Tuesday, January 15, 2008

Panduan Ulama Terdahulu Dalam Memelihara Kesahihan Hadith #1

CARILAH IA SEPERTI MENCARI SESUATU YANG HILANG

Sesekali terlintas di hati kita atau terdengar di telinga kita rungutan tentang sukarnya mengenal pasti hadith sama ada ia sahih atau tidak. Kepada mereka yang pernah merungut dan mengeluh tentang perkara ini, saya ingin tegaskan...ya! Sememangnya ia adalah sesuatu yang sukar dan hanya boleh dilakukan oleh pakar-pakar hadith yang layak. Jadi? Apa penyelesaiannya? Takkanlah tak ada apa yang boleh kita lakukan?
Mungkin ada. Mari kita lihat bersama satu ungkapan yang pernah disebut oleh salah seorang tokoh tabi’in (mereka yang sempat bertemu dengan para sahabat tetapi tidak sempat bertemu dengan Rasulullah SAW) yang bernama Yazid Ibn Abi Habib. Beliau pernah memberi nasihat kepada umat Islam di zamannya dengan katanya: ’Apabila engkau mendengar satu hadith, carilah ia seperti mana kamu mencari sesuatu yang hilang. Jika hadith itu dikenali orang, terimalah. Tapi sekiranya ia tidak dikenali, tinggalkanlah ia’. Kata-katanya lebih ringkas tetapi itulah yang dapat saya terjemahkan untuk sama-sama kita fahami. Sumber: Risalah Abu Daud Ila Ahl Makkah karya Abu Daud (275H); Al-Jarh Wa al-Ta’dil karya Ibn Abi Hatim.

UNGKAPAN YANG MENARIK!
Entah kenapa saya amat tertarik dengan kata-kata ini! Bagi saya ia menarik kerana ia datang daripada seorang ahli hadith terkemuka dalam kalangan tabi’in yang tahu keadaan yang dihadapi oleh masyarakat di zamannya. Seolah-olah nasihat ini ditujukan kepada mereka yang masih tercari-cari kaedah sebenar mengenal hadith antara yang sahih atau tidak. Beliau tidak menyuruh semua masyarakat agar belajar sehingga mencapai tahap beliau sendiri yang merupakan antara tokoh hadith terbilang. Ia akan memakan masa yang panjang.
Bolehkah nasihat ini digunakan pada zaman kita sekarang? Bolehkah nasihat ini dipakai di Malaysia dalam keadaan ilmu hadith masih belum benar-benar berkembang? Mari kita lihat satu persatu nasihat beliau ini. Mungkin ia berguna untuk saya dan anda dan mungkin juga ia tidak lagi relevan untuk zaman kita. Pilihan di tangan anda!
...............Bersambung.

No comments:

Post a Comment