"TUNTUTLAH ILMU DARI BUAIAN HINGGA KE LIANG LAHAD"
Telah beberapa kali saya disoal tentang hadith yang disebutkan di atas, yang terbaru adalah selepas kuliah hadith Jami' al-Tirmidzi pada Isnin lepas...
Mungkin patut saya menulis sedikit tentang perkara ini?
DUA PERKARA PENTING
Sebelum menjawab soalan ini, terdapat dua perkara penting yang perlu diketahui dan diyakini bersama:
1-Galakan menuntut ilmu sememangnya terdapat di dalam banyak ayat Al-Quran dan hadith-hadith Rasulullah S.A.W. Tiada siapa dapat menafikan bahawa Islam menyuruh dan menggalakkan kita menuntut ilmu.
2-Menyatakan sesuatu sebagai 'hadith' atau 'bukan hadith' adalah perkara rumit yang membawa banyak implikasi terhadap diri dan masyarakat. Oleh itu ilmuan Islam zaman berzaman telah menekankan kepentingan 'penyelidikan' dalam memastikan adakah sesuatu 'madah' atau 'nasihat' atau 'kata-kata hikmah' itu adalah 'hadith' atau 'bukan hadith'. Pelbagai kaedah telah dinyatakan sejak zaman awal Islam hingga hari ini untuk membuat penapisan dan kajian. Pendek kata, kita perlu berhati-hati sebelum melabelkan sesuatu kata-kata itu sebagai 'hadith' dan begitu juga sebaliknya.
BAGI YANG SUDAH TAHU...BAGI YANG BELUM TAHU...
Maka kita pergi kepada jawapan terhadap soalan di atas. Bagi mereka yang belum tahu, ini merupakan satu ilmu baru pada anda dan diharapkan anda akan menerimanya dengan positif. Sekiranya saya tersalah, dialu-alukan untuk menegur dengan penuh sikap 'persaudaraan'.
Bagi mereka yang telah tahu, anggaplah ia sebagai satu peringatan untuk anda pula membuat peringatan kepada yang lain. Kongsilah ilmu kita dengan orang lain, jangan ilmu kita hanya menghiasi diri kita semata. Mungkin terdetik di hati kita..'orang dah tahu kot'. tapi percayalah...walaupun terdapat ramai yang tahu..tapi ramai juga yang masih belum tahu. Jangan jemu memberitahu kerana memberitahu itu juga adalah ilmu.
JAWAPAN DARI BUKU '20 PERSOALAN ASAS TENTANG HADIS'
Secara ringkasnya, saya telah pun menjawab persoalan ini di dalam buku pertama saya iaitu '20 Persoalan Asas Tentang HadiS' yang boleh didapati di kedai-kedai buku berhampiran atau anda boleh membaca versi e-book di laman web www.hafizfirdaus.com dan ada pautannya di dalam blog ini - alitantawi.blogspot.com
JAWAPAN YANG AGAK BERBEZA...
Saya tidak mahu hanya menyalin kembali 100% apa yang ada di sana. Lalu saya tambahkan dan huraiakan seperti berikut:
1- Kata-kata 'Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad' adalah kata-kata yang membawa maksud yang menepati saranan Al-Quran dan hadith-hadith sahih iaitu - kita seharusnya menuntut ilmu setiap masa selagi bernyawa.
2- Kata-kata ini bukanlah sebuah hadith yang boleh dinyatakan bahawa ia 'sabda Rasulullah S.A.W.' atau 'hadith sahih'. Ini kerana beberapa sebab seperti...
3- Ia tidak direkodkan oleh ulama-ulama utama hadith yang mengumpulkan hadith-hadith Rasulullah S.A.W. Di antara buku utama dalam hadith ialah seperti 'Enam Buku Utama Hadith' iaitu - Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, Jami' al-Tirmidzi, Sunan Abu Daud, Sunan al-Nasaaei. Tidak ada satu pun buku-buku di atas yang memuatkan kata-kata 'Tuntutlah ilmu dari buaian..' di dalamnya.
4- Di dalam buku-buku hadith yang lain juga ia tidak ditemui. Di antara buku-buku hadith yang juga tidak kurang pentingnya adalah seperti - Musnad Ahmad, Sahih Ibn Khuzaimah, Sahih Ibn Hibban, Mustadrak al-Hakim, Sunan al-Baihaqi dan lain-lain lagi.
5- Inilah yang menjadikan para ulama hadith zaman berzaman dan termasuk juga ulama hadith moden pada hari ini menyatakan dengan yakin bahawa ia 'bukan hadith'. Di antara ulama hadith zaman ini yang menyatakannya ialah seperti:
6- Syeikh Abd. Fattah Abu Ghuddah (wafat 1997) di dalam bukunya yang amat menarik - Qiimat al-Zaman Inda al-Ulama (Nilai masa di sisi ulama) telah menyatakan bahawa kata-kata yang berbentuk nasihat yang baik ini bukanlah sebuah 'hadith sahih' dan ia sama sekali tidak boleh disebarkan sebagai 'sabda Rasulullah S.A.W.'.
7- Walaupun ia adalah kata-kata hikmah yang cukup baik bagi menggambarkan tuntutan menuntut apa sahaja ilmu yang bermanfaat yang berterusan sepanjang kita masih hidup, namun kita sama sekali tidak boleh menyatakannya sebagai 'hadith' atau 'sabda Rasulullah S.A.W. seolah-olah ia memang benar datang dari Rasulullah S.A.W. !
PENYELESAIAN UNTUK MEREKA YANG INGIN BERDAKWAH...
Buat para sahabat yang sentiasa berusaha dan berniat baik untuk menyebarkan mutiara kata tentang Islam, pastikanlah ia benar-benar 'sahih' terlebih dahulu. Sekiranya tidak pasti, bolehlah berbincang dan bertanya kepada yang lebih tahu.
Jangan kita jadi terlalu 'berhati-hati' dalam beberapa aspek tetapi kurang pula pada aspek yang penting seperti menyebarkan hadith yang tidak sahih. Kata-kata yang sedikit tetapi benar adalah lebih baik dari kata-kata yang banyak tetapi bercampur aduk.
RENUNGKANLAH SIKAP BERHATI-HATI SEORANG SAHABAT NABI S.A.W.
Akhir sekali, renungkanlah kata-kata seorang sahabat Nabi S.A.W. yang bernama al-Zubair Bin al-Awwam ketika mana di disoal oleh anaknya Abdullah Bin al-Zubair ...'kenapa ayah tidak banyak meriwayatkan hadith seperti orang lain?'. Ayahnya (al-Zubair) menjawab..'aku tidak pernah berjauhan dari Nabi S.A.W., tetapi aku pernah mendengar Nabi S.A.W. bersabda : 'Sesiapa yang berbohong ke atasku, maka tempahlah tempatnya di neraka.
(Sumber: Sahih al-Bukhari, hadith no.107)
*Perhatikan bagaimana bijaknya al-Zubair apabila beliau menjawab soalan anaknya dengan menggunakan sebuah hadith tentang amaran menyebarkan hadith yang tidak sahih...
Semoga kita semua lebih berhati-hati dan berwaspada kerana itulah metodologi kita, umat Islam.
Assalamualaikum..Sudahkah tuan mempelajari usuludin, fekah dan tasawuf yang telah menjadi fardu ain bagi setiap lelaki dan perempuan yang telah baligh akalnya yang telah di gariskan oleh para ulama ulama?? Sekurang kurangnya tuan dapat mengesahkan pahala amal dan dapat mengetahui apa pula yang membatalkan pahala amal. Sejauhmanakah keyakinan tuan bahawa segala amal tuan itu di terima tuhan?? Sekiranya tuan boleh memberi penjelasan diatas dgn memberitahu bagaimana untuk solat sehingga boleh mendapat kusyuk dan tawaduk serta tiada mempunyai syirik khafi didalamnya barulah saya boleh terima "tuntutlah ilmu dari buaian sehingga liang lahat" ini bukan hadis Nabi. Sila beri maklum balas dari tuan. Insyaallah.
ReplyDeleteSaya rasa en. Yasin kurang jelas dgn apa yg Ustaz maksudkan. Tidak dinafikan kita wajib mencari ilmu selagi kita hidup.Tetapi yg salahnya ialah menyandarkan kata2 ini adalah dari Rasulullah, kerana ianya tidak tercatat dalam mana2 kitab hadis yg ustaz nyatakan diatas. Sekiranya en. Yasin mengatakan ini hadis, sila kemukakan perawi2 hadis berkenaan serta kedudukan hadis tersebut supaya kita sama2 tahu. Wallahu a'lam
ReplyDeleteAssalamualaikum..
ReplyDeleteبسم الله الرمـن الرحيم
Adalah dimaklumkan bahawa para al-Hafiz hadis tidak pernah menjumpai hadis ini disandarkan pada Rasulullah SAW. Malah, perawinya tidak pernah dijumpai; tiada asal-usulnya pada Rasulullah. Bererti ia bukanlah hadis marfu'. Bukan juga hadis mursal. Namun, sebaliknya paling hampir dijumpai adalah ia telah disandarkan pada Imam Ahmad bin Hanbal (rh); yakni diucapkan oleh beliau. Barangkali oleh kerana ia telah diucapkan oleh seorang ulama ahli hadis, lalu disalahfahamkan sebagai kata-kata nabi. Sering juga berlaku kepada ulama lain seperti Imam Malik bin Anas, Imam Nawawi, Imam as-Syafie dan lain-lain lagi. Naudzubillah.
Contoh:
Malik - "Ilmu..sampai negeri china"
Umar al-Khattab: "Ajarlah anakmu berenang, memanah dan menunggang kuda.."
Assalamualaikum