Monday, September 19, 2011

Ramai Lulusan Agama, Tapi Di Mana Mereka?

Keluhan yang saya coretkan di sini bukan datangnya dari saya malah ia adalah luahan ramai kenalan yang cintakan ilmu, berjiwa dakwah dan prihatin terhadap penyebaran nas dan maksud dari Al-Quran, Hadith dan mutiara kata para ulama. Mereka sering bertanya di mana para lulusan agama yang saban tahun dihasilkan oleh pusat pengajian ilmu di dalam dan luar negara?

Pertanyaan mereka bukanlah bermaksud para lulusan agama ini bersembunyi sehingga tidak ditemui. Tapi pertanyaan ini timbul kerana sebahagian lulusan agama 'hilang' dalam erti kata mereka tidak menyumbang ke arah ilmu dan dakwah. Bertahun mereka dilatih dan diberikan ilmu semasa alam pengajian tetapi persoalannya adakah ilmu yang diperolehi itu untuk diri sendiri semata? Atau ilmu itu adalah milik bersama seluruh umat dan mereka hanyalah pemegang amanah?

Sebahagian lulusan agama tidak menyumbang dalam kadar yang mencukupi untuk menyebarkan ilmu atau dakwah dalam masyarakat, malah ada sebahagian lagi yang langsung tidak menyumbang! Lebih menyedihkan lagi ada lulusan agama yang mengelak dan menolak apabila masyarakat inginkan mereka menyumbang! Pelbagai alasan diberikan.

Ada yang memberi alasan - belum bersedia, sibuk, ada orang lain yang lebih pandai dan macam-macam lagi alasan biasa dan luar biasa! Apa pun alasannya hasilnya adalah satu - tidak membantu dan tidak menyumbang!

Adakah maksud sumbangan terhadap ilmu hanya dengan berkuliah atau ceramah? Sudah pasti tidak. Dalam alam yang makin berkembang dan maju, sudah pasti ada pelbagai cara untuk para lulusan agama memberikan sumbangan. Ada yang berkuliah dan ada yang menulis. Ada yang menulis dalam bentuk buku, artikel dan ada juga yang menulis dalam alam siber. Ada yang menyumbang di depan dan ada juga yang memberikan sumbangan di balik tabir. Ada yang memilih bidang tertentu dan ada pula yang menceburi pelbagai bidang dalam satu masa. Mengapa terlalu banyak alasan dan terlalu mudah mengelak dan mengundurkan diri?

Saya kerap bertemu dengan sebahagian lulusan agama yang sering menuturkan bahasa yang hampir sama : Semua orang boleh menyumbang kecuali dirinya! Saya amat hairan dengan sikap sebegini negatif daripada mereka yang mempelajari Al-Quran dan Hadith yang mengajar kita agar berfikiran proaktif dan positif!

Ada yang memberi alasan tidak cukup ilmu sedangkan ilmu itu luas. Tidak mungkin ada manusia yang mengetahui kesemuanya! Kalau benar ilmu belum cukup, apakah orang sebegini berusaha memperbaikinya? Kalau pun ilmunya sedikit, apakah ilmu yang sedikit itu perlu disimpan dan tidak dikongsi? Semuanya alasan dan alasan.

Antara alasan yang paling pelik (bagi saya) ialah - sibuk dan tak ada masa. Saya terfikir:

-adakah ini alasan yang benar atau alasan yang direka? Perlu ada kejujuran.

-mereka ada banyak masa untuk perkara lain - membeli belah, bersenam, memancing, bersukan, berbual, melepak di kedai kopi, tidur berjam-jam, menonton tv siang dan malam, tengok dvd, ber 'facebook' (tanpa berdakwah) dan pelbagai lagi aktiviti. . . sempat dan ada masa?

Saya ingin lontarkan pertanyaan kepada sebahagian lulusan agama yang tidak atau kurang menyumbang untuk ilmu dan dakwah sebagai mengakhiri tulisan ini:

'adakah ini hasilnya setelah bertahun anda mempelajari tentang ilmu dan ulama?'

No comments:

Post a Comment