Sunday, July 24, 2011

2 Syarat Menyatakan Kebenaran


Hasil berbincang dengan sebahagian sahabat-sahabat dalam kelas Bahasa Arab berkaitan 'dakwah', kami mengambil kesimpulan berikut:

Terdapat beberapa syarat dan keperluan untuk menyatakan kebenaran dan menyebarkannya. Namun apa yang menarik perhatian ialah 2 syarat yang dirasakan amat penting:

Pertama - Kesediaan mendengar pandangan pihak lain.

Kedua - Ilmu dan maklumat yang mencukupi untuk menyatakan kebenaran.

Mungkin ini bukanlah segala-galanya dalam dakwah, namun elok kita renungi bersama.

KESEDIAAN MENDENGAR PANDANGAN
Sebahagian yang menceburi alam dakwah menghadapi kesukaran untuk membuka ruang mendengar pandangan dari pihak lain. Terkadang kita dapati pendakwah yang tidak mampu mendengar kritikan. Terkadang kita dapati pendakwah yang tidak mampu menelan teguran. Begitu juga dengan pendakwah yang tidak sanggup mendengar soalan yang mengandungi pelbagai unsur negatif (pada pandangan beliau) sehingga menutup ruang untuk memberi atau bertanya pandangan.
Begitu juga saya sendiri pernah bertemu dengan situasi di mana sebahagian yang mewakili 'dakwah' terus menutup pintu pandangan dengan label - sesat, liberal, sekular, muktazilah dll lagi. Sebaik sahaja mendengar 'intro' terhadap sesuatu pandangan, terus ditutupnya dengan 'label'.
Ini pasti menghalang dakwah yang kita sendiri ingin sampaikan malah mengganggu dakwah orang lain yang mungkin sahaja berbeza dengan kita tetapi dikelompokkan satu kumpulan dengan kita.
Mengapa kita tidak mahu membuka ruang untuk manusia memberikan pandangan, walaupun pandangan itu tidak secocok dengan pegangan kita? Siapa tahu pegangan kita juga tidak 100% mewakili 'kebenaran'?
Perbincangan dan dakwah sukar berlaku dalam situasi tertutup dan menutup sebegini. Rasulullah s.a.w. dan para sahabat berinteraksi dengan keadaan ini dalam cara yang amat baik. Setiap yang memberi pandangan diberikan peluang, dan pandangan itu akan dianalisis sebelum ia diberikan jawapan yang memuaskan dan bersandarkan dalil serta hujah. Pernahkah anda melihat debat atau perbahasan yang menutup ruang untuk satu pihak dan membuka luas ruang untuk pihak lain?

KEBENARAN PERLUKAN ILMU UNTUK BERGANTUNG
Sesekali kita akan bertemu (malah mungkin berkali-kali) mereka yang membawa lencana 'dakwah' yang penuh dengan semangat dan kemahiran teknikal, tetapi satu aspek agak tercicir - ilmu. Mana mungkin dakwah dan perbincangan ilmiah tidak berasaskan ilmu? Ilmiah tanpa ilmu? Maka pendakwah seharusnya memenuhi ruang-ruang kosong dalam dirinya yang belum diisi dengan ilmu dan maklumat berkaitan 'kebenaran' yang dibawanya.
Bagaimana seorang doktor ingin mengubati pesakit tanpa ubat? Bagaimana pendakwah akan mampu menjawab persoalan, menarik pengikut dan juga menyebarkan kebenaran sekiranya dirinya merupakan orang yang hanya tahu teknik tanpa tahu isi kandungan? Luarannya dihias tapi dalamannya kosong?

Semoga 2 syarat ini (berserta syarat-syarat lain) akan diberikan perhatian oleh setiap muslim dan muslimah yang mewakili dakwah atau meletakkan dirinya sebagai agen penyebaran 'kebenaran'. Keberanian itu penting, namun mengisi keberanian itu dengan sikap positif dan ilmu yang kukuh lebih penting.

wallahu a'lam

No comments: