Monday, February 14, 2011

Keajaiban Hafazan, antara al-Bukhari dan Tony Buzan

oleh: Adlan Abd. Aziz

Bagi sesiapa yang mempelajari ilmu dan perbincangan berkaitan hadith, pasti akan melalui satu topik yang cukup luas iaitu bagaimana ulama hadith silam begitu kreatif dan gigih memelihara setiap hadith yang ditemui. Di antara bentuk pemeliharaan ini ialah hafazan dan penggunaan memori yang amat maksimum dalam kalangan mereka. Ini mungkin sudah pun diketahui tetapi mungkin tidak diyakini oleh sebahagian pembaca secara 100% dan berfakta. Sebahagian hanya tahu mengiklankan kehebatan imam-imam hadith silam seperti al-Bukhari dan lain-lain, tetapi tidak tahu memperihalkan di manakah dan bagaimanakah 'kehebatan' itu. Sebahagian pula tidak menganggap ilmuan silam hebat, tetapi lebih mengkagumi ilmuan moden kerana adanya 'teknologi' dan pelbagai kemodenan dalam aspek pembelajaran dan pengajian.

Benarkah kehebatan dalam kemahiran penggunaan otak yang melahirkan hafazan yang mantap bergantung pada teknologi canggih, atau sebenarnya ia bergantung pada sistem itu sendiri? Adakah makanan tertentu mempengaruhi hafazan dan pemikiran? Adakah tertelan semut atau termakan kepala ikan boleh mengganggu sistem memori anda? Teruskan membaca.

Dunia hari ini juga menyaksikan pakar-pakar dalam teori penggunaan otak, pemantapan memori dan ingatan sehingga lahirlah pelbagai teknik dan sistem seperti yang kita lihat pada hari ini. Di antara tokoh masa kini yang terkenal dalam bahagian ini terutamanya dengan kaedah 'mind mapping' ialah Tony Buzan. Untuk maklumat ringkas tentang beliau di wikipedia, klik di sini

Setelah berkesempatan untuk melihat sebahagian fakta-fakta penting berkaitan penggunaan memori dan sistem hafazan para ulama hadith silam, saya juga sempat membaca karya-karya Tony Buzan dan saya akui amat kagum dan terlalu banyak input positif yang dapat saya ambil dari tulisan beliau.

Sepanjang saya meneliti beberapa tulisan Tony Buzan dan kaedah serta teori beliau, saya sering membuat perbandingan (dalam pemikiran saya) dengan apa yang saya temui hasil daripada khazanah ulama hadith silam dalam aspek yang sama iaitu bagaimana memaksimumkan penggunaan otak dan sistem hafazan yang paling berkesan.

Dalam membuat perbandingan tentang segala yang ditulis oleh Buzan dengan segala yang telah dicapai dan direkodkan berkaitan salah seorang imam hadith terkemuka iaitu - Imam al-Bukhari (wafat 256H), saya mencatatkan beberapa perkara seperti berikut:

1-Konsep asas penggunaan otak dan sistem pemantapan memori antara al-Bukhari dan Buzan sememangnya sama dan ia bertitik tolak dari kemahiran memaksimumkan kemampuan otak manusia normal.

2-Dalam erti kata lain, tidak ada keajaiban dalam kehebatan al-Bukhari. Begitu juga tidak ada keajaiban dalam kemampuan Buzan. Apa yang ada dalam keduanya (sekadar pemerhatian saya yang tidak seberapa ini) ialah - Kesungguhan, Minat, Susunan yang sistematik dan pengulangan yang bijak.

3- Bukanlah saya hendak menyamakan antara keduanya kerana sememangnya tidak layak untuk kita samakan sesiapa sahaja yang kuat hafazannya dengan Imam al-Bukhari yang bukan sahaja hebat dari segi hafazan, malah hebat dari segi akhlak dan ketaqwaan.

4- Tetapi umat Islam seharusnya menumpukan kepada sistem dan kaedah yang telah digunapakai oleh ilmuan agung kita dalam menjadi tokoh dalam sesuatu bidang ilmu seperti ilmu hadith yang sedang kita bicarakan.

5- Manusia muslim tidak seharusnya menjadi dua jenis manusia:

Pertama - mengkagumi kehebatan kaedah-kaedah dan sistem yang diperkenalkan oleh tokoh barat sehingga merasakan merekalah sumber keagungan ilmu.

Kedua - mengkagumi kehebatan tokoh Islam tetapi tidak pernah tahu apa dan bagaimanakah sistem dan kaedah yang digunakan oleh mereka.

6- Seharusnya kita cuba (sedaya upaya) untuk mencari kehebatan tokoh ilmuan Islam dan sistem serta kaedah mereka yang telah benar-benar TERBUKTI dalam sejarah kegemilangan Islam. Sekurang-kurangnya kita mendapat 2 manfaat dan faedah:

Satu - Memahami mengapa agung dan hebatnya ilmuan Islam dengan fakta dan bukti. Akhirnya kita akan menghormati mereka dan hasil kajian mereka serta tidak menolak mentah-mentah apa yang mereka kemukakan kononnya di atas dasar kajian moden. Kajian bukanlah pada moden atau lama, tapi kajian pada sistem dan cara yang terbukti berkesan.

Dua - Sentiasa mampu mengetengahkan kehebatan ilmuan Islam dan membandingkannya dengan kehebatan ilmuan bukan Islam agar dapat ditemui titik pertemuan dan perbezaan.

wallahu a;lam

No comments:

Post a Comment