APABILA ENGKAU MENDENGAR SATU HADITH...
Selalunya kita akan mendengar hadith (walaupun hanya satu!) melalui radio atau kaca tv. Kita juga akan mendengar hadith pada ceramah-ceramah atau kuliah-kuliah agama bahkan mungkin pada ceramah pilihanraya. Begitu juga kita seringkali terjumpa dengan hadith di dalam majalah, surat khabar, buku, poster, ukiran di dinding, internet, kain rentang, diari, botol ubat, makanan atau minuman dan sebagainya. Yazid Ibn Abi Habib seakan menyuruh kita agar tidak membiarkan sahaja hadith itu tanpa difikirkan atau dikaji, sahih, dhaif atau palsu? Beliau ingin mendidik jiwa umat Islam agar peka dengan maklumat tentang agama mereka, bukan hanya melihat dan membiarkannya tanpa dipedulikan. Kepekaan ini jarang kita temui termasuklah dalam kalangan penuntut ilmu agama sendiri!
Pernah satu petang Jumaat pada tahun 2004 saya didatangi oleh salah seorang pelajar sekolah tempat saya mengajar. Dia datang membawa buku nota kecil dan menunjukkan kepada saya beberapa hadith yang telah dicatatkannya semasa khutbah Jumaat di masjid! Dia ingin tahu, adakah hadith-hadith itu sahih atau tidak. Adakah ini berlaku dalam kalangan masyarakat kita pada hari ini? Ia akan berlaku jika kepekaan dalam diri itu wujud. Nasihat Yazid Ibn Abi Habib amat mendalam. Sanggupkah kita menerima nasihat ini?
CARILAH IA SEPERTI MENCARI BARANG YANG HILANG...
Kalau anda kehilangan sesuatu yang berharga, pasti anda akan ke sana dan ke sini dalam keadaan gelisah dan resah. Ada yang berjumpa bomoh dan dukun. Ada yang meminta masjid melakukan solat hajat berjemaah. Ada yang berdoa siang dan malam agar Allah SWT memberi petunjuk dan mengembalikan barang yang hilang itu.
Inilah yang ingin ditanam oleh Yazid Ibn Abi Habib dalam jiwa masyarakat Islam pada zamannya. Kalau bertemu dengan satu...walaupun satu hadith, carilah ia seperti mencari barang yang hilang. Pergilah bertanya kepada yang tahu. Bukalah alat carian yang anda mampu. Gunakanlah segala jalan yang dirasakan boleh membantu kita mengetahui dari manakah asal-usul hadith itu. Carilah dengan bersungguh-sungguh dan bukan dengan sekadar sambil lewa.
........................(Bersambung)
No comments:
Post a Comment