Monday, December 20, 2010

Ulasan Tambahan Berkaitan Sifat Solat Nabi s.a.w.

Selepas menulis 2 artikel untuk mengulas sebuah buku yang ditulis dalam tajuk 'Sifat Solat Nabi s.a.w.', kali ini saya menulis tentang satu maklumat yang juga ada di dalam buku tersebut iaitu buku 'Sabda Rasulullah s.a.w. : Solatlah kamu sebagaimana Aku solat' karya Ustaz Abu Farouq Rasul Bin Dahri, terbitan syarikat Ummul Qura.

Artikel pertama dan kedua boleh dilihat dalam blog alitantawi.blogspot.com dan juga dalam al-ahkam.net (di sini).

Kemudian saya dapati maklumat ini juga sebenarnya telah dijelaskan dalam bentuk video (saya ikuti dalam Youtube) dalam beberapa bahagian melalui siri Sifat Solat Nabi s.a.w. juga oleh Ustaz Rasul Bin Dahri.

Ulasan kali ini berkaitan :

BEZA SOLAT ANTARA LELAKI DAN PEREMPUAN
Menurut buku yang diulas (pada muka surat 18 dan 19) dan juga menurut penerangan melalui video (boleh dilihat di sini), penulis menyimpulkan bahawa -

1- Tidak ada beza antara lelaki dan perempuan dari segi cara bersolat.

2- Sesiapa yang menyatakan demikian, maka ia melakukan pembohongan malah menipu dan berdusta di atas nama Rasulullah s.a.w.

3- Ustaz Rasul Bin Dahri kemudian mengaitkan pembohongan ini dengan sebuah hadith sahih berbunyi: 'Sesiapa yang berdusta ke atasku secara sengaja, maka tempahlah tempatnya di neraka'.

Ulasan:

1-Pertama, saya ingin ringkaskan pandangan yang disebut oleh Imam al-Nawawi (wafat 676H) dalam bukunya al-Majmu' yang merupakan antara rujukan utama dalam Fiqh Mazhab al-Syafie dan juga fiqh perbandingan dengan mazhab lain. Dalam buku ini kita dapati al-Nawawi telah menyebut tentang perbezaan solat lelaki dan solat perempuan. Beliau telah menukilkan pandangan Imam al-Syafie (wafat 204H). Mari kita lihat kesimpulan yang ada dalam buku al-Majmu' ini :

a-Secara keseluruhannya solat lelaki adalah sama saja dengan solat perempuan dari segi pergerakan solat.

b-Namun begitu terdapat beberapa perbezaan yang digalakkan menurut pandangan Imam al-Syafie iaitu:

-perempuan merapatkan dan tidak merenggangkan ketika dalam solat.
-ketika sujud, dirapatkan perut dan pehanya.
-merendahkan suaranya.
-menebalkan jilbabnya.
-merenggangkan jilbabnya ketika ruku' dan sujud untuk mengelakkan daripada dilihat bentuk badan dengan jelas.
-jika terganggu atau berlaku apa-apa, perempuan menepuk tangannya.
[al-Majmu', jilid 3, m.s. 495, cetakan Maktabah al-Irsyad, Jeddah]

2-Kedua, terdapat beberapa hadith yang sememangnya dhaif berkaitan perkara ini. Itu tidak menjadi soal kerana kedhaifan hadith tidak semestinya bermaksud perkara itu sesuatu yang salah. Pengkaji dan penuntut ilmu-ilmu Islam harus sedar bahawa para ulama mengeluarkan hukum dan cadangan serta fatwa bukan semata-mata berdasarkan hadith-hadith sahih, tetapi melihat pelbagai maklumat antaranya ialah - fatwa dan amalan generasi awal dari kalangan sahabat, tabiin dan generasi selepas mereka.

3-Ketiga, oleh itu kita dapati persoalan perbezaan antara perbuatan lelaki dan perempuan dalam solat telah pun diungkapkan oleh sebahagian tokoh-tokoh ilmuan Islam terkemuka malah dari generasi awal. Saya ingin membawa analisis ringkas tentang apa yang disebutkan oleh Imam Abd. Razzaq al-Son'ani dalam bukunya yang terkenal - al-Musannaf - dalam jilid 3, m.s. 137 dan 138 [cetakan al-Maktab al-Islami, tahun1983]:

- Imam Abd. Razzaq telah menulis satu bab berkaitan 'cara wanita mengangkat tangan ketika takbir, juga cara wanita berdiri, rukuk dan sujud ketika solat'.

- Beliau telah membawa sejumlah 8 riwayat yang menunjukkan pendapat daripada : Saidina Ali Bin Abi Tolib, Ataa' Bin Abi Rabah, al-Hasan al-Basri, Qatadah dan Ibrahim iaitu dari kalangan para sahabat dan tabiin yang menunjukkan terdapat - beberapa perbezaan antara cara solat lelaki dan wanita.

- Ini menunjukkan bahawa para ulama selepas mereka yang membawa idea yang sama sebenarnya berpunca daripada generasi yang lebih awal. Walaupun terdapat perbezaan pendapat, kita perlu hormati fatwa dan amalan generasi awal.

- Kita juga dapat melihat pandangan ini dibawa oleh Imam al-Syafie sebagaimana dinyatakan di atas tadi melalui buku al-Majmu' karya al-Nawawi.

4- Keempat, terdapat sebuah buku yang boleh kita jadikan sumber rujukan dalam hal berkaitan ini iaitu - al-Jami' Li Ahkam al-Nisaa' oleh Syeikh Mustafa al-Adwi. [Rujuk jilid 1, bermula muka surat 371, cetakan Dar al-Sunnah, tahun 1992], beliau telah menyenaraikan pelbagai hadith dan fatwa sahabat serta ulama tentang perbezaan solat antara wanita dan lelaki. Walaupun beliau menyatakan kedhaifan hadith-hadith yang berkaitan, namun beliau telah menilai sahih riwayat-riwayat dari tabiin dan ahli ilmu lain tentang perbezaan keadaan pergerakan solat lelaki dan wanita. Malah beliau menyatakan pula fatwa ulama terkemuka berkaitan hal ini, antaranya dari:

-Imam al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra.
-Ibn Qudamah dalam al-Mughni.
-al-Son'ani dalam Subul al-Salam.

Lalu syeikh Mustafa al-Adwi menyimpulkan bahawa terdapat 2 pandangan yang beliau temui berkaitan pergerakan solat wanita. Pertama, ia sama sahaja dengan lelaki. Kedua, ia berlainan pada beberapa tempat dan ini juga adalah diriwayatkan daripada para tabiin. Beliau menerima keduanya.

5-،Kelima, apabila direnungkan sepintas lalu apa yang telah dinyatakan di atas, adakah anda sanggup untuk menyatakan bahawa 'sesiapa yang membezakan solat lelaki dan wanita telah melakukan pembohongan dan berdusta ke atas Rasulullah s.a.w.'? Ini adalah satu sikap yang melampau dan keluar daripada topik perbincangan. Adakah ulama kita yang terdahulu begitu sekali sifatnya dan sikapnya?

Apa yang ditegaskan oleh sebahagian ulama ialah -

-sememangnya secara umumnya lelaki dan wanita sama sahaja dari segi pergerakannya dalam solat.

-namun mereka mencadangkan beberapa cara untuk wanita berdasarkan wanita perlu memelihara dirinya dari pandangan umum ketika solat. Ini termasuk ketika menunaikan solat di masjid-masjid sejak dulu hingga kini.

-tindakan dan pandangan mereka ini tidak langsung ada kaitan dengan istilah 'pembohongan' ke atas Rasulullah s.a.w. dan amat jauh sekali daripada maksud hadith yang disebut oleh penulis.

Semoga Allah SWT menyelamatkan ahli ilmu dan pencinta ilmu daripada sikap melampau. Amin.

Saturday, December 11, 2010

Ulasan Buku Berkaitan Sifat Solat Nabi s.a.w. (2)

Artikel ini mengulas tentang buku: Ustaz Abu Farouq Rasul Bin Dahri, bertajuk 'Sabda Rasulullah s.a.w.: Solatlah kamu sebagaimana Aku solat', terbitan Syarikat Ummul Qura, cetakan kedua tahun 2010.

Artikel bahagian pertama (Ulasan pertama dan kedua) - boleh dibaca di sini

ULASAN KETIGA - BENARKAH HANYA SATU PANDANGAN/AMALAN - IAITU 'DI ATAS DADA'?

Dalam artikel pertama, saya telah menumpukan ulasan terhadap kesilapan nota kaki dan terjemahan. Kali ini ulasan saya adalah berkaitan tulisan penulis seperti berikut:

Penulis menyatakan pada muka surat 16 bahawa:

"Menurut hadis-hadis yang sahih, cara bersedekap (meletakkan kedua tangan) bukanlah di bawah pusat, bukan di pusat, bukan di perut atau melepaskannya ke bawah (isbal) tetapi diletakkan keduanya di atas dada sebagaimana penjelasan dari hadis-hadis sahih seperti berikut..."

Penulis juga menyatakan pada muka surat 17 dan 18 ayat seperti berikut:

"Menurut Syeikh Nasruddin al-Albani rahimahullah: Bersedekap di dada adalah perbuatan yang sahih menurut sunnah. Yang bertentangan dengan cara ini adalah lemah dan tidak mempunyai dasar riwayat yang sahih".

Di sini dapat kita fahami beberapa perkara yang diketengahkan oleh penulis (melalui pendapat beliau dan juga nukilan pendapat Syeikh al-Albani) iaitu:

- Bersedekap di atas dada ketika solat disebutkan dalam hadith-hadith sahih.

- Perbuatan bersedekap di atas dada adalah perbuatan yang menepati sunnah.

- Perbuatan bersedekap di tempat selain dada adalah lemah dan tidak berdasarkan riwayat yang sahih.

Sekali pandang, mungkin pembaca akan meyakini bahawa hanya ada SATU pandangan dan hanya SATU amalan di sisi para ulama fiqh dan hadith sepanjang zaman iaitu seperti di atas. Namun apa yang ditemui amat berlainan... teruskan membaca:

1- Dari segi amalan, apa yang penulis bawa bertentangan dengan apa yang diamalkan oleh ilmuan Islam di zaman awal. Ini jelas seperti yang diceritakan kepada kita oleh Imam al-Tirmidzi :

وَالْعَمَلُ عَلَى هَذَا عِنْدَ أَهْلِ الْعِلْمِ مِنْ أَصْحَابِ النَّبِىِّ -صلى الله عليه وسلم- وَالتَّابِعِينَ وَمَنْ بَعْدَهُمْ يَرَوْنَ أَنْ يَضَعَ الرَّجُلُ يَمِينَهُ عَلَى شِمَالِهِ فِى الصَّلاَةِ. وَرَأَى بَعْضُهُمْ أَنْ يَضَعَهُمَا فَوْقَ السُّرَّةِ. وَرَأَى بَعْضُهُمْ أَنْ يَضَعَهُمَا تَحْتَ السُّرَّةِ. وَكُلُّ ذَلِكَ وَاسِعٌ عِنْدَهُمْ

Maksudnya:
dan amalan sebegini (meletakkan tangan kanan atas tangan kiri dalam solat) diamalkan di sisi ahli ilmu dari kalangan sahabat-sahabat Nabi s.a.w., para tabi'in dan selepas mereka. Mereka mengambil pandangan meletakkan tangan kanan di atas tangan kiri ketika solat. Sebahagian mereka mengambil pandangan meletakkannya di atas pusat dan sebahagian lagi berpandangan di bawah pusat. Dan semua itu luas (terbuka) bagi mereka.
[Jami' al-Tirmidzi, Abwab al-Solat, selepas hadith no.252, muka surat 67, cetakan Dar al-A'lam, Jordan, tahun 2001]

dalam kata-kata dan huraian al-Tirmidzi ini kita dapati 3 generasi awal telah disebut iaitu:

Pertama- para sahabat Nabi s.a.w.
Kedua - para tabiin iaitu mereka yang sempat bertemu dengan para sahabat.
Ketiga - golongan selepas tabiin dan ini meliputi ulama di zaman al-Tirmidzi sendiri.

Kita dapati mereka terbahagi kepada dua kelompok:

Satu- yang bersedekap di bahagian atas pusat (tidak juga diberitahu di atas dada).
Kedua- yang bersedekap di bahagian bawah pusat.

Perlu difahami bahawa ini adalah apa yang diAMALkan oleh mereka sebagaimana kata al-Tirmidzi. Adakah kita boleh katakan amalan sebahagian sahabat, tabiin dan ulama selepas mereka adalah amalan yang TIDAK bersandarkan hadith sahih? Persoalan penting untuk sama-sama kita fikirkan.

2-Apabila dicari pula pandangan dan pendapat ulama terdahulu sama ada dalam bidang fiqh solat atau bidang hadith, kita juga tidak temui pendapat yang 'menghadkan' kepada hanya 'di atas dada'. Sebagai contoh:

Lihatlah buku-buku yang mengumpulkan pendapat ulama terkemuka dalam fiqh sama ada secara 'fiqh perbandingan' atau 'fiqh satu mazhab', maka kita akan dapati persoalan bersedekap ketika solat dibincangkan dengan begitu 'luas' dan 'terbuka' tanpa menafikan perbezaan cara dan amalan.

Persoalan yang saya ingin lontarkan di sini:

Adakah kita meyakini bahawa mereka TAHU ada hadith sahih yang menghadkan 'di atas dada' tetapi mereka tidak mengikuti maksud hadith itu?

Atau kita meyakini bahawa mereka TIDAK TAHU adanya hadith tentang 'di atas dada'?

Ini persoalan yang saya ingin timbulkan sekiranya kita berpegang kepada amalan dan pandangan 'hanya di atas dada'.

NUKILAN DARIPADA BEBERAPA SUMBER FIQH

1- Pertama mari kita lihat kepada sebuah buku yang menjadi antara rujukan utama dalam Mazhab Hanafi iaitu buku yang masyhur dengan nama Hasyiyat Ibn Abidin atau judul asalnya 'Radd al-Muhtar'. Dari buku ini kita dapati pandangan yang disebut ialah 'bersedekap di bawah pusat' berdasarkan kata-kata yang dinukilkan daripada Saidina Ali Bin Abi Tolib.
[Radd al-Muhtar, Jilid 2, Kitab al-Solat, muka surat 172 dan 173, cetakan Dar Alam al-Kutub, Riyadh, tahun 2003]

2- Kita juga dapat lihat pada sumber fiqh Mazhab Maliki contohnya buku karya Imam Malik Bin Anas sendiri iaitu al-Muwatto', beliau menyebutkan tentang suruhan meletakkan tangan kanan di atas tangan kiri, dan menyenaraikan beberapa hadith tetapi tidak ada pandangan atau penetapan 'di atas dada'.
[al-Muwatto', Riwayat Abu Mush'ab, Jilid 1, bab 49, hadith no.424 hingga 426, cetakan Muassasah al-Risalah, Beirut, cetakan ketiga, tahun 1998] dan juga [al-Muwatto', Riwayat Yahya al-Laithi, Jilid 1, bab 100, hadith no.436 dan 437, cetakan Dar al-Gharb al-Islami, cetakan kedua, tahun 1997]

3- Dalam Mazhab al-Syafie pula, saya ingin membawa pembaca melihat apa yang telah dikumpulkan oleh Imam al-Nawawi dalam bukunya yang amat panjang lebar dan terkenal, iaitu al-Majmu' yang merupakan huraian kepada satu lagi buku fiqh Mazhab Syafie yang terkemuka iaitu al-Muhazzab karya al-Syirazi. Apa yang dibawa dalam buku al-Majmu'? :

a- Sebahagian ilmuan menyatakan agar bersedekap di bawah dada dan di atas pusat (di antara dada dan pusat)

b- Sebahagian ilmuan pula menyatakan di bawah pusat.
c-Sebahagian lagi pula memberikan pilihan - sama ada ingin bersedekap di bahagian atas pusat atau di bawahnya.
[al-Majmu', Kitab al-Solat, Jilid 3, muka surat 269 dan 270, cetakan Maktabah al-Irsyad, Jeddah]

4- Manakala kalau dilihat pada Mazhab Hanbali pula, kita boleh mengambil pandangan yang dinyatakan oleh Imam Ahmad Bin Hanbal sendiri iaitu ketika disoal tentang bersedekap di atas dada beliau memberikan jawapan:

a- di atas pusat (disebutkan 'sedikit' di atas pusat)

b- jika diletakkan di bawah pusat juga tidak mengapa

c- dia tidak suka seseorang meletakkannya di atas dada.
[Masaail al-Imam Ahmad, karya Imam Abu Daud, muka surat 31, cetakan di bawah seliaan Muhammad Rasydi Ridha, tahun 1353H]

5-Salah sebuah buku yang mengumpulkan pandangan daripada pelbagai mazhab yang popular ialah buku al-Mughni karya Ibnu Qudamah al-Maqdisi. Beliau menyebut tentang perbezaan pandangan ulama tentang bersedekap ketika solat:

a-Meletakkan di bawah pusat sebagaimana pernah diriwayatkan daripada sebilangan sahabat, tabiin dan juga Imam Ahmad Bin Hanbal.

b-Meletakkan di atas pusat, diriwayatkan dari sebahagian tabiin, Imam al-Syafie dan juga Imam Ahmad Bin Hanbal.

c-Diberi pilihan untuk mengambil mana-mana pandangan (atas atau bawah pusat), juga diriwayatkan dari Imam Ahmad Bin Hanbal. Ia juga dianggap sebagai sesuatu yang terbuka dan luas.
[Al-Mughni, Jilid 2, muka surat 141, cetakan Dar Alam al-Kutub, Riyadh, tahun 1997]

6- Saya juga ingin merujuk kepada satu maklumat yang diringkaskan oleh seorang ilmuan hadith di Iraq yang juga Syeikh Dar al-Hadith di Iraq, Dr. Mahir Yasin Fahl dalam tesis sarjana beliau bertajuk Athar Ilal al-Hadith Fi Ikhtilaf al-Fuqaha' berkaitan tajuk ini:

a-Bersedekap di atas pusat, di bawah dada. Menurut Dr.Mahir, ini adalah pendapat dalam kalangan ilmuan Mazhab Syafie dan salah satu pandangan dalam kalangan ulama Mazhab Hanbali.

b-Bersedekap di bawah pusat. Ini merupakan pandangan kalangan ilmuan Mazhab Hanafi dan beliau juga menyebut nama sebahagian sahabat, tabiin dan ulama selepas mereka yang mengambil pandangan ini. Ia juga adalah pendapat yang kuat dalam Mazhab Hanbali.


c-Bersedekap di atas dada. Ini tidak pernah diambil daripada ulama awal, cuma ia dipilih oleh ulama terkemudian seperti al-Son'ani, al-Mubarakfuri, al-Azim Abadi dan al-Syaukani.


d-Terbuka dan tidak dihadkan sebagaimana pandangan al-Auza'i dan juga Ibn al-Mundzir.


e- Meluruskan tangan dan tidak bersedekap. Ini pandangan sebahagian tabiin dan ulama.


Pembaca yang tahu membaca dalam Bahasa Arab elok melihat huraian lengkap Dr.Mahir Yasin Fahl dalam bukunya ini.
[Athar Ilal al-Hadith Fi Ikhtilaf al-Fuqaha', muka surat 280, Dar Ammar, Jordan, tahun 2000]

7-Saya juga ingin menukilkan apa yang telah dituls oleh Dr. Wahbah al-Zuhaili, seorang alim dan pendakwah terkemuka dunia Islam dalam bukunya yang cukup terkenal iaitu al-Fiqh al-Islami :

a-Bersedekap di atas dada.

b-Bersedekap di bawah dada, di atas pusat.

c-Di bawah pusat.

d-Meluruskan tangan tanpa bersedekap.
[Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, jilid 1, muka surat 687 dan 688, cetakan Dar al-Fikr, tahun 1985]

Apa yang saya sebutkan di atas hanyalah beberapa buku yang membawa pandangan mazhab-mazhab utama dalam Islam. Para pembaca boleh membuat rujukan tambahan menggunakan buku-buku fiqh yang mudah didapati dan melihat sendiri apa yang dinyatakan. Melalui apa yang saya sebutkan, kita dapat tahu :

-Pandangan yang dibawa oleh penulis yang 'menghadkan' dan 'menyempitkan' amalan bersedekap hanya di atas dada dan bukan di tempat lain adalah 'menyalahi' apa yang tersebar dalam kalangan ulama zaman berzaman - secara AMALAN dan juga PANDANGAN.

- Para ulama begitu terbuka (sebagaimana kata Imam al-Tirmidzi dan rujukan-rujukan yang saya sebutkan di atas) dalam menyatakan tempat bersedekap dan mereka tidak menghadkan serta tidak menyalahkan atau melemahkan pandangan tertentu. Bahkan di antara mereka memberikan pilihan pula kepada orang yang solat.


Adakah mungkin amalan dan pandangan ilmuan Islam sepanjang zaman ini 'tidak bersandarkan dalil yang sahih'?

Adakah mungkin mereka tidak tahu bahawa yang sahih hanya 'di atas dada'?

wallahu a'lam

Friday, December 10, 2010

Ulasan Buku Berkaitan Sifat Solat Nabi s.a.w.


Baru-baru ini saya membeli sebuah buku yang ditulis oleh Ustaz Abu Farouq Rasul Bin Dahri, bertajuk 'Sabda Rasulullah s.a.w.: Solatlah kamu sebagaimana Aku solat', terbitan Syarikat Ummul Qura, cetakan kedua tahun 2010.

Idea yang diketengahkan dalam buku ini ialah membawa masyarakat ke arah memahami bagaimana cara solat di dalam hadith-hadith Nabi s.a.w. Ia satu usaha yang patut diberikan pujian - dan dalam masa yang sama patut diberikan ulasan jika ada yang tidak begitu jelas atau tepat.

ULASAN PERTAMA - NOTA KAKI ةMUKA SURAT 16, NO.31

Ulasan saya ialah tentang bab 'Bersedekap di dada' yang disebut dalam buku ini bermula pada muka surat 16. Dalam bab ini penulis menyatakan bahawa bersedekap di dada adalah yang menepati hadith-hadith yang sahih. Lalu penulis menyebut 7 potongan hadith berserta takhrij / menyebut sumber setiap hadith. Ulasan saya ialah seperti berikut:

Pertama
, daripada sejumlah 7 potongan hadith yang disebutkan di sini, hanya 3 potongan hadith mengandungi dengan jelas perkataan 'di atas dada'.

Kedua
, ulasan saya yang lebih panjang ialah pada nota kaki bagi potongan hadith yang ketiga iaitu hadith:

كان يضعهما على الصدر

maksudnya (seperti disebut oleh penulis) : Baginda meletakkan kedua tangannya (bersedekap) di dada.

Dalam nota kaki bernombor 31, penulis menyebut:

"Disebut oleh Bukhari dalam sahihnya. Di dalam al-Muwatta'. H/R Abu Daud, Ibnu Khuzaimah, Ahmad dan Abu Syeikh, Tirmizi menghasankan salah satu hadith ini".

Ulasan saya:

1-Kata-kata dalam nota kaki itu "Disebut oleh Bukhari dalam sahihnya" - sedangkan hadith ini sama ada dengan lafaz yang dinyatakan di sini atau pun apa-apa hadith yang membawa maksud 'di atas dada' tidak ada disebut langsung dalam Sahih al-Bukhari.

2-Kata-kata "Di dalam al-Muwatta". Biasanya apabila disebut al-Muwatta' maka ia merujuk kepada karya Imam Malik Bin Anas (wafat 179H) - walaupun penuntut ilmu tahu bahawa terdapat Muwatta' lain karya imam-imam lain. - Namun begitu, jika dimaksudkan al-Muwatta' karya Imam Malik, masalah yang timbul ialah tiada didapati hadith 'di atas dada' dalam al-Muwatta' dengan pelbagai versi riwayat-riwayatnya.

3- "H/R Abu Daud, Ibnu Khuzaimah, Ahmad dan Abu Syeikh". - Kenyataan ini memang tepat kerana sememangnya ada hadith berkaitan 'di atas dada' dalam Sunan Abu Daud, Mukhtasor al-Mukhtasor atau lebih dikenali dengan Sahih Ibnu Khuzaimah, Musnad Imam Ahmad dan Abu Syeikh dalam buku Tabaqat al-Muhaddithin Fi Asbahan.

4- "Tirmidzi menghasankan salah satu hadith ini" - Di sini terdapat 2 ulasan yang ingin saya nyatakan:

Pertama, apa maksud 'menghasankan salah satu hadith ini' dalam nota kaki tersebut?

Kedua, apabila dilihat dalam Jami' al-Tirmidzi atau lebih popular dengan nama Sunan al-Tirmidzi, di dapati bahawa tidak ada lafaz 'di atas dada' dalam hadith berkaitan sifat solat Nabi s.a.w. yang disebutkan dalam buku itu.

ULASAN KEDUA - AMALAN IMAM ISHAK BIN RAHAWAIH DAN IMAM MARWAZI

Penulis menyatakan pada muka surat 18 :

"Cara-cara yang sesuai dengan sunnah inilah yang diamalkan oleh Imam Ishak Bin Rahawaih dan Imam Marwazi dalam Kitab Masail hlm. 222".

Apabila kita membuat rujukan lanjut, didapati bahawa apa yang sebenarnya disebutkan dalam Kitab Masaail pada halaman yang disebut penulis ialah:

Pertama - Terdapat kisah tentang Ishak Bin Rahawaih solat kemudian membaca qunut lalu mengangkat tangannya berdoa qunut sehingga ke paras dadanya. Maka ia tidak berkaitan dengan meletakkan tangan atau bersedekap di atas dada.

Kedua - Buku al-Masaail ialah karya Imam al-Marwazi. Maka apa yang berlaku ialah al-Marwazi menukilkan perbuatan Ishak Bin Rahawaih seperti di atas, dan bukanlah bercerita tentang amalan al-Mawarzi seperti yang difahami daripada kata-kata penulis di atas tadi.

*Sepatutnya ditulis : "...yang diamalkan oleh Imam Ishak Bin Rahawaih sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam Marwazi dalam kitab Masail hlm.222".

wallahu a'lam.

BERSAMBUNG...

Wednesday, December 08, 2010

Penulisan Dalam Agama - Kenali Penulisnya Dahulu

Kepada mereka yang gemar membeli dan membaca buku-buku agama, ia merupakan satu sikap yang amat baik dan patut diteruskan. Namun untuk memantapkan lagi pembacaan, pembaca perlu berhati-hati dalam memilih bahan bacaan yang ingin dimiliki. Di antara perkara yang perlu dititikberatkan ialah - mengenali penulisnya terlebih dahulu.

Ini kerana terdapat sebahagian buku bacaan dalam bidang yang berkaitan ilmu-ilmu Islam ditulis oleh penulis yang tidak diketahui latar belakangnya malah sejauh mana penguasaannya dalam aspek yang ditulisnya itu.

Terdapat sebahagian buku yang langsung tidak diketahui identiti sebenar penulisnya. Ini amat menyedihkan kerana pembaca bukan sekadar tidak tahu latar belakangnya malah nama penuhnya juga tidak dinyatakan.

Sebahagian buku pula menyatakan penulisnya dengan nama penuh tetapi tidak dapat dikenal pasti pula apakah latar belakang pengajian penulis dengan lebih lanjut. Ini juga sedikit sebanyak menimbulkan kerisauan apakah penulisan itu penulisan yang diyakini datang dari penulis yang mengetahui atau tidak.

Manakala buku-buku agama yang lain pula kita dapati ditulis oleh mereka yang diketahui latar belakangnya. Buku-buku sebegini pula boleh kita bahagikan kepada 2 bahagian:

1-Penulis yang mempunyai latar belakang pendidikan agama yang melayakkan dirinya menulis tentang agama.

2- Penulis yang mempunyai latar belakang yang tidak berkaitan dengan ilmu-ilmu Islam.

Saya tidaklah ingin menasihatkan pembaca supaya 'jangan membaca' buku daripada penulis bahagian kedua iaitu yang tidak ada latar belakang ilmu Islam, tetapi nasihat saya ialah - berhati-hati dan buatlah perbandingan dengan buku lain. Mengapa saya nasihatkan demikian? Kerana beberapa sebab:

Pertama, penulis yang tidak ada latar belakang khusus berkaitan agama sebenarnya terdedah kepada pelbagai kesilapan kerana tidak ada gambaran umum tentang apa yang ditulisnya. Malah terkadang kita dapati penulis sebegini akan banyak membuat salinan dan memindahkan maklumat daripada buku-buku lain. Maka dalam hal ini, penulis ibarat penyusun semata-mata.

Kedua, terbukti dalam sebahagian daripada buku yang saya temui ditulis oleh mereka yang tidak ada latar belakang pengajian agama secara khusus - mereka melakukan kesilapan dalam mengetengahkan fakta. Kesilapan yang dilakukan berpunca - antaranya ialah - kerana menggunakan buku terjemahan disebabkan mereka tidak mampu merujuk buku rujukan asal yang dicetak dalam Bahasa Arab, membuat rujukan yang terhad kepada satu atau dua buku semata-mata dan lain-lain sebab.

Saya akhiri dengan satu pernyataan mudah untuk difahami oleh sesiapa sahaja -

"kalaulah seorang yang mempunyai pengkhususan dalam bidang agama pun BERKEMUNGKINAN melakukan kesilapan dalam penulisan, apatah lagi mereka yang TIDAK ada kelulusan khusus....bayangkan pula mereka yang langsung TIDAK DIKENALI".

Maka berhati-hatilah dalam memilih bahan bacaan berkaitan ilmu-ilmu Islam.

Selamat membaca.

Tuesday, December 07, 2010

Buku Terbaru - 10 Tonggak Remaja Hebat




Buku: 10 Tonggak Remaja Hebat

Penulis: Adlan Bin Abd. Aziz & Sulaiman Bin Hassim

Harga : RM8.00

* Boleh didapati melalui pesanan terus kepada penulis di - pemudaiman@yahoo.com atau hantar pesanan melalui Facebook - Adlan Abd Aziz

Selamat membaca!