Thursday, May 19, 2011

2 Tokoh Dakwah Dunia Islam - Dr.Salman & Dr.Al-Qarni



Dalam artikel yg sebelum ni bertajuk 'Agama Bukan Milik Arab Saudi Semata-mata' saya telah sebutkan dalam perenggan kedua berbunyi:

"Sebenarnya saya sendiri pun mengkagumi sebahagian ulama dari Arab Saudi seperti Dr.Salman al-Oadah (www.islamtoday.net) dan pengarang buku 'La Tahzan' iaitu Dr. Aidh al-Qarni serta lain-lain lagi."

Biarkanlah kontroversi yang sedikit tentang artikel yang itu. Artikel ringkas kali ini ingin memperjelaskan mengapa saya mengkagumi dua orang tokoh ini - Dr.Salman al-Oadah dan Dr.Aidh al-Qarni.

1-Sejak saya mengenali mereka beberapa tahun yang lalu, saya asyik mengumpulkan apa sahaja yang ditulis oleh kedua tokoh ini termasuklah segala rakaman audio video mereka. Inilah cara untuk kita cuba memahami pemikiran tokoh yang kita minati, bukan dengan hanya satu dua tulisan atau satu dua ceramah.

2-Saya dapat mereka amat mendalami ilmu-ilmu Islam dan ia dilakukan dengan penuh disiplin. Belajar segala ilmu-ilmu sokongan, banyak membaca, banyak berguru dengan ramai dan pelbagai guru, berbincang dengan rakan-rakan pendakwah (contohnya Dr.Muhammad al-Arifi, Dr.Nabil al-Awadhi, Dr. Al-Turairi dll). Inilah di antara cara dan teknik mempelajari ilmu agama.

3-Mereka juga amat 'produktif' dengan pelbagai hasil dakwah. Dr.Salman dengan laman webnya (islamtoday.net), majalahnya, bukunya, program tv dan radionya, kuliah masjid dan ceramah umumnya malah melalui twitter dan facebook juga begitu banyak mutiara kata. Samalah juga dengan Dr.Al-Qarni - siapa tidak tahu buku-bukunya seperti La Tahzan (jangan bersedih) yang merupakan 'best-seller' di seluruh dunia. Program tv beliau, program radio, ceramah dan kuliah di masjid serta pusat dakwah seluruh dunia. Seharusnya kita harus mencontohi mereka dengan melakukan dakwah sekadar mampu malah semampu mungkin di mana sahaja bila-bila masa.

4-Keterbukaan mereka menghairankan dan menyejukkan hati dalam masa yang sama. Di kala ada sebahagian tokoh meletakkan dinding antara mereka dan beberapa tokoh yang 'tidak sealiran', kedua tokoh ini mengambil pendekatan bersahabat dan berbaik juga menegur kalau berbeza pandangan. Dr.Salman sebagai contoh begitu rapat dengan Dr.Yusuf al-Qaradawi dan menjadi teman perbincangan malah pembantu yang amat rapat dalam Kesatuan Ulama Sedunia. Sedangkan pandangan Dr.Yusuf banyak ditolak oleh sebahagian tokoh dari negara yang sama dengan Dr.Salman. Itu tidak menghalang beliau untuk memuji dan mengambil ilmu serta pengalaman Dr.Yusuf. Dr.Aidh juga begitu dengan pelbagai tokoh dakwah seluruh dunia Islam menjadi sahabatnya. INilah yang patut ada, bukan label melabel sampai membahagikan pula ulama - ada yang boleh ikut,ada yang kena dijauhi. Begitukah sikap ahli ilmu? Tidak. Malah sikap ahli ilmu adalah seperti yang ditunjukkan oleh Dr.Salman dan Dr.Aidh.

5-Mereka kerap dihentam dan dilabel oleh segolongan penuntut ilmu yang bencikan mereka dalam kalangan orang arab sendiri dan juga bukan arab. Sudah lama kita temui laman-laman web dan blog menghentam kedua tokoh ini. Sudah lama dalam youtube.com ada video-video khas dibuat untuk menghina dua tokoh ini. Sudah ada ceramah dan kuliah menghentam mereka. Saya ingin berkongsi satu cerita yang diceritakan sendiri oleh Dr.Salman dalam satu forum bersama Dr.Aidh dan Dr.Isom al-Basyir (bekas menteri agama Sudan) kerana mereka adalah rakan seperguruan. Kisah itu ialah:

Dr.Salman bercerita bahawa dia pernah dituduh dengan tuduhan negatif iaitu beliau ialah 'ikhwan muslimun' (ia bukanlah negatif tetapi ia dianggap negatif oleh sebahagian penuntut ilmu) lalu diberitahu tuduhan ini kepada Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani. Lalu negatiflah pandangan al-Albani kepada beliau. Lalu beliau telah menghantar semua penulisan dan kaset-kaset ceramah beliau kepada Syeikh al-Albani untuk diminta penilaian dengan penuh hormat. Lalu al-Albani setelah mendengar dan membaca apa yang dihantar telah membuat satu kenyataan yang amat baik di hadapan murid-muridnya iaitu 'Kalaulah semua ikhwan muslimun seperti Salman al-Oadah, alangkah baiknya' dan Dr. Salman tersenyum dan seluruh hadirin senyum bersama beliau termasuk Dr.Aidh dan Dr.Isom.

Renungkanlah bersama wahai sahabat.....

p/s: artikel sebelum ni mengkritik penuntut ilmu yg taksub memenangkan pandangan ulama saudi dalam semua hal. Itu maksud artikel tu bagi yang masih lari tajuk dan tak faham tujuan.Tak pernah pun nak kritik peribadi syeikh-syeikh Saudi yang pernah saya berguru dengan mereka seperti syeikh Uthaimin. Artikel kritik pentaksub, bukan yang ditaksub. Jazakumullah

Wednesday, May 18, 2011

Agama Bukan Milik Ulama Saudi Semata-mata

Mengapa tajuk ini? Tajuk ini berkaitan dengan sebahagian penuntut ilmu agama (bukan semua ya) yang asyik-asyik 'mengutamakan' dan 'mendahulukan' ulama dari Arab Saudi berbanding ulama lain. Ada yang bertanya: 'tak boleh ke?'. Bukan tak boleh, tapi...

Sebenarnya saya sendiri pun mengkagumi sebahagian ulama dari Arab Saudi seperti Dr.Salman al-Oadah (www.islamtoday.net) dan pengarang buku 'La Tahzan' iaitu Dr. Aidh al-Qarni serta lain-lain lagi. Tapi masalahnya ialah...

Sebahagian penuntut ilmu dan pendakwah di Malaysia ini terlalu mengagungkan para ulama dari Arab Saudi sehingga hampir semua pandangan yang terbaik mesti datang dari Saudi.

Kalau dari segi aqidah, ulama Saudilah yang paling jelas aqidahnya dan paling mantap penjelasannya. Merekalah yang boleh menentukan mana yang aqidah 'bersih' dan mana pula yang 'bercampur'. Kalau anda sebut golongan itu dan ini maka jawabnya 'mereka sesat tapi tak kafir', 'aqidah tak jelas', 'aqidah tak ikut salaf' dan sebagainya. Begitu mudah - ikut aqidah hasil penerangan ulama Saudi!

Kalau dari segi tafsir, tafsiran sanalah yang akan menang. Kalau ada perbezaan/khilaf dalam tafsir, maka tafsiran ulama Saudi jugalah yang paling 'tepat'. Kalau anda sebut ulama tafsir terkemuka lain seperti as-Sya'rawi, maka jangan terkejut kalau mereka akan semak berulang kali dengan tafsir dari Saudi - ikut tafsir ulama Saudi!

Kalau dari segi hadith, lagilah hebat. Ulama Saudi + ulama hadith salafi lainlah yang akan jadi penentu - tak payahlah susah payah nak tengok pandangan dan kajian ulama silam, cukup tengok ulama salafi moden, selesai masalah - dalam hadith, kena ambik ulama Saudi atau muhaddith salafi juga. Kalau kita sebut ulama lain, jangan kecik hati ya kalau mereka kata 'itu bukan muhaddith sebenar'.

Kalau dari segi fiqh, lagilah haru. Seolahnya ulama Saudi ni dialah penentu dan pemutus muktamad bagi semua perbezaan fiqh. Bawalah pandangan mazhab tu ke mazhab ni ke, mereka pasti akan tengok apa kata ulama Saudi lalu ..jeng jeng jeng - keluarlah pendapat yang kononnya paling 'rajih' kerana apa? - Fiqh ulama saudi yang terbaik!

Ingatlah sahabat penuntut ilmu:

1-Janganlah terpedaya dengan sangkaan kononnya ulama Saudi ni mewakili salafussoleh dan tidak ada yang lain melainkan salafussoleh.

2-Ingatlah fatwa2 mereka bukanlah mewakili aliran salafussoleh malah ada yang menyalahi fatwa salaf sendiri.

3-Memang kita hormati mereka kerana keilmuan dan kita tidak mencaci maki, tapi kita juga tidak boleh memperlekehkan dan memandang rendah ulama lain yang bukan salafi dan bukan saudi.

4-Pandangan ini akan membawa kpd - mengambil fatwa hanya dari ulama malaysia yg mengikut dan diiktiraf sebagai pembawa aliran salafi dan memandang rendah pula ulama lain yang tidak sealiran. Persoalannya ialah adakah kebenaran itu milik ulama Saudi sahaja atau ulama aliran salafi semata?

5-Bukalah mata, bukalah pandangan, bacalah buku yang banyak, belajarlah dari guru yang ramai, baru kita faham bahawa:

Agama bukan milik ulama SAUDI semata-mata!

Monday, May 09, 2011

Minum Dalam Keadaan Berdiri - Makruh?


Mungkin tajuknya kecil dan tidak begitu penting bagi sebahagian pembaca. Tetapi secara peribadi, inilah tajuk yang sering ditanya kepada para ustaz dan ustazah juga pendakwah oleh mereka yang ingin tahu dan ingin belajar. Apakah dengan menganggapnya remeh dan kecil maka kita tidak perlu membantu mereka yang ingin tahu?

Saya cuba menulis seringkas mungkin - Terdapat pandangan yang menyatakan bahawa yang terbaik dan mengikut sunnah ialah minum dalam keadaan 'duduk'. Manakala minum berdiri pula dikatakan 'tidak mengikut sunnah' atau 'makruh' malah ada yang menyatakan 'berdosa' walaupun terkadang diri orang itu tidak berani mengatakan 'haram'. Pandangan kedua pula menyatakan 'tidak makruh' dan 'harus'.Maka apa sebenarnya kedudukan 'minum dalam keadaan berdiri'?

1- Sememangnya terdapat hadith-hadith Rasulullah s.a.w. yang menyokong kedua-dua pendapat iaitu : ada hadith yang melarang minum dalam keadaan berdiri, dan ada hadith yang menunjukkan ia dibenarkan.

2- Di antara hadith yang melarang ialah seperti sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Muslim dan lain-lain iaitu:

لاَ يَشْرَبَنَّ أَحَدٌ مِنْكُمْ قَائِمًا فَمَنْ نَسِىَ فَلْيَسْتَقِئْ

Maksudnya:
Jangan sesekali ada di kalangan kamu minum sambil berdiri. Sesiapa yang lupa maka hendaklah dia memuntahkannya kembali.
[Riwayat Muslim - no.5398]

3- Di antara hadith yang membenarkan pula ialah seperti hadith yang berikut yang diungkapkan daripada riwayat Ali Bin Abi Tolib yang mana beliau ketika itu minum sambil berdiri di hadapan sebahagian orang-orang Islam lalu dia berkata :

إِنَّ نَاسًا يَكْرَهُ أَحَدُهُمْ أَنْ يَشْرَبَ وَهْوَ قَائِمٌ ،
وَإِنِّى رَأَيْتُ النَّبِىَّ - صلى الله عليه وسلم - فَعَلَ كَمَا رَأَيْتُمُونِى فَعَلْتُ

Maksudnya:
Sesungguhnya ada orang yang mana di antara mereka tidak suka minum sambil berdiri. Sesungguhnya aku telah melihat Nabi s.a.w. melakukan sebagaimana kamu semua melihat aku lakukan (Ali sedang minum sambil berdiri)
[Riwayat al-Bukhari - no.5615]

4- Terdapat lagi hadith-hadith yang lain yang seumpama di atas tapi cukup untuk diringkaskan di sini bahawa terdapat dua bentuk hadith yang berbeza atau kelihatan seolah-olah bertentangan dalam hal keadaan minum sambil berdiri - sama ada dibolehkan atau tidak.

5- Suka saya mengajak pembaca melihat bersama buku Jami' at-Tirmidzi yang mana kita dapati at-Tirmidzi telah membawa hadith-hadith yang berkaitan minum sambil berdiri dan disusun dengan baik. Pertama beliau membawa hadith-hadith berkaitan larangan di bawah satu bab yang dinamakan : 'Bab berkaitan hadith yang membawa larangan minum berdiri' dan di dalamnya ada 3 hadith atau 3 riwayat. Kemudian selepas bab itu, beliau membawa pula hadith-hadith yang membenarkan di bawah bab : 'Bab berkaitan hadith yang membawa kelonggaran/kebenaran minum berdiri' dan di dalamnya ada 2 riwayat.

Inilah di antara cara para ulama sejak dulu hingga kini (bukan hanya at-Tirmidzi malah semua ulama terkemuka) membawa hadith-hadith yang nampak 'seolah-olah' bertentangan lalu dikumpulkan dan dianalisis untuk difahami sebenar-benarnya hukum yang berkaitan.

5- Maka adakah minum berdiri makruh atau dilarang dengan maksud berdosa sesiapa yang melakukannya? Di sini sini saya ingin menyebutkan satu sahaja pandangan yang saya lihat amat sesuai dalam memahami keadaan yang kita bicarakan di sini iaitu kata-kata seorang imam fiqh dan hadith terkemuka - Yahya Bin Syaraf atau lebih dikenali dengan nama Imam an-Nawawi:

Menurut an-Nawawi (penyusun buku Hadith 40 dan Riyadhussolihin, seorang tokoh terkemuka dalam fiqh dan hadith (wafat pada 676H): Beliau berpandangan bahawa dibolehkan minum berdiri dan minum duduk itu lebih baik dan lebih sempurna. (Rujuk: Riyadhussolihin, bab no.114)

Beliau membuat kesimpulan itu dengan menyenaraikan enam hadith yang di antaranya ada yang melarang dan ada yang membenarkan. Maka itulah kesimpulan beliau dan itulah juga kesimpulan yang dibuat oleh ulama sebelum beliau termasuk at-Tirmidzi yang disebutkan di atas tadi.

6- Walaupun ada yang menyatakan 'makruh' dengan pelbagai alasan, namun tujuan saya menulis ini ialah sekurang-kurangnya untuk memberikan satu lagi pandangan yang pernah diungkapkan oleh ilmuan Islam yang terdahulu.

Ini semua agar kita tidaklah menyangka bahawa hanya 'satu' sahaja hukumnya iaitu 'makruh' atau 'dilarang'. Sebenarnya ada ilmuan Islam yang berpandangan ia tidak 'makruh' dan ia 'dibolehkan'.

wallahu a;lam.
Penerangan ringkas untuk sesiapa yang berkenaan....

Adlan Bin Abd. Aziz

Tuesday, May 03, 2011

Meluruskan Saf - Melekatkan Kaki?


Terdapat sebahagian sahabat-sahabat yang menyarankan teknik tertentu untuk merapatkan saf dan meluruskannya ketika solat jemaah. Di antaranya ialah dengan melekatkan atau merapatkan kaki kita hingga menyentuh kaki jemaah di sebelah kiri atau kanan kita. Adakah ini termasuk dalam perkara wajib atau sunnah dalam meluruskan saf? Itu yang akan saya bicarakan dengan ringkas di sini.

Sejak di Jordan semasa belajar dahulu, saya mula nampak gaya sebahagian orang-orang Arab di sana solat jemaah iaitu mereka begitu mementingkan saf yang lurus dan rapat. Ini berbeza dengan apa yang saya lalui sebelum pergi ke sana iaitu di beberapa masjid dan surau di Malaysia. Di Malaysia, dilihat para jemaah kurang memberikan perhatian untuk meluruskan dan merapatkan saf dan tidak bersemangat seperti apa yang saya temui di Jordan dan beberapa negara Arab lain yang sempat saya kunjungi.

Pembacaan dan pembelajaran yang berterusan telah memperkenalkan saya tentang sebahagian yang menyeru dengan semangat ke arah teknik khas dalam merapatkan dan meluruskan saf iaitu - melekatkan kaki kita dengan kaki orang yang berada di sebelah.Mereka mempromosikan 'idea' ini seolah-olah itulah yang disuruh di dalam hadith-hadith Rasulullah s.a.w. yang sahih dan tidak syak lagi ia adalah wajib.

Namun pembacaan dan pembelajaran seterusnya menjadikan saya tahu bahawa itu bukanlah sesuatu yang muktamad. Izinkan saya untuk menukilkan sebahagian perkara yang berkaitan tajuk ini iaitu - merapatkan dan meluruskan saf solat:

1- Terdapat hadith-hadith sahih yang menyuruh dan menegaskan tentang keperluan meluruskan dan membetulkan saf ketika ingin solat berjemaah.

2- Bukan setakat arahan dan suruhan, malah Nabi s.a.w. sendiri meluruskan saf pada peringkat awal kemudiannya setelah beberapa lama akhirnya para sahabat telah pun faham dan Nabi s.a.w. cukup sekadar memberikan arahan.

3- Para sahabat selepas kewafatan Nabi s.a.w. juga amat menitikberatkan hal ini dan bersungguh-sungguh dalam menjaga kesempurnaan saf solat.

4- Majoriti ulama sejak dahulu hingga ke zaman kini menyatakan bahawa meluruskan dan membetulkan saf ini adalah 'Sunat Muakkad' dan bukanlah wajib.

5- Dari segi cara dan teknik pula, para ulama menyatakan bahawa hendaklah dirapatkan dan diluruskan. Tidak ada pula penekanan sejak dahulu tentang 'melekatkan'.

6- Terdapat beberapa hadith yang menjadi hujah utk 'melekatkan' kaki iaitu kata-kata para sahabat yang menyebut bahawa ketika di zaman Nabi s.a.w., ada sahabat-sahabat yang 'melekatkan' bahu dengan bahu, lutut dengan lutut, tapak kaki dengan tapak kaki serta tumit dengan tumit. Hadith ini ialah keadaan sebahagian sahabat semasa menerima arahan Nabi s.a.w. 'meluruskan saf'. Maka ia bukanlah sabda Nabi s.a.w. tetapi ia adalah satu perkara yang berlaku di hadapan Nabi s.a.w. dan ia dibiarkan oleh Nabi s.a.w.

7- Hadith di atas merupakan hujah bagi mereka yang menyatakan bahawa itulah 'satu-satunya' cara merapatkan dan meluruskan saf. Tetapi kalau kita melihat dari sudut hadith itu sendiri, adakah ia persetujuan dari Nabi s.a.w. yang menghasilkan hukum?

8- Hadith persetujuan (taqrir) menurut ulama (terutamanya ahli Usul Fiqh) tidak semestinya membawa kepada hukum 'wajib' atau 'sunat' malah ia juga boleh membawa hukum 'harus'. Inilah yang dibincangkan dalam hal hadith meluruskan saf ini.

9- Penekanan yang diberikan oleh majoriti ulama fiqh dan hadith zaman berzaman ialah ke arah meluruskan saf dan membetulkannya tetapi tidaklah sampai membawa bukum 'wajib' atau 'sunat' untuk 'melekatkan' tumit dengan tumit atau tapak kaki dengan tapak kaki.

10-Maka janganlah kita yang berpegang dengan fahaman 'mesti' atau 'sunnah' untuk melekatkan kaki ini merungut kononnya masyarakat sudah tidak lagi mengamalkan sunnah dalam meluruskan saf hanya kerana mereka tidak 'melekatkan' kaki. Ya, memang sunnah meluruskan dan membetulkan saf, tapi adakah cara 'melekatkan' itu sunnah?

11-Bagi mereka yang bertemu dengan mereka yang berpegang dengan pandangan 'melekatkan' ini pula hendaklah menasihat dengan baik dan gunakanlah penerangan ringkas saya ini sekadar untuk memulakan perbincangan.

Untuk lebih lanjut, insya Allah saya akan berusaha untuk mengadakan diskusi berkaitan topik ini jika diberikan kesempatan dan peluang.

wallahu a'lam

Monday, April 18, 2011

Hanya Isteri Perlu Cari Redha Suami?


Bagaimana pula dengan suami? Adakah suami terlepas dari tanggungjawab mencari redha isteri? Sebahagian mereka yang bercakap atas nama agama terkadang mengeluarkan pandangan-pandangan yang berlainan dengan apa yang ada dalam Al-Quran dan Hadith, dua sumber utama agama yang suci ini. Contoh yang ingin saya kongsi bersama dalam tulisan ringkas ini ialah - adakah hanya isteri perlu berusaha mencari redha suami? Adakah suami-suami diberikan kekebalan dalam Islam untuk berehat dan meletakkan semua tanggungjawab ke atas bahu isteri dalam mencari kebahagiaan rumahtangga? Sudah pasti jawapannya tidak.

Dengan ringkasnya, kita dapati secara jelas bahawa Al-Quran menyuruh kedua-duanya (suami dan isteri) agar berusaha mencari kebahagiaan dan keredhaan Allah SWT. Tanggungjawab dibahagikan antara keduanya tanpa menzalimi sesiapa.

Begitu juga dalam kehidupan Rasulullah s.a.w. sentiasa memberikan contoh ikutan dan pesanan nasihat agar suami menjaga isteri dan isteri menjaga suami. Bahkan suami lebih diberatkan lagi kerana tanggungjawabnya menjaga isteri adalah sebahagian tuntutan agama. Rasulullah s.a.w. sendiri hidup dengan harmoni bersama isteri-isterinya - bercakap dengan baik, membantu kerja rumah, melindungi, bertanggungjawab, mengajar soal agama, mengajak beribadah bersama, tidak mengabaikan mereka dalam setiap situasi dan sebagainya. Adakah ini yang kita ingin ketengahkan apabila sebahagian kita asyik-asyik menekankan 'isteri kena layan suami' , 'isteri kena jaga hati suami'..tapi sebaliknya bagaimana? Inikah namanya beramal dengan Al-Quran dan Sunnah Nabi?

Kita asyik bercakap bahawa terdapat hadith menyatakan bahawa di antara ciri isteri yang baik ialah 'apabila kamu melihatnya, dia akan menggembirakan kamu'. Mengapa kita tidak pernah terfikir tentang suami-suami yang apabila dilihat para isteri, mereka juga gembira? Mengapa perlu isteri sahaja yg menggembirakan suami?? Adakah Rasulullah s.a.w. dan para isterinya begitu? Lihatlah bagaimana Rasulullah s.a.w. menggembirakan para isterinya dalam pelbagai keadaan. Itulah suami sejati, bukan suami yang hanya melihat 'taatnya' isteri dengan isteri itu diam dan ikut apa kemahuan suami tanpa menjaga hati dan perasaannya.

Sudah-sudahlah kita bercakap dengan suasana berat sebelah sebegini. Islam adil dan meletakkan setiap perkara pada tempatnya. Islam membela nasib wanita dan lelaki dengan secantiknya. Mengapa kita pula yang berdakwah ke arah perbezaan yang menguntungkan lelaki dan merugikan wanita, atas nama agama?

Tuesday, April 12, 2011

Kau Bukan Ustaz, Elok Kau Diam

Ada satu penyakit dalam kalangan mereka yang belajar dalam pengkhususan agama. Penyakit ini pasti bukanlah berlaku kepada semua, tetapi wujud pada sebahagian mereka.

Penyakit itu ialah menutup mulut orang-orang yang bukan 'ustaz/ustazah' untuk memberikan pandangan dalam ilmu agama atau menyumbangkan tenaga dalam dakwah. Alasannya hanyalah 'kau bukan ustaz, kau bukan ustazah'.

Adakah ini alasannya untuk kita menafikan dan tidak memberikan hak untuk mereka yang bukan ustaz/ustazah untuk bercakap? Seharusnya kita mencari banyak lagi alasan lain untuk menegur mereka. Sebagai contoh, kemukakan kesalahan mereka - dalam ucapan atau penulisan - maka tegurlah mereka berdasarkan kesalahan mereka tadi dan perbetulkan.

Tindakan menutup mulut tanpa sebab kukuh akan menyebabkan golongan yang bukan ustaz ini lama-kelamaan akan memberontak dan mungkin mereka pula akan terkeluar dari batasan - iaitu mereka akan menghentam kembali para ustaz ustazah kerana melakukan kesilapan. Ini akan meluaskan lagi jurang antara mereka (pendakwah bukan ustaz/ustazah) dan ustaz/ustazah sendiri.

Saya sebagai ustaz kerap kali bertemu dengan orang-orang yang memang bukan ustaz/ustazah tetapi mengetahui dan berilmu tentang apa yang mereka ucapkan atau tulis. Apa tindakan saya? Memuji, memberikan galakan dan memberikan 'bantuan' dan idea. Itu yang sepatutnya. Bimbing dan berkongsi ilmu, bertukar pandangan dan berbincang. Tidak seharusnya saya merasa marah hanya kerana mereka tahu apa yang saya tidak tahu. Ini kerana mereka juga ada perkara yang tidak diketahui dan bertanya kepada saya juga para ustaz/ustazah lain. Itukan lumrah?

Ya, saya akui memang ada orang-orang begini yang sudah sampai ke tahap tinggi seolah-olah tidak perlukan lagi nasihat para ustaz/ustazah. Apa nak buat, begitulah juga lumrahnya yang kadangkala kita temui. Apabila diajukan nasihat dan teguran, kata-kata pedas dan angkuh yang dibalas. Apa nak buat, nasihat kita dianggap sebagai 'menyekat' dan 'menghalang'.

Tetapi tidak kurang yang positif dengan nasihat para ustaz lalu berusaha menambah ilmu dan memperbaiki kesilapan. Alhamdulillah, tahniah untuk mereka.

Adalah amat tidak adil dan menyalahi akhlak Islam apabila kita menyekat golongan bukan ustaz/ustazah dari berdakwah. Malah yang sepatutnya dan sewajibnya ialah kita galakkan mereka dan berikan dorongan untuk berdakwah dengan syarat:

'Berdakwah berdasarkan ilmu dan jangan sesekali merasa cukup dengan ilmu yang ada'

wallahu a'lam...

nasihat untuk saya, ustaz/ustazah dan para pendakwah umumnya...

Thursday, March 24, 2011

Dan Mereka Berkata Saya Menghina al-Albani... :)

*Tulisan ini hanya untuk mereka yang mengikuti perkembangan 'Analisis Kajian Hadith al-Albani' dan isu yang berkaitan sahaja. Buat mereka yang tidak ada idea tentang soal ini, saya persilakan untuk membaca artikel-artikel yang lain semoga berfaedah untuk semua.

....izinkan saya untuk bercerita agar mereka yang menuduh itu boleh memikirkan kembali catatan tangan mereka - adakah ia benar atau sangkaan atau suka-suka?

...dan mereka melagukan lagu yang sama kepada sesiapa yang ingin mengetengahkan 'analisis' atau 'kritikan' terhadap 'beberapa' pandangan Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani. Lagu itu ialah 'orang itu menghina al-Albani', 'orang ini merendahkan al-Albani'...dan yang senada dengannya.

...siapa mereka? Mereka terlalu kagum dan sayangkan al-Albani. Ya, saya faham kerana saya juga pernah begitu wahai sahabat. Mereka yang mengenali dan tahu pasti tidak akan lupa bagaimana 'taksubnya' Adlan Abd. Aziz terhadap karya al-Albani. Mereka juga mungkin tahu apakah rutin harian pelajar tajaan KPM ini di Perpustakaan Universiti Al al-Bayt? Berulang alik ke dewan Ulum Hadith untuk membaca pelbagai karya al-Albani. Dari Silsilah al-Sahihah berjilid-jilid menuju kepada Silsilah al-Dhaifah berjilid juga. 'Terbang' dari satu dahan ke dahan yang lain menimba maklumat daripada buku-buku yang dikarang atau ditahqiq (edit dan ulas) oleh al-Albani.

...ya, saya amat faham kerana sayalah orang yang tidak tahu berapa kali telah khatam buku Sifat Solat an-Nabi dan mengamalkannya. Siapa tidak kagum meneliti buku ini dan buku-buku lain? 'Terbang' pula dan hinggap ke buku Irwa' al-Ghalil...begitu teliti huraian dan takhrijnya. Anda boleh buat sehebat buku-buku al-Albani? Siapa sanggup bersusah payah membelek ribuan bahan rujukan (ada yang masih belum dicetak sempurna dan masih dalam bentuk manuskrip)?

...wahai sahabat yang terlalu marah sehingga menuduh saya 'menghina' al-Albani...renungkanlah dalam diri kamu. Berapa banyakkah buku al-Albani yang telah kamu baca? Sehingga kamu ingin mempertahankannya tanpa hujah? Bacalah buku beliau dan timbalah ilmu beliau lalu kamu akan dapati jalan terbuka luas untuk kamu pertahankan dirinya kerana telah tahu apa yang telah beliau sendiri coretkan, bukan membaca ulasan orang lain semata-mata.

...pernah anda yang menuduh ini bersusah payah mendengar kaset/audio kuliah-kuliah al-Albani? Mengikuti dengan jelas bagaimana penghujahan dan penerangan beliau dalam kuliahnya. Mendengar bagaimana beliau menjawab soalan dan menjelaskan istilah serta ulasan lain? Adakah masuk akal saya akan menghina seseorang yang saya ikuti kuliah-kuliahnya? Jadilah orang yang benar dan bercakap sesuatu yang benar.

...sehingga hari ini belum ada yang membuktikan bahawa saya 'menghina' al-Albani. Apakah satu dua kritikan ilmiah yang berdasarkan rujukan dan komentar ulama sama taraf atau sama dengan = menghina? Sifir apakah yang digunakan? Kritikan belum pasti benar atau salah. Kritikan belum pasti positif atau negatif. Kritikan belum pasti berhujah atau cakap kosong. Tak bolehkah diri kamu menahan dari mengutuk sebelum mendengar? Kritikan bukan 'Penghinaan'. Kritikan bukan 'Memperbodohkan'. Bahasa mana yang kamu guna?

...dan kalaulah al-Albani benar salah dalam beberapa pandangan, apakah ganjil mendapati al-Albani melakukan kesilapan? Apakah anda pernah bertemu dengan pengakuan al-Albani sendiri bahawa beliau melakukan kesilapan? Kalau anda belum bertemu, saya ulangi nasihat di atas iaitu - bacalah buku-buku al-Albani sebelum mempertahankannya! Beliau sentiasa terbuka sekiranya benar beliau salah dan berterima kasih kepada yang memberitahu dan menegurnya. Anda pernah jumpa ayat-ayat beliau yang bernada begitu dalam buku-bukunya? Kalau belum, carilah dulu.

...seharusnya apabila al-Albani dikritik, anda bingkas bangun mempertahankannya dengan segala rujukan dan bacaan...itulah yang al-Albani sendiri lakukan apabila ada orang mengkritiknya. Sudah baca muqaddimah-muqaddimah panjang al-Albani pada buku-bukunya menjawab kritikan dan komen dari pelbagai pihak? Kalau belum, tolonglah baca. Hujah dibalas hujah. Bukan semata bualan kosong tanpa nota dan rujukan.

...sekarang analisis siri 1 telah disebarkan umum - audionya dan videonya - tanpa sebarang suntingan. Buktikanlah bahawa:

1-Saya telah menghina al-Albani?
2-Saya telah merendah-rendahkan al-Albani?
3-Atau saya telah mengkritik dengan salah?
4-Atau ada maklumat, rujukan diambil secara salah dan tidak tepat?

Tak perlu membuat dakwaan. Rakaman sudah ada di depan mata, ayuh buktikan di mana 'penghinaan' itu. Atau sebenarnya anda tidak dapat menerima ada orang mengkritik al-Albani?

Saya ulangi cadangan saya bahawa - jawablah dan kritiklah kembali dengan penuh ilmiah dan ini menuntut anda untuk membaca kembali dengan teliti apakah yang al-Albani telah coretkan. Jangan anda menyangka bahawa al-Albani berkata 'begini' atau 'begitu'. Contohnya menyatakan al-Albani mengambil dari 'sahabat, tabiin dan lain-lain' sedangkan al-Albani sendiri dalam bukunya tidak berkata demikian! Ini salah siapa? Pasti bukan salah al-Albani.

Marilah kita tumpukan pula pada analisisi yang ke 2, agar kita dapat fahami dengan sepatutnya bagaimana kita ingin mengkritik dan menjawab kritikan. Bukan menuduh dan berharap agar orang seperti Adlan Abd. Aziz akan menghentikan usaha ilmiah ini. Tidak sama sekali, insya Allah!

Program Analisis Kajian Hadith al-Albani - Siri 2

Siri 2 - Siri Analisis Kajian Hadith al-Abani

Tajuk: 'Hadith-hadith berkaitan Azan dan Iqamah pada bayi yang baru lahir'

Tarikh: 27 Mac 2011 (Ahad)

Masa: Bermula jam 11 pagi.

Tempat: IIS, Saba Islamic Media, Setiawangsa, KL.

Perbincangan berkaitan:

1-Maklumat tentang riwayat hadith-hadith berkaitan.
2-Kedudukan hadith ini di sisi para ulama hadith dulu dan masa kini
3-Kajian al-Albani tentang hadith yang berkaitan.
4-Hukum dan amalan berkaitan hadith-hadith yang dibincangkan.

dijemput hadir jika berkelapangan...terima kasih

Wednesday, March 16, 2011

Gambar Terbaru Anakku...AMRU BIN ADLAN








Siri Kedua - Analisis Kajian Hadith al-Albani

SIRI ANALISIS METODOLOGI KAJIAN HADITH AL-ALBANI - SIRI KE 2

"HADITH 'ADZAN DI TELINGA BAYI KETIKA LAHIR"

Sabtu - 26/3 - 9.30 pagi
IIS - atas Saba Islamic Media, Setiawangsa, KL

Monday, March 14, 2011

Sunday, March 06, 2011

Rakaman 'Bila & Bagaimana Hadith Dibukukan'

Kuliah di Masjid al-Syarif, Meru..

Terima kasih akhi Ridzuan...dan seluruh ajk serta jemaah masjid..

klik di SINI

Sunday, February 27, 2011

RAKAMAN AUDIO/VIDEO ANALISIS 'BERSEDEKAP DI ATAS DADA'

RAKAMAN AUDIO:

terima kasih akhi Saiful Iskandar!

Part 1: klik di sini

Part 2: klik di sini

RAKAMAN VIDEO:

terima kasih akhi abu aqif!

klik di sini

Wednesday, February 23, 2011

Program Ilmu - Bersedekap Di atas Dada Ketika Solat - Bukan Sunnah Salafussoleh

Siri 'Analisis Ilmiah Metodologi Hadith al-Albani'

Tajuk : Bersedekap Di atas Dada Ketika Solat - Bukan Sunnah Salafussoleh.
Oleh : Adlan Abd. Aziz (Intro dari Xifu Naser, UIAM)
Tarikh : Sabtu - 26 Februari 2011
Masa : 9 pagi
Tempat: IIS, Saba Islamic Media, Setiawangsa.

Semua dijemput hadir.

Monday, February 21, 2011

Buku Sifat Solat Nabi Versi al-Albani : 100% betul?

*Tulisan ini mungkin tidak nampak relevan bagi sebahagian pembaca, namun bagi sebahagian lagi yang mengikuti perkembangan dakwah ke arah memahami sunnah, pasti ia amat relevan.

Persoalan yang jelas : Ada sebuah buku, namanya 'Sifat Solat Nabi', ditulis oleh seorang pengkaji hadith moden bernama Muhammad Nasiruddin al-Albani (meninggal pada 1999). Soalan saya: Adakah buku versi syeikh al-Albani ini benar dan tepat 100%?

Mereka yang berfikir secara rasional: 'takkanlah 100% tepat? Pasti ada kekurangan kerana syeikh al-Albani manusia yang pasti melakukan kesilapan. Lagi pun banyak lagi karya ulama lain tentang sifat solat'.

Bagi sebahagian yang berbangga menggelar diri 'salafi' atau 'geng sunnah' dan sebahagiannya: Buku ini adalah himpunan hadith-hadith sahih!'... (x menjawab persoalan secara direct)

Bagi sebahagian lagi yang juga mengatakan mereka pejuang sunnah: 'Buku ni memang tak 100% sempurna, tapi inilah buku terhebat dan terbaik..tak ada siapa boleh tandingi beliau'.

Bagi sebahagian lagi yang memang marah dengan 'salafi' dan 'geng sunnah' : Buku ni tak betul. Tak boleh baca.

Bagi yang suka cover line pulak: Buku ini memang tidak sempurna. Kita berlapang dada menerima kritikan dan kita sememangnya mengkagumi kehebatan al-Albani dan buku ini. (Tapi hakikatnya tak baca buku lain juga...lebih banyak menghias kata sahaja, sedangkan buku ini jugalah yang betul)

Ulasan saya (sekadar apa yang saya tahu):

* Saya membaca buku ini dan menghabiskan bacaannya ketika ramai geng2 yang kononnya 'salafi' dan 'geng sunnah' ni tak pernah pun khatam baca buku ini dan buku lain.

* Setelah melalui satu peringkat ilmu, saya dan sahabat-sahabat mengangkat buku ini untuk dibuat 'perbandingan', 'muqaranah'...dengan pendapat-pendapat ulama lain dan juga buku-buku lain.

* Setelah itu kita dapati para ilmuan moden termasuk yang mengambil pengkhususan hadith mula mendedahkan kesilapan yang ada dalam buku ini secara ilmiah dan berfakta. Ramai yang dah mula mengkritik secara meluas dan akhirnya buku ini menjadi bahan kajian ramai yang ingin mendalami penulisan dalam bidang hadith. Pengkaji yang ramai ini mendedahkan kesilapan-kesilapan dan kekurangan dan kelemahan susunan buku ini.

* Bukanlah 100% salah, tetapi pasti bukan 100% betul.

Tapi saya cukup hairan. Hairan dengan sikap sebahagian pihak yang melantik diri mereka mewakili 'salafi' dan 'salaf' atau 'sunnah' tanpa ada sebarang pemilihan atau lantikan...mereka masih lagi di takuk lama. Masih lagi terbelenggu dengan fahaman bahawa buku 'Sifat Solat Nabi versi al-Albani' adalah yang terbaik..terhebat...paling tepat...itulah sunnah..itulah sahaja..tiada yang lain. Masih terperangkap dan tersekat dengan fahaman lama..walaupun mereka asyik melabelkan mereka ini pro tajdid, tetapi sebenarnya mereka tak dapat lari dari pemikiran bahawa 'hanya ulama bergelar salafi yang paling faham sunnah'.

Fahaman ini amat tidak masuk akal dan begitu 'kedekut' kerana menganggap hanya segelintir yang tahu hadith - sebahagian ilmuan dan penulis yang menggelar diri mereka salafi, pro sunnah, tajdid dan sebagainya. Seolah orang lain yang bukan aliran 'salafi' tidak pandai hadith..kononnya. Seolah aliran lain yang tidak secocok dengannya tak reti baca hadith. Masalahnya geng 'salafi' ni betul ke istiqamah baca hadith dan khatam serta pelajari kitab-kitab hadith secara bersistem seperti ulama hadith zaman silam?

Sedarlah bahawa ada mereka yang dilabelkan 'bukan salafi' atau 'tiada manhaj' terkadang lebih hebat menjaga dan menyebarkan hadith berbanding yang memakai jersi 'salafi', terkadang hadith satu pun terkial-kial nak menyebutnya...hadith 40 Imam Nawawi pun tak habis baca (bukan hafal), Umdatul Ahkam pun tak pernah mimpi untuk dalami kecuali menghafal namanya sahaja. Nak talaqqi kitab-kitab ulama saudi (atau komentar ulama saudi) sahaja. Sempit sangat!

Itu bid'ah, ini bid'ah, itu tak ikut sunnah, ini tak ikut sunnah. Habis dilabelkannya. Sedangkan dirinya sendiri dengan disedari atau tidak sebenarnya bukan pejuang sunnah..tapi pejuang salafi dan pejuang dua tiga orang sahaja. Adakah di dunia ini tiada ulama sehingga tinggal dua tiga kerat sahaja?

Buatlah perbandingan...buatlah kajian...bacalah pelbagai jenis buku..bergurulah dengan bermacam aliran guru. Kemudian beradablah dengan menghormati yang benar dan menasihati jika ada kesilapan.

Saya berani menyatakan bahawa kita tidak perlukan pun buku seperti Sifat Solat Nabi versi al-Albani. Cukuplah dengan apa yang telah dikumpulkan dan dihuraikan oleh para ulama hadith. Bagi mereka yang tidak mahu membaca buku al-ALbani ini, memang anda tidak rugi apa-apa dengan syarat: anda mengkaji dan membaca buku-buku hadith dan huraian hadith serta buku fiqh zaman berzaman yg telah pun cukup menghuraikan tentang sifat solat Nabi.

Malah saya juga berani mengatakan bahawa yang paling rugi ialah mereka yang semata-mata taksub kepada buku ini dan kepada pandangan syeikh al-Albani kerana mereka biasanya akan terjebak dengan beberapa kesilapan yang telah dibuat oleh penulis buku tersebut.

Insya Allah, tidak lama lagi akan diadakan wacana ilmiah membicarakan tentang bukti berfakta dan ilmiah tentang kesilapan-kesilapan dalam buku Sifat Solat Nabi versi al-Albani. nantikan..

Friday, February 18, 2011

UstazRasul Dahri Respond al-ahkam.net & Ustaz Adlan

Artikel ini diambil dari al-ahkam.net
klik di sini

aL-KISAH:

Bermulanya isu ini (sila rujuk dua artikel di bawah):
[SK] Ulasan Buku Berkaitan Sifat Solat Nabi s.a.w
[SK] Ulasan Buku Berkaitan Sifat Solat Nabi s.a.w. (2)



Respon dari URD terhadap kritikan dalam artikel-artikel di atas:




Kesimpulan video di atas:
- URD kata ulama salaf tak benarkan debat.. Debat haram
- URD kata dia masih hidup kenapa tak menegurnya secara private
- URD kata dirinya buat salah sedikit saja, Bukhari LAGI BANYAK buat salah
- URD lari dari kritikan ketiga (tentang beza solat laki pempuan)
- ada dakwaan dari hadirin bahawa Ust Adlan pernah menghantar e mail kepada beliau. Sedangkan hakikatnya bukan.

HARAP PARA SAHABAT YANG MEMBACA BOLEH MEMBUAT PENILAIAN YANG ADIL SELEPAS MELIHAT KEDUA-DUA PIHAK - ARTIKEL DAN VIDEO.

JAZAKUMULLAH....

Tuesday, February 15, 2011

Al-AHKAM.NET

&

ISLAMIC INFORMATION & SERVICES FOUNDATION

&

PEMUDA IMAN

menganjurkan


MINI SEMINAR:

'Menghayati Surah Al-Kahfi'

Pertarungan Keduniaan dan Keimanan


Ahli Panel

Dr. Maszlee Malek (UIAM)

Ustaz Mohd Syauqi Mohd Zahir (UIAM)

Ustaz Adlan Abd Aziz (Al-Ahkam.net)


Tarikh & Masa:

Ahad, 6 March 2011, 9:30 A.M to 3:00 P.M


Tempat: IIS Hall, No 1-5-2, Prima Peninsula, Jalan Setiawangsa 11, Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur

Program ini percuma.

Tempat adalah TERHAD!

Daftar di http://iis-ahkam-2011.eventbrite.com