Monday, October 27, 2008
Al-Quran Bercerita Tentang Manusia - 3
MANUSIA YANG KETAWA
Ketawa adalah sifat manusia. Manusia sering ketawa dengan pelbagai sebab dan tujuan. Ada yang ketawa mengejek dan ada pula yang ketawa kerana kecewa. Ada yang ketawa kerana mendapat nikmat tapi ada pula yang ketawa kerana lawak jenaka. Bagaimana Al-Quran menceritakan kepada kita tentang manusia yang ketawa?
ALLAH SWT MENCIPTA ‘KETAWA’ UNTUK KITA
Telah disebutkan dengan jelas sekali di dalam Al-Quran iaitu dalam surah al-Najm, ayat 43:
Dan bahawasanya Dialah yang menjadikan orang tertawa dan menangis,
Allah SWT memberitahu kita bahawa Dialah yang mencipta manusia dalam keadaan orang yang mampu ketawa dan menangis. Dialah juga yang menciptakan seluruh alam ini di mana wujudnya sebab-sebab manusia itu boleh ketawa pada satu masa dan menangis pula pada waktu yang lain.
KETAWA TIDAK SALAH
Maka tiada siapa yang dapat menafikan bahawa ketawa itu tidak ada salahnya. Kenapa pula ketawa itu salah sedangkan ia adalah naluri setiap insan apabila ada sebab dan keadaannya? Maka secara umumnya, senyum dan ketawa bukanlah sesuatu yang dilarang dalam Islam. Mustahil Islam melarang sesuatu yang bersifat keperluan naluri kepada setiap insan, kerana Islam itu sendiri sesuai dengan naluri kemanusiaan!
KETAWA DAN SEBAB-SEBABNYA
Di dalam Al-Quran kita dapati beberapa ayat yang menceritakan tentang ketawa. Sebagai contoh, kita dapati Allah SWT telah menceritakan kepada kita tentang senyum dan ketawa Nabi Sulaiman alaihissalaam. Lihatlah maksud ayat-ayat berikut:
Dan Sesungguhnya kami telah memberi ilmu kepada Daud dan Sulaiman; dan keduanya mengucapkan: “Segala puji bagi Allah yang melebihkan kami dari kebanyakan hamba-hambanya yang beriman”.
Dan Sulaiman telah mewarisi Daud, dan dia berkata: "Wahai manusia, kami telah diberi pengertian tentang suara burung dan kami diberi segala sesuatu. Sesungguhnya (semua) Ini benar-benar suatu kurnia yang nyata".
Dan dihimpunkan untuk Sulaiman tenteranya dari jin, manusia dan burung lalu mereka itu diatur dengan tertib (dalam barisan).
Hingga apabila mereka sampai di lembah semut berkatalah seekor semut: “Wahai semut-semut, masuklah ke dalam sarang-sarangmu, agar kamu tidak dipijak oleh Sulaiman dan tentarenya, sedangkan mereka tidak menyedarinya”
Maka dia tersenyum dengan tertawa kerana (mendengar) perkataan semut itu. dan dia berdoa: “Wahai Tuhanku berilah aku ilham untuk tetap mensyukuri nikmatMu yang telah Engkau anugerahkan kepadaku dan kepada dua orang ibu bapaku dan untuk mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai dan masukkanlah aku dengan rahmatMu ke dalam golongan hamba-hambaMu yang soleh”.
(Surah al-Naml - ayat 15 hingga 19)
Itulah senyum dan ketawa daripada seorang manusia yang baik, seorang Nabi pilihan Allah SWT. Seorang Nabi seperti Sulaiman tidak dapat menahan dirinya daripada senyum dan ketawa kerana mendengar dan melihat telatah seekor ketua semut yang bersungguh-sungguh menjaga keselamatan semut-semut yang lain. Keadaan riuh rendah dan tergesa-gesa itu telah mencuit hati seorang manusia mulia seperti Nabi Sulaiman.
Kita juga dapati di dalam ayat yang lain pula, Allah SWT menceritakan kepada kita bagaimana terdapat sekumpulan manusia yang bukan sahaja jahat dan berperangai buruk, malah sanggup pula mentertawakan orang-orang yang beriman dan orang-orang yang soleh. Lihatlah ayat-ayat di bawah ini yang cukup memberikan kita gambaran betapa buruknya mereka dan ‘ketawa’ mereka:
Sesungguhnya orang-orang yang berdosa, mereka mentertawakan orang-orang yang beriman.
Dan apabila orang-orang yang beriman lalu di hadapan mereka, mereka saling mengerdipkan mata (tanda mengejek)
Dan apabila orang-orang yang berdosa itu kembali kepada kaumnya, mereka kembali dengan gembira.
Dan apabila mereka melihat orang-orang mukmin, mereka mengatakan: “Sesungguhnya mereka itu benar-benar orang-orang yang sesat”,
Padahal orang-orang yang berdosa itu tidak dikirim untuk menjadi penjaga bagi orang-orang mukmin.
(Surah al-Mutoffifin - ayat 29 hingga 33)
Seolah kita fahami dari ayat-ayat di atas – Kenapa pula kamu yang berdosa dan berperangai jahat ingin mentertawakan orang-orang yang lebih baik dari kamu? Kamu tidak pun disuruh menjaga kebajikan mereka. Mereka lebih tahu bagaimana mereka dapat menjaga diri mereka sendiri. Sepatutnya kamu tidak perlu sibuk untuk menganggu dan membincangkan tentang orang-orang yang baik, malah kamu amat perlu untuk menjaga diri kamu sendiri!
Maka ayat ini menceritakan tentang ketawa yang bertujuan mengejek dan mengeji. Oleh itu kita perlu berhati-hati dan berfikir – kenapa kita ketawa? Adakah kerana sebab-sebab yang positif? Atau kerana sebab yang negatif? Itu yang perlu direnungkan dan itulah yang perlu diperhatikan dengan teliti.
KETAWA POSITIF
Berikut adalah beberapa ayat yang menunjukkan kepada kita ketawa yang positif atau ketawa yang dibenarkan kerana tujuannya dibenarkan.
1- Ketawa Nabi Sulaiman terhadap ketua semut kerana gelagatnya yang sibuk mengarahkan semut lain berlindung agar tidak dipijak oleh Nabi Sulaiman dan tenteranya ketika lalu di situ.
Maka dia tersenyum dengan tertawa kerana (mendengar) perkataan semut itu.
(surah al-Naml ayat 19)
2- Ketawa orang mukmin di akhirat nanti terhadap orang kafir yang mentertawakan mereka di dunia.
Maka pada hari ini (hari akhirat), orang-orang yang beriman mentertawakan orang-orang kafir.
(Surah al-Mutoffifin ayat 34)
3- Ketawa isteri Nabi Ibrahim alaihissalam ketika mendengar berita gembira bantuan Allah SWT terhadap Nabi Lut dari malaikat yang datang ke rumahnya.
Dan isterinya berdiri (dibalik tirai) lalu dia ketawa, Maka kami sampaikan kepadanya berita gembira tentang (kelahiran) Ishak dan dari Ishak (akan lahir puteranya) Ya'qub.
(surah Huud ayat 71)
KETAWA NEGATIF
Berikut pula adalah beberapa ayat lain pula yang menceritakan tentang ketawa yang datangnya dari sebab-sebab negatif. Ketawa sebegini jelas menggambarkan peribadi tidak baik pada diri orang yang melakukannya. Sama-samalah kita baca dan hayati bersama:
1- Allah SWT menempelak sikap sebahagian manusia yang suka mentertawakan orang yang baik dan orang yang beriman kerana mengejek dan mempermainkan.
Sesungguhnya orang-orang yang berdosa, mereka mentertawakan orang-orang yang beriman.
(Surah al-Mutoffifin ayat 29)
Lalu kamu menjadikan mereka (orang-orang beriman) bahan ejekan, sehingga (kesibukan) kamu mengejek mereka, menjadikan kamu lupa mengingatiKu dan kamu selalu mentertawakan mereka
(Surah al-Mukminuun ayat 110)
2- Terdapat ayat yang menceritakan bagaimana ketawa yang tidak diredhai Allah SWT akan membawa kepada azab di akhirat yang akan menyebabkan mereka menangis pula.
Maka tertawalah mereka sedikit (di dunia yang sementara ini) dan menangislah banyak (di akhirat nanti), sebagai pembalasan dari apa yang selalu mereka kerjakan.
(Surah al-Taubah ayat 82)
3- Ketawa terhadap dakwah seperti ketawanya umat terdahulu terhadap dakwah Nabi-Nabi dan Rasul mereka.
Maka apakah kamu merasa hairan terhadap pemberitaan ini? Dan kamu mentertawakan dan tidak menangis, Sedang kamu melengahkan(nya)?
(Surah al-Najm ayat 59 hingga 61)
Maka tatkala dia datang kepada mereka dengan membawa mukjizat- mukjizat kami dengan serta merta mereka mentertawakannya.
(Surah al-Zukhruf ayat 47)
Begitulah apa beberapa ayat yang dapat saya kumpulkan berkaitan ketawa – yang baik dan diredhai Allah SWT atau yang buruk dan dimurkai Allah SWT – untuk pengajaran kita bersama. Jadikanlah ayat-ayat ini peringatan untuk kita kerana ia menceritakan tentang kita – manusia – yang mempunyai naluri yang ketawa. Semoga senyum dan tawa kita menjadi amalan yang soleh dan tidak menjadi amalan buruk yang menyebabkan kita menangis pula di sana.
Panduan di atas kita lengkapi juga dengan panduan daripada hadith dan sunnah yang menceritakan kepada kita dengan jelas bagaimana keadaan Nabi SAW yang ketawa dan senyum pada perkara yang dibenarkan dan diredhai oleh Allah SWT. Juga kita membaca di dalam sejarah Nabi Muhammad SAW bagaimana orang-orang kafir mentertawakan Nabi SAW ketika tempoh awal dakwah di Mekah di waktu orang-orang Islam masih sedikit bilangannya.
Ketawalah jika ia perlu dan patut
Menangislah kerana rasa sesal dan takut
Semoga Allah SWT memberikan kita keinginan untuk menambah serta memperbaiki ilmu dan amal kerana keduanya itulah yang akan membantu kita di sini dan juga di sana.
Bertemu dalam siri seterusnya insya Allah.
No comments:
Post a Comment