Wednesday, March 06, 2013

Siri #1 Program Khatam Sahih Bukhari

Siri #1 Program Khatam Sahih Bukhari
Tarikh: 10 Mac 2013
Masa: 7.00 pagi hingga 8.30 pagi
Tempat: Surau al-Ikhwan, Desa Pinggiran Putra, Kajang

Program 'Khatam Sahih Bukhari' ialah beberapa siri (Kesemuanya 10-12 siri insya Allah) bacaan pantas buku Hadith terkenal iaitu Sahih al-Bukhari yang mengandungi sekitar 7500 Hadith. Saya (Adlan Abd.Aziz) dan Ibnu Mahdi Research Team telah sepakat untuk mengadakan siri bacaan ini bertujuan untuk membaca kesemua Hadith dan juga info ilmiah lain di dalam Sahih al-Bukhari.

Bacaan dalam program ini adalah pantas dan tanpa sebarang ulasan, bertujuan untuk menjadikan peserta yang mengikutinya 'khatam' dan melalui semua helaian kitab ini sebagai pengalaman dan permulaan. Langkah seterusnya ialah mempelajari kitab ini dengan huraian lanjut dalam program dan kuliah-kuliah lain. Maka program ini diibaratkan sebagai 'pengenalan' dan 'muqaddimah' yang amat baik untuk mengetahui dan menemui segala maklumat yang direkodkan oleh Imam al-Bukhari.

Bacaan pantas sebegini adalah salah satu cara mempelajari Hadith yang telah dilakukan turun temurun sepanjang zaman oleh para ulama Hadith. Antara tujuan bacaan pantas ialah untuk mengenali setiap maklumat sebagai langkah awal, menguatkan hafazan, membiasakan diri dengan teknik bacaan pantas dan sebagainya. Ia adalah 'salah satu' bentuk pengajian Hadith dan ada banyak lagi bentuk pengajian dan kajian Hadith termasuk yang biasa kita temui di negara kita iaitu huraian Hadith satu persatu dan sedikit demi sedikit.

Insya Allah dengan program sebegini, penuntut ilmu dapat mengetahui isi kandungan Sahih al-Bukhari dalam masa yang singkat  dan seterusnya meneruskan pengajian dan pembelajaran isi kandungannya dalam program dan kuliah lain.

*Peserta yang ingin mengikutinya dinasihatkan membawa sendiri buku Sahih Bukhari sama ada dalam Bahasa Arab atau terjemahan bagi yang tidak menguasai Bahasa Arab. Terjemahan yang dicadangkan ialah terjemahan lengkap cetakan syarikat Mahera. 

insya Allah, jumpa pada siri #1 pada 10 Mac 2013.

No comments: