Apa maksud saya dengan 'maklumat tambahan'? Ia maklumat yang tidak ada di dalam Al-Quran tetapi 'dipasangkan' dengan kisah Al-Quran. Maka kelirulah sebahagian masyarakat kita lalu disangkanya 'maklumat tambahan' itu adalah 'Al-Quran' itu sendiri.
Contoh?
Untuk meringkaskan cerita, kita ambil beberapa kisah dalam Al-Quran dan kita lihat bersama untuk membezakan antara 'fakta Al-Quran' dan 'maklumat tambahan'.
Kisah Nabi Yusuf...
seorang wanita, isteri seorang pembesar, menggoda Nabi Yusuf - fakta.
namanya Zulaikha, kisah dia jadi gila, kemudian disembuhkan dan kahwin dengan Nabi Yusuf - maklumat tambahan.
Kisah Nabi Daud...
dia membunuh panglima tentera kafir bernama Jalut - fakta.
Nabi Daud pendek, kulit hitam, selalu sakit, dia bunuh Jalut dengan menggunakan lastik batu, tembus badan Jalut dan badan berpuluh ribu tenteranya - maklumat tambahan.
Kisah Nabi Ayyub...
Nabi Ayyub sakit dan berdoa kepada Allah lalu disembuhkan - fakta.
Badannya semuanya berulat kecuali hati dan lidahnya - maklumat tambahan.
Kisah Nabi Adam...
Nabi Adam dan Hawwa' turun ke bumi dan meminta ampun di atas kesalahan yang dilakukan bersama - fakta.
Nabi Adam turun di India, Hawwa' turun di Jeddah, bertemu kembali di Padang Arafah - maklumat tambahan.
Ini sekadar contoh. Apa yang ingin saya ketengahkan?
1- Jangan sesekali bercampur aduk antara fakta dan maklumat tambahan.
2- Fakta adalah benar 100% kerana ia ada di dalam Al-QUran.
3- Cerita pula tidak dapat dipastikan sama ada benar atau salah. Mungkin ia benar, mungkin juga tidak. Ia perlukan penyelidikan.
4- Selalulah kita berdamping dengan Al-Quran dengan membaca terjemahannya dan membaca pula huraiannya. Barulah kita dapat mengenal pasti fakta yang ada di dalamnya.
No comments:
Post a Comment