Melihatkan pelbagai gelagat muslim dan muslimah masa kini membuatkan saya terfikir tentang keperluan membentuk kembali pemikiran muslim. Pembentukan ini perlu diasaskan dengan asas-asas kukuh yang diserap daripada ayat-ayat Al-Quran (yang difahami) dan hadith-hadith sahih (yang juga difahami dengan baik).
Sebagai contoh, asas 'dosa dan pahala' di dalam Islam sudah dilihat jarang dihayati malah jarang diperkatakan dengan serius dalam kalangan orang-orang Islam masa kini. Sedangkan konsep inilah yang mampu mendorong ke arah kebaikan dan menghalang daripada terjebak dalam kejahatan.
Begitu juga asas yang berkaitan tentang 'keperluan ilmu dalam ibadah' juga perlu dihayati kembali dalam pemikiran masyarakat Islam agar mereka tidak lagi beribadah dalam bentuk 'ikut-ikutan'.
Asas berkaitan 'halal dan haram' juga perlu dihayati pada masa kini di mana terdapat banyak jalan-jalan 'mencipta' wang dan harta yang masih belum terang dan nyata adakah ia halal atau tidak. Ini penting agar wang yang akan digunakan nanti mempunyai nilai keberkatan dan bukannya wang yang bakal membawa dosa demi dosa di akhirat nanti.
Sebagai seorang muslim dan muslimah yang menuturkan dua kalimah syahadah, sepatutnya dan seharusnya mereka tidak menjadi manusia yang mempunyai sifat '2 alam' atau 'double standard' - sekejap mentaati Allah dan sekejap lagi pula meninggalkan perintah Allah.
Semoga Allah SWT memberikan kita keteguhan dalam menerapkan Islam dalam seluruh kehidupan.
No comments:
Post a Comment