Saturday, May 11, 2013

Ulasan Imam Abu Daud dalam kitabnya 'Sunan'

Untuk pelajar dan pengajar Ilmu Hadith, saya ingin mengajak anda untuk sama-sama merenung tentang salah sebuah rujukan utama dalam Hadith iaitu kitab 'Sunan Abu Daud'. Boleh dikatakan semua penuntut ilmu Hadith sudah tidak asing lagi dengan nama 'Sunan' karya Imam Abu Daud (Sulaiman Bin al-Asy'ath - lahir
202H dan wafat 275H). Namun boleh dikatakan ramai dalam kalangan penuntut ilmu Hadith kurang melihat kepada metodologi penulisan dan susunan kitab yang hebat ini. Akhirnya mereka tidak dapat melihat 'keunikan' dan 'kehebatan' kitab 'Sunan' malah mungkin kitab ini hanya sekadar digunakan untuk dilihat sekali-sekala ketika melakukan penulisan atau tesis kajian.

Dalam tulisan ini saya ingin menyebut satu sahaja aspek penting dalam kitab 'Sunan Abu Daud' yang amat jarang disentuh malah ramai yang tidak mengambil berat tentangnya iaitu - penilaian Imam Abu Daud tentang kesahihan dan kedhaifan Hadith yang beliau sebutkan dalam kitabnya 'Sunan'. Maka ingin saya coretkan seperti berikut:

1. Sesiapa sahaja yang membuat bacaan yang mendalam dan meluas tentang biodata Imam Abu Daud pasti akan mendapati beliau merupakan seorang pakar, imam dan diiktiraf para ulama pada zaman kegemilangan Hadith ketika beliau masih hidup. Dicadangkan agar pembaca merujuk biodata Imam Abu Daud yang panjang lebar dalam buku 'Siyar A'lam an-Nubalaa' oleh Imam adz-Dzahabi (w748H) dan buku-buku lain.

2. Buku 'Sunan' karya Imam Abu Daud merupakan karya agung yang amat dipuji oleh para ulama dan penuntut ilmu Hadith sejak ia selesai ditulis di zaman beliau. Ia telah pun menjadi bukti kehebatan beliau dalam Hadith dan dipelajari zaman berzaman.

3. Di antara cara memahami metodologi penyusunan kitab 'Sunan' ialah dengan melihat penjelasan Imam Abu Daud sendiri dalam sebuah risalah atau kitab kecil yang beliau tulis iaitu 'Risalah Abi Daud Ila Ahli Makkah'. Melalui kitab ini Imam Abu Daud menjelaskan kepentingan dan kehebatan buku 'Sunan' yang beliau susun. Risalah kecil ini boleh didapati dan ia tidak begitu tebal untuk dibaca.

4.Ramai yang tidak menyedari atau tidak tahu bahawa di dalam 'Sunan Abu Daud' tercatat begitu banyak komentar dan ulasan Imam Abu Daud tentang hadith-hadith tertentu dalam buku itu. Ada ulasan yang berkaitan periwayat-periwayat Hadith dan ada ulasan berkaitan Hadith itu sendiri.

5.Di antara ulasan dan komentar itu ialah yang berkaitan dengan kesahihan dan kedhaifan sebilangan Hadith yang beliau masukkan dalam Sunan itu sendiri. Ulasan sebegini begitu banyak dalam Sunan Abu Daud namun ia terlindung dari sebahagian besar penuntut dan pengajar Ilmu Hadith. (Contohnya: Lihat ulasan sebegini dalam Sunan Abu Daud pada Hadith no.15, 19, 132, 158, 159 dan banyak lagi).

6.Ulasan-ulasan sebegitu membuktikan bahawa Imam Abu Daud mengetahui dengan jelas manakah yang sahih dan mana yang dhaif. Ini juga jelas bagi sesiapa yang membaca 'Risalah Abi Daud Ila Ahli Makkah' yang telah saya sebutkan sebelum ini. Namun amat malang bagi sebahagian pencinta Hadith yang masih tersalah dalam menyangka bahawa Imam Abu Daud 'mencampur adukkan yang sahih dan dhaif tanpa dapat membezakannya'. Itu adalah fahaman yang terhasil dari kurang bacaan dan kurang kajian.

Saya menyeru sahabat-sahabat penuntut dan pengajar Ilmu Hadith agar kembali meneliti ulasan-ulasan penting yang Imam Abu Daud masukkan dalam kitab Sunan Abu Daud kerana ia sememangnya amat penting dan ia datang dari seorang yang hebat dan pakar seperti beliau.

Mengapa ulasan beliau jarang kita lihat digunakan oleh peminat dan pencinta Hadith? Mungkin ada 2 sebab utama sekadar pemerhatian saya yang lemah ini iaitu:

1- Meletakkan Imam Abu Daud pada kedudukan yang rendah contohnya menganggap beliau hanyalah salah seorang periwayat dan pengumpul Hadith dan bukan Imam tempat rujukan hukum. Amatlah salah fahaman yang sebegini.

2- Tidak membaca kitab Sunan Abu Daud satu persatu dan hanya merujuk buku ini ketika perlu sekadar untuk mencatatkan nombor Hadith dan menyebut 'Riwayat Abu Daud' dan itu sahaja.

Semoga kita diberikan kekuatan untuk kembali merujuk ulasan-ulasan penting Imam Abu Daud dan mungkin selepas ini akan ramai yang kembali menyebut dan menulis : 'Hadith ini disahihkan oleh Abu Daud' atau 'Hadith ini didhaifkan oleh Abu Daud' dalam keadaan yang begitu yakin dengan kehebatan Imam ini, Imam Abu Daud rh.

*Untuk makluman, kitab Sunan Abu Daud telah dicetak dengan pelbagai bentuk dan pelbagai penerbitan dalam Bahasa Arab dan ia mudah didapati. Manakala dalam terjemahan Bahasa Indonesia, terbitan cadangan ialah terjemahan yang diterbitkan oleh Syarikat Mahera dari Indonesia dan ia adalah terjemahan sanad dan matan yang lengkap, tidak seperti terjemahan yang lain yang rata-rata tidak lengkap dan tidak diterjemahkan sanadnya.

Adlan Abd. Aziz

twitter.com/AdlanAbdAziz


2 comments:

  1. Anonymous7:59 PM

    terima kasih ustaz ....boleh sy belajar ceramah hadis melalui rakaman atau mp3

    ReplyDelete
  2. Anonymous7:50 AM

    Lebih senang jika kita guna kitab syarah abi daud spt bazlul majhud...

    ReplyDelete