Monday, December 07, 2009

Bersama Siyar A'lam al-Nubala'...Ahmad Bin Abi Khalid

Siyar A'lam al-Nubala' adalah salah sebuah buku terkenal karya imam hadith dan sejarah Islam yang agung - Al-Zahabi (wafat 748 Hijrah). Ringkas cerita, buku ini menghimpunkan kisah hidup dan apa yang penting berkaitan tokoh-tokoh terkemuka dalam sejarah Islam. Tokoh-tokoh dalam pelbagai ilmu Islam, imam-imam fiqh dan hadith, ulama dalam bidang bahasa..malah tokoh-tokoh aliran terkenal seperti Mu'tazilah dan lain-lain juga ada!.

Ketika membuka jilid 10 - saya asyik membaca kisah Abdullah Bin Maslamah al-Qa'nabi (murid Imam Malik Bin Anas dan guru Imam al-Bukhari). Lalu mata saya terpandang kisah seorang tokoh sebelum beliau iaitu - Ahmad Bin Abi Khalid (wafat212H), salah seorang menteri dalam kerajaan Khalifah al-Ma'mun. Sekali baca saya sudah tertarik dan kagum, serta pelik.

Ahmad Bin Abi Khalid merupakan seorang hebat dalam bidang politik dan juga berilmu dalam pelbagai bidang. Tetapi ada dua sifat yang nampak seolah berlawanan, ada pada dirinya...elok kita tengok bersama:

Pertama - Mukanya amat garang, bengis dan dia tidak akan senyum kepada sesiapa...orang besar atau orang kecil..begitulah yang digambarkan oleh mereka yang bertemu dengannya.

Kedua - Dia sangat sangat pemurah (dua kali 'sangat), dermawan, suka membantu...dia pernah menawarkan derma sebanyak sejuta dirham (wang emas tuu) dengan begitu selamba!

Sehinggakan ada seorang lelaki (mungkin kurang berilmu atau ingin bergurau) menyatakan bahawa Ahmad Bin Abi Khalid telah mendapat satu 'kurniaan' yang tidak diperolehi oleh Rasulullah S.A.W.! Mendengar kata-kata ini Ahmad terus memarahinya dengan berkata 'celaka engkau, apa 'kurniaan' itu?'.(Lihatlah betapa garangnya beliau). Lalu lelaki malang itu berkata bahawa di dalam Al-Quran Allah SWT berfirman yang bermaksud:'Sekiranya engkau kasar dan keras hati, pasti manusia akan beredar menjauhkan diri darimu' (Surah Ali Imran, ayat 159), tetapi kamu pula 'kasar' dan 'keras hati' tetapi manusia tidak lari darimu!

* Pernah kan kita jumpa orang macam tu? Muka yang 'tersangatlah' garang...Sifat peribadi yang 'tersangatlah' baik. Tapi mungkin tak ramai orang macam ni. Sebab tu jangan cepat 'menilai' manusia hanya kerana wajahnya sahaja.

Satu lagi yang ingin saya kongsi bersama tentang menteri yang pelik dan hebat ini...kata-katanya:

"Sesiapa yang tidak mampu menderma hartanya, dia tidak akan mampu menderma jiwanya"

Aduh. Hebat sungguh kata-kata ini. Kepada orang yang semangat sangat bercakap tentang jihad...tengok dulu diri kita ...mampu tak kita menderma?

Imam al-Zahabi ketika menukilkan kata-kata Ahmad Bin Abi Khalid ini, beliau terus memberikan ulasan : "Keberanian dan Pemurah itu adalah bersaudara.."

* selalulah baca kisah-kisah orang hebat sebegini kerana ia bukan sekadar kisah, tetapi ia penuh dengan pengajaran!

Doakan saya rajin untuk berkongsi lagi cerita sebegini! Amin!

(Asalnya nak cerita tentang Abdullah al-Qa'nabi, tetapi tukar pulak kisah orang lain. Insya Allah akan datang kisah tentang Abdullah al-Qa'nabi)

2 comments:

Ontahapo said...

Best...best. Kalau boleh banyakkan lagi tulisan macam ni bro!

pentakde said...

Assalamu'alaikum, buku ni dah diterjemah dalam bahasa melayu?