Friday, December 25, 2009

Ilmu-Ilmu Islam - Kenapa Perlu Rujukan B. Arab?


Ramai yang sudah pun faham sangat kenapa pentingnya penguasaan B.Arab dalam kehidupan seorang penuntut ilmu-ilmu Islam di pusat-pusat pengajian.

Tapi masih ada lagi yang belum puas hati tentang 'keperluan' menguasai B.Arab dalam mendalami ilmu-ilmu Islam seperti Tafsir, Fiqh, Hadith dan lain-lain.

Bagi mereka, kenapa pula bahasa menjadi penghalang? Bukankah sudah ada buku-buku agama yang diterjemahkan ke dalam bahasa-bahasa lain seperti B.M dan B.I.? Tak cukupkah?

Terlalu panjang untuk dihuraikan, tetapi saya ingin mengingatkan kepada yang lupa dan memberitahu kepada yang belum tahu tentang hakikat berikut:

Satu:

Memang sudah ada banyak buku yang telah diterjemahkan dari bahasa asalnya iaitu B.Arab kepada bahasa lain yang difahami seperti Indonesia, Melayu dan Inggeris. Tetapi masih terlalu banyak (ya, terlalu) buku-buku rujukan utama tafsir, fiqh, hadith dan ilmu-ilmu Islam lain yang belum diterjemahkan. Tak percaya? Boleh dapatkan senarai buku-buku utama dalam setiap bidang...contohnya bidang tafsir. Senaraikan buku-buku rujukan utama dalam B.Arab (bahasa asal) dan buat pula carian tentang terjemahan buku-buku tersebut dalam bahasa lain. Insya Allah anda akan tahu.

Dua:

Kalaulah kita membuat andaian bahawa 'buku-buku rujukan ilmu Islam yang telah diterjemah telah cukup', saya ingin menegaskan bahawa: kita masih belum tahu adakah terjemahan itu tepat dan berjaya menjelaskan maksud penulis yang menulis dalam bahasa asal? Saya secara peribadi telah bertemu dengan terjemahan-terjemahan yang mempunyai masalah seperti: tidak tepat dengan maksud asal, terlalu ringkas, menyalahi maksud penulis asal, 'hilang' iaitu tidak diterjemahkan ...dan pelbagai lagi.

Tiga:

Andai kata berlaku salah faham pada terjemahan atau perbezaan pandangan antara dua terjemahan atau lebih, bagaimanakah agaknya untuk kita pastikan mana yang lebih benar dengan maksud penulis? Sudah pasti kita perlu melihat kepada teks asalnya dalam B.Arab bagi menyelesaikan perselisihan.

Saya kadangkala hairan dengan 'kesedaran' tentang keperluan B.Arab pada orang yang bukan penuntut ilmu-ilmu Islam secara khusus. Mereka amat 'bersemangat' untuk belajar B.Arab...semoga Allah SWT memudahkan jalan untuk mereka.

Tapi saya lebih hairan dengan sikap 'qana'ah' pada diri sebahagian penuntut ilmu-ilmu Islam atau pengkajinya mengakibatkan mereka tidak berusaha menguasai B.Arab. Semoga Allah SWT mengembalikan semula 'semangat yang hilang' (xpdc)

Jangan 'tamat pengajian' menipu kita bahawa pengajian sudah benar-benar 'tamat'.

No comments: