Wednesday, March 21, 2007

SETIAP INSAN MENANGGUNG DOSANYA SENDIRI

Sejak zaman persekolahan lagi saya pernah diajar / mendengar tentang satu pendapat yang berbunyi 'dosa seorang anak akan ditanggung oleh mak dan ayah manakala dosa seorang isteri ditanggung oleh suaminya'.

Baru-baru ini semasa berbual dengan salah seorang pelajar saya di sekolah, rupa-rupanya fahaman ini masih wujud pada sebilangan generasi mereka.

Fahaman ini tertolak dengan ayat-ayat Al-Quran yang menegaskan bahawa setiap jiwa bertanggungjawab di atas kesalahan dan dosanya. Begitu juga fahaman ini tertolak dengan akal fikiran dan keyakinan bahawa sesungguhnya Allah SWT adil dan bijaksana.

Bagaimana mungkin Allah SWT akan membebaskan seorang anak yang melakukan dosa lalu meletakkan pula dosa itu di atas bahu orang tuanya tanpa sebab? Begitu juga, bagaimana pula seorang isteri yang melakukan maksiat akan dilepaskan daripada seksaan hanya kerana dia seorang isteri lalu dosanya ditanggung oleh suami? Ini tidak adil.

Fahaman ini sebenarnya hanya bersumberkan daripada cakap-cakap orang dan tidak disokong oleh mana-mana dalil daripada Al-Quran dan hadith sahih.

Ya, sekiranya seorang ayah dan ibu tidak bertanggungjawab mendidik anak-anak, mereka berdosa kerana mengabaikan pendidikan agama. Tetapi anak itu tetap menanggung dosanya sendiri kerana melakukan maksiat.

Begitu juga seorang suami yang tidak memperdulikan pendidikan agama isterinya, malah membiarkan isterinya melakukan maksiat, dia berdosa kerana pengabaian tersebut. Tetapi isterinya masih menanggung dosa yang dirinya lakukan.

Semoga kita diberikan kekuatan untuk mendalami Islam dengan ilmu dan juga diberikan kekuatan untuk beramal dengan ilmu itu.

No comments: