Thursday, February 23, 2012

The Power Of Small & Hadith Rasulullah s.a.w.


Apabila membaca buku-buku penulis barat tentang kebahagiaan dan kejayaan hidup, saya suka membandingkan idea mereka dengan apa yang ada dalam hadith-hadith Rasulullah s.a.w. Ini semua saya lakukan sekadar mampu dan berikut ialah apa yang saya perolehi apabila membaca sebuah buku yang hebat...The Power Of Small

Sekadar ingin mencadangkan sebuah buku yang amat baik untuk dibaca. Buku terbitan tahun 2011 yang dikarang oleh dua pakar dalam bidang mereka - Linda Kaplan Thaler dan Robin Koval - amat menarik apabila dibaca dengan segala cadangan dan juga contoh kes sebenar yang berlaku.

Buku ini mengingatkan kita tentang kehidupan dan nasihat Rasulullah s.a.w. seperti sebuah hadith Nabi s.a.w. yang bermaksud: 'Jangan sekali-kali memandang remeh perkara yang baik, walau sekadar engkau bertemu saudaramu dengan wajah yang ceria' [Hadith Riwayat Muslim].

Setiap perkara yang baik walaupun KECIL, ia BESAR pada diri orang yang menerimanya dan menghargainya. Bahkan perkara kecil yang berterusan amat penting. Menurut buku The Power Of Small:

'Numerous studies show that all kinds of "change" programs, wether they focus on health, career, relationships, or personal growth, are most succesfull when participants focus on frequent, achievable LITTLE goals'. (m.s. 62)

Ketika menulis ini saya terfikir pula tentang perkara baik yang paling disukai oleh Rasulullah s.a.w.: 'Yang berterusan walaupun sedikit'. [Hadith Riwayat al-Bukhari].

Menurut buku ini lagi:

'An essential ingredient in making small talk is finding a way to make the other person feel special and appreciated'. (m.s.36)

Mengingatkan kita juga kepada kehebatan Rasulullah s.a.w. menghargai setiap lapisan masyarakat - dari kanak-kanak kepada orang tua, kepada keluarga dan orang asing - maka semuanya mendapat sebahagian 'kecil' penghargaan tetapi ia bermakna sepanjang hayat!

Membaca buku-buku positif seperti ini mengingatkan kita tentang kehebatan Rasulullah s.a.w. yang telah pun memberikan kita segala nasihat, panduan dan contoh praktikal bagaimana memajukan diri untuk bahagia di dunia dan di akhirat. Maka elok sangat kita membaca buku-buku seperti buku 'The Power Of Small' dan dalam masa yang sama kita membaca hadith-hadith Nabi s.a.w. dan mempelajari elemen-elemen positif (dan segala tentang Nabi s.a.w. adalah positif) agar dapat kita perbaiki kehidupan kita. Penulis buku moden dari kalangan bukan Islam mungkin hanya ingin kita bahagia di dunia, tapi gunakanlah maklumat dan info itu untuk mencari bahagia dunia dan bahagia akhirat!

Selamat membaca!

No comments: