Wednesday, November 09, 2011

Melagukan Al-Quran - Terkenang Abu Musa al-Asy'ari r.a.

Abu Musa al-Asy'ari (nama penuhnya Abdullah Bin Qais - wafat 44H) - seorang sahabat Nabi s.a.w. yang amat dikenali. Namun begitu tahukah anda bahawa beliau merupakan salah seorang sahabat yang mempunyai kelebihan khusus dalam satu kesenian - 'melagukan bacaan Al-Quran'.

Bayangkanlah kemerduan suara dan alunan bacaannya sehingga menjadikan Rasulullah s.a.w. amat suka mendengar bacaannya. Malah Rasulullah s.a.w. pernah dalam diam mendengar dan menghayati bacaan Abu Musa al-Asy'ari tanpa pengetahuan beliau. Lalu keesokan harinya Rasulullah s.a.w. memberitahu beliau tentang perkara itu lalu Abu Musa berkata : 'kalaulah aku tahu engkau sedang mendengar wahai Rasulullah, pasti akan aku lagukan dan indahkan lagi bacaanku'.

Umar Bin al-Khattab pula ada ketikanya mengajak para sahabat lalu duduk bersamanya.Kemudian Umar menyuruh Abu Musa al-Asy'ari memperdengarkan bacaannya, maka menangislah Umar dan para sahabat kerana kemerduan suaranya.

Masruq Bin al-Ajda' (wafat 62H), salah seorang tabiin pernah berkata bahawa beliau amat berharap Abu Musa al-Asy'ari memanjangkan bacaannya ketika menjadi imam kerana kemerduan suaranya.

Marilah kita berusaha untuk melagukan bacaan Al-Quran dan mengindahkannya lagi bersesuaian dengan saranan Nabi s.a.w. agar kita melagukannya, dan bersesuaian juga dengan apa yang dilakukan oleh Abu Musa al-Asy'ari r.a.!

No comments:

Post a Comment