Artikel ringkas ini merupakan sambungan kepada ulasan yang telah saya mulakan di facebook berkaitan tajuk 'Penambahan lafaz 'Sayyidina' pada selawat ke atas Rasulullah s.a.w. di LUAR solat'. Ringkasnya, terdapat beberapa orang sahabat yang tegas menyatakan 'tidak boleh' dan saya pula menyatakan 'dibolehkan'. Maka saya mulakan perbincangan tentang hujah mereka yang menyatakan 'tidak boleh menambah lafaz Sayyidinia pada selawat di LUAR solat' dengan hujah pertama mereka iaitu:
'tiada hadith sahih yang menyebut lafaz 'sayyidina' dan tiada amalan dari salafussoleh'
Maka dalam tulisan ini saya ingin menyambung satu lagi hujah yang digunakan oleh sebahagian sahabat dalam mereka melarang penambahan lafaz 'sayyidina' dalam selawat sama ada di dalam solat atau di luar solat. Hujah kali ini berkisar tentang adanya hadith yang dikatakan melarang kita dari menambah 'sayyidina' atau 'sayyid' pada nama Nabi s.a.w. Adakah benar wujudnya hadith sahih sebegitu? Apakah maksud larangan di dalam hadith itu? Adakah ia bermaksud 'tidak boleh' sama sekali dalam semua keadaan dan situasi? Mari kita lihat bersama:
Pertamanya, kita sedia tahu bahawa setiap ayat Al-Quran dan hadith yang mengandungi larangan perlu difahami dengan baik. Adakah maksud larangan itu haram, atau maksudnya sekadar makruh atau kurang daripada itu iaitu 'tidak patut' iaitu dalam bab adab sahaja. Kegopohan kita mengambil larangan dengan hanya satu maksud akan menyebabkan kita keliru dengan maksud sesuatu ayat atau hadith. Itu secara teori.
Apabila kita melihat hadith yang melarang menggunakan perkataan Sayyid atau Sayyidina, kita perlu pastikan apakah hadith itu sahih. Sekiranya ia sahih, maka perlu dilihat apakah larangan yang ada dalam hadith tersebut membawa maksud haram atau apa? Itulah cara yang patut kita lakukan semampu mungkin bagi memahami. Di bawah saya menyebut dua hadith yang kerap disebut dan kita temui, satunya berkaitan dengan penambahan sayyidina di dalam solat dan satu lagi penggunaan sayyidina di depan Nabi s.a.w. sendiri. Semoga dua contoh ini cukup untuk membuatkan kita berfikir tentang persoalan gelaran Sayyidina kepada Rasulullah s.a.w.
HADITH YANG MELARANG?
1. Di antaranya ialah sebuah ungkapan yang dianggap hadith oleh sebahagian penuntut ilmu iaitu :
لا تسيدوني/ لا تسودوني في الصلاة
Maksudnya:
Jangan menjadikan aku sayyid (penghulu) dalam solat
Ungkapan di atas pada hakikatnya bukanlah hadith Nabi s.a.w. Ia telah dinilai sebagai palsu oleh ulama-ulama hadith contohnya Ali al-Qari dalam bukunya al-Masnu' dan lain-lain lagi. Saya pasti mereka yang melarang ucapan 'sayyidina' dalam solat juga tidak menggunakan hadith yang tidak sahih ini sebagai hujah.
Seperkara lagi, ungkapan di atas hanyalah berkaitan dengan ucapan Sayyidina di dalam solat.
2. Terdapat satu hadith yang sering digunakan untuk melarang lafaz Sayyidina dalam selawat ialah sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Ahmad dalam alMusnad dan Abu Daud dalam asSunan melalui sahabat yang bernama Abdullah Bin asSyikhhir iaitu ketika mana Rasulullah s.a.w. dikunjungi rombongan dari Bani 'Amir mereka berkata kepada Rasulullah s.a.w. 'Engkau Sayyid (penghulu) kami' lalu Rasulullah s.a.w. berkata : 'Sayyid yang sebenar ialah Allah'.
Hadith di atas jika dikira sebagai larangan, ia tidak disepakati oleh ulama yang menghuraikan hadith tersebut. Kalau dilihat dengan teliti, kita dapati hadith ini adalah sekadar untuk mengelakkan para sahabat dari terlalu mengagungkan Baginda s.a.w. di hadapan Baginda sendiri. Ia bukanlah larangan dari mengucapkan Sayyid secara umum pada setiap keadaan.
HADITH YANG MEMBOLEHKAN?
Pada hakikatnya, kita perlu tahu bahawa terdapat hadith lain yang menyebutkan bahawa Nabi s.a.w. sendiri menyatakan dirinya sebagai 'Sayyid semua anak Adam' (Hadith riwayat Muslim). Nabi s.a.w. juga pernah menggunakan gelaran Sayyid kepada orang lain contohnya Baginda pernah menyebut bahawa cucunya alHasan Bin Ali adalah 'sayyid' (Hadith riwayat alBukhari). Begitu juga Baginda s.a.w. menyebut bahawa Sa'id Bin Abi Waqqas adalah penghulu kaumnya (Hadith riwayat alBukhari dan Muslim). Manakala di kalangan sahabat kita dapati Umar Bin alKhattab r.a. pernah menggelarkan Abu Bakr asSiddiq dan Bilal Bin Rabah dengan gelaran 'Sayyidina' (Riwayat alBukhari).
Maka untuk menyatakan bahawa ada hadith yang melarang, kita perlu fahami bersama bahawa ia tidaklah sebegitu mudah dengan hanya menyatakan 'Nabi s.a.w. melarang menggunakan sayyidina' secara total dalam semua keadaan, dalam atau luar solat. Semoga dengan huraian ringkas ini kita dapat menilai kembali kenyataan atau hukum dan penilaian yang kita lakukan supaya ia lebih tepat dan jelas.
*Tulisan akan datang akan membicarakan tentang hadith2 yang menyatakan bahawa Nabi s.a.w. mengajar para sahabatnya cara berselawat dan ia tiada penambahan 'sayyidina'. Maka adakah ini menjadi bukti bahawa kita dilarang menambahkan sayyidina di dalam dan luar solat? Nantikan tulisan seterusnya dan hujah seterusnya yang akan dibincangkan.
Adlan Abd Aziz
1 comment:
Assalamualaikum,
makanya dalam post ustaz ini, memberitahu dibolehkan untuk cakap saiyidina dalam selawat di luar solat, tetapi dengan i'tikad tidak terlalu mengangkat nabi secara berlebihan kan?
Post a Comment