Monday, May 09, 2011

Minum Dalam Keadaan Berdiri - Makruh?


Mungkin tajuknya kecil dan tidak begitu penting bagi sebahagian pembaca. Tetapi secara peribadi, inilah tajuk yang sering ditanya kepada para ustaz dan ustazah juga pendakwah oleh mereka yang ingin tahu dan ingin belajar. Apakah dengan menganggapnya remeh dan kecil maka kita tidak perlu membantu mereka yang ingin tahu?

Saya cuba menulis seringkas mungkin - Terdapat pandangan yang menyatakan bahawa yang terbaik dan mengikut sunnah ialah minum dalam keadaan 'duduk'. Manakala minum berdiri pula dikatakan 'tidak mengikut sunnah' atau 'makruh' malah ada yang menyatakan 'berdosa' walaupun terkadang diri orang itu tidak berani mengatakan 'haram'. Pandangan kedua pula menyatakan 'tidak makruh' dan 'harus'.Maka apa sebenarnya kedudukan 'minum dalam keadaan berdiri'?

1- Sememangnya terdapat hadith-hadith Rasulullah s.a.w. yang menyokong kedua-dua pendapat iaitu : ada hadith yang melarang minum dalam keadaan berdiri, dan ada hadith yang menunjukkan ia dibenarkan.

2- Di antara hadith yang melarang ialah seperti sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Muslim dan lain-lain iaitu:

لاَ يَشْرَبَنَّ أَحَدٌ مِنْكُمْ قَائِمًا فَمَنْ نَسِىَ فَلْيَسْتَقِئْ

Maksudnya:
Jangan sesekali ada di kalangan kamu minum sambil berdiri. Sesiapa yang lupa maka hendaklah dia memuntahkannya kembali.
[Riwayat Muslim - no.5398]

3- Di antara hadith yang membenarkan pula ialah seperti hadith yang berikut yang diungkapkan daripada riwayat Ali Bin Abi Tolib yang mana beliau ketika itu minum sambil berdiri di hadapan sebahagian orang-orang Islam lalu dia berkata :

إِنَّ نَاسًا يَكْرَهُ أَحَدُهُمْ أَنْ يَشْرَبَ وَهْوَ قَائِمٌ ،
وَإِنِّى رَأَيْتُ النَّبِىَّ - صلى الله عليه وسلم - فَعَلَ كَمَا رَأَيْتُمُونِى فَعَلْتُ

Maksudnya:
Sesungguhnya ada orang yang mana di antara mereka tidak suka minum sambil berdiri. Sesungguhnya aku telah melihat Nabi s.a.w. melakukan sebagaimana kamu semua melihat aku lakukan (Ali sedang minum sambil berdiri)
[Riwayat al-Bukhari - no.5615]

4- Terdapat lagi hadith-hadith yang lain yang seumpama di atas tapi cukup untuk diringkaskan di sini bahawa terdapat dua bentuk hadith yang berbeza atau kelihatan seolah-olah bertentangan dalam hal keadaan minum sambil berdiri - sama ada dibolehkan atau tidak.

5- Suka saya mengajak pembaca melihat bersama buku Jami' at-Tirmidzi yang mana kita dapati at-Tirmidzi telah membawa hadith-hadith yang berkaitan minum sambil berdiri dan disusun dengan baik. Pertama beliau membawa hadith-hadith berkaitan larangan di bawah satu bab yang dinamakan : 'Bab berkaitan hadith yang membawa larangan minum berdiri' dan di dalamnya ada 3 hadith atau 3 riwayat. Kemudian selepas bab itu, beliau membawa pula hadith-hadith yang membenarkan di bawah bab : 'Bab berkaitan hadith yang membawa kelonggaran/kebenaran minum berdiri' dan di dalamnya ada 2 riwayat.

Inilah di antara cara para ulama sejak dulu hingga kini (bukan hanya at-Tirmidzi malah semua ulama terkemuka) membawa hadith-hadith yang nampak 'seolah-olah' bertentangan lalu dikumpulkan dan dianalisis untuk difahami sebenar-benarnya hukum yang berkaitan.

5- Maka adakah minum berdiri makruh atau dilarang dengan maksud berdosa sesiapa yang melakukannya? Di sini sini saya ingin menyebutkan satu sahaja pandangan yang saya lihat amat sesuai dalam memahami keadaan yang kita bicarakan di sini iaitu kata-kata seorang imam fiqh dan hadith terkemuka - Yahya Bin Syaraf atau lebih dikenali dengan nama Imam an-Nawawi:

Menurut an-Nawawi (penyusun buku Hadith 40 dan Riyadhussolihin, seorang tokoh terkemuka dalam fiqh dan hadith (wafat pada 676H): Beliau berpandangan bahawa dibolehkan minum berdiri dan minum duduk itu lebih baik dan lebih sempurna. (Rujuk: Riyadhussolihin, bab no.114)

Beliau membuat kesimpulan itu dengan menyenaraikan enam hadith yang di antaranya ada yang melarang dan ada yang membenarkan. Maka itulah kesimpulan beliau dan itulah juga kesimpulan yang dibuat oleh ulama sebelum beliau termasuk at-Tirmidzi yang disebutkan di atas tadi.

6- Walaupun ada yang menyatakan 'makruh' dengan pelbagai alasan, namun tujuan saya menulis ini ialah sekurang-kurangnya untuk memberikan satu lagi pandangan yang pernah diungkapkan oleh ilmuan Islam yang terdahulu.

Ini semua agar kita tidaklah menyangka bahawa hanya 'satu' sahaja hukumnya iaitu 'makruh' atau 'dilarang'. Sebenarnya ada ilmuan Islam yang berpandangan ia tidak 'makruh' dan ia 'dibolehkan'.

wallahu a;lam.
Penerangan ringkas untuk sesiapa yang berkenaan....

Adlan Bin Abd. Aziz

2 comments:

  1. aslm ustaz..
    penjelasan ustaz ni amat berguna bagi saya...terima kasih atas penjelasan yg memang saya cari2 sbb suka minum berdiri...apa pun yg lebih baik dan sempurna itu adalah minum dalam keadaan duduk..insyaALLAH saya berazam untuk melakukan yg lebih baik itu...

    wassalam

    ReplyDelete
  2. kadang2 bila masyarakat hanya tahu satu pandangan iaitu makruh atau dilarang.

    maka mereka akan melihat orang2 yang minum berdiri sebagai berdosa,tak ikut sunnah dan tak tahu agama.

    apatah lagi kalau yang buat tu ustaz.

    harap artikel sebegini dapat membuka minda supaya kita tidak terus menghukum orang lain dengan ilmu kita yang cetek.

    ReplyDelete