Terkadang kita merasa hairan dengan sebahagian ilmuan yang sentiasa menggambarkan kepada masyarakat bahawa Islam itu 'mudah' lagi 'memudahkan' tapi dalam masa yang sama mereka 'menyusahkan' dan 'menyempitkan'. Memang ia menghairankan!
Saya bercakap tentang mereka yang sentiasa mengagungkan fatwa-fatwa keras dan tegas daripada sebahagian ulama yang digelar 'salafi'dengan alasan ia adalah 'ilmu' dan ia adalah 'kebenaran'. Sehingga ada di antara mereka itu yang memberi gambaran seolah mengikuti mazhab-mazhab fiqh yang terkemuka (Hanafi, Maliki, Syafii dan Hambali) adalah 'longgar' dan tidak 'ilmiah'. Menurut mereka kita perlu mengambil yang paling 'tepat' dan mesti mengikut Al-Quran dan Hadith!.
Rupanya mereka memang memandang 'lekeh' dan 'rendah' kepada orang-orang yang mengikut mazhab. Di sinilah puncanya mereka sering memberikan kata-kata yang pelik seolah menggambarkan satu persoalan - nak ikut dalil (Al-Quran dan Hadith) atau nak ikut mazhab? Sedangkan semua yang mempelajari sejarah perkembangan mazhab mengetahui bahawa mazhab terhasil dari perbincangan dan pemahaman Al-Quran dan Hadith! Tiada pertembungan! Tapi mereka ini - sebahagian penyeru dan pendakwa 'salafi' atau 'ahli hadith' memberikan kita gambaran yang lain. Sehingga ada di antara mereka yang sanggup menyebut bahawa "apabila Nabi Isa a.s. turun di akhir zaman nanti, Baginda akan berhukum dengan Al-Quran dan Hadith dan bukannya mazhab"!
Mengapa perlu seorang berilmu tertipu dengan gambaran ini? Jelas sekali yang terpedaya ialah kerana beberapa sebab:
1-Tidak mengkaji sejarah perkembangan mazhab-mazhab itu sendiri.Terdapat banyak buku tentang ini dan antara buku yang saya cadangkan ialah hasil karya Dr.Mustafa az-Zarqa'.
2-Tidak mempelajari kisah hidup dan biodata para imam mazhab - Imam Abu Hanifah (wafat 150H), Imam Malik Bin Anas (wafat 179H), Imam as-Syafie (wafat 204H) dan Imam Ahmad Bin Hanbal (wafat 241H). Terdapat banyak juga buku tentang biodata mereka.
3-Tidak menyelidiki bagaimana setiap perbezaan dalam mazhab ini terhasil dan bagaimana dalil-dalil Al-Quran dan Hadith dibincangkan untuk menghasilkan ijtihad tentang sesuatu hukum. Mungkin buku cadangan yang saya boleh sebutkan ialah : Bidayatul Mujtahid karya Ibnu Rusyd.
4-Membanyakkan rujukan dalam bidang fiqh. Kebanyakan yang berfikiran seolah mazhab ini tidak sama dengan fiqh Al-Quran dan Hadith adalah yang terpengaruh dengan bacaan terhad daripada mereka yang menggelarkan diri mereka 'Salafi'.
5-Membaca sejarah perbezaan pandangan dan asal-usul sesuatu fatwa. Terkadang kita dapati fatwa itu sudah pun disebut oleh sebahagian sahabat atau tabiin sebelum daripada imam-imam mazhab. Maka bagaimana ia dengan mudah ditolak begitu sahaja?
Marilah kita menghormati kedudukan 'mazhab' dan pengikutnya yang berilmu. Kita kembali meletakkan kajian ilmu sebagai penentu kebenaran, bukannya golongan tertentu atas nama tertentu.
wallahu a'lam
No comments:
Post a Comment