Wednesday, December 23, 2009

Memahami Kedudukan Buku 'Ulum al-Hadith' / Mustolah al-Hadith


Terlintas untuk menulis tentang tajuk ini disebabkan penemuan semalam bersama sahabat, Cikgu Hanif ketika kami bersama membelek buku-buku Pustaka Darussalam, Kedah.

Kami bertemu sebuah buku tentang Ulum al-Hadith yang cukup baik ditulis oleh seorang pemegang phd dalam hadith. Buku dalam Bahasa Melayu. Cikgu Hanif meminta pandangan adakah buku itu baik untuk dibeli. Saya menjawab bahawa semua buku Mustolah al-Hadith adalah baik cuma ia tidak mungkin memberikan 'gambaran menyeluruh' tentang kajian hadith. Ia merupakan satu usaha untuk 'mendekatkan' kita terhadap gambaran itu. Cikgu Hanif mahukan bukti!

Lalu kami bersama melihat perbahasan demi perbahasan dalam buku itu. Saya memilih tajuk 'hadith hasan' dan juga 'hadith mursal' untuk memberikan bukti. Dalam buku tersebut - dan juga buku-buku ringkas yang lain - kita dapati definisi ringkas tentang 'hasan' dan juga 'mursal' lalu diberikan contoh. Definisinya begitu terhad dan sememangnya ia perlu diringkaskan untuk kemudahan pembaca. Tetapi...

Saya menunjukkan kepada Cikgu Hanif tentang beberapa perkara yang kurang tentang definisi itu. Kebetulan di rak yang berhampiran terdapat sebuah buku tentang 'hadith hasan' sebanyak 5 jilid! Begitu juga saya ingatkan Cikgu Hanif bahawa terdapat pengkaji lain yang menulis tentang 'hadith mursal' berjilid-jilid. Mungkinkah semua jilid-jilid itu dapat diringkaskan dalam 2 muka surat? 1 muka surat untuk 'hadith hasan' dan 1 lagi untuk 'hadith mursal'? Ini realiti.

Bagi penuntut ilmu hadith, saya huraikan lagi perkara di atas dengan contoh:

Contoh 1:

Penulis mengambil definisi 'hadith hasan' yang diungkapkan oleh Imam al-Tirmidzi di hujung bukunya al-Jami' atau apa yang dipanggil sebagai Ilal Saghir, lalu menyimpulkan bahawa definisi yang diungkapkan oleh al-Tirmidzi membawa maksud : Hasan Li Ghairihi. Semudah itu. Sedangkan perbincangan tentang perkara tersebut amat panjang dan mempunyai pelbagai sudut untuk dilihat. Penulis juga tidak membawa pandangan sesiapa untuk menyokong tafsiran tersebut.

Contoh 2:
Penulis memberi erti 'hadith mursal' dengan hanya satu maksud iaitu ia hadith yang diriwayatkan oleh seorang tabi'i tanpa menyebut nama 'sahabat Nabi'. Itu sahaja. Kemudian sesuatu yang menghairankan, beliau menyebut tentang khilaf ulama dalam menerima hadith mursal. Katanya ada yang menolak kerana tidak tahu kedudukan periwayat yang tidak disebut. Adakah ulama hadith menolak hadith kerana tidak tahu kedudukan 'sahabat Nabi'? Anda boleh faham contoh ini dengan jelas.

Tujuan saya menulis ialah untuk menegaskan:

Sesiapa sahaja yang membaca buku Ulum al-Hadith - mana-mana buku Ulum al-Hadith - tidak akan mendapat gambaran yang tepat tentang kajian yang berlaku. Ini bermakna buku-buku Ulum al-Hadith lebih bertujuan untuk 'mendekatkan' kita terhadap kajian, tapi bukan 'meringkaskan' kajian sehingga kita faham apa yang sebenarnya berlaku.

Oleh itu saya menasihati sesiapa yang berminat dalam Ulum al-Hadith agar :

Membaca pelbagai jenis buku berkaitan Ulum al-Hadith atau Mustolah al-Hadith. Jangan hanya memadai dengan buku-buku ringkas, tetapi cuba sedaya mungkin untuk mempelbagaikan buku. Setiap buku mempunyai sesuatu yang tidak ada pada yang lain.

Ini jelas untuk mengelakkan daripada terperangkap dengan istilah-istilah yang mempunyai definisi ringkas berlainan dengan kajian sebenar.

Pada saya, bukan salah penulis buku-buku Mustolah kerana mereka bertugas meringkaskan dan mendekatkan. Tapi salah pada kita pembacanya kerana tidak menyedari perkara ini..

Selamat membaca.

2 comments:

  1. salam

    betul tu ustaz, makin kita belajar makin terserlah kekurangan ilmu kita,boleh kot sentuh sikit dalam kuliah akan datang di Alam Damai

    ReplyDelete
  2. Anonymous7:56 AM

    Salam alaik :) boleh sy tahu nama tajuk dan penulis buku ulum al hadith tersebut?

    ReplyDelete