Monday, April 18, 2011

Hanya Isteri Perlu Cari Redha Suami?


Bagaimana pula dengan suami? Adakah suami terlepas dari tanggungjawab mencari redha isteri? Sebahagian mereka yang bercakap atas nama agama terkadang mengeluarkan pandangan-pandangan yang berlainan dengan apa yang ada dalam Al-Quran dan Hadith, dua sumber utama agama yang suci ini. Contoh yang ingin saya kongsi bersama dalam tulisan ringkas ini ialah - adakah hanya isteri perlu berusaha mencari redha suami? Adakah suami-suami diberikan kekebalan dalam Islam untuk berehat dan meletakkan semua tanggungjawab ke atas bahu isteri dalam mencari kebahagiaan rumahtangga? Sudah pasti jawapannya tidak.

Dengan ringkasnya, kita dapati secara jelas bahawa Al-Quran menyuruh kedua-duanya (suami dan isteri) agar berusaha mencari kebahagiaan dan keredhaan Allah SWT. Tanggungjawab dibahagikan antara keduanya tanpa menzalimi sesiapa.

Begitu juga dalam kehidupan Rasulullah s.a.w. sentiasa memberikan contoh ikutan dan pesanan nasihat agar suami menjaga isteri dan isteri menjaga suami. Bahkan suami lebih diberatkan lagi kerana tanggungjawabnya menjaga isteri adalah sebahagian tuntutan agama. Rasulullah s.a.w. sendiri hidup dengan harmoni bersama isteri-isterinya - bercakap dengan baik, membantu kerja rumah, melindungi, bertanggungjawab, mengajar soal agama, mengajak beribadah bersama, tidak mengabaikan mereka dalam setiap situasi dan sebagainya. Adakah ini yang kita ingin ketengahkan apabila sebahagian kita asyik-asyik menekankan 'isteri kena layan suami' , 'isteri kena jaga hati suami'..tapi sebaliknya bagaimana? Inikah namanya beramal dengan Al-Quran dan Sunnah Nabi?

Kita asyik bercakap bahawa terdapat hadith menyatakan bahawa di antara ciri isteri yang baik ialah 'apabila kamu melihatnya, dia akan menggembirakan kamu'. Mengapa kita tidak pernah terfikir tentang suami-suami yang apabila dilihat para isteri, mereka juga gembira? Mengapa perlu isteri sahaja yg menggembirakan suami?? Adakah Rasulullah s.a.w. dan para isterinya begitu? Lihatlah bagaimana Rasulullah s.a.w. menggembirakan para isterinya dalam pelbagai keadaan. Itulah suami sejati, bukan suami yang hanya melihat 'taatnya' isteri dengan isteri itu diam dan ikut apa kemahuan suami tanpa menjaga hati dan perasaannya.

Sudah-sudahlah kita bercakap dengan suasana berat sebelah sebegini. Islam adil dan meletakkan setiap perkara pada tempatnya. Islam membela nasib wanita dan lelaki dengan secantiknya. Mengapa kita pula yang berdakwah ke arah perbezaan yang menguntungkan lelaki dan merugikan wanita, atas nama agama?

Tuesday, April 12, 2011

Kau Bukan Ustaz, Elok Kau Diam

Ada satu penyakit dalam kalangan mereka yang belajar dalam pengkhususan agama. Penyakit ini pasti bukanlah berlaku kepada semua, tetapi wujud pada sebahagian mereka.

Penyakit itu ialah menutup mulut orang-orang yang bukan 'ustaz/ustazah' untuk memberikan pandangan dalam ilmu agama atau menyumbangkan tenaga dalam dakwah. Alasannya hanyalah 'kau bukan ustaz, kau bukan ustazah'.

Adakah ini alasannya untuk kita menafikan dan tidak memberikan hak untuk mereka yang bukan ustaz/ustazah untuk bercakap? Seharusnya kita mencari banyak lagi alasan lain untuk menegur mereka. Sebagai contoh, kemukakan kesalahan mereka - dalam ucapan atau penulisan - maka tegurlah mereka berdasarkan kesalahan mereka tadi dan perbetulkan.

Tindakan menutup mulut tanpa sebab kukuh akan menyebabkan golongan yang bukan ustaz ini lama-kelamaan akan memberontak dan mungkin mereka pula akan terkeluar dari batasan - iaitu mereka akan menghentam kembali para ustaz ustazah kerana melakukan kesilapan. Ini akan meluaskan lagi jurang antara mereka (pendakwah bukan ustaz/ustazah) dan ustaz/ustazah sendiri.

Saya sebagai ustaz kerap kali bertemu dengan orang-orang yang memang bukan ustaz/ustazah tetapi mengetahui dan berilmu tentang apa yang mereka ucapkan atau tulis. Apa tindakan saya? Memuji, memberikan galakan dan memberikan 'bantuan' dan idea. Itu yang sepatutnya. Bimbing dan berkongsi ilmu, bertukar pandangan dan berbincang. Tidak seharusnya saya merasa marah hanya kerana mereka tahu apa yang saya tidak tahu. Ini kerana mereka juga ada perkara yang tidak diketahui dan bertanya kepada saya juga para ustaz/ustazah lain. Itukan lumrah?

Ya, saya akui memang ada orang-orang begini yang sudah sampai ke tahap tinggi seolah-olah tidak perlukan lagi nasihat para ustaz/ustazah. Apa nak buat, begitulah juga lumrahnya yang kadangkala kita temui. Apabila diajukan nasihat dan teguran, kata-kata pedas dan angkuh yang dibalas. Apa nak buat, nasihat kita dianggap sebagai 'menyekat' dan 'menghalang'.

Tetapi tidak kurang yang positif dengan nasihat para ustaz lalu berusaha menambah ilmu dan memperbaiki kesilapan. Alhamdulillah, tahniah untuk mereka.

Adalah amat tidak adil dan menyalahi akhlak Islam apabila kita menyekat golongan bukan ustaz/ustazah dari berdakwah. Malah yang sepatutnya dan sewajibnya ialah kita galakkan mereka dan berikan dorongan untuk berdakwah dengan syarat:

'Berdakwah berdasarkan ilmu dan jangan sesekali merasa cukup dengan ilmu yang ada'

wallahu a'lam...

nasihat untuk saya, ustaz/ustazah dan para pendakwah umumnya...