Tuesday, September 07, 2010

Tazkirah...tidak semudah yang disangka

Memberikan tazkirah bukan satu perkara remeh, mudah, santai sehinggakan sesiapa sahaja boleh melakukannya tanpa disiplin tertentu. Di sini saya ringkaskan beberapa masalah dalam beberapa tazkirah termasuklah tazkirah sepanjang Ramadhan yang saya temui dan saya masih ingat. Tidak dinafikan terdapat tazkirah yang disampaikan dengan penuh ilmu dan penghayatan lantas memberi kesan pada diri saya dan orang lain. Tumpuan saya hanyalah pada segelintir tazkirah dan pentazkirah sebagai kritikan membina dan peringatan bersama.

Berserta nasihat ini juga saya sertakan cadangan penyelesaian untuk para pentazkirah agar kesilapan yang sama tidak akan berulang. Apa guna kita mengkritik jika kita tidak membantu?
Selamat membaca..

1- Terdapat sebahagian pentazkirah yang tersalah dalam menyebut ayat-ayat Al-Quran yang ingin dijadikan isi tazkirahnya. Bahkan ada yang tersalah memberikan terjemahan dan tafsiran. Contohnya terjemahan ayat 'Fitnah itu lebih besar dosanya dari membunuh' [iaitu ayat 191 dan ayat 217 dari surah al-Baqarah] dengan menafsirkan 'fitnah' sebagai 'tuduhan bohong terhadap manusia tidak bersalah'. Ini adalah terjemahan yang tidak tepat. 'Fitnah' di dalam kedua ayat tersebut bukan bermaksud 'tuduhan bohong' tetapi ia membawa maksud 'usaha orang-orang kafir yang mengganggu dakwah dan cuba memesongkan umat Islam dari jalan kebenaran lantas menyemai amalan syirik'.


Cadangan:
Seeloknya pentazkirah menyenaraikan terlebih dahulu ayat-ayat yang beliau ingin gunakan lalu mengambil sedikit masa untuk menyemak terjemahan dan tafsirannya. Salah seorang ulama tafsir terkemuka negara Arab, Dr. Solah Abd. Fattah al-Khalidi pernah menasihatkan di dalam bukunya Ma'a Qasas al-Saabiqin supaya para pendakwah membuat persediaan sebelum berdakwah agar dakwahnya lebih kukuh dan mantap serta kurang melakukan kesilapan.

2- Terdapat beberapa tazkirah yang menyebut hadith-hadith dhaif dan palsu. Adakah pentazkirah itu tahu ia dhaif dan palsu? Saya merasakan bahawa beliau tidak tahu. Namun begitu ia tetap satu perkara yang tidak wajar kerana hadith palsu itu akan tersebar dalam kalangan yang mendengar tazkirah. Contohnya seperti :

'Tuntutlah ilmu sehingga ke negeri China'
'Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad'
'Ramadhan itu awalnya rahmat, pertengahannya keampunan, hujungnya pembebasan dari neraka'
'Beramallah untuk duniamu seolah kamu akan hidup selamanya, beramallah untuk akhiratmu seolah kamu akan mati keesokannya'
'Sesiapa yang inginkan dunia, hendaklah memiliki ilmu, sesiapa yang inginkan akhirat, hendaklah memiliki ilmu, sesiapa yang inginkan keduanya, hendaklah memiliki ilmu'
'9/10 rezeki itu ada pada perniagaan'

Sedangkan kata-kata di atas telah pun dinilai sebagai palsu dan bukan hadith oleh ramai ahli hadith dan ulama sejak dahulu hingga kini. Maka bagaimana kita boleh 'terleka' dan 'tersebut' hadith-hadith ini dalam tazkirah di hadapan orang ramai? Kita tidak boleh asyik menuturkan alasan mudah seperti 'nak buat macam mana, saya tak tahu', 'saya ingatkan hadith' atau 'dah lama saya tahu ini hadith' dan sebagainya. Ini bukan alasan kerana hadith-hadith sahih terlalu banyak untuk kita capai dalam buku-buku terkemuka seperti Riyadhussolihin, Sahih Bukhari, Sahih Muslim dan lain-lain. Alasan itu boleh diterima dari mereka yang mendengar tazkirah, bukan 'pentazkirah'.

Cadangan:
Jadikan buku-buku utama hadith seperti Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, Riyadhussolihin sebagai bahan rujukan utama jika ingin mencari hadith-hadith untuk digunakan dalam tazkirah. Tidak mengapa jika kita tidak menyebutkan terlalu banyak hadith. Cukup dengan satu dua hadith pun memadai jika dihuraikan dan dihayati maksudnya.

3- Menumpukan sesuatu isu yang kecil dan membesarkannya sedangkan ia tidak termasuk dalam kategori 'wajib' atau 'haram'.

Contohnya saya pernah mendengar seorang pentazkirah beria-ia memarahi orang yang tidak solat terawih 23 rakaat. Manakala dalam masa yang sama ada pula pentazkirah yang seolah menghadkan terawih mesti 11 rakaat dan tidak boleh lebih. Sedangkan di zaman awal Islam perkara sebegitu begitu kecil dan ada yang menunaikan solat sehingga 30 atau 40 rakaat lebih. Ia hanyalah bilangan rakaat.

Manakala terdapat pula pentazkirah yang memarahi anak-anak muda pergi ke masjid tanpa memakai kopiah dan baju melayu. Adakah ini satu perkara yang patut dibangkitkan sedangkan ia tidak wajib dan bukan asas dalam beragama?

Seorang lagi pentazkirah pula berkeras mahukan para jemaah mengkhatam Quran dalam bulan Ramadhan sedangkan ia bukanlah satu tuntutan wajib. Sesiapa yang berjaya khatam 30 juzuk maka ia satu perkara yang baik namun sesiapa yang tidak mampu, tidak wajar kita mempertikaikannya.

Cadangan:
Setiap isu dan perkara yang ingin dibawa mestilah dilihat dari segi 'keutamaannya'. Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam bukunya Fiqh al-Awlawiyyat atau Fiqh Keutamaan menggariskan bahawa pendakwah dan umat Islam perlu menumpukan kepada yang lebih utama. Contohnya mendahulukan perkara wajib sebelum sunat, perkara tentang masyarakat sebelum individu, perkara haram sebelum makruh, perkara yang bermanfaat untuk ramai dan sebagainya. Buku beliau Fiqh al-Awlawiyyat telah pun diterjemah dan elok dijadikan bahan bacaan pendakwah.


4- Membawa kisah-kisah pelik dan ajaib yang tidak bersumberkan dari Al-Quran atau hadith sahih. Kisah-kisah ini adakalanya berkaitan umat terdahulu atau kadangkala kisah di zaman moden ini yang belum dipastikan kebenarannya.

Cadangan:
Sebagaimana kita membuat persediaan untuk menyemak ayat Al-Quran dan hadith yang akan kita gunakan dalam tazkirah, buatlah juga kajian tentang kesahihan kisah atau cerita pelik yang akan kita sampaikan nanti. Tidak semua kisah pelik itu benar. Ada kisah pelik dan ajaib yang memang ada dalam Al-Quran dan hadith. Tetapi ada juga kisah pelik yang tiada dalam mana-mana sumber yang diyakini.

5- Berdoa terlalu lama selepas tazkirah sehingga para jemaah tidak selesa. Doa bukanlah satu kemestian setiap kali selepas tazkirah. Namun begitu jika pentazkirah ingin berdoa, dinasihatkan agar berdoa dalam kadar sederhana dan tidak terlalu panjang. Kita semua tahu bahawa Rasulullah s.a.w. pernah memarahi sahabatnya Mu'adz Bin Jabal kerana terlalu memanjangkan solat ketika menjadi imam solat fardhu. Tidakkah hadith ini boleh membuatkan kita terfikir, adakah patut kita memanjangkan doa sehingga terlalu lama?

Cadangan:
Berdoalah dengan doa-doa ringkas yang diterjemahkan agar dapat dihayati oleh mereka yang mendengar tazkirah. Malah amat memadai kalau kita akhiri dengan tasbih kaffarah dan surah al-Asr. Itu sudah cukup cantik dan ringkas serta mencapai matlamat.

Itulah sekadar yang dapat saya kongsi untuk kali ini. Maafkan saya jika terkasar atau mengguris hati sesiapa. Apa yang baik, harap disebarkan.

wallahu a'lam

1 comment:

merdekakan pemikiran said...

'Ramadhan itu awalnya rahmat, pertengahannya keampunan, hujungnya pembebasan dari neraka'

Ust, hadis ini dhaif atau maudhu?? ada khilaf tak di kalangan muhaddithin?? Sebab ust yang mengajar di tempat ana dia sebut hadis ni...Ana tau dia seorang yang alim hadis...mengaji di Yaman, Jamiah Iman..Mohon pandangan ust..