Monday, December 20, 2010

Ulasan Tambahan Berkaitan Sifat Solat Nabi s.a.w.

Selepas menulis 2 artikel untuk mengulas sebuah buku yang ditulis dalam tajuk 'Sifat Solat Nabi s.a.w.', kali ini saya menulis tentang satu maklumat yang juga ada di dalam buku tersebut iaitu buku 'Sabda Rasulullah s.a.w. : Solatlah kamu sebagaimana Aku solat' karya Ustaz Abu Farouq Rasul Bin Dahri, terbitan syarikat Ummul Qura.

Artikel pertama dan kedua boleh dilihat dalam blog alitantawi.blogspot.com dan juga dalam al-ahkam.net (di sini).

Kemudian saya dapati maklumat ini juga sebenarnya telah dijelaskan dalam bentuk video (saya ikuti dalam Youtube) dalam beberapa bahagian melalui siri Sifat Solat Nabi s.a.w. juga oleh Ustaz Rasul Bin Dahri.

Ulasan kali ini berkaitan :

BEZA SOLAT ANTARA LELAKI DAN PEREMPUAN
Menurut buku yang diulas (pada muka surat 18 dan 19) dan juga menurut penerangan melalui video (boleh dilihat di sini), penulis menyimpulkan bahawa -

1- Tidak ada beza antara lelaki dan perempuan dari segi cara bersolat.

2- Sesiapa yang menyatakan demikian, maka ia melakukan pembohongan malah menipu dan berdusta di atas nama Rasulullah s.a.w.

3- Ustaz Rasul Bin Dahri kemudian mengaitkan pembohongan ini dengan sebuah hadith sahih berbunyi: 'Sesiapa yang berdusta ke atasku secara sengaja, maka tempahlah tempatnya di neraka'.

Ulasan:

1-Pertama, saya ingin ringkaskan pandangan yang disebut oleh Imam al-Nawawi (wafat 676H) dalam bukunya al-Majmu' yang merupakan antara rujukan utama dalam Fiqh Mazhab al-Syafie dan juga fiqh perbandingan dengan mazhab lain. Dalam buku ini kita dapati al-Nawawi telah menyebut tentang perbezaan solat lelaki dan solat perempuan. Beliau telah menukilkan pandangan Imam al-Syafie (wafat 204H). Mari kita lihat kesimpulan yang ada dalam buku al-Majmu' ini :

a-Secara keseluruhannya solat lelaki adalah sama saja dengan solat perempuan dari segi pergerakan solat.

b-Namun begitu terdapat beberapa perbezaan yang digalakkan menurut pandangan Imam al-Syafie iaitu:

-perempuan merapatkan dan tidak merenggangkan ketika dalam solat.
-ketika sujud, dirapatkan perut dan pehanya.
-merendahkan suaranya.
-menebalkan jilbabnya.
-merenggangkan jilbabnya ketika ruku' dan sujud untuk mengelakkan daripada dilihat bentuk badan dengan jelas.
-jika terganggu atau berlaku apa-apa, perempuan menepuk tangannya.
[al-Majmu', jilid 3, m.s. 495, cetakan Maktabah al-Irsyad, Jeddah]

2-Kedua, terdapat beberapa hadith yang sememangnya dhaif berkaitan perkara ini. Itu tidak menjadi soal kerana kedhaifan hadith tidak semestinya bermaksud perkara itu sesuatu yang salah. Pengkaji dan penuntut ilmu-ilmu Islam harus sedar bahawa para ulama mengeluarkan hukum dan cadangan serta fatwa bukan semata-mata berdasarkan hadith-hadith sahih, tetapi melihat pelbagai maklumat antaranya ialah - fatwa dan amalan generasi awal dari kalangan sahabat, tabiin dan generasi selepas mereka.

3-Ketiga, oleh itu kita dapati persoalan perbezaan antara perbuatan lelaki dan perempuan dalam solat telah pun diungkapkan oleh sebahagian tokoh-tokoh ilmuan Islam terkemuka malah dari generasi awal. Saya ingin membawa analisis ringkas tentang apa yang disebutkan oleh Imam Abd. Razzaq al-Son'ani dalam bukunya yang terkenal - al-Musannaf - dalam jilid 3, m.s. 137 dan 138 [cetakan al-Maktab al-Islami, tahun1983]:

- Imam Abd. Razzaq telah menulis satu bab berkaitan 'cara wanita mengangkat tangan ketika takbir, juga cara wanita berdiri, rukuk dan sujud ketika solat'.

- Beliau telah membawa sejumlah 8 riwayat yang menunjukkan pendapat daripada : Saidina Ali Bin Abi Tolib, Ataa' Bin Abi Rabah, al-Hasan al-Basri, Qatadah dan Ibrahim iaitu dari kalangan para sahabat dan tabiin yang menunjukkan terdapat - beberapa perbezaan antara cara solat lelaki dan wanita.

- Ini menunjukkan bahawa para ulama selepas mereka yang membawa idea yang sama sebenarnya berpunca daripada generasi yang lebih awal. Walaupun terdapat perbezaan pendapat, kita perlu hormati fatwa dan amalan generasi awal.

- Kita juga dapat melihat pandangan ini dibawa oleh Imam al-Syafie sebagaimana dinyatakan di atas tadi melalui buku al-Majmu' karya al-Nawawi.

4- Keempat, terdapat sebuah buku yang boleh kita jadikan sumber rujukan dalam hal berkaitan ini iaitu - al-Jami' Li Ahkam al-Nisaa' oleh Syeikh Mustafa al-Adwi. [Rujuk jilid 1, bermula muka surat 371, cetakan Dar al-Sunnah, tahun 1992], beliau telah menyenaraikan pelbagai hadith dan fatwa sahabat serta ulama tentang perbezaan solat antara wanita dan lelaki. Walaupun beliau menyatakan kedhaifan hadith-hadith yang berkaitan, namun beliau telah menilai sahih riwayat-riwayat dari tabiin dan ahli ilmu lain tentang perbezaan keadaan pergerakan solat lelaki dan wanita. Malah beliau menyatakan pula fatwa ulama terkemuka berkaitan hal ini, antaranya dari:

-Imam al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra.
-Ibn Qudamah dalam al-Mughni.
-al-Son'ani dalam Subul al-Salam.

Lalu syeikh Mustafa al-Adwi menyimpulkan bahawa terdapat 2 pandangan yang beliau temui berkaitan pergerakan solat wanita. Pertama, ia sama sahaja dengan lelaki. Kedua, ia berlainan pada beberapa tempat dan ini juga adalah diriwayatkan daripada para tabiin. Beliau menerima keduanya.

5-،Kelima, apabila direnungkan sepintas lalu apa yang telah dinyatakan di atas, adakah anda sanggup untuk menyatakan bahawa 'sesiapa yang membezakan solat lelaki dan wanita telah melakukan pembohongan dan berdusta ke atas Rasulullah s.a.w.'? Ini adalah satu sikap yang melampau dan keluar daripada topik perbincangan. Adakah ulama kita yang terdahulu begitu sekali sifatnya dan sikapnya?

Apa yang ditegaskan oleh sebahagian ulama ialah -

-sememangnya secara umumnya lelaki dan wanita sama sahaja dari segi pergerakannya dalam solat.

-namun mereka mencadangkan beberapa cara untuk wanita berdasarkan wanita perlu memelihara dirinya dari pandangan umum ketika solat. Ini termasuk ketika menunaikan solat di masjid-masjid sejak dulu hingga kini.

-tindakan dan pandangan mereka ini tidak langsung ada kaitan dengan istilah 'pembohongan' ke atas Rasulullah s.a.w. dan amat jauh sekali daripada maksud hadith yang disebut oleh penulis.

Semoga Allah SWT menyelamatkan ahli ilmu dan pencinta ilmu daripada sikap melampau. Amin.

No comments: