderung kepada fiqh salafi Saudi dan hadith dari al-Albani? Sudah semestinya tidak. Itu pilihan masing-masing dan mungkin mereka ada sebab untuk memilih sebegitu.
*Apa yang saya ingin jadikan nasihat dan teguran ialah sikap mereka yang melaungkan slogan-slogan kajian ilmiah yang nampak sememangnya 100% ilmiah…sedangkan hakikatnya tidak begitu!
*Saya juga membangkitkan isu ini kerana ingin mengelakkan lebih ramai golongan yang berani tidak bertempat sebegini. Saya katakan berani tidak bertempat kerana melihat kepada kemampuan ilmu mereka yang melakukan perkara ini. Semangat mereka nampaknya melebihi ‘usia’ ilmu pada diri mereka.
*Kita juga perlu sedar bahawa terdapat ramai ulama sejak zaman berzaman hingga ke hari ini. Kenapa menghadkan kepada Ulama Saudi dan al-Albani?
Di antara punca utama perkara ini berlaku (sekadar maklumat yang ada pada penulis) ialah :
1- Pembacaan yang terhad. Membaca hanya buku-buku tertentu dan tidak dapat keluar daripada sangkaan tertentu terhadap ulama dan buku tertentu.
2- Pembacaan buku-buku kedua dan bukan sumber utama. Mungkin disebabkan tidak dapat membaca dalam bahasa asal iaitu Bahasa Arab atau mungkin juga kerana buku-buku kedua dan ketiga lebih ringkas dan dianggap memadai.
3- Keinginan dan nafsu ingin pergi ke tengah medan dakwah agar dikenali sebagai golongan ilmiah dan boleh memberikan pandangan terus daripada dalil dan nas.
4- Tidak melalui proses menuntut ilmu secara berperingkat dan tidak mempunyai guru yang memberikan panduan berterusan.
5- Tidak bergaul dengan pelbagai lapisan penuntut ilmu untuk berkongsi bersama apa yang ingin dikaji. Hanya berkawan dengan aliran masing-masing.
6- Tidak bersedia menarik balik pandangan atau membuat muhasabah terhadap sesuatu pegangan.
7- Bersungguh untuk mematikan hujah lawan walaupun dengan cara tidak ilmiah.
8- Tidak mengikuti perkembangan ilmu. Memadai dengan apa yang telah diketahui.
Contohnya ada sebahagian yang menulis tentang persoalan fiqh. Kadangkala latar belakang bukan daripada golongan agamawan, tetapi mereka mendakwa melakukan kajian berdasarkan dalil. Itu hak mereka untuk mendakwa. Apabila menulis – sama ada dalam bentuk buku atau artikel – mereka amat gemar menekankan aspek kajian, ketelitian, dalil yang sahih, rujukan muktabar dan sebagainya. Tetapi apa yang sering berlaku ialah : apabila tiba persoalan fiqh, mereka akan ketengahkan ulama dari Arab Saudi atau dari aliran ‘salafi’. Apabila tiba persoalan hadith pula, mereka akan utamakan pandangan syeikh al-Albani atau murid-muridnya dan yang sealiran. Inikah rupa ‘tarjih’, ‘tahqiq’ dan ‘dalil’?
Terlintas juga persoalan di hati – sejauh manakah mereka mampu untuk menyemak buku-buku asal dan utama dalam kajian ilmu Islam? Bukankah buku-buku itu ditulis dalam Bahasa Arab? Kalau mereka (sebahagiannya) mengakui mereka tidak mempunyai asas dalam Bahasa Arab, bagaimanakah kita boleh yakin dengan ‘kajian’ dan ‘penyelidikan’ mereka? Atau sebenarnya mereka mengambil kajian orang lain? Sekali lagi saya ulang, perbuatan mereka mengambil pandangan dan kajian ulama tertentu tidak salah. Tetapi ‘cara’ ia diiklankan seolah seperti kajian ilmiah…itu yang ingin ditegur.
Golongan sebegini juga kadangkala kita dapati terlalu mudah menghentam dan mengkritik orang lain yang didakwa pula ‘tidak ilmiah’, tidak ‘tarjih’, tidak mengkaji…inilah yang menyebabkan saya menulis untuk menasihat mereka, dan juga menasihati penuntut ilmu lain agar menjauhkan sikap sebegini.
Hakikatnya kita manusia lemah. Kadangkala kita yang sering melaungkan ‘ilmiah’ dan ‘tahqiq’ sebenarnya tidak ilmiah mana dan tidak tahqiq mana pun. Tetapi kecenderungan dan nafsu untuk memperlihatkan kepada orang lain kita adalah ilmiah dan mengkaji menjadikan kita lupa bahawa kita sebenarnya tidak mampu pun untuk membuat kajian yang ilmiah. Sebagaimana ada yang mendakwa dirinya ‘terbuka’ dengan semua aliran, tetapi hakikatnya kawan sendiri yang dilabel sebagai ‘tidak ada arah tuju’ atau ‘tidak ada manhaj’ bahkan ‘tidak salafi’.
Ada yang menulis seolah dialah yang membuat kajian sedangkan ia diambil dari buku tertentu. Kajian fiqh yang diambil daripada buku-buku huraian fiqh ulama Arab Saudi dijadikan asas dan ia dikeluarkan dalam bentuk ‘kajian perbandingan ilmiah’. Ada yang mendakwa dirinya membuat kajian terhadap hadith sedangkan kesemuanya diambil daripada orang lain. Ada yang pandai menutup perbuatan ini dengan menyatakan ‘Riwayat al-Tirmidzi’ dan tidak memasukkan ‘dinilai sahih oleh al-Albani’. Sedangkan kita tahu daripada buku rujukannya bahawa dia menggunakan pendapat syeikh al-Albani semata-mata dan mengabaikan terus penilaian al-Tirmidzi.
Saya sememangnya diberitahu bahawa ada pula golongan yang hampir serupa yang meghadkan ulama tertentu sahaja yang dianggap ‘benar-benar ulama’. Begitu ramai ulama zaman berzaman tetapi hanya dua tiga orang sahaja yang dianggap benar-benar ‘bermanhaj’? Patutlah mereka sempit dan tidak tahu membuat kajian perbandingan!
Itulah yang ingin ditegur…sempit, terhad, tetapi mendakwa diri ‘luas’, ‘terbuka’, membuat ‘kajian ilmiah’ dan ‘tarjih’ serta ‘tahqiq’. Berani tidak bertempat dan menghadkan pengambilan ilmu.
Saya berterima kasih kepada sahabat-sahabat yang telah mengingatkan saya dan menyedarkan saya daripada ‘cenderung’ kepada mana-mana pihak sehingga tidak ilmiah. Saya juga berterima kasih kepada sahabat-sahabat yang suka memberikan ‘sudut ketiga’ dalam perbincangan ilmiah yang akhirnya menjadikan kita merasa kerdil dan menghormati ulama. Jazakumullah kerana telah menyedarkan saya bahawa ilmu itu adalah apa yang ada di dada..bukan semata-mata di hujung mata pena dan kertas sahaja.
Adlan Abd. Aziz
8 comments:
Dan ini termasuk tulisan dari orang yang gopoh. Dan tentunya penulisnya bila membaca komen ini akan tersenyum sinis dan berkata "Aku tidak gopoh he he ".
Orang-orang sudah pun mengenal benar "ciri khas" saudara Alithantawi ini.
jazakallah...
jkk diatas nasihat ustaz,
saya lebih rela dan suka mengambil nasihat ini sebagai muhasabah buat diri saya...
teruskan memberi panduan ustaz..
Setuju 100%. kdang-kdang perkara ni berlaku tanpa disedari. ada 1 kata-kata hikmah...org yang membaca 1 buku sahaja adalah org yang berbahaya
jadi nak tanya al-fadhil tuan.
"kalau dalam hadis ikut mahir yasin, malibari serta torifi. itu kajian ilmiah??"
nasihatkan juga anak-anak murid anta yang sangat geli bila terbaca, kononnya kena taqlid mutaqaddimin, tapi sikit-sikit syeikhana itu syeikhana ini. sikit-sikit mahir yasin. sikit-sikit torifi.
bila baca buku sifat solat al-albani salah. jumud. hadis mutaqaddimin tak sohihkan al-albani pandai-pandai sohihkan. habis itu, hebat sangatkah buku torifi yang kalau dibaca, tak lah setara mana. tapi itulah realiti pentaksub. yang tidak hebat di mata orang itu hebat di matanya kerana apa? kerana dia TAKSUB.
syabas buat alitantawi serta kem nya.
orang yang gopoh dan taksub ada 2. kadangkala:
- menyerang habis habisan golongan tidak sependapat dengannya.
kadangkala:
- mempertahankan habis habisan apabila diserang tanpa mengambil kriktikan itu untuk memperbaiki diri.
ada juga yang makan cili yer ust.
saya dari golongan yg ngaji kitab2 nusantara yang biasa dilabel jumud hanya mampu tersenyum dengan komen2 ini serta berbisik didalam hati, ada juga golongan yang mengaku mereka itu tidak jumud mazhab tidak boleh ditegur...
ada juga yang makan cili yer ust. saya yang mengaji kitab2 ulama' nusantara @ kitab kuning yang bisa dilabel sebagai jumud hanya mampu tersenyum dengan komen2 ini sambil berbisik dihati ada juga goloangan yang mengaku tidak jumud tidak boleh ditegur...
Post a Comment