Baru-baru ini saya membeli sebuah buku yang ditulis oleh Ustaz Abu Farouq Rasul Bin Dahri, bertajuk 'Sabda Rasulullah s.a.w.: Solatlah kamu sebagaimana Aku solat', terbitan Syarikat Ummul Qura, cetakan kedua tahun 2010.
Idea yang diketengahkan dalam buku ini ialah membawa masyarakat ke arah memahami bagaimana cara solat di dalam hadith-hadith Nabi s.a.w. Ia satu usaha yang patut diberikan pujian - dan dalam masa yang sama patut diberikan ulasan jika ada yang tidak begitu jelas atau tepat.
ULASAN PERTAMA - NOTA KAKI ةMUKA SURAT 16, NO.31
Ulasan saya ialah tentang bab 'Bersedekap di dada' yang disebut dalam buku ini bermula pada muka surat 16. Dalam bab ini penulis menyatakan bahawa bersedekap di dada adalah yang menepati hadith-hadith yang sahih. Lalu penulis menyebut 7 potongan hadith berserta takhrij / menyebut sumber setiap hadith. Ulasan saya ialah seperti berikut:
Pertama, daripada sejumlah 7 potongan hadith yang disebutkan di sini, hanya 3 potongan hadith mengandungi dengan jelas perkataan 'di atas dada'.
Kedua, ulasan saya yang lebih panjang ialah pada nota kaki bagi potongan hadith yang ketiga iaitu hadith:
كان يضعهما على الصدر
maksudnya (seperti disebut oleh penulis) : Baginda meletakkan kedua tangannya (bersedekap) di dada.
Dalam nota kaki bernombor 31, penulis menyebut:
"Disebut oleh Bukhari dalam sahihnya. Di dalam al-Muwatta'. H/R Abu Daud, Ibnu Khuzaimah, Ahmad dan Abu Syeikh, Tirmizi menghasankan salah satu hadith ini".
Ulasan saya:
1-Kata-kata dalam nota kaki itu "Disebut oleh Bukhari dalam sahihnya" - sedangkan hadith ini sama ada dengan lafaz yang dinyatakan di sini atau pun apa-apa hadith yang membawa maksud 'di atas dada' tidak ada disebut langsung dalam Sahih al-Bukhari.
2-Kata-kata "Di dalam al-Muwatta". Biasanya apabila disebut al-Muwatta' maka ia merujuk kepada karya Imam Malik Bin Anas (wafat 179H) - walaupun penuntut ilmu tahu bahawa terdapat Muwatta' lain karya imam-imam lain. - Namun begitu, jika dimaksudkan al-Muwatta' karya Imam Malik, masalah yang timbul ialah tiada didapati hadith 'di atas dada' dalam al-Muwatta' dengan pelbagai versi riwayat-riwayatnya.
3- "H/R Abu Daud, Ibnu Khuzaimah, Ahmad dan Abu Syeikh". - Kenyataan ini memang tepat kerana sememangnya ada hadith berkaitan 'di atas dada' dalam Sunan Abu Daud, Mukhtasor al-Mukhtasor atau lebih dikenali dengan Sahih Ibnu Khuzaimah, Musnad Imam Ahmad dan Abu Syeikh dalam buku Tabaqat al-Muhaddithin Fi Asbahan.
4- "Tirmidzi menghasankan salah satu hadith ini" - Di sini terdapat 2 ulasan yang ingin saya nyatakan:
Pertama, apa maksud 'menghasankan salah satu hadith ini' dalam nota kaki tersebut?
Kedua, apabila dilihat dalam Jami' al-Tirmidzi atau lebih popular dengan nama Sunan al-Tirmidzi, di dapati bahawa tidak ada lafaz 'di atas dada' dalam hadith berkaitan sifat solat Nabi s.a.w. yang disebutkan dalam buku itu.
ULASAN KEDUA - AMALAN IMAM ISHAK BIN RAHAWAIH DAN IMAM MARWAZI
Penulis menyatakan pada muka surat 18 :
"Cara-cara yang sesuai dengan sunnah inilah yang diamalkan oleh Imam Ishak Bin Rahawaih dan Imam Marwazi dalam Kitab Masail hlm. 222".
Apabila kita membuat rujukan lanjut, didapati bahawa apa yang sebenarnya disebutkan dalam Kitab Masaail pada halaman yang disebut penulis ialah:
Pertama - Terdapat kisah tentang Ishak Bin Rahawaih solat kemudian membaca qunut lalu mengangkat tangannya berdoa qunut sehingga ke paras dadanya. Maka ia tidak berkaitan dengan meletakkan tangan atau bersedekap di atas dada.
Kedua - Buku al-Masaail ialah karya Imam al-Marwazi. Maka apa yang berlaku ialah al-Marwazi menukilkan perbuatan Ishak Bin Rahawaih seperti di atas, dan bukanlah bercerita tentang amalan al-Mawarzi seperti yang difahami daripada kata-kata penulis di atas tadi.
*Sepatutnya ditulis : "...yang diamalkan oleh Imam Ishak Bin Rahawaih sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam Marwazi dalam kitab Masail hlm.222".
wallahu a'lam.
BERSAMBUNG...
Jazakallah ust..
ReplyDeletejazakumullah syaikhana Adlan atas istidrak ilmiah ini, diharap istidrak ini dijadikan sbg perbincangan dan kritikan ilmiah, dan bukannya mengkritik ketokohan URD dan bukan bertujuan menafikan jasa2 beliau dalam dakwah sunnah.
ReplyDeleteURD dikasihi di hati kami, namun kebenaran lebih kami cintai.
sebenarnya, pada bbrapa lama dahulu ana sendiri juga telah muejumpai kesilapan nukilan fakta yang lain dari URD, dalam buku beliau ''Hukum Solat Hajat" [yang boleh didownload disini - http://rasuldahri.com/ebook/KertasKerja/Hukum%20Solat%20Hajat.pdf ]
pada muka surat 1, nota kaki no. 1, kata URD:
Kata al-Bukhari: “Setiap rawi yang telah aku jelaskan tentang hadis solat hajat padanya mungkarul hadis, maka tidak boleh diterima riwayatnya.” (Lihat Mizanul l’tidal. jld. 1. Hlm. 6 - terjemhan URD)
pada tempat yg lain dlm artikel yg sama, kata URD:
Dan menurut jarah Imam Bukhari: “Setiap Rawi yang telah aku katakan padanya mungkarul hadis, maka tidak boleh diterima riwayatnya.” (Lihat Mizanul l’tidal. jld. 1. Hlm. 6- terjemahan URD)
Nampaknya terdapat kecelaruan pada terjemhan URD, rujukan yg sama iaitu Mizan al-'Itidal, jld 1, m/s 6, tapi URD terjemah dgn gaya yg berbeza, terjemahan pertama adanya tambahan lafaz "hadith solat hajat", dan terjemhan kedua tiada tambahan lafaz "solat hajat", setelah di semak, yg betul seperti dlm naskhah asal dlm bahasa arab adalah tanpa tambahan lafaz "hadith solat hajat".
----------------------
setelah disemak, ana tidak jumpa kata al-Bukhari yg menyebut:
“Setiap rawi yang telah aku jelaskan (tentang hadis solat hajat padanya mungkarul hadis), maka tidak boleh diterima riwayatnya.”
perkataan yg dlm kurungan (tentang hadis solat hajat padanya mungkarul hadis) tiada pada ayat asal dlm bahasa arab dalam kitab Mizan al-Itidal.
Kesilpan seperti menunjukkan bahawa URD menggunakan sumber sekunder atau tertier utk menulis artikel dan bukan dari sumber asal primer.
Diharap URD dapat betulkan mistake pada terjemhan makalah tersebut
-------------------------
kitab Mizan al-'Itidal yg ana guna utk buat semakan ini ialah, ana guna 2 edisi:
1 - Mizan al-'Itidal (softcopy):
software maktabah syamilah ver, 2.11
2- Mizan al-'Itidal (pdf- scan dari kitab yg asal hard copy):
nama kitab: Mizan al-'Itidal fi Naqd al-Rjal
penulis: Imam al-Hafiz syamsuddin Muhammad bin Ahmad az-Zahabi
tahqiq: syaikh Ali Muhammad, syaikh 'Adil Ahmad
cetakan: Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut-Lubnan, 1995M/1426H
jilid: 8 jilid
Muhibbakum,
Abu Ismail Fathi Al-Maliziy Al-Sakandary