Wednesday, June 17, 2015

TIBA RAMADAN, BERSYUKURLAH

Bersyukur. Itulah perkataan yang terlintas di hati dan diucap di bibir ketika menyambut Ramadan tahun ini, 1436H - 2015M.
Bersyukur pertamanya kerana masih diberi usia dan umur untuk mengecap nikmat Ramadan kali ini. Maka ayuh kita rancang sebaiknya pengisian Ramadan dengan ibadah yang paling banyak mampu dilakukan dan paling baik kualitinya yang mampu ditunaikan.
Bersyukur juga kerana kita masih berada dalam suasana tenang dan aman. Betapa ramai dari kalangan umat Islam yang juga saudara kita di seluruh dunia yang menyambut Ramadan dalam kesusahan, ketakutan, kesedihan, peperangan, kelaparan dan segala yang menguji kekuatan iman. Maka berusahalah untuk membantu mereka dalam apa jua cara. Jangan leka dengan kesenangan kita hingga kita lupa kesusahan mereka.
Bersyukur juga kerana kita berpeluang untuk memperbaiki amalan Ramadan yang kita masing-masing tahu berapa 'gred'nya tahun lalu. Setiap seorang dari kita tahu betapa amalan Ramadan perlu diperbaiki sama ada kuantitinya atau kualiti. Maka di awal menyambut Ramadan ini, rancanglah dan berdoalah agar perancangan kita menjadi nyata.
Bersyukurlah kerana kita masih berpeluang beramal. 
Hari ini kita beramal, esok kita menuai hasilnya. 

Adlan Abd Aziz
30 Syaaban 1436H
17 Jun 2015
KL

No comments: