Wednesday, July 30, 2008

Sakit, Letih, Susah Hati...

Itulah perkataan-perkataan yang sesuai untuk menggambarkan situasi saya ketika menulis blog ini sekarang...

Semoga itu semua mengampunkan dosa saya..

Semoga itu semua memberikan saya ganjaran di sisi Allah yang Maha Kuasa..

Semoga awan mendung akan berganti cerah dan cahaya...

untuk sahabat yang membaca...doakanlah kebaikan untuk saya dan kita semua.

Terima kasih!

Friday, July 25, 2008

Tenangkan Minda Dengan 2 Buku Baru....




Apa? Bukan...ini bukan buku saya. Keduanya adalah buku Ustaz Sahrulazmi Bin Sidek...

Kalau nak kelainan...kena la cuba sesuatu yang baru. Mungkin penulisnya anda belum kenal, tapi sebenarnya orang-orang yang suka beli buku memang kenal. Bagi saya apa yang penting ialah 'ilmu' nya terutama dalam bidang sejarah Islam. Merupakan salah seorang daripada senior saya di universiti dulu....jom la tengok buku tu....


nak beli? rujuk blog dia lah - www.ibrahsejarah.blogspot.com (ada kat senarai link dalam blog saya ni)...

selamat membaca dan menikmati kelainanya!

Tuesday, July 22, 2008

Solat...Ramaikah Yang Begini??

Tulisan ini berdasarkan kisah benar..
Di sebuah surau yang sedang diubahsuai agar lebih besar...
ramai yang sedang menunggu azan asar...
termasuk beberapa orang pekerja yang berehat sebentar..

Apabila azan dilaungkan...
ada yang bergegas berwudhu' dan menyucikan badan...
ada yang solat sunat dan ada yang bersandar kepenatan...
Namun mereka itu masih berehat dan berbual tanpa silu dan segan..

Apabila iqamah bergema...
kesemua jemaah menuju ke saf merebut takbir pertama...
pekerja-pekerja itu masih berehat seperti biasa...
tak solat ka?..

Ketika solat berlangsung...
imam dan makmum bertakbir dan menyanjung...
mereka tetap di situ, malu seolah tidak wujud langsung..

Apabila imam mengakhiri solat...
berzikir, berdoa memohon berkat...
mereka masih seperti itu, seolah mereka terlalu penat...


- Mereka berada di surau...

- Mereka orang Islam.

- Mereka berhenti dan berehat untuk orang ramai menunaikan solat...

- Mereka berada setiap hari hampir setiap waktu zohor dan asar...


Tetapi mereka tetap tidak solat...

Agaknya puas ajk surau menegur....namun begitu....KALAU DAH TAK NAK..APA NAK DIKATA?

...ramaikah yang begitu???

Saturday, July 19, 2008

Lupa Akhirat...Punca Segala Dosa dan Kejahatan


Saya teringat satu watak dalam siri kanak-kanak yang saya minat sejak kecil iaitu 'Sesame Street'...watak itu ialah 'Forgetful Jones' (lihat gambar tuu)...

Forgetful Jones adalah satu watak yang amat amat sangat pelupanya...ingat satu benda, lupa benda lain..ingat perkara kedua, lupa perkara pertama...

Tapi bukanlah saya nak bercerita tentang Forgetful Jones, tapi nak bercerita tentang satu nasihat daripada salah seorang ulama di pantai timur (diambil daripada rakaman ceramah) tentang LUPA AKHIRAT

Beliau menyebut .."BILA MANUSIA NI SEDAR BAHAWA DIA AKAN HIDUP BALIK DENGAN TAK ADA KUASA MENOLAK, DAN KITA AKAN DIHAKIMI, MULAI DARI SITULAH..MANUSIA AKAN BERFIKIR 2 KALI UNTUK BUAT BENDA-BENDA YANG DIPANGGIL MAKSIAT....

Begitulah kita...saya dan anda...

Kalau kita betul-betul duduk sejenak dan ingat kepada akhirat...

Kalau kita berhenti seketika dan berfikir tentang hari pembalasan...

Kalau kita tumpukan pemikiran kepada hari terdedah segala amalan...

Kita berikan sepenuh fokus dalam sedar...kepada hari yang terakhir...hari akhirat..

PASTI HIDUP KITA AKAN JADI LEBIH BAIK..LEBIH BERNILAI DAN BERHARGA DI SISI ALLAH ...

....renungan utk diriku dan dirimu...

Monday, July 14, 2008

Bukan Semua Cerita Orang Itu Benar...



Saya teringat antara watak yang saya minati sejak kecil - Sherlock Holmes...Penyiasat Terkemuka....takkan tak kenal?

Sememangnya kita perlu contohi sikap Mr. Holmes. Biar apa yang sampai ke telinga kita akan melalui panel penapisan (sama ada berasaskan logik akal atau berasaskan syariat)...sebelum dipercayai atau ditolak.

Panduan mudah yang boleh saya kongsi bersama...

Kalau sampai kepada kita sesuatu cerita atau berita...lihatlah siapa yang membawa cerita/berita itu. Kalau boleh, bertanyalah serba sedikit tentang cerita/berita itu...bandingkan pula (jika boleh) dengan cerita daripada sumber yang lain...


Jangan kita jadi dua manusia berikut:

1- Mudah percaya apa saja berita/cerita yang sampai ke telinganya.

2-Mudah tak percaya apa saja berita/cerita yang sampai ke telinga.


Tapi kebanyakan orang yang saya temui adalah kategori no. 1.


So, marilah kita sama-sama mengubah sikit (sikit je) cara kita berfikir.

selamat mencuba!

Saturday, July 12, 2008

Kalau Ada Kelapangan...Jemputlah Datang

Assalamualaikum,

Bicara Ilmu Hujung Minggu.

Tajuk : Perkahwinan Rasulullah S.A.W- Fakta, pengajaran dan penghayatan.
Penceramah : Ustaz Adlan Abd Aziz
Tarikh : Ahad, 13hb Julai 2008
Masa : 10 – 11.30 pagi
Tempat : The Little Khalifah shop
2750A Jalan Changkat Permata
Taman Permata
53300 Kuala Lumpur

Penyertaan adalah percuma.
Untuk pendaftaran sila hubungi : 03 4147 2626

Thursday, July 10, 2008

Terkenang Semasa Dulu....Best!



Baru sebentar tadi seorang sahabat sejak di bangku sekolah telefon...'hang cuba buka tv1'..saya pun buka tv1..rupa-rupanya ada persembahan nasyid dari bekas sekolah kami berdua...

Bukan itu yang menyentuh hati..tetapi nama kumpulan nasyid tersebut masih lagi seperti waktu kami asaskan dahulu...fuh...menangkap ke dalam qalbu!

Teringat semasa dulu...susah payah menubuhkan kelab nasyid buat julung-julung kali di sekolah. Pelbagai dugaan dan cabaran..ada pujian, ada kritikan...

Akhirnya...kami berjaya membuat persembahan demi persembahan di sekolah. Masih ingat lagi sewaktu sama-sama bernasyid dan berkompang serta bergendang...(itu saja alat yang kami tahu mainkan)..

Tak sangka...setelah 13 tahun...kumpulan kecil yang diasaskan itu kini muncul di kaca tv ..kekal dengan nama yang kami fikirkan bersama dahulu! Walaupun adik-adik itu tidak lagi kenal siapa pengasasnya, kami tumpang gembira di atas kemajuan dan kejayaan mereka..

Best...best...

Saturday, July 05, 2008

GENERASI YANG TIDAK PEDULI...?


*Adakah kita sedang menyaksikan kemunculan satu generasi yang tidak kisah..halal atau haram..dosa atau pahala...TIDAK PEDULI SOAL AGAMA?

*Bagi yang pernah menemuinya, pasti mereka akan bersetuju wujudnya segolongan begini..

- Saya tidak mahu meletakkan manusia muslim/muslimah ke tahap malaikat...tapi adakah kita perlu jadi setahap syaitan?

- Saya tidak mahu menolak kemungkinan muslim/muslimah itu melakukan dosa...tapi adakah dengan langsung tidak terusik atau tersentuh di hatinya bahawa dia berdosa?

- Saya tidak mahu menafikan peluang 'taubat' yang dikurniakan Allah SWT untuk orang-orang yang pernah berdosa...tapi adakah dengan menjadikan taubat sekadar mainan?

Kita tahu bahawa setiap manusia melakukan kesilapan dan dosa...

Tapi pilihlah:

A - Manusia berdosa yang sedar dirinya berdosa dan ingin berubah...
B - Manusia berdosa yang langsung tak peduli dosa atau pahala...lantaklah?

Semoga saya, anda dan mereka membuat pilhan yang tepat...

Merasa bersalah dalam melakukan dosa adalah tanda anda beriman! Sebaliknya tidak merasa bersalah dalam melakukan dosa pula adalah tanda....?

Saturday, June 28, 2008

Kalau Tidak Tahu, Kenapa Perlu Malu?



* Sebahagian kita mempunyai pelbagai persoalan tentang Islam yang berkaitan dengan kehidupan seharian. Sememangnya tiada muslim atau muslimah yang tahu semua perkara tentang hukum agamanya (termasuk para ustaz dan ustazah). Oleh itu kita perlu bertanya...tapi...ramai juga yang malu.

* Kalau kita malu bertanya tentang urusan dunia, bukankah itu akan menyusahkan kita juga? Kalau kita malu bertanya tentang ubat-ubatan contohnya, bukankah itu akan melambatkan proses mengubati penyakit?

* Kita selalu melaungkan - Malu Bertanya..Sesat Jalan!

Bayangkan kalau orang yg sakit malu berjumpa/bertanya doktor...atau seorang pelajar malu berjumpa/bertanya guru...atau seorang 'beginner' dalam sesuatu bidang malu bertanya dengan mentornya yang berpengalaman?

Hasilnya: masalah tak akan selesai!

Begitu juga soal agama - yang lebih penting dan lebih besar!

* Buangkan sifat malu tidak bertempat itu...jadikan diri kita berani bertanya tentang soal agama kepada orang yang berilmu.
- Apatah lagi jika perkara yang kita ingin tahu itu akan menentukan baik buruknya tempat kita di akhirat nanti?
- Apatah lagi kalau perkara itu berlegar antara dosa dan pahala?

* dan saya akui di sini...walaupun saya sendiri seorang ustaz...saya tidak malu untuk mengakui bahawa BANYAK lagi perkara yang saya tidak tahu dan pasti saya perlu berhubung dan bertanya dengan kawan-kawan yang lebih tahu....

apa yang nak saya malukan?

Monday, June 23, 2008

SANGKAAN BAIK ORANG LAIN - Nikmat Yang Wajib Disyukuri



Pernahkah anda terfikir...

* betapa ramai manusia di sekeliling kita (kenalan atau keluarga) yang bersangka baik terhadap diri kita? Mereka selesa apabila bertemu dengan kita...mereka menyukai diri kita...sekurang-kurang mereka tidak membenci diri kita...

* bandingkan pula dengan orang-orang yang tidak begitu mesra atau tidak begitu bersangka baik dengan kita....atau mereka membenci kita malah tidak mahu menatap wajah kita?

* pasti yang menyukai dan bersangka baik adalah LEBIH RAMAI...tak percaya?
Cuba fikirkan sejenak....fikir betul-betul...

Harapnya anda seperti saya dan ramai lagi orang lain yang mempunyai lebih ramai manusia di sekelilingnya yang bersangka baik terhadapnya...

Ini adalah nikmat daripada Allah SWT...

- bukan senang nak jadikan orang menyukai kita tanpa apa-apa sebab..

- bukan mudah untuk mendapatkan 'sangkaan baik' daripada manusia lain..

- adakah kita benar-benar layak untuk diberikan 'sangkaan baik' yang begitu tinggi nilainya itu? Daripada ramai orang yang berada di sekeliling kita?

- orang bertemu dengan kita dan mempunyai pandangan +ve terhadap diri kita...ia bukan perkara kecil!

ia anugerah dari Allah..yang wajib kita syukuri...tapi bagaimana?

mungkin saya akan menjawabnya dalam tulisan akan datang...mungkin anda sendiri tahu jawapannya...

jom kita fikirkan sejenak....

Monday, June 16, 2008

Surat Untuk Anakku Ammar...Tahniah!



Ammar...(7 tahun)

Buat Ammar....

Tiada yang abi dan ummi harapkan dari Ammar melainkan yang terbaik...di dunia dan akhirat..

Tidak kami sangka Ammar mempunyai minat ke arah menghafaz kitab Allah,...Semuanya ini adalah nikmat daripada Allah SWT ke atas dirimu dan diri kita sekeluarga...

Tiada yang dapat menggambarkan betapa gembiranya hati kami apabila Ammar berjaya menghafaz keseluruhan juzuk 30 dalam masa 5 bulan - dan sekarang memulakan hafazan juzuk 29...

Teruskan langkahmu wahai anakku..memimpin adik-adikmu (Amir dan Ahla Adlina)

Semoga engkau menjadi insan yang soleh..dikurniakan istiqamah...diredhai Tuhanmu..

amin...

Abi dan Ummi

Monday, June 09, 2008

Tiada Teman Sehebat Buku


Kita boleh bertemu dengannya pada bila-bila waktu...

Kita boleh berada bersama dengannya di mana-mana sahaja...

Kita boleh menatapnya begitu lama tapi dia tidak jemu atau bosan...

Kita boleh membawanya bersama kita ke mana jua...

Dia tidak meminta apa-apa dari kita...

Kalau kita campakkan atau hentakkan pun dia tidak merungut..

Apabila kita jemu, kita abaikan saja...dia tidak bersedih...

Bila rindu, kita cari kembali dan membukanya untuk dibaca..dia tidak merajuk...

Diconteng, diwarna atau dilipat...sedikit pun dia tidak kisah...

DAN YANG PALING PENTING UNTUK KITA INGATI BERSAMA...

Dialah teman waktu sunyi...waktu kita dah tua nanti...dah tak ada orang nak berbual atau bergurau lagi...
dialah teman setia kita...tiada teman sehebat dia...

(Ditulis berdasarkan kata-kata nasihat salah seorang guruku, Syeikh Syuaib al-Arnaout - semoga Allah SWT memelihara beliau, melanjutkan umurnya dan memberkati hidupnya untuk manfaat seluruh umat....)

Thursday, June 05, 2008

TIADA SAHABAT YANG SEMPURNA...TERMASUKLAH ANDA!


...SETELAH 5 HARI TERPUTUS DARI INTERNET....

Baru-baru ini saya berbincang dalam telefon bersama salah seorang sahabat saya sejak sekolah menengah...berkenaan maksud 'sahabat' atau 'kawan'. Kami berbicara tentang pentingnya bersahabat dan menghargai persahabatan. Begitu juga kami berbual tentang beberapa masalah dalam berkawan.

Apabila mengenangkan perbualan kami tadi, saya merasakan perlunya kita saling nasihat-menasihati khusus tentang cara kita bersahabat atau berkawan.

Salah satu perkara yang dirasakan perlu kita akui bersama ialah...SAHABAT/KAWAN KITA TIDAK SEMPURNA..

ada yang tidak pandai menghargai diri kita..

ada yang berkawan hanya kerana kepentingan tertentu...

ada yang 'kenal' kita hanya ketika kita 'di atas'...

ada yang mengkhianati kita...ada yang menipu kita...

ada yang mengambil hak atau menzalimi dalam keadaan sedar atau tidak sedar...

ada yang sanggup memutuskan persahabatan hanya kerana perkara remeh...

ada pula yang bergurau ...tapi hanya dia seorang sahaja yang ketawa!

dan macam-macam lagi...

ingatlah...MANUSIA TIDAK ADA YANG SEMPURNA..akan ada kelemahannya ..suka atau tidak...

dalam masa yang sama, mungkin ada kawan/sahabat kita yang menganggap kita sedemikian rupa....

ini kerana...KITA JUGA TIDAK SEMPURNA...

oleh itu wahai sahabat, wahai kawan...jangan terlalu memperbesarkan kesilapan kawan/sahabat kita sedangkan kita juga melakukan perkara yang sama...

sama-samalah kita perbaiki, pelihara dan kekalkan persahabatan...

bersamalah kita perbaiki kekurangan diri...

hidupkan kembali ukhuwah kita...!

Friday, May 30, 2008

Dulu Kita....Kini Mereka....

Beberapa hari berhenti dari mencoret sesuatu dalam blog ini...

Alhamdulillah...bermulanya cuti sekolah, kami sekeluarga terus pulang ke kampung...cuti kali ni memang betul-betul nak bercuti...puas hati.

Bila melihat kegembiraan anak-anak...teringat satu masa dulu...bukan sekadar kita yang teringat, tapi ibu kita (nenek mereka) pun teringat sewaktu membawa kita bersiar-siar dan bermain di pantai ...

dulu kita...kini mereka pula...cepat sungguh masa berlalu..




Ammar, Amir dan Ahla Adlina di tepi pantai.




Ahla sedang memerhatikan keadaan sebelum 'menyerang' air laut

Thursday, May 22, 2008

BERHENTI SEJENAK...SIAPA ANDA SEBENARNYA?


Sebelum anda menjadi seorang yang hebat, dikenali, lengkap serba-serbi...

Sebelum anda menjadi seorang yang petah berbicara, memukau semua...

Sebelum anda berharta...mengumpul dan berbelanja semahunya...

Sebelum anda dewasa...berbicara isu semasa...memuja dan menghina...

Sebelum anda yakin...penuh semangat...tahu bertindak tanpa bantuan sesiapa...

Sebelum anda berilmu...berinformasi...tahu semua perkara yang orang tidak tahu...

Sebelum anda berkeluarga...beristeri...bersuami...beranak pinak dalam rumah besar...

Sebelum anda berijazah...berkelulusan...diiktiraf di mata manusia...

and the list goes on...

sebelum semua itu......anda tidak punya apa....


ITULAH ANDA SEBENARNYA.........!

- perbaikilah hubungan dengan YANG MEMILIKI SEGALANYA....

Tuesday, May 20, 2008

PENGAJARAN BERGUNA DARI FILEM 'AHMAD ALBAB'


Sambil-sambil menggunakan komputer, rupa-rupanya anak-anak saya tengah seronok tengok cerita Ahmad Albab. Bagi saya yang dah berkali-kali tengok, memang tak kisah sangat dapat tengok ke tidak. Anak bongsu saya - Ahla Adlina - nampak berminat betul...hehe..

Tapi sambil tengok tak tengok tu...tiba-tiba saya 'terperasan' satu dialog dalam filem tu...maksudnya lebih kurang ialah anak orang kaya al-buaya tu kata kepada bapaknya bahawa dia nak buktikan bahawa 'kebahagiaan itu ada pada Tuhan' bukan 'dari bapak'...begitulah kira2nya (sapa2 yang ingat tu minta betulkan).

Terfikir sejenak saya dibuatnya...dah lama dan berkali-kali tengok cerita ni tapi tak pulak sedar adanya skrip yang begitu 'islamik' ini. Memang cerita Allahyarham P. Ramlee banyak nilai-nilai moral, Islamik dan tak kurang juga Bahasa Arab...ada juga perkara yang orang kritik..tapi kita ambil yang jernih, buang yang keruh.

Bagi sebahagian orang, filem2 P. Ramlee jauh lebih baik daripada filem-filem zaman ini....

Apa kata anda?

Tuesday, May 13, 2008

SAKIT..HANYA AKU YANG MENGERTI

Sakit…hanya orang yang sakit tahu bagaimana rasanya sakit…

Walaupun sejuta orang memberikan simpati dan memberikan kata-kata manis, namun orang yang sakit jualah yang tahu bagaimana beratnya sakit itu...

Alhamdulillah, setelah beberapa hari ditimpa beberapa penyakit (walaupun kecil tapi cukup menyakitkan)....

Setelah beberapa malam merasai bagaimana peritnya tidur yang diganggu dengan sakit....

Setelah beberapa ketika menanggung sakit yang tidak boleh dikongsi walaupun dengan isteri yang disayangi...(semoga Allah SWT membalas jasanya yang bersabar dan menjaga suaminya ini. Ya Allah, anugerahkanlah dirinya kasihMU sebagaimana dia telah mengasihiku)...

Akhirnya....

Sakit itu pergi juga...ibarat tetamu yang tidak diundang, masuk menjengah ke dalam tubuh, singgah untuk menambahkan derita tuan rumah...akhirnya dia mengambil keputusan untuk pergi membawa diri....

Ya Allah...ku tahu sakit dan sihat, nikmat dan azab, suka dan duka..semuanya adalah ujian dariMU....aku bersyukur kerana masih berpeluang merasai sihat, nikmat dan suka...setelah diri ini diuji sakit, azab dan duka...

Ya Allah...syukur kepadaMU kerana memberikan diriku kesabaran dan kesembuhan...ketenangan dan kegembiraan....

Namun...sampai bilakah agaknya diri ini akan bertahan dalam mensyukuriMU biar senang atau susah?

HARI IBU - HARI MENGENANG KESILAPAN

Bagi saya...

Hari Ibu bukan untuk memberikan kata-kata manis, hadiah, 'surprise', kad-kad wangi atau sms yang anda hanya 'forward' dari sms kawan-kawan...dan lain-lain...

Bagi saya...

Hari Ibu adalah hari untuk meningkatkan kemesraan dan komitmen terhadap ibu...

Hari untuk menginsafi jasa mereka....tanpa perlu memberitahu mereka pun...

Tapi yang lebih penting bagi saya...

Hari Ibu adalah hari untuk mengenang kembali segala kesilapan kita yang membuatkan ibu kita sedih, tertekan, marah, kecil hati, rasa sunyi, rasa terasing, rasa dipinggirkan dan pelbagai lagi rasa negatif...hasil daripada kesalahan kita...kita anak-anaknya..

Itu adalah makna Hari Ibu kepada saya...

anda bagaimana?

Thursday, May 08, 2008

AJAK ANAK SOLAT...


Tulisan kali ni khusus untuk ibu bapa yang mempunyai anak-anak....

Anak sulung saya (Ammar) - ya Allah, peliharalah dirinya dan muliakanlah akhlaknya - dah masuk 7 tahun. Bila 7 tahun, kita digalakkan menyuruh anak-anak kita solat.

Memang bagus kalau kita suruh...tapi lagi bagus kalau kita ajak dia solat sama-sama. Berjemaah. Tapi first time pegi solat Jumaat dengan anak saya, resah juga dia. Mungkin elok mulakan dengan solat biasa kat rumah dulu. Terpulang kepada keadaan.

Lain rasanya bila kita ajak anak solat bersama...dan anak kita pun ada perasaan 'kebersamaan' menunaikan solat. Memang best. Hanya mereka yang tahu saja akan rasa best.

Apa kata kita cuba pada anak-anak kita?

Kalau kita boleh menonton tv bersama, bersukan bersama, membeli belah bersama, melancong bersama...kita pasti boleh SOLAT BERSAMA....

utamakan keluarga...masyarakat bahagia...!

Sunday, May 04, 2008

'Kebiasaan' Menghalang Perubahan


Kita amat mengenali diri kita...

Kita tahu bahawa dalam diri kita ada macam-macam perkara yang perlukan perubahan. Ramai dalam kalangan masyarakat kita yang tahu perkara ini. Mereka nak sangat berubah daripada yang buruk kepada yang baik, daripada yang baik kepada yang lebih baik.

Setiap tahun, setiap kali sambutan ulang tahun, setiap kali ada sesuatu tarikh penting atau setiap kali beli diari baru...ramai berazam untuk membuat perubahan...

Tapi masih tak jadi..atau ada yang jadi tetapi banyak yang tak jadi..hangat-hangat tahi ayam menurut pepatah lama..

Antara sebabnya (pada hemat saya) adalah kebiasaan...rutin harian...kelaziman kita menjalani jadual hidup seharian menyebabkan kita sukar untuk mengubahnya dan mengubah yang lain.

Memecahkan kebiasaan dan kelaziman itulah perkara pertama dalam melakukan perubahan.

Berdoalah..dan berusahalah...bertanyalah kepada yang telah berjaya...

insya Allah, saya dan anda pasti dapat mengubah sesuatu...

tapi jangan gopoh..kejayaan tidak datang dalam sekelip mata.

jangan pula putus asa...setiap perkara bermula dengan langkah pertama...