Thursday, November 24, 2011
Ketika Marah, Perlu Diam Sejenak
Kita semua pasti akan melalui ketikanya di mana kemarahan kita tidak tertahan lagi. Lalu kita lepaskan kemarahan itu dengan pelbagai cara. Antara cara yang amat mudah dan amat melegakan ialah dengan lisan, iaitu mengeluarkan pelbagai kata-kata sama ada kata-kata kesat, kata perli dan biadap, atau penghinaan terhadap seseorang atau sesiapa sahaja yang menyebabkan kemarahan.
Biasa kita dengar bahawa cara inilah yang banyak mendatangkan kesan buruk - pergaduhan, persengketaan, dendam, pembunuhan, perceraian dan bermacam-macam lagi. Dan biasanya ia akan menjadikan kita 'menyesal'.
Kebiasaannya - saya dan anda - akan cepat menuturkan sesuatu yang dianggap 'melepaskan' kemarahan ketika mana kita marah.
Di sinilah letaknya salah satu daripada cara atau teknik penting untuk kita mengelakkan 'penyesalan' dan banyak perkara negatif hasil daripada tidak mengawal percakapan ketika marah.
Teknik itu ialah - ketika marah, diam sejenak. Diam sejenak bermakna kita sedang menahan marah itu pada ketika kemuncaknya. Bayangkan pada waktu itu kita tuturkan kata-kata tertentu, mungkin ia akan membawa kehancuran dalam hidup, maka kita diam sejenak untuk membiarkan suhu kemarahan itu turun perlahan-lahan.
Teknik ini bukan cadangan saya, tetapi ia ada dalam sebuah hadith - yang diriwayatkan antaranya oleh Imam Ahmad dalam 'al-Musnad' dan juga Imam al-Bukhari dalam 'al-Adab al-Mufrad' :
وإذا غضبت فاسكت
Maksudnya: Dan apabila kamu marah, maka diamlah.
Percayalah, jika anda ingin merasai kebaikan teknik ini, amalkanlah teknik 'diam sejenak' ini dan anda pasti akan merasai kelegaannya dan ia akan membawa kebaikan yang amat banyak dalam hidup anda, insya Allah!
assalamu'alaikum w.w.
ReplyDeleteustadz, bagaimana jika antum menyususn sebuah buku tentang shalat atau artikel2 singkat bersambung tantang shalat?